Saturday, March 5, 2011

BN : BINA NEGARA - UNDILAH BN

Masa terbaik untuk pengundi

Oleh NAZERI NONG SAMAH

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dalam kawasan Parlimen Kuala Krau, Ahad ini adalah masa terbaik bagi 8,999 pengundi berdaftar kawasan tersebut untuk membalas budi kerajaan Barisan Nasional (BN).

PRK itu akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad dengan calon Pas, Hassanuddin Salim yang pernah tewas di DUN Kerdau pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

BN diyakini memenangi PRK ini kelak, sekali gus membuktikan pengundi amat bertanggungjawab dalam mempertahankan Islam daripada diperalatkan oleh Pas yang bersekongkol dengan DAP.

Seperti kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika majlis ramah mesra pemimpin bersama penduduk di Rumpun Makmur, Kuala Krau, semalam, pengundi sedar bahawa dalam situasi politik semasa amat jelas bahawa menyokong calon Pas sama seperti masuk perangkap DAP, sekali gus menghancurkan masa depan agama dan bangsa.

Ada banyak faktor yang memungkinkan BN terus mempertahankan kerusi DUN Kerdau antaranya ialah kawasan itu merupakan tradisi kubu kuat BN sejak dulu lagi.

Selain itu, majoriti pengundi Melayu berjumlah 83 peratus daripada keseluruhan pengundi di DUN Kerdau adalah penyokong senyap BN yang mempunyai kesedaran tinggi bahawa mereka tidak mahu melepaskan banyak peluang keemasan di bawah pemerintahan BN.

Jika pada PRU 2008, calon BN Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim memperoleh majoriti 1,615 undi menewaskan Hassanuddin (calon yang sama), maka ada kemungkinan, majoriti kali ini lebih besar daripada yang diperoleh BN sebelumnya.

Di samping itu, kekerapan pemimpin tertinggi BN turun padang menemui rakyat di DUN Kerdau termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiga kali membuktikan mereka amat prihatin terhadap kebajikan penduduk setempat.

Calon BN DUN Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad pula adalah pemimpin yang mesra rakyat dan tidak asing bagi penduduk kerana beliau pernah menjadi penyelaras DUN itu ketika Allahyarham Zaharuddin sakit dahulu.

''Saya sentiasa bersedia untuk terus berbakti kepada rakyat dan yakin mereka akan memilih calon yang boleh membela nasib mereka," kata Syed Ibrahim yang berkelulusan Universiti Al-Azhar, Mesir dan Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau itu.

Sementara itu, peranan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob merangkap Pengarah PRK DUN Kerdau terbukti berkesan kerana beliau tegas dan pintar mematahkan setiap hujah pihak pembangkang.

Begitu juga dengan kerja kuat kempen oleh Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said selaku Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau bersama jentera parti itu di segenap peringkat, termasuk sokongan parti komponen dari luar turut memantapkan lagi kecemerlangan yang bakal diperoleh calon BN.

Bagi Ketua Penerangan UMNO cawangan Kerdau, Sharifuddin Mohamed, strategi yang disusun rapi oleh jentera parti terutama menyelesaikan masalah kebajikan individu pengundi pada saat-saat akhir kempen membuktikan BN tidak mengabaikan isu mikro tetapi boleh memberikan impak besar jika diabaikan.

Kesimpulannya, penulis sebagai anak tempatan yang membesar dalam DUN Kerdau percaya para pengundi dalam kawasan pilihan raya berkenaan tidak mudah terkeliru antara realiti di bawah pemerintahan BN dengan janji bulan bintang yang terlalu sayup dan mustahil sama sekali untuk dicapai.

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH