Sunday, October 24, 2010

TRANSFORMASI UMNO

Najib mahu UMNO amal konsep dahulukan rakyat


2010/10/24

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/NajibmahuUMNOamalkonsepdahulukanrakyat/Article

Sedutan ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak di PWTC, semalam

Ahli mesti berani uar-uarkan kepada umum semua kejayaan negara hasil perjuangan parti

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM. Assalamualaikum Warahmatullah hiwabarakatuh dan Salam 1Malaysia. Yang berbahagia Datuk Pengerusi Tetap persidangan UMNO dan Timbalan Pengerusi Tetap, Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO yang sudah pun disahkan Melayunya dan Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Saf pimpinan UMNO sama ada yang cerah, sama ada yang hitam manis, sama ada yang status ‘unknown,’ saya sebagai Perdana Menteri sahkan mereka Melayu belaka.

Yang kita kasihi Yang Amat Berbahagia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Sidang perwakilan, sidang pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian. Syukur Alhamdulillah, kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang sudah memberi taufik dan hidayahnya kepada kita semua sehingga Perhimpunan Agung UMNO kali ke-61 ini dapat dirampung (selesai) dan disempurnakan dengan selamat sampai kepada penghujungnya.

Seperti mana saya sebut dalam ucapan dasar saya, bahawa Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka ini dilangsungkan sebanyak 25 kali. Pada kali ini, perhimpunan ini mencatat beberapa perkembangan yang amat signifikan lagi bersejarah. Yang pertama, ialah buat kali pertama dalam sejarah UMNO, solat Jumaat telah diadakan di dalam bangunan UMNO sendiri. Moga-moga petanda ini akan membawa keberkatan yang berkekalan, Insya-Allah dan saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha memberi kebenaran untuk solat Jumaat diadakan di dalam bangunan UMNO yang keramat lagi bersejarah ini.

Yang kedua, buat kali pertama sebelum perhimpunan ini diadakan satu forum antarabangsa yang bertajuk pembentukan masyarakat global liberalisasi media dan realiti politik baru yang membabitkan 400 peserta dari dalam dan luar negara telah diadakan. Dan, sekali gus kita telah dapat mengetengahkan UMNO, usaha-usaha murni UMNO memimpin negara kita, memaju negara kita dan membawa perubahan yang besar pada negara kita, biar dunia lihat bahawa kejayaan ini kerana kemajuan UMNO selama ini.

Saudara-saudari sekalian, pada awal ucapan saya, saya nak menyelesaikan urusan yang biasa saya buat pada penghujung ucapan saya. Saya nak ucap terima kasih kepada Datuk Pengerusi Tetap Persidangan UMNO yang telah mempengerusikan persidangan ini dengan gayanya yang tersendiri yang amat menarik.

Dan saya nak mengesahkan saya turun bawah tadi jumpa dengan reporter Cina, saya tanya betulkah Pengerusi Tetap kita cakap bahasa Hokkien tu? Dia kata betul walaupun bahasa Hokkien pasar tapi betul dia kata. Tahniah juga kepada Timbalan Pengerusi Tetap yang cekap membantunya.

Saya juga nak ucap terima kasih kepada Urus Setia Ibu Pejabat Datuk Setiausaha Agung, terima kasih. Terima kasih kepada Setiausaha Kerja, tak berhenti bekerja dan pada semua kakitangan ibu pejabat dan semua pihak, media, polis dan segala-galanya yang telah membantu persidangan kita berjalan dengan baik.

Saudara-saudari sekalian, saya berasa begitu terharu bahawa ucapan saya pada kali ini mendapat sambutan yang sangat hangat di kalangan perwakilan. Saya ucap terima kasih kepada Timbalan Presiden yang telah menyatakan bahawa ucapan itu, ucapan yang tegas dan berani. Ada dua reaksi yang agak menarik perhatian saya bila saya telah membuat ucapan, selepas saya buat ucapan. Yang pertama, bila saya sedang ambil gambar dengan Exco Wanita, ramai wanita yang kata, Datuk kami wanita puas dengar ucapan.

Yang kedua, bila saya balik ke rumah ada seorang teman lama saya dari Pahang dia tunggu tercegat di luar pagar rumah saya. Jadi saya gamit dia masuk, saya kata haji apa hajatnya? Dia kata selama ni dia bimbang masa depan anak cucu dia tapi bila dia dengar ucapan saya, dia kata dia yakin masa depan anak cucu dia.

Dan itulah sebenarnya hakikatnya, bahaya peruntukan-peruntukan tentang kepentingan orang Melayu Bumiputera yang melibatkan soal keistimewaan orang Melayu sudah pun terpateri kemas, telah terkunci, tersimpul mati dalam Perlembagaan parti, negara kita yang tak boleh dipinda melainkan dengan persetujuan Raja-Raja Melayu dan saya tak nampak Raja-Raja Melayu akan pinda peruntukan Perlembagaan ini.

Namun ada juga pihak...haaa ini nak kata kumpulan yang sebelah sana ni, dia pakar pusing. Dia pusing bab tu, dia pusing juga...dia pusing orang putih kata ‘spinning...they’re very good at spinning.’(putar belit...mereka ni cekap putar belit). Dia kata pulak kalau sudah terkunci, tersimpul mati jadi tak perlulah UMNO berkuasa sebab orang Melayu kalau alih kuasa pun orang lain boleh pertahankan, sebab sudah ada peruntukan dalam Perlembagaan. Ini adalah satu pandangan yang tidak benar sama sekali walhal peruntukan itu sudah terkunci kemas tapi kuasa politik perlu di dalam tangan UMNO untuk menterjemahkan prinsip semangat peruntukan Perlembagaan itu.

Sebab itulah dalam ucapan saya bab kedua, ketiga penghujungnya sekali saya tutup ucapan saya dengan mengatakan dalam apa juga keadaan rupa saya, mesti kita pertahankan. Apa mesej tu? Jangan sampai dia benak...dia benak atau orang Negeri Sembilan kata bangang...saya tanya isteri saya bangang tu apa? Bangang tu yang paling teruk sekalilah. Ataupun, dia faham tapi dia buat tak mahu faham, inilah masalah kita berdepan dengan pembangkang yang selalu memutar sesuatu kepalsuan untuk mengelirukan rakyat jelata. Kita beritahu bahawa UMNO akan menyelamatkan masa depan Melayu dan negara kita yang tercinta. Tak ada orang lain boleh. Nak kata dia boleh, dulu sibuk dengan reformasi, sekarang ni sibuk baling kerusi.

Jadi, tuan-tuan dan puan-puan sekalian, dalam perhimpunan ini soal Perlembagaan ini tak usah bangkit oleh siapa-siapa lagi. Habis sudah tutup cerita, kita mara ke depan, orang putih kata lets move on...tak ada apa lagi.

Dalam perhimpunan ini, saya lihat memang hasrat kita , hasrat saudara-saudari sekalian bahawa agenda Melayu, kedudukan Bumiputera akan terus diperjuangkan oleh pimpinan UMNO dan kerajaan.

Saya nak beritahu bahawa hal ini, memang akan diperjuangkan oleh kita malah dalam persidangan MCA baru-baru ini bila saya rasmikan, sebelah saya semua pimpinan MCA, apa saya kata? Saya kata dalam sebuah negara kalau sekiranya majoriti negara itu memiliki sebahagian kecil daripada kekayaan, itu tidak adil dan tidak menyumbang kepada kestabilan politik tanah air kita. Saya kata depan Presiden MCA, depan pimpinan MCA, depan saya tak tahap tu ya...depan, saya terangkan dengan jelas dalam UMNO, dalam MCA dalam MIC dalam apa juga keadaan kita mesti menegakkan keadilan sosial di dalam negara kita ini. Dan, terima kasih perwakilan mengingatkan siapa pencetus Dasar Ekonomi Baru, takkan saya, anakandanya (Allahyarham Tun Abdul Razak), darah yang mengalir dalam badan saya tidak akan meneruskan semangat dan prinsip perjuangan itu. Tak payah lagi, dan dalam majlis ini saya nak beritahu bahawa hasrat saudara sekalian supaya kita tubuhkan apa yang dikatakan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera ataupun MTAB.

Saya nak beritahu bahawa pada hakikat sebenarnya Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera sudah pun diwujudkan oleh kerajaan. Malah, mesyuarat pertama telah pun diadakan sebulan yang lalu di mana saya jadi Pengerusi, Timbalan Perdana Menteri jadi Timbalan Pengerusi, menteri-menteri yang berkenaan menganggotai termasuk ketiga-tiga Naib Presiden. Hak Jawa, hak Turki, hak lanun, semua ada. Tiga-tiga ni... saya tak panggil dia nama sekarang, saya panggil dia Jawa, Turki, lanun. Biar lekat label dia. Semua ada. Kami akan pastikan agenda Bumiputera akan terus diperjuangkan. Malah ada satu perkembangan yang saya nak terangkan, ini juga berkaitan dengan program kita untuk menambahkan lagi penyertaan Bumiputera, yakni Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB). Yang sekretariat di bawah Dr Awang Adek. Saya nak beritahu bahawa pada tahun sudah, pada tahun 2010 empat buah syarikat Bumiputera yang market capitalizationnya (pasaran modal) RM411 juta sudah pun disenaraikan di Bursa Saham. Syarikat-syarikat ini kami tak kenal siapa dia. Syarikat-syarikat ini diproses berdasarkan kepada kebolehan dia untuk disenaraikan, tapi untuk disenaraikan dia mesti ada track record (rekod) lima tahun keuntungan dan Securities Commission (Suruhanjaya Sekuriti) nak tengok dari segi keuntungan akan datang. Jadi apa yang diperlukan oleh syarikat-syarikat Bumiputera ini bantuan sedikit oleh kerajaan. Dalam bahasa Inggeris disebutkan the last mile. Ini penghujungnya. Jadi kita bantu, bila kerajaan bantu penghujungnya, syarikat-syarikat ini boleh disenaraikan di Bursa Saham. Dan tahun sudah RM411 juta. Tahun akan datang Insya-Allah, tahun akan datang 11 buah syarikat Bumiputera dijangka akan disenaraikan, dengan market capitalization hampir dua bilion dijangkakan.

Memang seperti mana perwakilan kata, kita tak marah orang lain dapat keuntungan, kita tak marah orang lain kaya. Malah yang kaya itu pun kerana UMNO juga mereka kaya, betul tak? Siapa bagi lesen beras, siapa bagi lesen gula, siapa bagi lesen IPP, siapa bagi lesen satelit, tak ke UMNO yang bagi? Kalau kita nak tolong Bumiputera, jangan pula mereka marah kita nak tolong Bumiputera. Ini baru adil, bab-bab dia dapat dia senyap, hak kita nak bagi dia complaint (merungut), tak bolehlah macam itu. Adil pada semua. Ini yang kita hendak. Itu 1Malaysia. Terima kasih semua sudah terima 1Malaysia.

Saudara-saudara sekalian kita pun ada program lain, macam EKUINAS. Kita dah labur dalam tiga buah syarikat Bumiputera dengan nilai sebanyak RM350 juta. Malah dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dan RMke-11, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk EKUINAS. Kalau ada syarikat Bumiputera yang ada potensi jadi syarikat lebih besar sampai ke peringkat persada antarabangsa kita akan bantu melalui EKUINAS, supaya syarikat Bumiputera bukanlah syarikat yang kecil kerdil tapi syarikat besar bertaraf dunia global, ini hasrat kita supaya Melayu berjaya, Bumiputera berjaya di persada antarabangsa, ini kita hendak.

Saudara-saudara sekalian, kita tak lupa bukan saja seorang usahawan, bukan saja golongan yang korporat saja, tapi perjuangan kita bak kata pemimpin-pemimpin tadi, berbentuk inklusif, keterangkuman. Jadi hak yang bawah pun kita mesti jaga. Sebab itulah kita perkenalkan gaji minimum. Siapa untung? Yang pertama posmen lah untung. Posmen dulu dapat hampir dekat paras kemiskinan. Sekarang ini dapat RM1,300 ke RM1,400 sebulan. Perjuangan siapa? Perjuangan UMNO, beritahu dia. bukan orang lain, UMNO. Siapa lagi? Imam masjid pun terkejut, tersentak tak fikir-fikir boleh dapat. RM450 dapat RM750. Sebab tu ada imam dah letak jawatan nak ambil semula tu. Datuk Jamil (Khir) kata. Ada. Dia nak apply (mohon) balik jadi imam. Siapa lagi? Guru-guru KAFA, pun dapat. Siapa lagi? Ketua kampung pun dapat. Siapa ketua kampung? Separuh ketua cawangan. Ketua Bahagian kena jaga ketua cawangan betul tak? Kalau tidak, dia tak sokong nanti. Mulai tahun depan siapa lagi? Pengawal-pengawal keselamatan kebanyakan ni ha...Datuk (Seri) Zahid (Hamidi), bekas tentera pula banyak. Gaji RM700, RM600, Insya-Allah dapat RM1,000 ke atas. Ini perjuangan UMNO, ini kena beritahu, jangan sebab, yalah nak bagi air 20 meter padu percuma, ehh besar punya cerita. Hak macam wakil Pulau Pinang sebut tu, nak bagi RM50 guru KAFA tu, macam nak tenggelam Pulau Pinang punya ceritanya lah. Tapi kita ni mesti tahu, mesti beritahu, mesti uar-uarkan segala-galanya adalah hasil peranan perjuangan UMNOlah memungkinkan perkara ini jadi kenyataan, bukan orang lain.

Wakil Pemuda cadangkan supaya golongan hak muda ni, yang baru nak keluar, baru nak kahwin, tak sabar nak kahwin, tapi nak rumah tak mampu. Kerajaan telah isytiharkan bahawa kalau beli rumah RM220,000 ke bawah tak payah bayar wang pendahuluan dapat pinjaman 100 peratus. Wakil pemuda cadangkan supaya hak RM3,000 tu jangan kita kira pendapatan sekeluarga tapi kalau seorang RM3,000 ke bawah pun boleh, saya nak kata saya setuju dengan syor Pemuda itu. Inilah kita kata inklusif, jangan jaga orang di atas saja, jaga di bawah. Inilah yang kita ni UMNO ni, keindahan UMNO. Itu dia, cuma kita ini UMNO tak pandai nak bawa cerita. Tak pandai nak jual cerita, kurang sikit mahir, sebab apa? Sebab kita nak serah kerajaan, kerajaan, kerajaan. Terlalu lama kita berkuasa itulah dia. Kita ini mesti uar-uarkan di kampung, di bandar, di semua tempat, beritahu bahawa ini semua adalah hasil perjuangan UMNO, bukan orang lain.

Saudara-saudari sekalian, ramai yang sebut tentang transformasi UMNO. Jadi saya nak sebut di sini bahawa model transformasi UMNO ini apa temanya? Saya fikir waktu persidangan ini, bercakap, bersyarah apa semua, saya menghayati hujahnya, saya tilik-tilik dan saya rasakan bahawa tema yang sesuailah, model transformasi UMNO ialah UMNO dahulukan rakyat. Ini dia. Jadi sebenarnya proses transformasi UMNO ini dah mula. Dia mula macam Datuk Hisham kata tadi, dia bermula daripada waktu kita meminda Perlembagaan tahun sudah. Kita tahu sangat signifikannya tapi dalam sejarah UMNO ada tiga peristiwa yang sangat besar ertinya, penubuhan UMNO, UMNO diharamkan dan pindaan Perlembagaan UMNO pada tahun sudah. Ini tiga. Sebab apa? Dia menukar sama sekali asas pemilihan, proses menentukan kepimpinan UMNO yang lebih demokratik dan lebih inklusif, termasuk jawatan Presiden UMNO pun. Nasib Presiden UMNO di tangan 140,000. Tak boleh bersandar lagi kepada kuota. Dulu ada kuota. 58 bahagian mencalonkan, baru layak lawan Presiden. Tuan-tuan ingat senang nak dapat 58 bahagian? Berani 58 bahagian calon orang lain lawan Presiden? Tak ada, tak jadi, saya betul-betul menyerah nasib saya, Tan Sri Muhyiddin, Naib-Naib Presiden pada saudara-saudara sekalian untuk menentukan, ini dia UMNO. Kita kembalikan kepercayaan pada ahli supaya ahli akan menentukan dia boleh buat kerja tak boleh buat kerja. Kalau dia tak boleh buat kerja dia akan hantar signal, kami tidak mahu terus berkuasa tanpa dilihat, dinilai sebagai pemimpin yang boleh berjasa dan berbakti kepada bangsa, agama dan tanah air.

Baik, saya nak sebut sekali lagi empat tonggak utama kemenangan kita. Satu, kepimpinan nasional dengan dasarnya, dengan hala tujunya mesti diterima oleh rakyat. Kedua, kepimpinan peringkat negeri pun penting juga. Ketiga ialah parti, sama ada parti kita dalam keadaan disenangi, diterima oleh rakyat. Keempat ialah calon. Saya kata minta ‘winable candidates’ (calon boleh menang). Empat ini mesti, ingat. Dia kalau keempat-empat ini jadi positif, dia macam bah besar di Pekan, Pahang. Tuan-tuan dan puan-puan tahu bila bah besar di Pahang, Pekan? Tahu? Tak tahu? Dia jadi besar bila air turun dari hulu bertembung dengan laut air pasang, dia jadi limpahan, banjir besar. Kalau kita nak menang besar, keempat-empat ini mesti menjurus kepada yang positif. Baru kita menang besar macam bah besar di Pekan.

Jadi, kita mesti lihat dan saya cuba fikir apa dia elemen model transformasi ini agaknya? Saya tak nak kata ini Presiden punya idea atau Timbalan Presiden dan Presiden punya idea. Saya nak cantumkan dan adunkan dengan perwakilan, kerana wakil Melaka kata, kawan saya, wakil Melaka kata, percayalah kepada kami, betul tak? Betul. Saya nak percaya pada perwakilan dan ahli UMNO. Saya nak gariskan berdasarkan kepada inti pati ucapan saudara-saudari dalam perhimpunan ini. Yang pertama, nilai elemen yang pertama ialah tentukan bahawa maruah parti, kepentingan parti lebih besar, lebih tinggi daripada maruah dan kepentingan diri. Wakil Kelantan contohnya Datuk Pa ( Mustapa Mohamed) dia kata...Datuk Pa, Pengerusi Perhubungan negeri Kelantan tapi bila kita ambil keputusan lantik Tengku Razaleigh sebagai Pengarah Pilihan Raya DUN Galas, Datuk Pa jadi timbalan kepada Tengku Razaleigh, kerana apa? Kerana dia nak menang, maknanya bukan soal maruah diri, bukan soal status diri, bukan soal kepentingan diri, tapi diutamakan parti mesti menang.

Nilai elemen kedua, saya ambil dari wakil Sabah, sahabat saya juga. Dia kata bahawa dalam parti yang pentingnya apa? Bukan kumpulan tapi pasukan, team. Banyak beza kumpulan dan team. Maknanya bila ada team itu adalah pemain posisi.

Kita tahu lah bola sepak kan. Semua orang tahu macam mana kita nak menang dalam bola sepak cuma pasukan kita tak boleh menang. Itu pasukan nasional belum lagi kita bagi dia akademi apa semua. Tapi sekarang ni teruk sikit. Maknanya kita mesti ada penyerang, jangan sumbat gol sendiri. Ada orang dia skor gol sendiri. Pilihan raya ada, pilihan raya kecil ada. Ada setiausaha Bahagian bila pilihan raya tak jadi calon, pukul 10 malam dah tidur. Ada. Ada yang tak ada di kawasan pun ada. Betul tak? Betul. Tak jadi calon tak nampak muka langsung.

Kalau tidak kita menang di Manik Urai kita boleh menang betul tak? Betul. Ini belum masuk lagi bab macam Datuk Seri Shafie Apdal kata yang tak daftar banyak lagi tu bab yang daftar ni yang bentes kaki cah keting... ni yang hilangkan diri merajuk semua tu ada. Sebab itulah kita belum ada lagi ‘esprit de corp’ (semangat berpasukan) yang kuat dalam tranformasi modal ini kita mesti memperkukuhkan ‘esperit d corp’ dalam parti kita di semua peringkat.

Jangan lah kalau kerja dalam kumpulan kalau tidak ikut rentak geng atau klik kita nak cantas dia walhal dia boleh buat sumbangan pada parti..betul tak? Betul... tapi tak masuk dengan ‘klik’ kita, kita nak cantas dia. Ini jadi perangai kita. Jadi transformasi modal ini jangan pakai lagi perangai macam ni. Jangan pakai. Dia macam orkestra. Kalau orkestra ini konduktor tu sebagai pemimpin. Kalau semua tak main instrumen ikut konduktor punya ‘instruction haa rosaklah lagu pincanglah irama.

Yang ketiga saya ambil daripada perwakilan juga memenangi pemikiran hati dan jiwa rakyat. Sebab itu kita buat Program Juara Rakyat, kita nak bersifat inklusif buat program Jiwa Rakyat. Juara Rakyat ni jangan kita sama kita geng kita. Saya tahu ada satu bahagian buat kejohanan boling sesama dia tak jadi Juara Rakyat la..jadi juara boling la tapi claim (dakwa) kepada UMNO. Jangan menunjuk-nunjuk, dia kata jangan nak buat sekelip mata, tukar rumah besar kereta besar, cuma isteri tak nak besar. Ini perwakilan cakap bukan saya cakap. Jadi inilah yang mesti kita buat biar rakyat pandang, dia suka tengok pemimpin UMNO kita dapat memenangi hati pemikiran rakyat.

Yang keempat, ini zaman moden. Baru saya nak sebut ini dalam media baru kita mesti jadi juara media baru juga. Jangan puak-puak sana je. Kita mesti ada Facebook, mesti ada Twitter macam-macam mesti buat supaya kita kini “IT Savvy’ (celik IT). Sebab itu saya kata orang Melaka dulu kerajaan Melaka tumbang kepada Portugis... kenapa? Kerana dia dengan dia punya tombak, keris dan dia punya kapak, Portugis dengan meriam dia, dengan senapang, kalahlah kita. Zaman sekarang ni pakai IT, Facebook, rangkaian sosial. Kita ni mesti jadi juara rangkaian sosial ini.

Saya pun cuba walaupun tak mahir sangat, cuba, Alhamdulillah. (Ahli) Facebook saya dah setengah juta dah...Alhamdulillah setengah juta orang dah jadi ahli, Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) yang veteran pun dah mahir dah. Blogger dah...Facebook dah. Dia buat transformasi juga...kita ni tak buat transformasi apa hal?

Yang kelima, ini orang muda. Empat juta pengundi baru ini, yang lama itu dah sudah dah...dah masuk dalam kotak dah. Bakul dia dah masuk bakul UMNO, ke bakul PAS ke, dia dah masuk, dah yang baru ni yang empat juta ni, yang inilah mesti jadi sasaran kepada parti UMNO menjurus kepada Pilihan Raya Umum Ke-13. Kita nak sebab itulah bila Ketua Pemuda cadang nak buat ‘think tank’ (kumpulan pemikir), saya setuju nak buat think tank ni. Pemuda boleh buat think tank...kita bantu. Saya pun setuju. Sabah kata faham soal perut mereka sebelum masukkan ideologi mereka, sebab itu lah saya buat keputusan tadi, pinjaman tu kita longgarkan syaratnya.

Yang keenam, UMNO mesti menuju sifar masalah. Boleh tak? Ada masalah lagi? Ada...dalam perhimpunan ini pun ada....ramai. Ada juga ketua Bahagian yang datang jumpa saya, ada juga Ketua Bahagian yang tulis nota nak jumpa Presiden parti masalah bahagian...sebab apa? Sebab ada dua kumpulan Bahagian yang boleh kita menang? Kerusi yang boleh kita menang saya tahu kerusi itu yang memang kita boleh menang. Jadi bila kita kalah sebab apa? Sebab UMNO tak dapat selesaikan masalah dalaman di peringkat Bahagian itu. Jadi saya mintalah kita semua ini bantu cari penyelesaian. Yang kaki hantu ada juga...yang batu api pun ada juga...Cukup..tok sah buat kerja lagi. Pencen, dipencenkan, dipersarakan, menjelang pilihan raya akan datang ini, kita tumpu menang. Kuatkan UMNO peringkat Bahagian.

Yang ketujuh, UMNO mesti dahulukan rakyat...saya sebut tadi ni penting sangat. Dahulukan rakyat, tengoklah kalau kita buat apa-apa bantuan, ini nak bagi saham FELCRA bahagian ini pun tengok lah. Anak saudara kita...anak saudara kita yang sudah jadi peguam nak dapat saham FELCRA buat apa? Bagi pada orang yang perlukan bantuan...biar UMNO dilihat parti yang adil dan inklusif, dahulukan rakyat...rakyat ‘centric’ (utamakan rakyat). Insya-Allah UMNO akan berjaya kalau kita letak rakyat yang kita dahulukan sepanjang masa.

Saudara saudari sekalian, saya sudah cuba gariskan bahawasanya transformasi politik ini amat kita perlu lakukan dan mulai tahun depan, saya dah ambil keputusan bersama-sama dengan Timbalan Presiden, kami akan turun ke negeri-negeri, kami akan berjumpa dengan UMNO dan rakyat, saya nak UMNO sediakan yang sebaik-baiknya. Sediakan lawatan untuk kami berdua ini supaya lawatan ini dapat sambutan yang cukup-cukup memberangsangkan di kalangan rakyat. Boleh tidak? Balik ni buat persiapan, kita nak tengok di negeri, saya nak belek, nak tengok ini...mahu pencenkan siapa pula? Saya sudah beritahu bahawa pada masa terdekat ini saya akan buat perubahan kepada kepemimpinan UMNO di peringkat tertentu. Moga dengan susunan yang akan datang ini, akan lengkaplah persediaan kita, saya akan runding dengan Timbalan Presiden, runding dengan Jawa, Turki dengan lanun, apa formula terbaik dan sebaik-baiknya.

Saya hendak kita bekerja kuat sebab orang Melayu dan negara tidak boleh berharap kepada orang lain melainkan UMNO saja. jadi kita turun padang dan sentiasa berada di atas padang, jadi rajin jangan malas, boleh menang kita di Galas, jangan jadi batu api, boleh menang di Batu Sapi. Bersusah-susah mendaki bukit, tanah yang kontang menjadi lembah, walau berkecai bumi dan langit, hak Melayu tidak akan diubah.

Nyior gading puncak mahligai,
Ketupat pulut berisi inti,
Biar bergoncang dihentam badai,
Bahtera UMNO tak akan berhenti.


Demi Islam, demi Melayu, demi Malaysia. Assalamualaikum. Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!



No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH