Friday, March 25, 2011

KONGRES CURANG???




‘Kongres curang’ gugat pemimpin

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Eustace Chester, dalam bukunya Love Without Fear menggunakan istilah ‘kongres curang’ bagi menggantikan perbuatan hubungan seks. Hubungan seks yang dilihat sebagai curang ialah hubungan yang berlaku dalam keadaan bertentangan dengan peraturan, moral dan susila. Ia mungkin hubungan antara kekasih yang masih belum diikatkan dengan perkahwinan. Atau hubungan sulit dalam istilah sekarang.

Tentunya hubungan itu berlaku secara sorok-sorok, atau sembunyi-sembunyi. Ia tidak akan berlaku secara terang-terangan. Ia akan mengakibatkan lebih banyak tafsiran negatif sehingga boleh menyebabkan kedudukan seseorang berubah.

Dalam sejarah manusia, sudah banyak pemimpin handal dan bijaksana menjadi korban kongres curang. Masyarakat Amerika Syarikat (AS) yang terkenal dengan seks bebas tetap tidak boleh menerima pemimpin mereka terbabit dengan kongres curang. Kes Bill Clinton dan Monica Lewinsky telah menggugat pengaruh seorang presiden sehingga dilihat sebagai seorang yang tidak lagi boleh dipercayai. Akhirnya siasatan dilakukan, dan sepanjang tempoh itu jugalah timbulnya pelbagai istilah dalam kongres curang itu, antaranya “Monicagate”, “Lewinskygate”, “Tailgate”, “Sexgate”, dan “Zippergate”.

Pada tahun 1963, berlaku skandal yang menyebabkan Setiausaha Negara Britain, John Profuno menghadapi tekanan apabila kongres curangnya dengan seorang wanita pengintip KGB, Christine Keeler terdedah. John Profuno pada mulanya cuba menafikan penglibatannya, sebagaimana Bill Clinton membuat pengakuan bersumpah. Ikut menjadi mangsa kerana mempertahankan Profuno, Perdana Menteri Harold Macmillan turut dipaksa berundur diri.

Terbaru ialah bekas Presiden Israel, Moshe Katsav telah dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun setelah didapati bersalah merogol seorang kakitangan wanita pada tahun 2005.

Dalam penantian untuk diadili ialah penglibatan Silvio Berlusconi, Perdana Menteri Itali. Beliau dikatakan gemar mengadakan parti seks, melanggan pelacur dan mendampingi wanita seksi walaupun ada di antaranya masih di bawah umur. Beliau sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan kongres curang sehingga sanggup menipu tarikh lahir dan memberikan wang yang banyak. Kedudukannya semakin terancam. Masa depan politiknya menjadi semakin suram.

Daripada perspektif sejarah, krisis politik atau kepimpinan yang melibatkan kongres curang adalah satu bentuk krisis moral. Krisis moral berlaku dalam semua masyarakat, termasuk masyarakat beragama.

Menurut seorang ahli sosiologi Islam terkemuka pada abad ke-15, Ibnu Khaldun, kedudukan seseorang yang berkuasa amat mudah terpengaruh dengan pelbagai godaan, kemegahan, harta (wang) dan wanita. Makin tinggi kedudukan kuasa seseorang itu maka makin bertambah kuat godaan yang mengasak naluri dan minda.

Sejarah banyak mencatatkan bahawa sebab utama kejatuhan seseorang pemimpin ialah kerana larut dalam godaan sehingga tidak lagi mampu memenuhi kehendak rakyat.

Kebangkitan kuasa rakyat di Tunisia, Mesir, Yemen dan kini sedang hebat berlaku di Libya mempunyai kaitan rapat dengan larutnya pemimpin dengan godaan kemewahan tanpa mempedulikan rakyat. Semakin lama berkuasa, pemimpin-pemimpin terbabit telah membina kekayaan peribadi dan menjadi lebih autokratik sehingga tidak lagi memberikan perhatian kepada rakyat kebanyakan.

Akhirnya rakyat sedar, mereka telah diperlakukan sebagai alat untuk mendapatkan kuasa, tetapi apabila berkuasa dilupakan. Lama kelamaan membangkitkan kemarahan, konflik, pemberontakan dan desakan menyingkirkan pemimpin.

Meskipun pendapat Ibn Khaldun itu mewakili analisis sejarah yang berlaku sehingga abad ke-15, realitinya masih berlaku hingga kini. Bagi menghindarkan diri daripada terperangkap dengan godaan, Ibnu Khaldun menasihatkan para pemimpin agar berhati-hati, kerana adakalanya musuh sengaja melakukan usaha untuk menjatuhkan seseorang. Kini, wanita cantik dan seksi digunakan sebagai umpan, untuk mendapatkan rahsia negara ataupun menjatuhkan kekuasaan seseorang pemimpin.

Dalam memperkatakan jenis dan bentuk godaan, Ibnu Khaldun menyimpulkannya kepada tiga. Pertama, kekuasaan secara langsung cenderung membangkitkan godaan bermegah-megah apabila diri dipuja dan disanjung. Inilah yang dinamakan mabuk pujian, dan terlalu sukar untuk menerima teguran. Teguran dianggap sebagai alahan yang wajib dijauhkan.

Kedua, bila berada di puncak kuasa, pemimpin akan merasai betapa gahnya kuasa, dan dengan kuasa itu dia berhak melakukan apa sahaja. Dia berhak untuk mengumpulkan kekayaan, maka diselidikilah kaedah terbaik bagi tidak menampakkan berlakunya salah guna kuasa. Pada ketika itulah sikap tamaknya menjadi semakin besar, dan jika boleh ingin dikuasai kesemuanya dari apa yang ada di atas bumi, di ruang udara, di perut bumi dan di laut dalam wilayah yang dikuasainya.

Hukum moral semakin menipis, yang menebal ialah aset dan harta benda. Maka apabila dipaksa menyerah diri, maka semakin banyaklah skandal dan salah guna kuasa didedahkan.

Godaan ketiga, menurut Ibnu Khaldun datangnya dalam bentuk tarikan yang boleh mencairkan iman seseorang. Bagi seorang lelaki, tarikan yang paling memukau ialah wanita cantik, seksi, mulus dan manja. Wanita tersebut bukan sahaja menjadi daya penarik bagi kepentingan dirinya sendiri, malah ada ketikanya membawa muslihat mengkhianati negara.

Dalam dunia perisikan, penggunaan wanita cantik memang menjadi satu strategi yang amat berkesan. Kecekapan dan kecantikan Anna Chapman, seorang wanita seksi Rusia akhirnya terbongkar apabila dia kerap menunjukkan kemewahannya.

Bagi menghindari godaan, Ibnu Khaldun meletakkan agama sebagai pendinding kebal. Agama diberikan nilai yang tinggi dalam membentuk sesuatu peradaban. Baginya, agama adalah faktor asas terpenting bagi membentuk sebuah peradaban besar dan hebat. Agama dijadikan acuan falsafah moral yang dapat meneguhkan sesebuah peradaban.

Akibat tidak meletakkan falsafah moral sebagai acuan peradaban, ia akan mengibarkan kekalutan dan kekeluaruan. Kecelaruan itu merupakan dosa sejarah yang besar dalam bentuk kesombongan, keangkuhan material dan ketamakan. Bila agama dikesampingkan, maka peradaban akan mengalami kehancuran. Dengan demikian, agama merupakan suatu kekuatan dalam menentukan perjalanan sejarah manusia.

Namun, ada segelintir pemimpin cuba mempergunakan agama sebagai bahan tarikan kepercayaan lahiriah, hanya sekadar memenuhi keperluan ‘menunjukkan hakikat beriman’, tetapi hatinya tersalut nafsu serakah yang tidak dapat dikawal. Agama menjadi mainan mulut sahaja.

Orang yang mempunyai kuasa digalakkan mempunyai ilmu dan apa sahaja kepakaran bagi memenuhi tuntutan kehidupan dalam dunia yang serba canggih ini. Tetapi ilmu dan kepakaran itu tidak seharusnya digunakan untuk memenuhi tuntutan nafsu sendiri tanpa mengambil kira hak dan keperluan orang lain.

Ilmu tidak seharusnya digunakan untuk menindas, tetapi hendaklah disisipkan dengan nilai-nilai keimanan. Akal yang dianugerahkan kepada kita, seharusnya digunakan sebagai perintang dan penghadang memasuki perilaku yang dikategorikan sebagai dosa, termasuk menipu untuk mengekalkan kuasa.

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR

Yang Dipertua Yayasan Dakwah

Islamiah Malaysia (Yadim)


No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH