Analisis: 'Faktor Najib' suntik transformasi politik BN
Oleh B Anbumani
2011/02/27
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Analisis__FaktorNajib_suntiktransformasipolitikBN/Article
Parti komponen perlu bekerjasama pastikan kemenangan lebih cemerlang PRU Ke-13
"CAKAP-cakap politik, persepsi dan spekulasi politik" adalah antara elemen yang tidak dapat dielakkan sama sekali dalam kancah politik. Namun, segala faktor itu semakin berleluasa dan tidak terkawal sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 yang turut menggegar, mencemaskan dan merisaukan Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah negara sejak merdeka buat kali pertama.
Implikasinya senario politik negara dilihat cukup kritikal, mencabar, tidak tenteram dan sering berkrisis disebabkan BN kehilangan majoriti dua pertiga. Ungkapan ‘politik’ yang turut mendefinasikan kerajaan, kenegaraan dan pentadbiran negara asyik dipolitikkan oleh kumpulan tertentu kerana terlalu ghairah mahu mengejar kuasa.
Tidak dinafikan dalam persaingan politik perlu ada ‘check and balance’, tetapi jangan terlalu melampau sangat sehingga kepentingan diri sendiri dijadikan modal politik sampai mencetuskan pelbagai fenomena atau dilema yang ‘tak elok’ untuk negara serta masyarakat umum.
Mandat diberikan rakyat perlu dijadikan satu amanah, iktibar, tanggungjawab serta pegangan politik yang kuat untuk berkhidmat demi rakyat dan negara. Sikap tamak dan rakus mahu merampas kuasa menerusi slogan seperti ‘menuju ke Putrajaya’ adalah satu lagi budaya politik yang boleh mengancam ketenteraman dan ketenangan negara. Sudah pasti rakyat dapat mendalaminya.
Sejak PRU 2008 negara disajikan dengan pelbagai peristiwa, insiden serta aksi politik yang sentiasa panas membabitkan BN dan juga pihak pembangkang dari masa ke semasa. Kemuncaknya ialah peralihan kuasa antara bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak pada Mac 2009.
Kini selepas hampir 18 bulan menerajui tonggak utama negara, peranan dan ‘faktor Najib’ berjaya memberi satu harapan baru dan suntikan pembaharuan politik untuk BN dan juga negara.
Pendekatan menerusi gagasan 1Malaysia yang bervisikan ‘rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan’ yang diilhamkan Najib berjaya memberikan satu ‘keyakinan baru’ di kalangan rakyat Malaysia. Sikap keterbukaannya yang bertekad mahu membela nasib semua bangsa berjaya meletakkan kepemimpinan Najib semakin ‘disenangi, dihargai dan diterima.’
Najib tidak boleh keseorangan. Justeru, semua parti komponen BN perlu bekerja keras secara jujur, ikhlas dan rela hati untuk memperkasa serta memperkukuhkan lagi faktor kepemimpinan Perdana Menteri serta sistem penyampaian BN itu sendiri demi memastikan kemenangan yang lebih cemerlang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Ingatlah proses pemantapan politik ini perlu dilakukan secara berterusan tanpa henti kerana dalam politik tidak ada istilah ‘esok masih ada’. Memetik kata-kata Najib ‘berubah ataupun rebah’.
Parti-parti komponen BN perlu menjadikan ‘kejutan politik 2008’ untuk mengkaji semula, merombak serta mengemaskinikan jentera parti masing-masing. Keluarlah daripada sindrom penafian, retorik dan keangkuhan politik yang boleh menjejaskan peluang BN. Perkuatkanlah semangat kerjasama antara satu sama lain atas nama ‘Barisan Nasional barisan kita penegak wawasan rakyat Malaysia’ di bawah satu bumbung.
Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti bukan saja bakal menentukan masa depan BN, malah bakal mempertaruhkan nasib parti-parti komponen BN umpama pertarungan ‘hidup mati’. Komponen BN perlu mempertajamkan lagi proses transformasi dan reformasi politik untuk menegakkan arus perubahan dalam parti masing-masing demi agama, bangsa dan negara. Rakyat sedang memerhatikan.
Selepas PRU 2008, negara menyaksikan rekod 17 pilihan raya kecil (PRK) dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya mempertahankan Parlimen Permatang Pauh, DUN Bukit Selambau dan DUN Penanti, manakala gagal mempertahankan Parlimen Hulu Selangor yang dirampas semula oleh BN.
PAS pula berjaya merampas semula Parlimen Kuala Terengganu daripada UMNO, berjaya mempertahankan Parlimen Bukit Gantang, DUN Manek Urai, DUN Permatang Pasir dan gagal mempertahankan DUN Galas di tangan UMNO.
DAP pula berjaya merampas Parlimen Sibu daripada BN. BN turut berjaya mempertahankan DUN Bagan Pinang, Batang Air, Parlimen Batu Sapi dan yang terkini pula di DUN Tenang baru-baru ini. BN dijangka mempertahankan DUN Merlimau dan Kerdau dalam siri PRK yang dijadualkan pada 6 Mac depan.
Begitulah senario PRK yang semakin sengit di antara BN dan pembangkang. Persaingan di PRK juga tidak seperti dulu dan dilihat semakin terbuka sehingga semua parti politik terpaksa berhempas pulas untuk memastikan kemenangan calonnya. Apa yang pasti BN dan pembangkang tidak boleh mendabik dada dengan kemenangan masing-masing.
Di sebalik beberapa PRK itu, peratusan peningkatan undi masyarakat Melayu dan India dilaporkan beralih angin semula kepada BN secara berperingkat-peringkat bermula dari PRK Hulu Selangor, Bagan Pinang, Galas dan Tenang.
Prestasi pengundi Cina difahamkan belum sampai pada tahap memuaskan walaupun sudah ada petunjuk yang meyakinkan di PRK Galas dan Tenang. Tumpuan kini tertumpu ke arah PRK Merlimau dan Kerdau - sejauh mana seramai 2,225 pengundi Cina di Merlimau dan 454 di Kerdau dapat beralih kepada calon BN kali ini.
Seperti dalam UMNO, proses transisi politik juga berlaku di MCA, MIC dan Gerakan – yang menjadi empat tunjang utama BN. UMNO dilihat semakin kuat dan semakin berjaya dalam mengembalikan serta meraih sokongan Melayu.
MIC di bawah kepemimpinan baru Datuk G Palanivel dilihat semakin serius mahu mereformasikan parti melalui proses ‘perubahan politik’ yang berbentuk realistik seperti diharapkan masyarakat India. Palanivel juga komited mahu meliberalisasikan MIC dan hala tuju politik masyarakat India yang dikatakan terhimpit dan tersepit sebelum ini.
Selepas melepasi saingan pertama di Tenang dengan mencapai sasaran 75 peratus pengundi India memihak kepada BN, kali ini beliau mahu memastikan seramai 1,567 pengundi India di Merlimau dan 298 pengundi di Kerdau terus bersama BN.
MCA pula nampak tenang di bawah kepemimpinan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang banyak memberi tumpuan untuk mengembalikan sokongan masyarakat Cina pada peringkat akar umbi, manakala kebangkitan semula GERAKAN masih menjadi tanda tanya.
Apa yang pasti semua parti komponen BN perlu mendapat sokongan daripada kaum yang mereka wakili untuk memastikan survival masing-masing dalam kancah politik nasional – sama ada relevan ataupun tidak. Jangan mudah lupa segala resolusi dan ucapan panas yang dilontarkan pada Konvensyen BN di Kuala Lumpur pada Disember 2010.
Presiden parti perlu kerap turun padang melawat kawasan yang mereka kalah pada PRU 2008 dan merancang strategi untuk merampas semula kawasan terbabit. Soal perbincangan peruntukan kerusi, perlu dilakukan secara ‘terkawal’ sehingga tidak menjejaskan peluang BN.
Kemunculan kuasa ketiga, persepsi pengundi atas pagar dan peranan pengundi baru perlu diteliti secara holistik dalam memperkemaskan jentera kempen dan pilihan raya khususnya di kawasan-kawasan panas.
Sebab itulah kuasa seseorang Ahli Parlimen itu begitu penting sekali dalam menentukan hala tuju politik negara. Merekalah juga penggerak dan penggempur politik negara. Tanpa mereka ‘tergantunglah’ sesebuah kerajaan.
Sudah pasti faktor calon bakal mempercaturkan masa depan BN dan pembangkang untuk membentuk kerajaan pada PRU Ke-13 nanti.
Tidak semestinya calon bertaraf ‘Oxford ataupun Harvard’ atau orang yang ‘berjawatan besar’ mengikut hierarki pada peringkat bahagian dipilih menjadi calon. Yang pasti rakyat mengharapkan calon yang bersikap jujur, ikhlas, bersih dan berintegriti, boleh mendengar denyutan nadi mereka dipilih dan diangkat sebagai wakil rakyat.
Penulis ialah Perunding Media dan Penganalisis Politik
No comments:
Post a Comment