Sunday, October 3, 2010

LEGASI 1MALAYSIA : UMNO JUARA RAKYAT

Meneruskan legasi pemimpin terdahulu

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_10.htm

GAGASAN 1Malaysia, "rakyat didahulukan pencapaian diutamakan", perlu difahami oleh setiap wakil rakyat tanpa berkecuali. Rakyat perlu diutamakan dalam segala hal. Tanpa rakyat siapalah pemimpin kerana kerajaan adalah dari rakyat untuk rakyat (dengan izin Allah). Itulah falsafah demokrasi yang saya fikir tidak bercanggah dengan sumber ajaran Islam jika diurus dengan baik berpandukan perlembagaan. Janganlah memperalatkan gagasan 1Malaysia untuk menutupi atau mengaburi tindakan kita, tetapi laksanakan gagasan tersebut sebagaimana yang dicitrakan oleh Perdana Menteri.

Malangnya, ketika Perdana Menteri mengajak rakyat memahami keutamaan, masih ramai umat Islam lebih menekankan hal remeh temeh daripada isu pokok. Bergaduh tidak tentu pasal. Mempertahankan kepentingan peribadi daripada kepentingan umum. Niat tidak lain, supaya dirinya nampak hebat, wal hal diri dan sumbangannya tidak seberapa. Ada kalanya kita menjadi pemimpin, bukan kerana kita bagus atau berwibawa, tetapi kadangkala kerana bernasib baik. Sedangkan ramai yang lebih layak daripada kita. Tetapi disebabkan mereka tidak pandai membodek dan mengampu, mereka tidak terpilih sebagai pemimpin.

Justeru, mereka yang ingin menjadi pemimpin atau dipilih menjadi wakil rakyat, mesti pandai menjaga diri dan keluarga terlebih dahulu. Selepas itu, barulah senang untuk bercakap soal menjaga rakyat dan menjaga kerajaan. Inilah aspirasi dan inspirasi 1Malaysia Perdana Menteri.

Sudah sampai masanya gagasan 1Malaysia meletakkan tanda aras untuk mereka yang mahu menjadi pemimpin. Pertama, saya ingin cadangkan supaya pemimpin tersebut boleh memimpin dirinya sendiri, meletakkan Allah ditempat pertama, diikuti dengan Rasulullah dan keluarganya. Setelah dirinya terpimpin berasaskan prinsip tersebut, barulah akan terpancar integritinya, tidak rasuah dan tidak korup.

Kita tidak mahu pemimpin yang rumahtangganya berantakan, anak-anaknya pula bertaburan. Ingatlah pesanan yang mengatakan rakyat (termasuk anak-anak) menilai (lebih terpengaruh) dengan apa yang kita buat, bukan apa yang kita cakap.

Kedua, pemimpin mereka mempunyai ilmu. Ilmu yang dimaksudkan di sini adalah ilmu memahami keutamaan. Keutamaan jamaah (rakyat) berada di hadapan berbanding keutamaan diri. Jangan terlalu menjaga dan mementing diri sendiri atau terlalu mengikut emosi sehingga melupakan kepentingan rakyat. Memperbesarkan perkara kecil sehingga tertinggal perkara besar. Terlalu menjaga politik diri sendiri supaya tercalon lagi, sehingga terlupa akan agenda anak bangsa sendiri. Berikanlah laluan kepada mereka yang benar-benar mahu dan mampu memimpin.

Ketiga, pemimpin sebaik-baiknya mesti bebas atau tidak dilihat daripada dosa besar dan dosa kecil. Paling baik tidak melakukan apa-apa dosa. Sudah tentu ini adalah mustahil sebab kita bukan Rasul atau Malaikat. Kita tidak dapat lari daripada kesalahan. Namun, jangan lah kita terjebak dalam dosa-dosa yang rakyat boleh mempertikaikan kredibiliti kita. Misalnya seperti minum arak, kaki perempuan, kaki judi dan macam-macam kaki lagi. Ingatlah, rakyat melihat apa yang kita buat.

Keempat, pemimpin mesti mempunyai jiwa agama dan dapat menjaga amanah bangsa. Tidak semestinya mereka mempunyai latar belakang agama atau lulusan pengajian Islam. Kepemimpinan Islam boleh terdiri daripada mereka yang professional. Kadangkala sedih juga bila melihat bila ada 'orang agama' menjadi pemimpin, kepemimpinan dan pandangan mereka terlalu jumud dan tidak berpijak di bumi nyata. Sikit-sikit berhujah berbalik kepada Quran dan Hadis, tetapi modus operandi entah di mana. Justeru, orang agama perlu diprofesionalkan.

Apapun jika golongan profesional mahu menjadi pemimpin, mereka mesti mempunyai jiwa agama atau mengulamakan profesionalisme. Jangan sampai pemimpin kita tidak boleh dilihat menjadi imam. Paling kurangpun pemimpin tersebut mesti boleh memimpin bacaan doa, keupayaan berdoa adalah petanda awal menunjukkan kita mengerjakan sembahyang. Dengan makna, pemimpin tersebut mesti bersolat sebagai asas utama nilaian akhlaknya dengan Tuhan.

Inilah 'kalahnya' UMNO dengan pemimpin sebuah parti yang mendakwa diri mereka memperjuangkan Islam. Pemimpin parti Islam ini telah menarik ramai profesional, termasuk orang UMNO yang berjiwa Islam. Profesional ini boleh menjalankan tanggungjawab ulama seperti membaca khutbah, menjadi imam, baca doa, sembahyang mayat dan sebagainya. Sebenarnya UMNO tidak ketandusan orang agama dan profesional, resepinya semua sudah ada. Hasil yang mahu dilihat adalah, laksanakan kata-kata keramat rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Berkata benar walaupun pahit. Jika UMNO mahukan meneruskan legasinya pada masa akan datang, UMNO tidak ada pilihan melainkan mesti dapat dilihat bersih, cekap, amanah dan dapat dilihat melaksanakan ciri-ciri kepimpinan Islam tersebut. Di sinilah yang dikatakan 'kekuatan' parti Islam yang sukar ditandingi UMNO.

Mereka sanggup berjemur, berjaga dan bercekang ketika pilihan raya dan melakukan kerja suka rela, tanpa meminta sebarang habuan. Tetapi tidak UMNO. Sudah sampai masanya kita latih mereka yakni kerja kerana Allah demi menjaga amanah agama, bangsa dan negara.

Jika inilah pemimpin UMNO yang bakal lahir, jangan harap parti-parti lain dapat menambah kerusi. Tetapi jika perkara asas ini diabaikan, maka tunggu kekalahan yang bakal menjelma. UMNO mesti serius dalam meletakkan kepentingan agama di hadapan berbanding kepentingan bangsa. Kebaikan mesti diutamakan daripada keburukan. Manakala jika berlaku pertembungan dua keburukan, maka kita mesti tahu memilih antara dua keburukan tersebut, mana satukah yang kurang mudaratnya. Misalnya, antara menyentuh (atau makan) babi dengan makan rasuah (atau riba). Sudah tentu implikasi makan rasuah atau makan riba, lebih buruk daripada menyentuh (makan) babi, sebab makan babi melibatkan dosa individu, sedangkan makan rasuah melibatkan orang ramai dan boleh meruntuhkan agama dan negara, sehingga sampai ke tahap boleh diperangi. Jangan pulak ada yang salah faham sehingga sanggup makan babi selepas ini.

Jika semua ini dapat difahami keadaan tidaklah seteruk hari ini. Teringat saya bila membaca buku Syed Hussein Alatas, bertajuk Mitos Pribumi Malas, antara punca kelemahan umat Islam (Melayu) hari ini, disebabkan oleh ada sebahagian pemimpin yang dipilih itu lemah, tidak ada daya intelektual. Ketiadaan daya keintektualan ini menjadikan mereka ini hanya mampu menjadi pengampu dan pembodek. Justeru, sudah sampai masa kita dapat membezakannya agar boleh bangun menjadi bangsa hebat dan digeruni.

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH