Friday, October 8, 2010

NASIB MELAYU @ HALA TUJU UMNO


UMNO perlu lebih serius rancang halu tuju parti, pertahan nasib Melayu

Oleh Kamal Ahmad

2010/10/08

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UMNOperlulebihseriusrancanghalutujuparti_pertahannasibMelayu/Article

Perwakilan disaran jadikan perhimpunan platform bahas Bajet 2011 dengan bijak pamer kemampuan parti jaga kepentingan rakyat

ANJAKAN pemikiran, sikap dan tekad perwakilan mesti dibuktikan pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini sebagai manifestasi berlaku transformasi parti yang diumumkan Presidennya, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Merdeka, tahun lalu.

Tidak perlu lagi memaparkan kisah Si Kitol, Pak Kaduk atau Si Luncai mahupun lawak jenaka ketika perbahasan, sebaliknya perwakilan perlu lebih serius memikirkan soal 'hidup dan mati' parti. Mereka perlu memperjelaskan lagi hala tuju dan nasib bangsa Melayu serta ke mana anak cucu bangsa Melayu berlindung jika kerajaan sekarang kecundang pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 kelak.


“Kalau (UMNO) sudah sedar keadaan berbahaya, maka kepemimpinan parti harus menentukan sebabnya keadaan menjadi begitu dan mengambil tindakan untuk memperbetulkan keadaan,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas keadaan UMNO ketika ini.

Menggunakan platform perhimpunan bagi membahaskan secara mendalam Bajet 2011 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 15 Oktober, mencerna dasar dan semangat Model Baru Ekonomi (MBE), mempertingkatkan peranan Melayu dalam Model Ekonomi Luar Bandar (MELB) serta mengambil tahu entiti perniagaan, perusahaan serta korporat Melayu pada era kebangkitan ekonomi Asia tidak menjadi kesalahan kerana yang penting isi perbahasan perlu dikendalikan dengan bijak supaya UMNO dilihat menjuarai kepentingan Melayu dan melindungi rakyat keseluruhan.

Pemilihan bahan dan pembahas yang bagus mesti dilakukan supaya standard pemikiran UMNO tidak jadi bahan ketawa. Siri perbincangan pre-council yang dipertanggungjawabkan kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein wajar diadakan supaya perbahasan lebih fokus dan idea yang diketengahkan boleh diambil untuk menyokong pelaksanaan dasar berkaitan.

“Dengan melihat apa yang berlaku sekarang, perhimpunan kali ini lebih tertumpu kepada usaha memperkuatkan parti. Kita juga meminta pembahas menyentuh soal Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) dan dasar MBE. Perwakilan juga mungkin menyentuh soal Bajet 2011,” kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Perbahasan masih tertumpu kepada ucapan dasar Presiden serta tiga usul; agama, pendidikan dan ekonomi.

Beliau berkata, slot baru perhimpunan dengan menganjurkan forum antarabangsa dua hari membabitkan wakil lebih 40 parti politik pula untuk mendedahkan UMNO dengan pengalaman parti terbabit, termasuk kejatuhan Parti Liberal Demokrat (LDP) dari Jepun dan Parti Kongres, India.

Dengan tajuk The Creation of the Global Citizen: Media Liberalization and the New Political Realities, Tengku Adnan berkata, UMNO akan menjadikan forum seperti ini sebagai sebahagian proses memperkasakan maklumat dan pengetahuan ahli serta pemimpinnya.

“UMNO perlu berubah tanpa meninggalkan nilai murni dan perjuangan. Parti akan memperhebatkan penganjuran siri kursus ilmu dan kepemimpinan untuk menjadikan ahli UMNO sentiasa bermaklumat serta mengikuti perkembangan arus politik perdana mahupun global,” katanya.

Tahun depan dianggap gerbang baru memasuki fasa pertama ke arah merealisasikan Wawasan 2020 melalui pelbagai program mega transformasi pengurusan dan pentadbiran kerajaan serta strategi ekonomi. Ini turut menuntut perubahan pemikiran dan sikap rakyat termasuk ahli serta pemimpin UMNO supaya melihat kepentingan parti adalah yang teratas, manakala kepemimpinan sedia mendengar teguran pemimpin bawahan serta akar umbi.

“Jangan jadi The Emperor without clothes dan pada tahap itu pun ada orang tidak menegur mengenai perkara sebenar,” kata Dr Mahathir.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) yang juga Ketua Penerangan UMNO Melaka, Datuk Idris Harun berkata: “Perhimpunan ini untuk menentukan ke mana arah tuju parti, bangsa dan negara sekurang-kurangnya sehingga 2050. Ia juga mungkin menggamit pandangan perwakilan mengenai penilaian mereka terhadap kepemimpinan presiden sejak dua tahun lalu.

“Ketika ini UMNO di ambang transformasi dari segi mental dan fizikal, sekali gus perlu tahu membezakan antara sikap oportunis dan optimistik. Kita berdepan dengan keadaan yang dicetuskan kelompok di luar parti yang berpolitik secara radikal dan beremosi.”

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim, berkata: “Perhimpunan ini mesti mampu menyuburkan kesedaran mutlak untuk ahli dan pemimpin UMNO benar-benar bersetia, berbakti dan berkhidmat. UMNO mesti menyahut gagasan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.’ Parti juga perlu mempertingkatkan perjuangan dalam pendidikan sebagai alat penyatuan dan menyuntik semangat nasionalisme yang tertinggi.

“Dalam soal ekonomi Melayu, ia mesti diperkukuhkan dengan kerjasama tulen dalam mengejar pembangunan dan kesejahteraan secara adil serta menyeluruh.
Pengerusi Biro Pelajaran dan Kebajikan UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad, berkata perhimpunan kali ini perlu berupaya menzahirkan pernyataan untuk memperkuatkan lagi ekonomi Melayu dan pelan pelaksanaannya.

“Kita mahu Melayu bersaing dengan kaum lain dan UMNO mesti berupaya menjadikan pendidikan sebagai asas pembangunan modal insan orang Melayu,” katanya.
Terdahulu, Tengku Adnan ditanya mengenai persiapan UMNO untuk melaksanakan proses pemilihan yang bakal membabitkan 146,400 pengundi tahun depan.

Beliau tidak bersetuju jika pemilihan UMNO yang menggunakan sistem baru disamakan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu memperlihatkan pengendalian proses pemilihan yang kucar-kacir sehingga mencetuskan keganasan.

Banyak mesyuarat cabang PKR di seluruh negara mencetuskan kekacauan. Kejadian seperti membaling kerusi, menabur kertas undi, bertumbuk sesama sendiri dan melakukan vandalisme serta menyerang petugas media berpunca tidak puas hati pengundi terhadap proses pemilihan.

Buat pertama kali, PKR melaksanakan sistem pengundian terbuka kepada semua ahli bagi memilih barisan kepemimpinan tertinggi parti. Untuk memperlihatkan ia lebih telus serta mendakwa lebih liberal dan demokratik, PKR terburu-buru melaksanakan sistem itu mungkin dengan niat untuk mendahului UMNO yang akan menggunakan proses hampir sama, tahun depan.

“Kita tidak boleh bandingkan UMNO dengan PKR. Ia parti serpihan daripada UMNO, MIC, MCA dan DAP. Objektifnya hanya hendak kuasa. Mereka nak ikut ala kita tapi tak ada struktur yang mantap. Mereka tidak beri kefahaman kepada ahlinya.

“Sebaliknya, UMNO menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan yang akan mengendalikan seluruh proses itu. Ibu pejabat parti juga sudah menerangkan kepada UMNO bahagian mengenai keperluan perlembagaan parti yang baru dan apa yang patut dilakukan. Kita juga akan melaksanakan pemilihan secara serentak, tidak macam dia (PKR) yang berperingkat,” katanya.

Tengku Adnan juga memberitahu, calon yang hendak bertanding untuk peringkat tertinggi juga tidak perlu pencalonan, sebaliknya boleh mendaftar terus kepada ibu pejabat.

“Sistem pemilihan PKR terbukti teruk. Parti dan petugas gagal mengawal pengundi. Kucar-kacir juga membuktikan ahli tidak faham konsep pertandingan dan tidak tahu soal pemilihan parti. Sistem menunjukkan kewibawaan parti dan apa yang berlaku dalam pemilihan PKR atau manifestasi kemampuan parti itu jika memerintah negara,” kata Ketua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shafie.

Terdahulu, Idris berkata, kejadian yang berlaku sepanjang proses pemilihan cabang PKR mesti diambil iktibar oleh rakyat mengenai kualiti ahli serta pemimpin parti itu sekali gus boleh menggambarkan apa terjadi kalau mereka memimpin negara.

“Mereka berpolitik secara radikal dan tidak tahu peraturan. Apakah ini yang disukai rakyat pada parti yang konon mahu memerintah negara ini,” katanya sambil memberitahu, pembahas dari UMNO Melaka akan menyentuh soal ini pada perhimpunan akan datang.

Katanya, ini berbeza dengan UMNO yang berjaya mengekang sikap radikal, mendidik ahli sentiasa berhemah dan melihat permasalahan sebagai peluang untuk menyelesaikan serta memperbaiki keadaan.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee, berkata yang membezakan UMNO dengan PKR ialah ahli UMNO setia dan patuh kepada peraturan parti.

“Sebaliknya, ahli PKR adalah mereka yang tidak menjiwai (parti) dan suka mencetuskan kekacauan dalam masyarakat. Mereka tiada roh kepartian dan kekecohan dalam (pemilihan) PKR tidak akan berjangkit kepada UMNO,” katanya.

“Justeru, perlu ada kejutan dizahirkan daripada perhimpunan agung kali ini. Beberapa ‘keputusan besar’ perlu dilakukan bagi meningkatkan momentum kebangkitan semula parti selepas melalui transformasi. Perwakilan mesti memberi input serius, berat dan rasional tetapi tidak memperlihatkan tekanan.

2 comments:

  1. Salam.Adakah benar kata ketua UMNO bahagian ceras mengatakan UMNO setia dan patuh kepada peraturan parti?.Kenapa parti tidak mahu politik wang bermaharaja lela namun masih ramai pemimpin UMNO yang berpolitik wang? sila jawab

    ReplyDelete
  2. tuan, tahniah konsisten berjuang. Tolong Link blog http://bintang03.blogspot.com

    ReplyDelete

KUALA LIPIS BERSEJARAH