Tuesday, August 31, 2010

MERDEKA !, MERDEKA !, MERDEKA !



53 Tahun Merdeka. Jangan Lagi Pertikai Hak Istimewa Melayu!


Oleh: ROPIKAH AHMAD

http://umno-online.com/?p=19725


TANGGAL 31 Ogos genaplah 53 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Kejayaan menumbangkan Malayan Union adalah perjuangan awal bangsa ke arah kebebasan seterusnya kepada gerakan mencapai kemerdekaan. Keputusan memperjuangkan kemerdekaan secara aman yang tidak melibatkan keganasan dan pertumpahan darah terbukti telah membuahkan hasil yang positif.

Memetik kata-kata Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, “kita berjuang bersungguh-sungguh bukan sekadar berpolitik untuk memberi tempat atau kedudukan.”
Berdasarkan kata-kata azimat tersebut, jelas bahawa perjuangan UMNO bukanlah sekadar mendapatkan kuasa untuk memerintah semata-mata sebaliknya ia mendukung tanggungjawab mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Kemerdekaan yang dicapai tetap dipelihara selaras dengan matlamat perpaduan antara kaum yang telah dimetrai rapi, disimpul mati dengan harapan tiada perselisihan yang akan berlaku dan tiada sengketa akan tercetus walaupun Malaysia memiliki warga pelbagai kaum.
Atas kesedaran ini maka hak dan keistimewaan orang Melayu dipelihara dan kontrak sosial diikat. Dalam menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, dasar untuk melindungi masa depan orang Melayu sebagai kaum peribumi dijadikan sebagai perkara utama.

Persetujuan ke atas Perlembagaan Persekutuan diperoleh berdasarkan kepada kerukunan diantara kaum termasuklah rakan-rakan bukan Melayu yang lain dan bukan dibuat secara sewenang-wenangnya malah ketika pembentukannya semua kaum mengakui hak istimewa bagi bangsa Melayu. Justeru, ia tidak boleh dipertikaikan!

Menyusur semula perundingan berkaitan kemerdekaan, pada 23 Ogos 1955, satu memorandum untuk mendapatkan kemerdekaan telah dihantar oleh Tunku kepada Lennox Royd, Setiausaha Tanah Jajahan yang baru sewaktu persidangan Majlis Undangan Persekutuan. Boyd telah datang ke Tanah Melayu untuk menyaksikan perkembangan politik ketika itu. Memorandum itu mengandungi dua permintaan penting:

1. Pemberian kemerdekaan secepat yang mungkin.
2. Perlantikan suruhanjaya bebas bagi membentuk draf perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka.

Sejajar dengan itu, pada 29 September 1955 melalui Persidangan Raja-raja Melayu yang bertujuan untuk mendapatkan persetujuan mengenai perubahan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah berlangsung di Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Persekutuan Tanah Melayu dan juga Ketua Menteri Kerajaan Perikatan Tunku Abdul Rahman.

Persidangan ini memutuskan bahawa ketiga-tiga pihak yang akan mengadakan rundingan berkaitan perubahan Perlembagaan Persekutuan ialah Raja-raja Melayu, pihak Kerajaan Baginda Queen dan pihak Kerajaan Perikatan. Raja-raja Melayu telah melantik wakil-wakil baginda bagi menghadiri persidangan itu.

Hasilnya perjanjian kemerdekaan telah ditandatangani di Lancester House, London pada 8 Februari 1956. Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri Tanah Melayu menandatangani bagi pihak Persekutuan Tanah Melayu dan Mr. Alan Lennox Boyd, Setiausaha Negara dan tarikh 31 Ogos bagi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Berikutan persetujuan tersebut, sebuah suruhanjaya bebas yang diketuai oleh Lord Reid dibentuk bagi menyediakan draf perlembagaan Tanah Melayu merdeka. Anggota-anggota suruhanjaya yang lain termasuk Ivor Jennings sebagai wakil British, Sir William McKell wakil Australia, B. Malik wakil India dan Hakim Abdul Hamid wakil Pakistan.

Sebagai cadangan kepada Suruhanjaya Reid, Perikatan secara bersama mengemukakan satu memorandum yang mengandungi perkara-perkara berikut:

• Pemberian sejumlah jawatan berpatutan kepada orang-orang Melayu dalam pentadbiran awam, permit perniagaan, biasiswa kerajaan untuk pendidikan dan lain-lain faedah.
• Bahasa Melayu dan Inggeris diterima sebagai bahasa rasmi. Islam sebagai agama rasmi tanpa menyekat kebebasan beragama lain.
• Prinsip jus soli bagi kerakyatan untuk mereka yang lahir selepas merdeka ditetapkan.
• Bukan rakyat berumur 18 tahun ke atas, tetapi lahir di dalam negara dan telah menetap selama lima daripada tujuh tahun yang berakhir diterima menjadi rakyat tetapi mesti boleh bertutur bahasa Melayu. Mereka yang lahir di luar negara mesti memohon menjadi rakyat jika telah bermastautin selama lapan tahun dari 12 tahun yang terakhir.

Memorandum ini telah diserah kepada Suruhanjaya Reid. Selain memorandum Perikatan, 130 memorandum lain turut dihantar oleh persatuan-persatuan, parti-parti politik dan orang perseorangan.

Pada 7 Februari 1957, syor-syor Suruhanjaya tersebut telah disebarkan kepada umum dengan sebahagian besar kandungannya diambil dari memorandum Perikatan. Orang Melayu khasnya menyatakan tentangan dalam perkara-perkara seperti berikut:

1. Dasar jus soli kepada semua rakyat yang lahir selepas merdeka.
2. Kedudukan istimewa orang Melayu yang dihadkan kepada 15 tahun.
3. Perlaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selepas 10 tahun Merdeka.
Manakala orang-orang bukan Melayu pula di kalangan Cina di luar MCA mahukan bahasa Cina sebagai bahasa rasmi dan sekolah Cina sebagai sekolah kebangsaan.

Lantaran itu, bagi membincangkan laporan Suruhanjaya Reid yang sesetengah cadangannya membelakangkan kepentingan orang-orang Melayu, pucuk pimpinan parti telah mengambil kira pandangan-pandangan mereka itu dan membawanya kepada Jawatankuasa Kerja (working party) yang dibentuk oleh Kerajaan pada 28 Mac 1957.

Bagi menyatakan tentangan terhadap syor-syor Suruhanjaya Reid, Tunku telah berlepas sekali lagi ke London bersama Tun Abdul Razak, Ong Yoke Lin, VT Sambanthan dan wakil Raja-Raja Melayu pada 9 Mei 1957 untuk rundingan kemerdekaan yang terakhir dengan Kerajaan British.
Beberapa pindaan telah dibuat demi membantu mengemaskan Rang Undang-undang Perlembagaan Suruhanjaya Reid dan menubuhkan sebuah Perlembagaan yang memuaskan hati rakyat. Antara pindaan yang dibuat:

1. Tiada had 15 tahun bagi hak-hak istimewa orang Melayu.
2. Demi perpaduan kaum, kelonggaran selama satu tahun selepas merdeka bagi orang bukan Melayu untuk memohon menjadi rakyat tanpa syarat pengetahuan Bahasa Melayu diberikan.

Selaras dengan perkembangan tersebut, Perhimpunan Agung UMNO yang bersidang pada 30 Jun 1957 sebulat suara menerima Kertas Putih sebagai rangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang meliputi Perlembagaan Negeri-negeri Melaka dan Pulau Pinang. Ianya telah dibincangkan dalam perhimpunan ini sebelum diterbitkan di Persekutuan Tanah Melayu dan di London pada 2 Julai 1957.

Antara perkara-perkara yang terkandung dalam rangka Perlembagaan tersebut ialah:

1. Kerakyatan melalui pendaftaran adalah dengan syarat bahawa mereka yang terlibat hendaklah membatalkan taat setia mereka kepada negara-negara lain. Ini adalah satu cara yang lebih berkesan bagi kerajaan memberi kerakyatan supaya dapat memastikan taat setia rakyat kepada negara.
2. Perlembagaan ini akan memberi kuasa khas kepada Parlimen untuk mengeluarkan undang-undang subversif.
3. DYMM Yang di-Pertuan Agong melalui Perlembagaan diberi kuasa mengisytiharkan darurat apabila Baginda memikirkan bahawa keadaan yang wujud mengancam keselamatan negara. Ancaman keselamatan negara boleh berupa serangan dari kuasa luar atau huru-hara dalam negeri.
4. DYMM Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab melindungi hak istimewa bangsa Melayu di samping melindungi kepentingan kaum-kaum yang lain di negara ini.
5. Agama Islam menjadi Agama Rasmi Persekutuan Tanah Melayu. Agama-agama lain boleh dianuti dalam keadaan yang aman damai tetapi undang-undang negeri akan mengawal propaganda penyebaran agama-agama lain di kalangan umat Islam di negara ini.
6. Di Melaka dan Pulau Pinang, DYMM Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Hal Ehwal Agama Islam oleh kerana kemungkinan Gabenor Melaka dan Pulau Pinang tidak beragama Islam.
7. Tidak akan dilarang penggunaan dan pengajaran bahasa-bahasa lain/asing di negara ini.
8. Ahli Dewan Senat akan ditambah dari 11 orang kepada 16 orang ahli yang dicalonkan dan 22 orang ahli yang dilantik.
9. Perdana Menteri, Gabenor Melaka dan Gabenor Pulau Pinang serta semua Menteri Besar mestilah warganegara asli negara ini iaitu bukan warganegara melalui pendaftaran.

Semasa perundingan di antara pemimpin-pemimpin kaum, persetujuan telah dicapai bagi melanjutkan hak-hak keistimewaan Melayu seperti yang terkandung dalam Memorandum Perikatan.

Berdasarkan memorandum ini, pemimpin-pemimpin bukan Melayu bersedia menerimanya kerana kedudukan orang Melayu dalam ekonomi dan pendidikan jauh ketinggalan.

Berkaitan dengan persetujuan tersebut maka lahirlah Fasal 153 dalam Perlembagaan yang memperincikan peruntukan yang berkaitan. Justeru, orang Melayu diberi keutamaan dalam empat lapangan iaitu tanah simpanan, kuota untuk penerimaan ke dalam perkhidmatan awam, kuota dalam pengeluaran permit dan lessen untuk menjalankan perniagaan-perniagaan tertentu dan keutamaan yang berhubung dengan dana pelajaran dan bentuk-bentuk bantuan lain bagi maksud pendidikan.

Namun demikian, malangnya hak-hak keistimewaan dan konsep ketuanan Melayu tersebut seringkali dimanipulasi dan dijadikan sebagai isu propaganda kepada sesetengah pihak khususnya pembangkang yang tidak senang dengan kesejahteraan dan perpaduan masyarakat.
Perlu difahami bahawa kontrak sosial yang termaktub tersebut ialah persefahaman dan perjanjian tak bertulis antara masyarakat Melayu dengan masyarakat bukan Melayu pada awal pembentukan negara ini ketika mencapai Kemerdekaan pada tahun 1957.

Sebahagian daripada kontrak sosial itu dikatakan telah dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang bertulis yang tidak boleh dipinda tanpa majoriti dua pertiga di Parlimen. Manakala sebahagian lagi kontrak sosial itu wujud dalam bentuk tidak bertulis, semacam konvensyen dalam tradisi British yang tidak mempunyai perlembagaan bertulisnya.

Menerusi Perlembagaan juga telah menetapkan bahawa Perkara 152 meletakkan bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu.

Hak dan keistimewaan orang Melayu tidak boleh diketepikan malah ia akan berkekalan sebagaimana yang telah terkandung dalam Perlembagaan.

Persetujuan ke atas Perlembagaan Persekutuan diperoleh berdasarkan kepada kerukunan diantara kaum termasuklah rakan-rakan bukan Melayu yang lain dan bukan dibuat secara sewenang-wenangnya malah ketika pembentukannya semua kaum mengakui hak istimewa bagi bangsa Melayu. Justeru, ia tidak boleh dipertikaikan!

– MediaUMNO

Wednesday, August 25, 2010

MERDEKA KE 53 TAHUN


Merdeka Tak Boleh Dijual Untuk Kepentingan Diri -Aziz


Oleh Ropikah Ahmad

http://umno-online.com/?p=19023


KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Tokoh veteran UMNO, Tan Sri Aziz Tapa menyatakan kebanggaan beliau terhadap kemajuan yang telah dicapai negara hasil daripada perjuangan UMNO sebagai sebuah parti keramat yang berjaya mengumpulkan semua pertubuhan Melayu bagi mengusir penjajah.

Menurut beliau, kejayaan yang dicapai negara hari ini adalah hasil kesungguhan yang tidak berbelah bahagi para pejuang UMNO yang enggan menggadaikan negara demi kepentingan peribadi.

“Saya gembira kerana masih berkesempatan melihat kejayaan negara dan mengecapi nikmat kemerdekaan seperti yang kita rasai hari ini, “ kata beliau kepada umno-online.com.

Abdul Aziz Tapa kini menjangkau 87 tahun tetapi usia beliau yang lanjut tidak sedikit pun menghakis semangat kebangsaan dalam jiwanya.

“Sebagai negara yang pernah dijajah, kita bertuah kerana nikmat yang kita kecapi hari ini sedangkan jika kita bandingkan suasana di sekeliling kita hari ini amat jauh berbeza dengan apa yang ada 53 tahun lalu,” katanya.

Ujar beliau, jika dahulu rumah-rumah yang ada robak-rabik tetapi sekarang sudah tersergam rumah batu dan bandarnya pula telah dihiasi dengan pelbagai bangunan tinggi menjulang.

“Penjajah berada di Tanah Melayu sejak 1800 lagi hinggalah merdeka tetapi tidak ada kemajuan yang diberikan selain hasil bumi kita dari perlombongan dan estet getah di bawa balik ke negara mereka, sedangkan baru sahaja lebih 50 tahun kita merdeka pelbagai pembangunan dan pemodenan dapat diwujudkan untuk semua masyarakat,” tegas beliau.

Beliau mula membabitkan diri dalam dunia politik dengan menyertai Pergerakan Melayu Semenanjung Johor (PMSJ) Cawangan Jasin pada 1945 yang pada masa itu dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar.

Penglibatan beliau bermula sebagai timbalan ketua barisan muda di Jasin dan apabila Datuk Onn mengasaskan UMNO, beliau turut menganggotainya.

Beliau turut menyumbang tenaga bersama-sama pemimpin UMNO yang lain untuk menggagalkan konsep pemerintahan Malayan Union yang diutarakan oleh penjajah Inggeris.

Tambah beliau, nilai kemajuan yang ada dapat dilihat jelas menerusi generasi pelapis dalam setiap bangsa yang membuktikan kesungguhan kerajaan menjana dan melakukan pembangunan berteraskan keadilan.

“Kalau dulu golongan Sikh dikenali jaga lembu, India kerja di estet-estet, Melayu jadi petani di kampung-kampung dan orang Cina ada di lombong-lombong, tapi hari ini ramai yang sudah menjadi golongan profesional malah menjadi antara jutawan terkaya di Malaysia dan Asia juga,” ujarnya.

Namun demikian, beliau melahirkan rasa terkilan terhadap kegagalan segelintir generasi muda yang gagal menyerap arus pembangunan hinggakan tergelincir ke kancah kehidupan sosial negatif.

“Anak muda hari ini terlibat dengan dadah, mat rempit, kes buang bayi dan macam-macam lagi sedangkan dari aspek fizikalnya kemudahan persekolahan dari sekolah kebangsaan dan agama dititikberatkan dan jika dibandingkan dengan zaman sebelum merdeka amat jauh bezanya.”

Justeru, beliau menyeru semua lapisan masyarakat khususnya golongan belia agar menghargai kesejahteraan dan keamanan yang dikecapi dengan menganggap negara ini sebagai tempat untuk kehidupan berterusan, dari kecil hingga dewasa dan juga pewaris akan datang.

“Kerana itulah, kita kena ikut dan patuhi setiap peraturan dan juga undang-undang berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.

Sebagai pesanan kepada generasi muda, beliau memberikan serangkap pantun yang berbunyi:

Dari Melaka pergi ke Deli;
Di pasar seberang ayam berlaga,
Merdeka tak boleh dijual beli;
Bukan barang untuk niaga.

-MediaUMNO

Monday, August 23, 2010

MAJLIS BERBUKA PUASA


PROGRAM JUARA RAKYAT UMNO BAHAGIAN LIPIS 2010



YB Dato' / YH Dato' / Tuan / Puan dijemput hadir ke majlis-majlis pada ketetapan yang berikut;



1. Tarikh : 23/08/2010 (Isnin)

Tempat : Surau Taman Muhibbah (DUN CEKA)


2. Tarikh : 24/08/2010 (Selasa)

Tempat : Masjid Kg. Telang (DUN PADANG TENGKU)


3. Tarikh : 26/08/2010 (Khamis)

Tempat : Masjid Kg. Relong (DUN PADANG TENGKU)


4. Tarikh : 28/08/2010 (Sabtu)

Tempat : Masjid Kg. Tualang Padang (DUN BENTA)


5. Tarikh : 31/08/2010 (Selasa)

Tempat : Masjid Kg. Sungai Damak (DUN BENTA)


6. Tarikh : 04/09/2010 (Sabtu)

Tempat : Masjid kg. Mela (DUN CEKA)


7. Tarikh : 06/09/2010 (Isnin)

Tempat : Masjid Kg. Sg. Temau (DUN PADANG TENGKU)



Atur Cara Majlis di setiap tarikh dan tempat:

6.00 ptg. - Ziarah dan Penyampaian Hamper kepada Orang Miskin
oleh YB. Dato' Ketua Bahagian

- Majlis Berbuka Puasa

- Solat Maghrib dan Tahlil.


" Kehadiran semua AJK Bahagian amatlah diharapkan dan dihargai"


Thursday, August 19, 2010

ANDAKAH SI KITOL DAN RAJA MENDELIAR ?


Gurindam 13 resolusi MCA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

Alamak MCA buat hal lagi
Kali ini dengan 13 resolusi
Kuota 30 peratus minta dihapusi
Sekolah Cina hendak ditambah lagi

Minyak dan Gas juga minta dibukakan

Dari huluan sehingga hiliran

Kononnya industri sudah tinggi kedudukan

Sedangkan Melayu masih ketinggalan

GLC juga jadi sasaran

Permintaannya yang bukan-bukan

Ke dalam Lembaga Pengarah perlu dimuatkan

Bukan bumiputera demi kesaksamaan

Di sektor swasta tidak pula dibangkitkan

Melayu dilantik sebagai perhiasan

Kalau yang bekerja peluang disisihkan

Kepada yang memohon Mandarin diperlukan

Satu lagi tuntutan tentang liberalisasi

Apa yang ada tidak mencukupi

Mana bidang yang belum dibuka lagi

Patut dibuka jangan tangguh-tangguh lagi

Tender juga harus terbuka

Walaupun bahan binaan dah kuasa mereka

Projek mereka tak mahu bagi kita

Lama-lama isi ke dia, kuah ke kita

Bila biasiswa diberikan kepada semua 9A

Gembira mereka tidak terkata

Mereka lupa beza pelajar di bandar dengan di desa

Alamat yang di kampong ketinggalanlah nampaknya

Jangan kita nak tolak tepi

Amaran MCA nak kerjasama dengan DAP

Jangan-jangan nak ajak juga PAP

Sebab mereka tahu perpaduan UMNO-Pas tak boleh jadi

Kadang-kadang kita pun hairan

Dalam semua bidang Melayu ketinggalan

Rancangan Malaysia pertama hingga kesembilan

Tidak kurang satu trilion sudah dibelanjakan

Cuba kita tanya siapa yang menguasai kekayaan

Sejak 45 tahun Rancangan Malaysia diperkenalkan

Bumiputera hanya miliki 21.9

Itu tak kira hartanah dan tabung simpanan

Ada yang kata FDI jatuh pasal DEB

Sedangkan tiada perubahan dalam industri

Mesin lama dipakai lagi

Sedangkan orang dah pergi ke teknologi tinggi

80 peratus tenaga kerja lulusan SPM

Yang mahir hanya suku bahagian

Sektor swasta juga buat kesalahan

Tidak ada rancangan latihan kemahiran

Sepuluh tahun kita tidur lena

Sejak berlakunya krisis kewangan Asia

Struktur ekonomi tidak disusun semula

Sekarang baru nak buat semua

Generasi muda pula sukar dipengaruhi

Mereka punyai pendirian sendiri

Ramai yang belajar di luar negeri

Yang tiris, bocor, rasuah semua diketahui

Walaupun dah hilang dua pertiga

Perubahan tidak lagi punyai masa

Pembangkang pun dah naik besar kepala

Apa nak tunggu hilang semua?

Walaupun MCA macam-macam retoriknya

Hanya 9 peratus masyarakat Cina yang terima

Soi Lek tak peduli apa ‘Merdeka Center’ kata

Kepada kerajaan dia akan sondol aje.

Dato’ Salleh Majid

Kuala Lumpur

Wednesday, August 18, 2010

HIDUP UMNO, HIDUP MELAYU



UMNO Tetap Pentakrif Kesatuan Melayu Berteraskan Perlembagaan Malaysia



Oleh: ROFIKAH AHMAD


http://umno-online.com/?p=18463


KUALA LUMPUR 17 Ogos – UMNO adalah satu-satunya parti yang bertunjangkan prinsip perjuangan mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara berdasarkan Perlembagaan Malaysia, kata Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri.

Beliau yang juga Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melihat bahawa pendedahan berkaitan wujudnya ‘perlembagaan baru’ yang dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Malaysia bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
“Kita perlu tegas menangani hal tersebut dan jangan terperangkap dengan agenda pihak yang sengaja mahu mengelirukan masyarakat dan menarik perhatian melalui propaganda sedemikian,” katanya.

Terang beliau kepada umno-online.com, kewujudan perlembagaan sedemikian sebenarnya bukanlah satu perkara baru tetapi mesti diambil sebagai satu manfaat untuk memperkukuh dan memperkuatkan UMNO yang mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia.
“Ketegasan mesti dinyatakan dan diluahkan agar tidak ada pihak yang mengambil mudah atau memperlekeh kedudukan UMNO itu sendiri dalam mendukung Perlembagaan Negara,” katanya.

Ujarnya, UMNO mentakrif perpaduan Melayu melalui kesatuan dalam parti itu sendiri.
“Justeru, ia mesti direalisasikan sebagai kekuatan dan soalnya bagaimana untuk mentakrif perpaduan dan kekuatan itu sendiri?

“Berdasarkan sejarah lalu, pelbagai perlembagaan telah diwujudkan yang menjadi teras dalam pentadbiran misalnya ketika zaman kolonial dan zaman pemerintahan Jepun kerana ia adalah bentuk dan acuan kerajaan yang mereka mahukan,” katanya.

Namun begitu, katanya lagi perlembagaan ini tidak kekal sebagaimana tempoh kewujudan sesebuah bentuk kerajaan itu sendiri ekoran wuudnya kerajaan baru dengan dokumen pentadbiran yang juga baru.

Tambahnya lagi, tidak mustahil jika ‘perlembagaan baru’ tersebut telah lama ada sebagaimana hasrat pakatan pembangkang yang mahukan kerajaan sendiri dengan corak pemerintahan berbeza sekiranya mereka mendapat kuasa.

“Kita lihat DAP dengan Malaysian Malaysianya, maka sudah tentu mereka ada perlembagaan sendiri sebagaimana impian mereka untuk berkerajaan. Bila pelaksanaannya bermula adalah berdasarkan kepada perlembagaan atau bentuk dokumen pentadbiran yang mereka tulis sendiri,” jelasnya.

Katanya lagi, parti PAS juga pernah mengutarakan agenda sama iaitu untuk mewujudkan perlembagaan berteraskan Islam dengan angan-angan untuk menjadi kerajaan sedangkan hakikatnya mereka tidak realistik.

“Kita lihat DAP dengan Malaysian Malaysianya, maka sudah tentu mereka ada perlembagaan sendiri sebagaimana impian mereka untuk berkerajaan. Bila pelaksanaannya bermula adalah berdasarkan kepada perlembagaan atau bentuk dokumen pentadbiran yang mereka tulis sendiri,” jelasnya.

“Kita lihat sehingga hari ini pentadbiran PAS seakan masih tercari-cari matlamat mereka kerana apa sahaja yang mahu ditimbulkan oleh pembangkang adalah berkait dengan negara idaman mereka, dan pastinya ia menjadi agenda politik dalam hasrat mengaburi masyarakat dengan stategi kempen yang mereka lakukan.”

Dalam hal ini, beliau menggesa masyarakat termasuk orang Melayu sendiri bijak membuat penilaian dan membuat keputusan bersandarkan kepada realiti sebenar yang sedia ada.
“Rakyat bukan bodoh dan tentunya akan buat keputusan setelah tahu isi kandungannya. Sekiranya ‘perlembagaan baru’ yang mahu diwujudkan oleh pihak tertentu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga agama Islam maka mana mungkin bangsa Melayu itu sendiri mahu menerimanya?” soal beliau lagi.

Tegasnya lagi, berapa banyak pun perlembagaan yang ada atau yang mahu diwujudkan oleh pembangkang maka ia akan tetap hanya sebagai taktik politik semata-mata sekiranya Perlembagaan Malaysia masih dilaksana.

“Membina perlembagaan bukan perkara mudah sebagaimana yang dilakukan oleh pakatan pembangkang. Kita jangan melatah dengan tindakan mereka sebaliknya perteguhkan langkah sendiri ibarat jika nak bersilat tahu bunga-bunganya kerana jika tersalah langkah sumbang jadinya.”

- MediaUMNO

Tuesday, August 17, 2010

1MALAYSIA VS MALAYSIAN MALAYSIA?


Resolusi mansuh ekuiti Melayu tidak 'bermoral'

Oleh Shamrahayu A Aziz

2010/08/17

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/ResolusimansuhekuitiMelayutidak_bermoral_/Article

KEISTIMEWAAN dan hak Melayu dipersoalkan lagi! Resolusi Kongres Ekonomi Cina yang berlangsung di Kuala Lumpur mencadangkan supaya 30 peratus ekuiti yang diberikan kepada Bumiputera dikurangkan secara berperingkat.

Walaupun dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan sebagai membuat rayuan kepada masyarakat Cina untuk berasa yakin bahawa pemerintahan beliau yang akan menjaga kepentingan semua kaum, termasuk kaum Cina, ucapan itu tidak singgah pada minda peserta kongres berkenaan.

Ia seolah-olah masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Begitu juga keadaan yang menimpa ucapan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mengajak kaum Cina untuk berkongsi kek ekonomi secara adil. Beliau menyatakan bahawa setiap pihak harus mendapat manfaat sewajarnya daripada pembangunan dan kekukuhan ekonomi negara ini.

Sebelum saya panjangkan pandangan dalam isu ini, perlu disebut bahawa istilah Bumiputera tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ekuiti ‘Bumiputera’ dalam konteks resolusi berkaitan ekuiti ini merujuk kepada ‘ekuiti Melayu’.

Pada saya, persoalan mengenai pengurangan ekuiti yang disediakan kepada kaum Melayu sebanyak 30 peratus ini bukanlah perkara baru yang menjadi tuntutan komuniti Cina. Namun pada saya, ia tidak perlu dan tidak sepatutnya diketengahkan dalam agenda mengukuhkan kedudukan ekonomi kaum Cina di negara ini.

Dua perkara ingin saya ketengahkan. Pertama, apakah kesan ekuiti Bumiputera ke atas kedudukan ekonomi komuniti Cina di negara ini selama ini? Dalam kata lain, adakah masyarakat Cina sudah diketepikan kedudukan mereka dalam menerajui ekonomi negara dengan wujudnya polisi berkaitan ekuiti atau, adakah Melayu betul-betul mendapat manfaat daripada peruntukan ekuiti ini dan seterusnya Melayu menjadi peneraju ekonomi negara ini. Keduanya, adakah salah, dari segi perundangan untuk kaum Bumiputera diberikan ekuiti berkenaan.

Pada saya, jawapan kepada kedua-dua soalan di atas sudah pasti begitu jelas. Hakikatnya sudah nyata. Walaupun dengan wujudnya 30 peratus ekuiti ini ekonomi masyarakat Cina masih lagi makmur dan ekonomi masyarakat Melayu masih lagi tidak setanding dengan kedudukan ekonomi komuniti Cina, apatah lagi untuk bersaing.

Kesan negatif daripada pemberian ekuiti kepada Bumiputera itu tidak menyerlah ke atas kekukuhan ekonomi komuniti Cina ini. Sejak dulu hingga kini, kehebatan dan ketinggian masyarakat Cina dalam bidang ekonomi tidak dapat dipersoalkan, walaupun diselubungi ekuiti Bumiputera berkenaan. Jika kesannya amat negatif kepada masyarakat Cina, negara tidak akan dapat menyaksikan begitu makmur sekali ekonomi masyarakat Cina di negara ini.

Adakah resolusi untuk mengurangkan peratusan ekuiti ini satu keadilan kepada Bumiputera? Atau ini menunjukkan komuniti Cina tidak mahu berkongsi kek ekonomi secara bijaksana dengan Bumiputera seperti yang disebut Presiden MCA?

Dari sudut undang-undang, masyarakat Melayu diberikan sedikit kelebihan menerusi Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kedudukan Melayu untuk diberikan suatu kuota, antara lain bagi tujuan perniagaan.

Walaupun sekiranya dipandang sekali imbas Perkara 153 adalah satu bentuk diskriminasi, ia diskriminasi yang dibenarkan (positive discrimination) atau dalam istilah lain yang lebih popular ketika ini, affirmative action.

Bagi saya, Perkara 153 ini bukan ‘tongkat’ kepada Melayu, walaupun ramai yang menganggap Perkara 153 hanya bersifat ‘membantu’ Melayu yang mungkin akan rebah sekiranya tidak ada Perkara 153. Pada saya, Perkara 153 ini menunjukkan pengiktirafan undang-undang tertinggi negara kepada orang Melayu dan bukannya tongkat.

Perkara 153 ini juga pada saya adalah asas untuk sebarang pendekatan yang diambil oleh kerajaan untuk menjaga kelangsungan keadilan ekonomi Melayu.

Lebih-lebih lagi apabila sebarang dasar yang disandarkan kepada Perkara 153 ini, sekiranya perlu diubah, harus dirujuk kepada Majlis Raja-Raja, seperti yang termaktub di bawah Perkara 38(5) Perlembagaan Persekutuan. Keadaan ini menambahkan lagi kepentingan kedudukan keistimewaan Melayu di dalam Perlembagaan.

Pada saya pertanyaan atau persoalan berkaitan hak Melayu ini amat tidak ‘bermoral’ dalam amalan sistem Perlembagaan. Namun, sekiranya dilihat dari sudut peruntukan undang-undang jenayah, perbuatan seperti ini adalah satu hasutan yang membolehkan pendakwaan dilakukan.

Walauapapun pada pendapat saya, masyarakat Melayu, terutama pemimpin Melayu harus sedar bahawa tuntutan seperti ini adalah bertentangan dengan prinsip dan semangat Perlembagaan berkaitan kedudukan Melayu. Oleh itu, pemimpin Melayu tidak perlu menjadi terlalu berdiplomasi atau apologetik dalam menangani isu berkaitan kedudukan Melayu.

Semangat peruntukan Perlembagaan ini ialah untuk mengiktiraf kedudukan Melayu di negara ini. Ia juga amat jelas di dalam sejarah Tanah Melayu. Tugas dan tanggungjawab ini harus dipikul oleh kepemimpinan supaya pemimpin Melayu tidak lagi dituduh menjadi penyebab kepada kemunduran atau ‘kelayuan’ Melayu di tanah air sendiri.

Perkara 153 juga pada saya, adalah sebagai simbol keadilan kepada semua bangsa di negara ini. Apa yang penting di negara ini ialah keadilan, bukannya kesamarataan. Ini harus dihayati sepenuhnya oleh kepemimpinan negara.

Penyediaan sejumlah tertentu ekuiti kepada Melayu bukanlah bermakna menolak hak kaum lain dan ini jelas terbukti dengan kejayaan dan kemakmuran ekonomi masyarakat Cina di negara ini. Selain itu, keistimewaan Melayu mendapat pengiktirafan Perlembagaan Persekutuan, bukan semata-mata dasar pemerintahan negara.


Penulis ialah Penolong Profesor, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

KUALA LIPIS BERSEJARAH