Transformasi untuk kepentingan sektor awam
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm
TARIKH 8 Oktober lalu mencatat satu lagi peristiwa penting dalam era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri. Apa yang berlaku mungkin bukanlah sesuatu yang bertaraf mega atau begitu bersejarah. Tetapi ia merupakan langkah awal yang cukup bermakna dalam transformasi modal insan dan kepimpinan yang mendahulukan kepentingan awam. Pada tarikh itu, Razak School of Government (RSOG) ditubuhkan secara rasmi.
Idea penubuhan RSOG sebenarnya diilhamkan lebih awal apabila Najib pertama kali menyebut mengenainya pada pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober tahun lalu. Gagasan tersebut disambut dengan pembentukan sebuah Jawatankuasa Pemandu yang dianggotai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan. RSOG kemudiannya diperbadankan dan didaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 30 Julai lalu dengan Sidek sendiri sebagai Pengerusi Pemegang Amanahnya.
Secara keseluruhannya, RSOG bergerak dalam kerangka idea untuk melahirkan golongan ikhtisas dalam bidang pembangunan kepimpinan yang memiliki reputasi global. Institusi ini juga dirangka sebagai pemangkin bagi membentuk pemimpin masa depan negara yang berwibawa, bijaksana, berintegriti dan berkarisma.
Program yang dirangka menerusi RSOG pula merangkumi Pendidikan Kepimpinan menerusi Program Lanjutan Kepimpinan, Praktikum Perkhidmatan Awam dan Seminar Kepimpinan. Program lain termasuk Seminar Kepimpinan dan Polisi Awam, antaranya Siri Syarahan Razak, Siri Seminar Dasar-Dasar Awam, Siri Seminar Brownbag dan Dialog Kementerian. Najib sendiri pada pelancaran RSOG pada 8 Oktober lalu menjadi peserta pertama menyampaikan Siri Syarahan Razak yang bertujuan mengetengahkan para negarawan terkemuka termasuk para pemimpin dunia yang masyhur.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RSOG, Prof. Madya Dr. Hamidin Abdul Hamid, penubuhan RSOG yang diletakkan di luar kerangka kerangka dan struktur perkhidmatan awam penting bagi pusat itu berfungsi sebagai institusi penyelidikan dan latihan yang neutral serta kompetitif. Penubuhannya juga perlu dilihat sebagai satu anjakan paradigma bahawa kerajaan melalui perkhidmatan awam bersedia untuk berkonsultansi di luar ruang lingkup organisasi dan strukturnya bagi memajukan sektor perkhidmatan awam.
Malah, ia juga dilihat sebagai satu transformasi menyeluruh dalam memenuhi tuntutan rakyat dan hala tuju baru negara. RSOG juga tambah Hamidin, ditubuhkan dengan kesedaran bahawa negara akan mencapai taraf ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, sekali gus tergolong dalam kelompok negara maju. Sedangkan baki sembilan tahun bukanlah satu tempoh yang lama.
Dalam hal ini, sektor awam perlu mengalami transformasi kepimpinan dalam memenuhi keperluan rakyat yang mahukan keterbukaan, ketelusan dan bentuk perkhidmatan yang efisien. Untuk itu, RSOG diberi mandat untuk mencapai dua agenda utama dalam sesuatu transformasi iaitu kepimpinan dan pengetahuan.
''Kedua-duanya perlu digerakkan seiring dengan komitmen kerajaan dalam melahirkan modal insan yang berfikiran global tetapi berpaksikan lokal dan keadaan semasa," katanya. Menurut Hamidin, kepimpinan prihatin memberikan tempat kepada semua untuk menyumbang ke arah kebaikan sesebuah organisasi. Sumbangan seseorang ahli datang dari pelbagai sudut seperti memberikan kritikan yang membina dan dalam masa sama menerima teguran untuk meningkatkan produktiviti serta daya saing yang tinggi.
Ini kerana perubahan transformasi perkhidmatan awam bukan sahaja datang dari pihak atasan atau luaran, tetapi dari dalam organisasi itu sendiri. Dari aspek pengetahuan pula kata Hamidin, RSOG ditubuhkan di luar kerangka kerajaan supaya ia mampu meneroka pengetahuan kelas pertama dengan lebih jauh.
