Thursday, October 14, 2010

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO : LANDSKAP BARU UMNO


UMNO gembleng bakat pemimpin hadapi landskap baru politik

Oleh Kamal Ahmad
mohdkamal@bharian.com.my

2010/10/14

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UMNOgemblengbakatpemimpinhadapilandskapbarupolitik/Article

ANTARA projek besar perlu dilaksanakan UMNO ialah pelan memupuk bakat kepemimpinan, menggembleng pemikiran serta kepakaran tokoh Melayu bagi memperkasa organisasi dan bangsa menghadapi cabaran landskap baru politik.

Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 kali ini perlu melihat bagaimana menggembleng kudrat ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, selain barisan Exco dalam sayap Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri. Selepas terbabit dalam pertandingan secara sengit untuk memenangi jawatan itu dan menjejaskan parti pada tahap tertentu, pemimpin terbabit perlu diberi tanggungjawab sewajarnya untuk berkhidmat kepada parti. Kehadiran mereka bukan sekadar memenuhi jemputan mesyuarat tetapi memikul tanggungjawab lebih mencabar membangunkan parti dan Melayu.

“Dalam pemilihan ahli MT, tokoh yang berwibawa tidak dipilih. Sebaliknya, yang dipilih adalah orang yang tidak dikenali. Mereka tidak menunjukkan kebolehan untuk memimpin,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad, pada pertemuan, baru-baru ini.

Ungkapan bekas Presiden UMNO itu boleh memberi beberapa maksud. Keadaan ini mungkin ada kaitan dengan kegagalan parti memupuk bakat. Ia mungkin kesan gejala mencantas tunas yang baik dalam parti oleh pemimpin yang tidak mahu tergugat atau digugat pendatang baru atau perwakilan tidak tahu menilai calon pemimpin sebenar. Kesan daripada semua ini, parti akhirnya ketandusan pemimpin.

Perwakilan juga harus berani mencadangkan jawatan Setiausaha Parlimen diwujudkan semula. Jawatan itu fasa latihan terbaik sebelum mendedahkan bakat pemimpin kepada tugasan lebih berat sebagai timbalan menteri dan jika lulus pada dua tahap itu, baru layak menyandang jawatan menteri.

“Kita tidak boleh meletakkan seseorang (terus) menjadi menteri. Mereka perlu dilatih. Ada yang berjaya dan ada yang tidak. Dulu ada Setiausaha Parlimen, kemudian (dilantik) timbalan menteri dan (selepas itu boleh) jadi menteri,” kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, UMNO perlu pemimpin yang berani menyatakan pandangan, menegakkan kebenaran atau menegur pemimpin.


“Kalau tidak ada orang yang bercakap benar, matilah parti,” katanya sambil menambah, tidak timbul soal parti pembangkang kuat tetapi UMNO sebenarnya yang lemah.

“Kita beri pembangkang peluru, jadi kita sendiri ketakutan. Kenapa kita ketakutan, sedangkan krisis pada 1998 (gerakan reformasi) lebih teruk daripada ini tetapi kita mampu mengawal keadaan,” katanya.

Pengerusi Persatuan Mantan Wakil Rakyat UMNO (PENAWAR), Tan Sri Adam Kadir, turut berharap perhimpunan kali ini mampu menghasilkan keputusan penting untuk ahli parti dan bangsa Melayu. Ini termasuk penubuhan badan pemikir pakar yang lebih tersusun untuk memberi input dalam membantu pemimpin membuat dasar atau keputusan.

“Kita (UMNO) perlu kumpulan pemikir yang pakar dalam semua bidang termasuk mengenai sosial, politik dan ekonomi, selain sejarah, pentadbiran ekonomi dan perniagaan mahupun pentadbiran awam. Kita juga perlu tokoh yang pandai berpidato.”

“Kita mesti ada think tank barulah (UMNO dan Melayu) kuat,” katanya ketika ditemui dan menambah parti masih ada masa untuk mewujudkan badan pemikir tidak formal itu.

Beliau berkata, pemimpin tidak mempunyai masa melakukan semua perkara, apatah lagi membabitkan kepakaran khusus. Justeru, mereka perlu pakar yang diperakui, dihormati dan berwibawa bagi memberi laporan atau ringkasan terkini untuk tindakan pemimpin.

Adam berkata, UMNO juga perlu pemikiran baru bukan saja soal ekonomi domestik dan undang-undang kerana banyak isu dalam negara berkaitan undang-undang. Selain itu, parti perlu ada orang yang berwibawa dalam undang-undang antarabangsa, termasuk mengenai pasaran dan percukaian yang menjadi nadi ekonomi masa depan.

Adam turut mengingatkan UMNO mengenai pentingnya menggabung kekuatan pemimpin berpengalaman tanpa menafikan kepentingan dan kekuatan pemimpin muda.

Justeru, perlu ada kesungguhan dan tekad besar di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mengenai program memupuk bakat dan kepakaran dalam UMNO pada akhir sesi perhimpunan 23 Oktober ini.


"SELURUH WARGA UMNO BAHAGIAN LIPIS MENGUCAPKAN SELAMAT BERSIDANG KEPADA SEMUA PERWAKILAN & SEMUA SAYAP"


No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH