Thursday, March 31, 2011

TINGKATKAN EKONOMI MELAYU

Bertindak susun semula ekonomi Melayu


Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Laporan yang menyatakan saham milik syarikat-syarikat bumiputera di negara ini cuma tinggal RM2 bilion yang pada asalnya diperuntukkan sejumlah RM54 bilion sewajarnya menyedarkan keseluruhan kaum bumiputera. Isu ini perlu dikaji sedalam-dalamnya bagi mencari satu penyelesaian holistik bagi menyusun semula ekonomi kaum bumiputera dan melayu.

Mungkin ada kebenaran di sebalik ingatan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di Jitra, Kedah pada awal bulan ini. Beliau mengingatkan usahawan Melayu supaya cekap mengurus wang kerana inilah faktor utama kegagalan usahawan Melayu meskipun pelbagai bantuan diberikan kerajaan kepada mereka.

Hakikatnya, bijak mengurus kewangan adalah kunci utama kejayaan sesebuah perniagaan. Tanyalah mana-mana tokoh perniagaan yang bukan berbangsa bumiputera, nescaya jawapan mereka tidak lain tidak bukan ialah mesti cekap mengurus kewangan syarikat.

Apabila tidak dapat mengurus kewangan dengan bijak, perniagaan akan mengalami kerugian dan akhirnya terpaksalah menjual saham milik bumiputera kepada bukan bumiputera.

Cukup malang jika perkara ini terjadi. Sepatutnya saham milik bumiputera semakin meningkat. Peluang yang diberikan sewajarnya digunakan sebaik mungkin. Bukannya akhirnya jatuh ke tangan orang lain. Jika ini berulang kali terjadi sampai bila pun ekonomi bumiputera tidak dapat berada pada paras yang setanding dengan kaum lain.

Itu baru memperkatakan mengenai saham-saham milik bumiputera. Bagaimana pula dengan hartanah yang dijual kepada kaum lain sedangkan hartanah tersebut merupakan warisan turun-menurun. Hartanah tersebut dijual semata-mata untuk mengaut keuntungan jangka masa pendek, walhal keuntungan jangka masa panjang dinikmati oleh orang lain.

Orang lain membeli tanah daripada kaum bumiputera untuk membangunkan hartanah bernilai tinggi bagi mendapatkan keuntungan jangka masa panjang. Umpamanya, membangunkan kilang-kilang milik mereka, pusat perniagaan, kondominium mewah dan kawasan perumahan yang sukar dibeli oleh kaum bumiputera itu sendiri.

Perkara ini nampak ketara apabila hanya segelintir sahaja kaum bumiputera yang mampu memiliki hartanah bernilai tinggi dan selesa di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Majoriti kaum bumiputera tinggal di pinggir-pinggir bandar dan tinggal di rumah yang berharga di bawah RM300,000 ke bawah. Rumah yang diduduki pula kurang selesa, manakala persekitarannya pula tidak begitu baik untuk pembelajaran anak- anak.

Hal ini perlu ditangani segera dengan melaksanakan pelbagai strategi. Pertama, kaum bumiputera perlu dilatih agar bijak mengurus kewangan terutamanya usahawan-usahawan muda.

Antara caranya, mewajibkan mana-mana usahawan-usahawan muda yang ingin memulakan perniagaan menjalani latihan kewangan di mana-mana perniagaan yang ditaja oleh agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Mara.

Selain itu, meramaikan lagi kaum bumiputera yang mahir dalam bidang kewangan. Caranya ialah dengan meningkatkan bilangan pelajar bumiputera yang mengambil kursus perakaunan dan kewangan. Kalau kita lihat pada masa kini, bilangan kaum bumiputera yang memasuki bidang ini masih rendah berbanding kaum bukan bumiputera.

Pendekatan sebegini amatlah penting kerana kalau kita kaji, rata-rata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terkenal, berjaya dan mempunyai kewangan yang kukuh seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank dan Khazanah Nasional Berhad diketuai oleh golongan yang mahir dalam bidang kewangan.

Kedua, dari segi hartanah. Satu dasar berkaitan hartanah yang lebih jelas perlu dilaksanakan agar tanah-tanah milik bumiputera tidak terlepas ke tangan orang lain. Selalu terjadi tanah-tanah yang pada asalnya milik bumiputera terpaksa dijual secara keseluruhannya apabila sebahagian pemilik telah menjualnya, maka, mahu tidak mahu pemilik lain yang pada awalnya tidak mahu menjual terpaksa menjualnya kepada orang lain.

Selain itu, tanah-tanah milik bumiputera yang tidak dibangunkan perlu dibangunkan seperti tanah wakaf dan tanah terbiar. Antara bidang yang boleh dibangunkan secara besar-besaran ialah pertanian selain daripada membangunkan bangunan bagi tujuan komersial.

Dengan cara ini, kaum bumiputera akan menguasai keseluruhan rantaian nilai bermula sebagai pengilang dan pengeluar sehinggalah penjual. Di sini, teknologi terkini mestilah diterapkan di kalangan usahawan bumiputera.

Ketiga, menggembleng kekuatan usahawan-usahawan bumiputera yang telah berjaya agar membantu usahawan-usahawan baru dari segenap segi. Usahawan-usahawan bumiputera yang telah berjaya perlu mempunyai satu pemikiran dan tindakan bahawa kejayaan usahawan-usahawan baru akan meneruskan usaha-usaha mereka selama ini, seterusnya memberi manfaat kepada anak cucu-cicit dalam tempoh jangka masa panjang.

Begitu juga, janganlah dijual saham-saham dan syarikat-syarikat milik bumiputera semata-mata menginginkan keuntungan jangka masa pendek. Pemikiran yang hanya menginginkan keuntungan jangka masa pendek tanpa memikirkan masa depan kaum bumiputera secara keseluruhannya akan merugikan kaum bumiputera itu sendiri dalam tempoh jangka masa panjang.

Dengan cara ini sahajalah, ekonomi kaum bumiputera dapat dipertingkatkan pada tahap yang setanding dengan kaum bukan bumiputera.

1 comment:

KUALA LIPIS BERSEJARAH