Ke arah itu, RSOG bersedia menjalin rangkaian dengan pelbagai institusi penyelidikan dan pendidikan bertaraf dunia agar perkongsian pengetahuan dan kepakaran dapat digiatkan. Rangkaian pengetahuan serantau dan global itu mampu menyuntik elemen pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam, seterusnya melahirkan penjawat awam yang berintelek dan berasional tinggi.
Dari sisi berbeza pula, Hamidin menambah, perkhidmatan awam adalah perkhidmatan rakyat dan ia semestinya meletakkan kepuasan rakyat sebagai matlamat utama dalam setiap kayu ukur kecemerlangan. Misi perkhidmatan awam tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk berbakti kepada rakyat dan negara serta memastikan mereka menikmati kepuasan dalam menerima perkhidmatan. Pelanggan datang dari segenap lapisan individu dalam masyarakat dan perkhidmatan awam wujud kerana wujudnya masyarakat yang memerlukan mereka untuk berkhidmat.
''Justeru, idea, sumbangan dan maklum balas malah kritikan harus datang dari segenap sudut dalam masyarakat serta mesti dialu-alukan. Dalam masa yang sama, masyarakat harus menyedari bahawa mereka juga terlibat dalam proses membangunkan negara dan harus menjadi sayap kanan untuk membantu perkhidmatan awam dalam proses transformasi kerajaan," katanya.
Dalam konteks ini tambah Hamidin, RSOG berperanan sebagai platform menghubungkan kedua-dua entiti tersebut. RSOG juga bertanggungjawab meningkatkan jaringan rakyat dan perkhidmatan awam dalam menilai prestasi perkhidmatan awam.
Ini kerana RSOG percaya betapa pentingnya penglibatan orang awam dalam bersama-sama menjayakan agenda pembangunan negara. Sektor perkhidmatan awam juga jelas Hamidin tidak boleh lagi dilihat sebagai bureakratik dan berhierarki.
Suatu pembaharuan menuntut agar kepimpinan tidak lagi didasari oleh seorang pemimpin senior yang dikelilingi oleh para pengikut. Kepimpinan kini bukan lagi didasari oleh pangkat dan kuasa tetapi lebih daripada itu. Kejayaan mutlak sesebuah kepimpinan bergantung kepada kebolehan seseorang menggerakkan organisasi secara efektif, bersama-sama membawa perubahan dan mencapai matlamat.
Berbekalkan kepercayaan sesama ahli dan pemimpin, semua pihak harus diberi tanggungjawab untuk membawa sesebuah organisasi ke tahap yang lebih baik. Kepimpinan alaf baru kini memfokus ke arah melakukan perubahan dan membawa ahli ke arah perubahan. .
Justeru, perubahan positif tidak akan berlaku sekiranya hanya wujud seorang pemimpin yang berkaliber di dalam sebuah organisasi dan bukannya kepimpinan menyeluruh yang melibatkan setiap ahlinya. Kedua-duanya, pemimpin dan ahli, harus bergerak sejajar dan saling memerlukan antara satu sama lain.
RSOG ditubuhkan atas kesedaran pentingnya sebuah institusi baru sebagai mekanisme dalam menghubungkan semua peringkat dalam perkhidmatan awam. Ia bertujuan mengenal pasti kelemahan dan membina kekuatan perkhidmatan awam terutamanya dari segi kepimpinan.
Pada masa yang sama, RSOG juga akan memainkan peranan penting menghubungkan Perkhidmatan Awam dengan dunia luar terutamanya dalam pembentukan kepimpinan, pemimpin, serta penerokaan ilmu. ''Sewajarnya kita bukan sahaja perlu bersedia untuk berubah tetapi bertransformasi dengan perubahan. Ini bagi memastikan negara kekal berada di landasan yang betul dalam memenuhi impian dan hasrat rakyat menjelang tahun 2020," kata Hamidin.
No comments:
Post a Comment