Saturday, March 12, 2011

BN : BENTENG NEGARA



Masa untuk lawan habis- habisan

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Genap seminggu yang lalu, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menghadiri Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sarawak 2011 dengan mood yang cukup ceria.

Penampilannya juga bergaya. Jika 5,300 pemimpin dan perwakilan BN yang berkampung sehari di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) memakai kemeja biru parti dengan seluar berwarna gelap, Abdul Taib pula tampil serba biru, baik kemeja, seluar mahupun tali pinggangnya.

Bahasa badan Pengerusi BN negeri itu cukup menarik untuk diamati, bendera kecil BN dikibarnya bersungguh-sungguh mengikut rentak beberapa lagu rasmi yang berkumandang sebelum majlis dimulakan.

Ucaptamanya selama 55 minit pula 'berapi-api', umpama seorang jeneral yang meniupkan semangat perjuangan kepada kepada tentera yang bakal bertempur di medan perang.

Intonasi ucapan beliau agak tinggi terutama sewaktu meneriakkan frasa "lawan habis-habisan".

Beliau mengambil peluang untuk mengingatkan jentera BN supaya tidak lagi bertahan menghadapi fitnah pembangkang yang bertujuan membakar sentimen rakyat sewaktu BN mengamalkan politik realiti.

"Kenapa kita (BN) mesti bertahan terhadap propaganda yang dilancarkan pembangkang? Sedangkan selama ini BN telah membawa banyak perubahan kepada negara khususnya Sarawak.

"Jadi saya minta semua ahli BN untuk lawan habis-habisan pihak pembangkang kali ini," tegasnya.

Ucapan beliau ditafsir banyak pihak sebagai paluan gendang perang BN telah dibunyikan dan parti itu kini berada pada tahap terbaik untuk mengharung pilihan raya negeri pada bila-bila masa.

Di atas kertas, BN negeri yang diterajui, Abdul Taib langsung tidak bermasalah untuk mempertahankan kuasa malah beliau dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini turut menyatakan keyakinan itu.

"BN tanpa ada niat untuk bercakap besar mempunyai keyakinan membentuk kerajaan negeri baru pastinya dengan majoriti dua per tiga," katanya.

Bagaimanapun dalam perutusan yang sama, beliau mengakui sedikit risau dengan sikap pengundi di kawasan bandar yang menyokong pembangkang untuk membentak dan mengkritik kerajaan.

Kerisauan itu mempunyai kaitan dengan kemerosotan prestasi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang tewas di lapan daripada 19 kerusi majoriti Cina pada pilihan raya negeri yang lalu.

Lantaran itulah, Abdul Taib dilihat cukup 'sibuk' menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina di seluruh negeri, adakalanya melebihi satu majlis dalam masa sehari untuk menyatakan pandangannya mengenai sokongan orang Cina kepada BN.

Komitmen itu cukup terserlah sehingga beliau tidak menyertai lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Limbang dan Miri pada bulan lalu semata-mata untuk menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina.

Dalam satu majlis anjuran Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Kuching dan Samarahan umpamanya, beliau mengingatkan orang Cina mengenai kepentingan mempunyai perwakilan yang kuat untuk bersuara dalam kerajaan BN.

"Adalah penting untuk masyarakat Cina memikirkan apa yang dapat dilakukan bagi memastikan kaum Cina kekal bersatu padu dan perpaduan itu dipupuk oleh pemimpin yang berfikiran baik tidak kira muka baru atau lama.

"Masa depan kaum Cina di Malaysia amat baik jika dibandingkan dengan negara lain.

"Adalah amat menyedihkan bagi saya memikirkan kemungkinan yang kita tidak ada kepimpinan Cina yang bagus, kuat dan pintar dalam BN," tegasnya.

Justeru, pada pilihan raya negeri kali ini, Abdul Taib mempunyai tugas yang besar iaitu memulihkan semula maruah BN Sarawak yang tercalar dengan peralihan sokongan kaum Cina kepada pembangkang.

Kerana itulah, beliau yang ditemui pemberita selepas Konvensyen BN itu memberitahu komponen BN yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan memberikan bantuan kepada SUPP untuk mengembalikan sokongan orang Cina.

Satu lagi aspek yang menarik untuk diperhalusi ialah keyakinan Abdul Taib terhadap pemimpin muda untuk membangunkan negeri sebagaimana yang dinyatakan beliau sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan Konvensyen BN yang berlangsung secara tertutup.

Menurut Naib Pengerusi BN negeri, Datuk Abang Johari Tun Openg, Abdul Taib dalam ucapannya berkata Sarawak selamat di tangan pemimpin muda kerana mereka adalah kesinambungan perjuangan membangunkan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.

"Pemimpin pelapis khasnya mereka yang berusia 40 tahun ke bawah perlu menyiapkan diri mereka untuk meneruskan usaha yang dikatakan Ketua Menteri kita," kata Abang Johari.

Pesanan itu amat bermakna, lebih-lebih lagi Abdul Taib sendiri pernah menyatakan pilihan raya negeri kali ini mungkin yang terakhir baginya.

"Mungkin saya bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang untuk kali yang terakhir disebabkan usia semakin meningkat. Saya sangat menghargai sokongan rakyat di sini," katanya sewaktu berucap di Balingian yang merupakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakilinya, baru-baru ini.

Sebelum itu, Abdul Taib telah membuat kenyataan bahawa beliau dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang bersedia untuk berundur sekiranya ada pemimpin yang benar-benar berkaliber, bijak dan berpendidikan.

"Jika ada mereka yang ingin menggantikan kami...kami mahu tapi kami tidak akan melepaskan kuasa jika tiada jaminan seseorang itu baik atau pintar untuk memberikan pembangunan kepada rakyat Sarawak," katanya.

Pastinya, sebagai Ketua Menteri hampir 30 tahun, Abdul Taib tidak akan membiarkan pengundurannya kelak merencatkan pembangunan negeri atau merosakkan perpaduan parti komponen BN.

Dan pilihan raya negeri kali ini adalah medan terbaik untuk beliau mengembalikan sepenuhnya kekuatan BN Sarawak sewaktu parti pembangkang masih belum memuktamadkan pembahagian kerusi.

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH