Wednesday, March 16, 2011

SIAPA JAGUH RAKYAT???

'Jaguh Rakyat' - BN atau pembangkang?

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Mengimbas semula selepas tiga tahun, pasca pilihan raya umum (PRU) ke- 12 menunjukkan bahawa keadaan yang penuh emosi dan provokasi serta keadaan tidak menentu kembali reda walaupun politiking masih berterusan. Perak kembali ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) dan perubahan kepimpinan berlaku dalam parti serta lima Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) memilih untuk keluar dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Tiga tahun merentasi pasca PRU Ke-12, banyak pencapaian dan cabaran yang boleh diperihalkan. Berlaku pertukaran baton kepimpinan dalam BN secara teratur dan licin dari Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Ia membawa suntikan baru dengan kesungguhan dan keazaman Najib untuk mentransformasi parti dan tadbir urus kerajaan. Dari saling tuduh menuduh pada peringkat awal kekalahan pilihan raya, beliau membina semula 'pasukan' ini untuk bersama.

Konsep 1Malaysia dengan beberapa agenda diperkenalkan termasuk PTK, PTE, NKRA, MEB dan RMK-10. 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' menjadi teras kepimpinan yang akan dinilai dalam PRU Ke-13 nanti memandangkan pelaksanaan menyeluruh masih dinantikan.

Najib sedar 'rakyat' adalah kepercayaan beliau. Keyakinan yang mahu dibina adalah dari kepercayaan ke atas 'rakyat' yang juga akan menentukan sama ada BN mampu bertahan dalam PRU Ke-13. Ini selari dengan kesedaran bahawa pemimpin perlu menjadi 'jaguh rakyat' dan bukan 'badut rakyat' kerana pengundi sudah boleh membaca gerak-geri pemimpin dan jika tidak berhati-hati, BN boleh rebah akibat percaturan sendiri.

Sudah pasti pilihan raya kecil (PRK) boleh dijadikan sebarang penanda aras keupayaan dan persediaan parti walaupun ia tidak boleh dijadikan sebagai penentu atau indikator kekuatan sesebuah parti kerana demografi dan geografi yang berbeza-beza memerlukan strategi yang berlainan diguna pakai.

Bagi barisan pembangkang, sepanjang tiga tahun barang kali boleh dinilai sebagai masa 'percubaan' sehingga masih bersifat sebagai 'pembangkang' walaupun menjadi 'pentadbir' di beberapa buah negeri. 'Kuatkah Pembangkang; Lemahkah BN' merupakan persoalan yang perlu diteliti oleh Pas, DAP mahupun PKR kerana sepanjang tiga tahun pasca PRU Ke-12, isyarat berbeza-beza diberikan kepada umum.

Barisan pembangkang dilihat berhadapan dengan krisis keyakinan dan kepercayaan yang getir berbanding ketika Mac 2008. Manipulasi secara terancang dan kreatif dengan menyebar nilai populis menyebabkan ia mampu menyekat penyokong tegar daripada curang tanpa menyedari pengundi yang melakukan undi protes tidak bersifat emosional tetapi lebih rasional dan praktikal.

Bermula dengan sandiwara 16 September 2008 dan kemudian beralih kepada Disember untuk mengambil alih kerajaan melalui pintu belakang, tiga tahun sudah berlalu. Malahan kedangkalan pemimpin ketara sehingga mengekori ke Taiwan untuk berbohong dalam proses meyakinkan keseluruhan masyarakat Malaysia.

Begitu juga dengan 'hubungan Pas-DAP' yang mencurigakan sejauh manakah masing-masing percaya dapat bekerjasama walaupun pemimpin DAP hadir di pentas Pas dan di sebaliknya. Persoalan 'kejujuran' perlu dinilai oleh umum. Sepanjang tiga tahun juga, berlaku kepincangan kepimpinan dalam parti PKR dan DAP dari pemilihan parti yang dilakukan.

Isu legitimasi jawatan 'Ketua Umum' dalam PKR dipersoal dan pemilihan parti dipenuhi dengan penipuan pengundi, campur tangan langsung untuk kemenangan calon tertentu dan meniru tandatangan yang dianggap bertentangan dengan nilai ketelusan dan akauntabiliti yang cuba diperjuangkan parti ini. Daripada 400,000 ahli parti, lingkungan 10 peratus dikatakan keluar mengundi? Jika sebelum ini mereka pelopori demonstrasi, PKR buat julung kali berhadapan dengan demostrasi daripada ahlinya.

Bagi DAP, pemilihan di Perak dan Selangor turut menguji parti tersebut sepanjang tiga tahun selepas PRU Ke-12. Keetnikan menjadi isu terutama dalam pertembungan Kulasegaran dan Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming yang akhirnya Kula tersungkur.

Pemahaman separuh masak turut menghantui parti Pas. Isu negara Islam masih belum selesai dan DAP sudah pasti tidak mahu menyelesaikannya atas prinsip 'Pas senyap, DAP diam'. Kegelisahan segelintir penyokong Pas jelas kerana belum ada jawapan konkrit daripada DAP yang belum mahu perjelaskan kedudukan mengenai negara Islam walaupun Nik Aziz Nik Mat ada beberapa kali menyuarakan keinginan memberi penjelasan ke atas ketidak setujuan DAP ke atas isu ini.

Ini kerana pemahaman separuh masak penyertaan bersama pihak pembangkang dilihat bercanggah dengan perbezaan perjuangan dan konsep. Isyarat berbeza mengenai perjuangan parti dilontar oleh pemimpin induk parti sehingga melahir rasa tidak puas hati, mengelirukan dan ketidakselesaan dalam kalangan pengikut yang setia pada perjuangan parti.

Dengan persaingan antara BN dan Pas, tiga tahun pasca PRU Ke-12 juga melihat kehadiran 'kuasa ketiga' dalam kalangan pemimpin yang keluar parti sehingga menubuhkan kaukus yang mahu menjadi 'pengimbang' kepada BN dan barisan pembangkang. Kini Parlimen dikuasai oleh 8 Bebas manakala BN adalah 137; DAP dengan 29; PKR merupakan 24 dan Pas jumlahnya 23 serta PSM seorang. Ini menunjukkan bilangan BN jatuh sebanyak 3 kerusi manakala pembangkang sebanyak 5 kerusi daripada angka Mac 2008.

Pasca PRU Ke-12 melihat kemunculan Malaysia Civil Liberties Movement (MCLM) yang dianggap turut tergolong dalam kuasa ketiga telah menyangkal dan menganggap organisasi ini sebagai prorakyat dan bukan kuasa ketiga. Sedemikian juga dengan Parti Kesejahteraan Tanahair (KITA) di bawah Datuk Zaid Ibrahim yang keluar parti UMNO dan PKR barangkali mahu memain peranan dalam konteks demografi perbandaran. Begitu juga dengan kemunculan United Borneo Front (UBF) oleh Jeffrey Kittigan selepas keluar dari PKR.

Sabah dan Sarawak pula dinamakan sebagai 'rakan kongsi', satu pendefinisian yang bercanggah dengan nilai kenegaraan kerana Sabah dan Sarawak adalah sebahagian dari Malaysia. Dengan label sebagai 'rakan kongsi', ia seolah-olah tidak dilihat mempunyai kepentingan dan nilai kesamarataan dengan negeri yang lain.

Begitu juga dengan Program 100 Hari Pakatan Rakyat yang digaris sebagai Dasar Bersama. Persoalannya, bukankah elemen tersebut sedang dilakukan oleh kerajaan dan apakah keunikan 'Buku Jingga' sehingga ketara perbezaannya dari yang sedang diamalkan oleh pemerintah hari ini. Tidak dinafikan imbuhan kepada golongan guru menarik tetapi mampukah dilakukan dalam kedudukan dana hari ini? Jika teras dokumen tersebut berpusat kepada kebajikan, Kg. Buah Pala tidak akan menjadi sejarah hari ini.

Pengundi atas pagar akan bertanya - 'Malaysia mahu diselamatkan dari apa, siapa dan mengapa'? Apakah perlu diubah dari keselesaan semata-mata disebabkan perbezaan fahaman politik atau kebencian ke atas BN walhal proses modenisasi, urbanisasi, industrialisasi berkembang pesat?

Adakah selama 53 tahun merasa tidak selamat ataupun ada pihak sengaja melahirkan rasa tidak selamat? Malahan, dalam PRK di Kerdau dan Merlimau, BN muncul dengan slogan 'Selamatkan Malaysia dari Pembohongan' kerana politik adalah persepsi dan maklumat menjadi sumber kekuatan strategi sesuatu parti politik. Maka, perang psikologi perlu menusuk hati dan bukan minda semata-mata dalam permainan politik yang boleh kita namakan sebagai 'politik pujukan'.

Pelbagai isu juga telah muncul sepanjang tiga tahun pasca PRU Ke-12 termasuklah isu kenaikan harga, Teoh Beng Hock, PKFZ, jenayah, rasuah, kesamarataan dan cabaran ke atas Perlembagaan. Kesemua ini akan menjadi isu PRU Ke-13.

Pembunuhan karakter tokoh politik juga semakin ketara kebelakangan ini dengan memanipulasi media baru sehingga menimbulkan dilema nilai kepercayaan dan kebergantungan ke atas media ini sebagai saluran informasi dan maklumat yang benar dan bukan direka cipta semata-mata keinginan untuk menjatuhkan parti atau pembesar politik. Kredibiliti media baru perlu dipertahankan walaupun ada yang menyalahgunakan saluran ini.

Barangkali, selepas tiga tahun, kesemua parti akan memulakan persediaan untuk berhadapan dengan PRU Ke-13. Persediaan pembangkang sudah bermula sejak Disember dengan siri ceramah ke seluruh negara. Persediaan BN pula dijangka bermula dengan gandingan Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelajah ke seluruh negara.

Persediaan BN tidak memerlukan hanya Najib dan Muhyiddin turun padang tetapi pemimpin setempat sendiri dan kebanyakan isu dapat diselesaikan dengan sokongan dana kebangsaan serta mengurangkan masalah dalaman, tidak ada sebab BN tidak boleh kembali dengan prestasi lebih baik di PRUKe-13. Ia boleh bermula dengan Sarawak untuk mempertahankan majoriti dua pertiga mereka dan seterusnya membina momentum akhir sebelum PRU Ke-13.

Jatuh bangun BN bergantung kepada tahap persediaan. Kini pencapaian selama 53 tahun hanya bersifat sejarah kerana perubahan kepelbagaian penyaluran maklumat yang sukar dikawal atas nama demokrasi dan kebebasan. Yang penting, semangat 'kemuafakatan', 'kesepaduan', 'perkongsian' dan kesediaan berkompromi serta berkorban perlu ditunjukkan dengan jujur dan akhlak penuh tanggungjawab kerana ia juga merupakan kekuatan BN selama ini.

Bagi pembangkang, ia perlu menunjukkan bahawa masing-masing masih boleh bersama terutama persoalan keikhlasan DAP dan Pas dengan isu terkini tiket loteri menunjukkan masih ada perasaan curiga untuk kekal relevan jika pun ada analisis menunjukkan masing-masing mengambil sikap berhati-hati dan boleh berubah hati jika tumpas dalam PRU Ke-13.

Apakah Pas mampu kembali mendapat semula sokongan pengundi Melayu akibat kebergantungan kepada DAP dan pengundi Cina? Berbanding sebelum ini, kebelakangan ini, Pas lebih bergantung kepada DAP dari di sebaliknya, yang ketara di Merlimau dan Kerdau seolah-olah DAP yang bertanding dari calon Pas.

Politik angka dan politik perkauman akan menjadi asas congakan dalam PRU Ke-13. Selepas tiga tahun, barang kali pihak yang menyatakan budaya politik tanah air sudah melangkaui elemen perkauman perlu mencongak semula kerana nilai kaum, etnik dan agama akan terus menjadi unsur penting dalam menzahirkan politik angka kerana untuk menang, BN mahupun parti pembangkang perlu kembali semula kepada persoalan asas - faktor 'X' atau 'WOW' mengapa perlu pengundi mengundi mereka dalam PRU Ke-13?

Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH