Tuesday, March 8, 2011

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN VS PERLEMBAGAAN RAKYAT???



Isu perkauman boleh jejas kestabilan negara


2011/03/08

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Isuperkaumanbolehjejaskestabilannegara/Article

Perlembagaan wajar dijadikan paksi kekalkan perpaduan

DI dalam titah pembukaan penggal keempat Parlimen ke-12 semalam, Yang di-Pertuan Agong menyuarakan perhatian mengenai kecenderungan sesetengah pihak membincangkan isu sensitif seperti perkauman. Saya berasa pilu mengingatkan kebimbangan ketua negara mengenai kestabilan negara setelah banyak insiden perkauman berlaku di negara ini.

Secara peribadi saya mengambil titah Yang di-Pertuan Agong sebagai peringatan untuk diri sendiri dan saya catatkan perasaan dan fikiran di ruangan ini untuk dikongsi dengan pembaca.

Seperti yang kita semua maklum titah ucapan seperti ini bukan perkara baru untuk masyarakat Malaysia. Sudah banyak kali peringatan dan titah sebegini kita dengar daripada ketua negara. Ini menunjukkan persoalan berkaitan perkauman adalah sesuatu yang amat dibimbangi baginda.

Walaupun peringatan dan keprihatinan seumpama ini sering kita dengar, ada yang tidak mengambil perhatian dan ia seumpama mencurah air ke daun keladi – berlalu begitu saja tanpa sebarang kesan. Ia memang mengecewakan apabila persoalan berkaitan perkauman sentiasa berkumandang atau ketika ia disusuli dengan perlakuan melampau.

Adakalanya sebagai rakyat, pemerhati dan ahli akademik dalam bidang undang-undang Perlembagaan, saya berasa rimas dan bimbang. Rimas saya maksudkan sebagai perasaan yang tidak nyaman, tidak enak dan gelisah hati. Perasaan ini datang ke hati saya kerana isu perkauman sebenarnya amat berbahaya kepada negara. Ia seolah-olah mencabar kedudukan kaum yang terbabit.

Saya percaya, perasaan ini bukan saja menimpa saya seorang. Saya pasti semua warga negara yang bertanggungjawab akan berasa rimas seperti apa yang saya rasakan.

Saya tidak nafikan bahawa kita tidak dapat mengelak membincangkan perkara berkaitan hubungan antara kaum kerana ia seumpama ‘makanan ruji’ kita. Ini kerana keadaan fabrik masyarakat kita adalah berdasarkan kaum. Itu sudah terang dan nyata.

Ada ketikanya kita perlu menyebut mengenai perkara berkaitan perkauman kerana ia akan menambahkan rasa kefahaman antara kaum. Tetapi perkembangan semasa (mungkin dalam dekad kebelakangan ini) pendekatan mengenai perkara berkaitan perkauman menyerlah lebih keburukan daripada kebaikan kepada hubungan dan integrasi kaum. Ini yang membuatkan saya berasa tidak enak dan tidak nyaman.

Dalam banyak keadaan saya sentiasa berfikir dan menilai beberapa teori. Kenapa kita tidak boleh menerima dan menggunakan apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan sebagai kayu pengukur? Kenapa kita tidak boleh berpaksikan kepada Perlembagaan? Adakah kita terfikir bahawa Perlembagaan telah merangka satu sistem yang baik untuk kita dukung dan menerimanya sebaik mungkin? Atau adakah (atas apa jua alasan) kita tidak dapat menerima seruan yang dibuat Perlembagaan?

Sekiranya kita tatap dan hayati peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kita dapati beberapa prinsip yang mengikat sistem dan cara hidup kita di negara ini. Kita mestilah menerima konsep ketinggian Perlembagaan sepenuhnya. Kita hormati prinsip yang ada.

Sebagai contoh, hak keistimewaan kaum Melayu tidak perlu dipersoalkan lagi. Kedudukannya terserlah di dalam Perlembagaan. Dalam tahun kebelakangan (terutama tahun lalu) kita menyaksikan banyak persoalan ditimbulkan mengenai isu ini.

Sekiranya perkara ini dipersoalkan dengan cara provokasi dan menghentam, ia sudah pasti mengundang perasaan tidak puas hati orang Melayu. Melayu akan mula mempertahankan kedudukan mereka. Ini tindakan normal. Ketika melakukan tindakan itu, sudah tentu Melayu akan menimbulkan perkara berkaitan pengorbanan mereka kepada tanah air mereka. Melayu akan mempertahan kedudukan mereka menurut Perlembagaan. Dalam keadaan ini ramai yang melihat Melayu menjadi juara perkauman. Melayu juga telah banyak dipersalahkan kerana mempertahankan kedudukannya di dalam Perlembagaan.

Amat benar, perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity), sangat perlu untuk kita amalkan dalam menjalani kehidupan di negara yang mempunyai fabrik masyarakat seperti Malaysia. Cadangan sesetengah pihak untuk memadamkan atau memansuhkan ruangan ‘kaum’ atau ‘bangsa’ dalam borang di jabatan kerajaan adalah antara perkara baru yang boleh menjurus kepada satu lagi perdebatan perkauman.

Saya terfikir, kenapa cadangan sedemikian dibuat. Apa yang lahir di dalam pemikiran saya ialah, ini mungkin didorong perasaan kurang mempercayai prinsip perpaduan di dalam kepelbagaian. Ia kurang rasa hormat kepada prinsip nyata di dalam Perlembagaan. Ini tidak harus berlaku dalam masyarakat matang.

Identiti bangsa dalam borang ini perlu dilihat dengan kaca mata positif. Ada lebih kebaikan untuk mengenali bangsa setiap individu. Saya tidak fikir dengan meletakkan identiti bangsa akan menimbulkan prejudis. Saya fikir, masyarakat Malaysia seharusnya berfikiran lebih terbuka dan lebih matang dalam soal ini.

Selama kita mengecapi kemerdekaan, kita boleh berbangga dengan pengiktirafan dunia mengenai perpaduan kaum di negara. Kita tidak mengamalkan asimilasi yang boleh melunturkan identiti bangsa atau kaum yang ada. Inilah yang membanggakan kita di mata dunia.

Walaupun kita tidak meleburkan batang besi dalam memastikan penyatuan atau perpaduan, kita ikat batang besi itu menggunakan ikatan yang kukuh supaya ia tidak terlerai. Maksudnya ialah sistem Perlembagaan dan pemerintahan negara tidak memaksa mana-mana kaum melunturkan atau meleburkan identiti mereka. Malah, semua kaum digalak mengekalkan atau menyerlah identiti masing-masing. Adakalanya kaum lain turut terpengaruh dengan identiti kaum lain dan ini membanggakan kita. Semoga tiada lagi insiden cabar-mencabar antara kaum di negara ini dan kita dapat hidup tanpa rasa rimas, kecewa dan bimbang.


Penulis ialah Penolong Profesor di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH