Monday, October 4, 2010

UMNO PERLU MENYERANG

UMNO perlu bangkit kembalikan sokongan

Oleh Jamhariah Jaafar

2010/10/04

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UMNOperlubangkitkembalikansokongan/Article

Komponen BN kena ambil kesempatan kecelaruan pembangkang elak kedudukan terancam

TUN Dr Mahathir Mohamad, melihat pentingnya UMNO bangkit semula untuk beberapa tujuan besar antaranya kepemimpinan parti diterima semula rakyat; berupaya memperjuangkan kepentingan Melayu; serta mampu menggerakkan semula sentimen rakyat dan perasaan rakyat sama ada Melayu mahupun bukan Melayu.

“Contohnya, pemilihan ahli Majlis Tertinggi sendiri, ada tokoh yang berwibawa tidak dipilih. Sebaliknya, yang dipilih orang yang tidak dikenali. Pandangan rakyat pada kepemimpinan mereka ini tidak baik dan sukar bagi rakyat untuk bergerak aktif termasuk menyokong mereka.

“Pada masa sama, mereka pula belum menunjukkan kebolehan untuk menjadi pemimpin yang boleh menggerakkan sentimen dan perasan rakyat baik Melayu mahu pun bukan Melayu.

“Ini antara punca melemahkan lagi UMNO dan apabila sesuatu pertubuhan itu lemah, maka ramailah yang akan menyerang kerana berpendapat mereka akan berjaya. Dan serangan ini bukan saja datang daripada musuh, tetapi juga oleh rakan sendiri. Ini menambah kelemahan yang ada pada Barisan Nasional (BN),” katanya ketika ditemui di pejabat beliau, baru-baru ini.

Dr Mahathir berkata, ketika ini BN berkuasa sebab sokongan kuat dari Sabah dan Sarawak.

“Kita dapati sekarang ini, Sabah dan Sarawak juga terancam kerana sebab tertentu. Kalau dikurangkan sokongan kepada BN di Sabah dan Sarawak dan di sini juga tidak ada peningkatan, jadi saya nampaklah bahaya... melainkan ada sesuatu yang dilakukan yang boleh menguatkan semula sokongan kepada kepemimpinan,” katanya.

Namun, Dr Mahathir melihat ketidakupayaan pakatan pembangkang untuk memerintah negara ini.
“Parti lawan juga tidak begitu menarik sebab prestasi sekarang tidak begitu baik dan mereka juga parti yang berupakan parti campuran. Ramai khuatir dengan beberapa pemimpin mereka (pembangkang) dan terus bertanya sama ada mereka boleh memimpin negara,” katanya.

Justeru, dalam keadaan prestasi parti pembangkang buruk, UMNO perlu mengambil kesempatan untuk memperbaiki sokongan. Kenyataan, sikap, isu yang dicetuskan dan pendirian kalangan pemimpin parti terbabit - DAP, PAS serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bercelaru, mengelirukan malah tidak sensitif terhadap Melayu membuktikan ketidakwibawaan mereka bersatu apatah lagi memerintah.

Dr Mahathir, turut menasihatkan UMNO tidak terpengaruh dengan bancian yang mengatakan parti mendapat sokongan 70 peratus rakyat.

“Polling seperti itu tidak mencerminkan kedudukan yang benar. Jadi kalau sudah sedar bahawa keadaan berbahaya, dia (BN) harus menentukan sebab mengapa keadaan menjadi begini dan mengambil tindakan untuk memperbetulkan keadaan,” katanya.
Beliau turut memberitahu bahawa isu atau persoalan tertentu ‘yang menarik’ sedang dibahas secara terlalu bebas dan unsur perkauman sudah menjadi terlalu tebal.

“Walaupun ada orang Melayu mempertahankan kedudukan orang Melayu, mereka dituduh sebagai rasis. Tetapi cadangan yang kononnya berasaskan kepada merit atau pengenalan konsep Malaysian Malaysia juga adalah satu cara rasis kerana yang akan untung daripada cara itu bukanlah Bumiputera,” katanya.

Dr Mahathir turut diminta mengulas mengenai sikap MCA.

“MCA dulu sebenarnya mewakili bangsa Cina dan mereka menyokong BN. Oleh kerana hakisan sokongan kepada MCA akibat sebab tertentu dan propaganda kuat parti lawan yang galak memainkan isu perkauman, sokongan terhadap MCA kelihatan terhakis kerana mereka (MCA) tidak nampak dengan jelas memperjuangkan nasib kaum mereka.

“Kerana itu, MCA terpaksa menunjukkan mereka juga jaguh... jaguh kaum. Tapi bila mereka menjadi jaguh kaum Cina, tidak dapat tidak mereka menyamakan diri dengan parti lawan... ini menyebabkan UMNO pula berasa kecewa. Tapi perlu diingat, kita kehilangan banyak kerusi pada (Pilihan Raya Umum) 2008 bukan kerana isu perkauman tapi disebabkan pemimpin.

“Malahan (ketika itu ada) orang UMNO memberi undi pada parti lawan. Begitu juga parti Cina dan India. Bila jadi macam itu kerajaan menjadi lemah... bila lemah masing-masing mencari kekuatan dengan menggunakan isu perkauman. Sebab itu kita melihat sekarang semua kembali kepada politik perkauman,” katanya.

Ditanya sama ada BN mungkin menerima nasib yang sama seperti Pilihan Raya Umum 2008, Dr Mahathir berkata BN ketika itu banyak bergantung kepada kemenangan kerusi di Sabah dan Sarawak ‘yang masih lagi bersih’.

“Kalau tidak dapat (sokongan pengundi) Sabah dan Sarawak, (dan) kalau pun menang, kita masih tidak dapat mandat penuh,” katanya.

Mengenai pendapat beliau terhadap UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, Dr Mahathir berkata: “Kalau lemah UMNO, maka lemahlah parti lain dan dengan itu kedudukan UMNO terancam dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. Jika tidak ada sesuatu yang dilakukan UMNO dan parti komponen BN lain, mungkin keputusannya menjadi lebih buruk daripada 2008,” katanya.

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH