Monday, March 14, 2011

PAKATAN PEMBANGKANG YANG TERDESAK???

Memanipulasi kebangkitan rakyat

Oleh Ezam Mohd Nor

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

SETIAP peristiwa yang berlaku di alam ini semestinya ada hikmah dan iktibar buat manusia. Begitu juga peristiwa di Timur Tengah hari ini tentunya ada pengajaran dan iktibar buat kita semua.

Justeru bukan sesuatu yang luar biasa apabila kita melihat saban hari pelbagai laporan, analisis, saranan, dilakukan terhadap peristiwa besar kebangkitan rakyat Tunisia, Mesir, Libya dan negara-negara lain di rantau itu.

Dalam keriuhan dunia menghadapi fenomena ini kita dapat melihat dengan jelas munculnya suara-suara lantang kelompok ahli politik pembangkang dengan pelbagai masalah peribadi dan parti politik mereka mengambil kesempatan atas peristiwa Timur Tengah untuk menutup kemelut yang melanda mereka akhir-akhir ini.

Kita faham benar kerenah dan gelagat mereka ini yang akan memutar belit setiap peristiwa yang berlaku di dunia ini untuk meraih keuntungan politik buat diri mereka demi mencapai cita-cita ke Putrajaya yang tidak kesampaian. Buat kesekian kalinya mereka memainkan politik pembohongan dan melampaui batas memanipulasi peristiwa ini untuk kepentingan politik sempit mereka.

Dari Tenang, Merlimau , Kerdau dan serata negara mereka menggunakan pentas ceramah cuba membangkitkan semangat kebangkitan rakyat terutamanya golongan muda untuk mengambil inspirasi kebangkitan rakyat Timur Tengah. Pemerintah dan pemimpin Malaysia disamakan dengan rejim Mubarak. Kegagalan Tunisia dan Mesir sebagai sebuah negara disamakan dengan Malaysia.

Yang paling lantang tentulah Ketua Umum PKR walaupun hakikatnya tokoh politik Malaysia yang paling banyak persamaannya dengan ciri kediktatoran Mubarak adalah dirinya sendiri. Mengangkat dirinya menjadi Ketua Umum tanpa dipilih sama sekali.

Malah sebenarnya kediktatoran Mubarak tidak mampu mencapai taraf kediktatoran Anwar kerana Mubarak tidak mampu meletakkan isterinya sebagai Presiden, orang yang paling istimewa bagi dirinya sebagai Timbalan Presiden, dan anaknya sendiri sebagai Naib Presiden parti dalam satu masa. Beliau jugalah yang mencipta sejarah politik tanah air dan mungkin juga di dunia ini dengan mengarahkan isterinya meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen sebaik setelah beliau ditangkap dengan salah laku jenayah.

Kebiasaannya seorang ahli politik akan melepaskan jawatan bila disabitkan dengan kes jenayah namun bagi Anwar dia mengarahkan isterinya meletakkan jawatan sebaik selepas beliau ditahan agar dia boleh bergayut dengan jawatan politik dalam menghadapi kes salah laku jenayah peribadinya dan mengheret kes peribadi itu menjadi kes politik. Maka seluruh negara di heret dalam menghadapi kes peribadinya. Masalah peribadinya menjadi masalah negara. Mubarak dan Ghaddafi sekalipun tidak punya kemampuan memutar belit ‘menegarakan’ masalah peribadi mereka sehebat yang dilakukan Anwar!

Kegagalan

Malah Ben Ali, Ghadafi dan Mubarak dalam segala kegagalan, kekurangan, kelemahan dan kezaliman mereka tidak tergamak menghina tanah air dan bangsanya sendiri hanya kerana mahu meraih populariti. Dalam hal ini Anwar sekali lagi lebih hebat daripada mereka. Anwar mampu dan tergamak secara terbuka menghina batik Malaysia buatan anak bangsanya sendiri di Indonesia hanya kerana mahu menjadi popular.

Sifat antinasional inilah yang menyebabkan negara ini menerima kesan dihina hinggakan dibaling najis di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta gara-gara ketegangan hubungan dua hala. Hidup berjiran apatah lagi serumpun adalah lumrah berlaku ketegangan dari masa ke semasa. Namun tidak pernah terjadi di dalam sejarah ketegangan dua hala sehingga kita dihina dengan dibaling najis di kedutaan kita. Ia gara-gara ada pemimpin kita sanggup menghina tanah air dan bangsanya sendiri di negara orang.

Sebusuk-busuk diktator Arab tidak sanggup menghina bangsa dan tanah airnya sendiri apatah lagi bila berada di negara orang. Diktator Melayu abad ini rupanya jauh lebih hebat kediktatorannya berbanding diktator-diktator Arab itu. Malah diktator-diktator Arab itu tidak pernah kita dengar menggelar diri mereka anugerah Tuhan dan menjual kalimah Allah dengan harga undi politik. Diktator Melayu ini jauh lebih hebat sifat melampaui batasnya.

Kalau diktator-diktator Arab ini dikatakan menjadi tali barut Yahudi, diktator Melayu ini juga pada hakikatnya jauh mengatasi mereka. Kononnya dia menuduh kerjaan bersekongkol dengan Yahudi kerana mangambil APCO sebagai konsultan tetapi hakikat yang diketahui oleh seluruh warga Bank Dunia beliaulah sebenarnya yang menjadi alat kepada Yahudi.

Kerajaan membayar APCO untuk membuat tugas-tugas demi kepentingan negara yakni hubungan dagangan dua hala Amerika -Malaysia tetapi diktator Melayu ini sanggup menjadi alat menutup skandal Pengerusi Bank Dunia, Wolwofitz, seorang Yahudi yang menjadi Menteri Pertahanan AS semasa Iraq diserang dan ribuan nyawa tidak berdosa menjadi korban.

Surat Anwar sebagai Pengerusi Yayasan Masa Depan kepada Bank Dunia untuk tutup pekung Yahudi Wolwofitz itu bukan rahsia lagi di Bank Dunia. Diktator Arab pun tidak sanggup meletakkan diri serendah itu untuk menjadi alat kepada seorang Yahudi yang telah membunuh ribuan nyawa manusia tidak berdosa. Dalam sejarah negara ini juga kita tidak pernah saksikan seorang pemimpin negara yang sanggup melakukan perbuatan sejijik itu.

Dari sudut pencapaian ekonomi dan kemajuan sebagai sebuah negara jauh sekali bezanya antara Mesir,Tunisia dan Libya ini berbanding kedudukan ekonomi kita. Pendapatan perkapita di Mesir hanya AS$2 (RM6.14) sehari bermakna sekitar RM200 sebulan .Bandingkan per kapita kita lebih RM2,000 bermakna lebih sepuluh kali ganda mereka.

Gaji seorang profesor di Mesir purata 1000 Pound Mesir kira-kira RM800 manakala minimum Profesor Malaysia hari ini berpendapatan RM10,000. Terlalu banyak data perbandingan yang boleh ditampilkan pokoknya ia terlalu jauh bezanya sehingga sebarang perbandingan ekonomi yang dilakukan pastinya kelihatan tempang.

Justeru hanya orang yang terdesak yang sanggup berselindung di bawah fakta yang jelas untuk mengabui mata rakyat. Rakyat sekali lagi menjadi mangsa putar belit, dibakar semangat mereka berasaskan fakta palsu. Mereka di minta mengutip peristiwa Mesir dan Timur Tengah sebagai punca inspirasi mereka untuk bangkit.

Hakikatnya anak muda Arab bangkit dengan menjadikan kejayaan Malaysia membina negara sebagai sumber inspirasi mereka. Kebetulan saya berada di Mesir semasa kebangkitan bermula. Saya tempuhi jalan yang disekat oleh anak-anak muda Mesir yang berdemonstrasi. Apabila mereka tahu kita dari Malaysia mereka akan bandingkan Mubarak dengan Tun Mahathir.

Kedua-duanya menjadi pemimpin negara mereka pada waktu yang sama, awal 80-an tetapi Malaysia jauh meninggalkan Mesir hari ini. Mereka kecewa dengan negara mereka, Mesir tetapi mereka amat menghormati Malaysia dan bagi mereka Malaysia adalah sumber inspirasi mereka untuk bangkit melakukan perubahan. Di Malaysia pula ada pemimpin politik terdesak yang buat kerja songsang.. Mengajak rakyat Malaysia pula untuk menjadikan Mesir sebagai sumber inspirasi. Cukuplah dia seorang melakukan perbuatan songsang. Janganlah heret rakyat melakukan perbuatan yang songsang juga.

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH