Friday, March 11, 2011

MELAYU : TAK LUPA BERKHATAN?

Melayu lupa keberkatan?

Oleh NIZAM YATIM


nizam.yatim@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

NAMPAKNYA orang Melayu Islam telah lupa mengenai pentingnya keberkatan dalam hidup. Bagi Muslim yang mukmin, mereka percaya keberkatan memainkan peranan penting dalam hidup. Oleh itu, mereka akan memastikan segala makanan dan minuman yang masuk ke dalam mulut adalah halal berikutan ia akan menjadi darah daging mereka.

Muslim sedemikian, akan memastikan mereka tidak melakukan penipuan dan menerima rasuah bagi mengkhianati kaum sendiri kerana mereka tahu wang yang diperoleh secara tidak halal akan menyebabkan wujudnya titik-titik hitam di dalam hati.

Apabila hati telah mati dan menjadi keras, orang Melayu akan menjadi semakin liberal dan bersikap tidak apa apabila hak kaum mereka untuk bekerja atau berniaga diketepikan.

Itulah rintihan yang diluahkan oleh seorang aktivis masyarakat kepada wartawan Utusan Malaysia dalam satu pertemuan lebih dua jam pada cuti hujung minggu baru-baru ini.

Apa yang disebut oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan itu adalah masalah besar yang kini menghimpit orang Melayu khususnya para peniaga kerana mereka tidak lagi dibantu oleh kaum sendiri.

Menurut beliau, ahli-ahli politik Melayu kini hanya sibuk bergaduh sesama sendiri bagi merebut kuasa dan agama Islam yang masing-masing anuti gagal untuk menyatukan mereka.

Dalam masa sama, agensi dan jabatan kerajaan yang sepatutnya menolong orang Melayu lebih mementingkan keuntungan dan melupakan agenda sebenar untuk mengembalikan hak dan maruah kaum itu.

Beliau memberi contoh restoran di sebuah kompleks beli-belah ternama di Kuala Lumpur yang menjadi tempat temu bual kami yang sehingga kini gagal untuk mendapat sokongan kewangan daripada kerajaan.

Jelas beliau, pengusaha terbabit wajar dibantu kerana dia telah menjalankan tanggungjawab murni untuk mempamerkan pelbagai produk yang dihasilkan oleh usahawan kecil Melayu di premisnya.

''Restoran ini adalah segelintir premis yang diusaha peniaga Melayu di sini dan saudara dapat lihat ia dihimpit oleh banyak gerai lain yang dipunyai bukan kaum kita.

''Ada agensi kerajaan yang pernah menjanjikan bantuan RM5,000 tetapi setelah tiga tahun, pengusaha restoran ini masih menunggu janji ini ditunaikan," ujarnya.

Menurut Nadzim, beliau turut menerima aduan daripada seorang usahawan penternakan yang mendakwa beliau ditekan sebuah agensi kerajaan supaya berpindah dari ladangnya.

''Ternakan beliau telah diracun pihak tertentu sehingga rugi berjuta-juta ringgit. Taktik ini digunakan supaya beliau keluar dari situ kerana kawasan berkenaan akan dimajukan sebagai padang golf oleh usahawan dari negara jiran.

''Masalah ini berlaku kerana ada sesetengah agensi kerajaan kita diketuai oleh Napoleon Kecil yang hanya mementingkan keuntungan termasuk komisen yang diterima, bukannya agenda utama untuk membantu orang Melayu," katanya.

Beliau menyifatkan Napoleon Kecil itu sebagai sangat berkuasa dan cukup angkuh kerana mereka tidak menghiraukan surat sokongan daripada Perdana Menteri yang dibawa oleh usahawan itu yang mengarahkan isu berkenaan diselesaikan segera secara baik.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan kebimbangan bahawa sikap mengabaikan keberkatan dalam hidup turut menular di kalangan syarikat yang dimiliki parti politik Melayu.

''Jangan terkejut jika saya beritahu saudara bahawa syarikat terbabit telah memesan berpuluh ribu kuih yang dihasilkan usahawan Cina. Mungkin alasan yang diberikan adalah kerana harga yang murah dan servis lebih baik.

''Saya tidak menyalahkan usahawan Cina terbabit kerana dia pandai, tetapi saya menyalahkan orang Melayu seperti ini yang tidak sedar diri," katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau, komen itu bukan bererti beliau mempertikaikan ajaran Islam sebagai agama yang cintakan keamanan dan kedamaian di antara kaum.

''Islam tidak pernah menegah umatnya berniaga atau berurusan dengan kaum atau bangsa lain. Namun, sebagai Muslim, sepatutnya kita sentiasa membantu saudara seagama dalam segenap bidang.

''Inilah pentingnya soal hati tadi. Jika hati kita tidak mati, sudah tentu kita akan memberi keutamaan membeli barangan atau perkhidmatan di kedai Muslim.

''Jika sudah tidak ada orang Islam yang mampu mengeluarkan sesuatu produk, barulah kita berniaga dengan bukan Islam. Ini tidak, ramai orang kita yang lebih suka berniaga dengan bukan Islam sedangkan produk yang sama boleh didapati di kedai Muslim," ujarnya kesal.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kehairanan dengan sikap menteri-menteri Melayu yang amat payah untuk membantu kaum sendiri.

''Ada menteri kita kata, saya tidak boleh nak tolong, kerana saya ikut buku. Kalau ikut buku, kita tidak perlu menteri lagilah kerana kita boleh berurusan terus dengan pegawai-pegawai.

''Kita berjumpa menteri kerana mengharapkan mereka dapat menggunakan kuasa budi-bicara termasuk yang menyentuh hak keistimewaan orang Melayu. Menteri kita nampaknya macam tidak jelas agenda masing-masing, hendak tolong pun susah.

''Menteri ini tidak sedar bahawa kaum lain sangat mementingkan aspek bantu membantu dan mereka kena belajar dengan menteri Cina, bagaimana mereka menolong orang Cina," katanya.

Tambah beliau, di seluruh dunia budaya bending backwards (melentikkan badan ke belakang) untuk menolong adalah perkara biasa bagi bangsa maju seperti China, Jepun dan Yahudi.

''Kita patut belajar daripada Datuk Seri S. Samy Vellu (bekas Presiden MIC) kerana beliau pernah menelefon Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memaklumkan permohonan sebuah syarikat kaum India untuk mendapatkan sijil halal. Kita mana ada menteri nak buat kerja macam ini,'' ujar beliau.

Tegas beliau, lebih banyak bantuan harus diberikan kepada orang Melayu berikutan kedudukan kaum itu yang masih tidak sama rata dengan kaum lain.

''Kalau kita yang tidak tahu ikat tali sarung tangan tinju pun disuruh berlawan dengan bekas juara dunia, Mike Tyson, ini tentu tidak boleh. Jika ini dibiarkan, kita akan terikat dengan undang-undang dunia iaitu yang kuat akan menjadi raja dan yang lemah menjadi hamba.

''Saya harap saudara tulis perkara ini, bagi menyedarkan semua pihak bahawa kedudukan orang Melayu kini cukup hina kerana kita lemah dalam segenap segi termasuk sosial, ekonomi dan pendidikan,'' katanya.

Walaupun situasi sekarang tidak memihak kepada orang Melayu, ujarnya, beliau yakin mereka boleh menjadi kaum yang kuat, jika sedar diri dan sanggup berubah dari sekarang untuk menolong kaum sendiri.

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH