Saturday, January 1, 2011

PERUTUSAN TAHUN BARU 2011 OLEH YAB DS PM

PERUTUSAN YAB. PERDANA MENTERI SEMPENA TAHUN BARU 2011

Posted in http://www.1malaysia.com.my/wp-content/themes/1m/images/folder.gifSpeeches on DateDecember 31st, 2010

http://www.1malaysia.com.my/speeches/perutusan-yab-perdana-menteri-sempena-tahun-baru-2011/

PERUTUSAN YAB. PERDANA MENTERI
SEMPENA TAHUN BARU 2011

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

  1. Alhamdulillah, sayugia kita bersama-sama mengatur setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT, lantaran izin dan atas kehendak-Nya jua, kita bakal menempuh gerbang 2011. Fajar tahun baru yang akan menjelang ini sekali gus melabuhkan tirai 2010 yang telah kita lalui dalam suasana tenang, aman damai, rakyat hidup rukun, serta ekonomi yang makin kukuh.
  2. Sesungguhnya waktu dan masa berpacu dengan amat pantas. Hari esok menjadi tanda pembuka lembaran kepada dekad yang seterusnya. Semasa saya memberikan perutusan tahun baru yang lalu, Malaysia sedang di ambang pemulihan ekonomi setelah mengalami pertumbuhan negatif untuk tiga suku yang pertama tahun 2009.
  3. Namun, hasil daripada tindakan kerajaan yang lekas dan pantas, negara kita kini bukan sahaja berada di landasan pertumbuhan yang mapan tetapi juga diletakkan pada trajektori yang betul ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi apabila tahun 2020 menyingsing tiba nanti.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

  1. Seperkara yang menjadi hakikat dan perlu difahami oleh setiap orang adalah, dalam menguruskan negara, terutamanya ehwal ekonomi, kerajaan senantiasa mengamalkan sikap penuh kebertanggungjawaban. Selama beberapa dekad, segala pencapaian yang diraih bukanlah terjadi secara kebetulan atau tiba-tiba. Akan tetapi, setiap sesuatu telah dirancang, direkayasa dan dilaksana secara tersusun serta tuntas dengan mengambil kira aspek jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.
  2. Apatah lagi, sebagai sebuah kerajaan yang begitu prihatin dalam meresapi nadi dan nubari rakyat, kita tidak akan sekali-kali membelakangkan kepentingan orang ramai dengan menjanjikan sesuatu atau mengambil sebarang keputusan yang pada mata kasarnya popular namun pada hakikatnya bersifat amat menjejaskan kemudian hari terhadap kepentingan semua.
  3. Justeru, dewasa ini, kita telah menyaksikan bagaimana negara-negara yang dianggap maju juga mula ditimpa masalah apabila mereka tidak mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah serta tidak mendakap disiplin fiskal dalam merancang pembangunan negara dan kebajikan rakyat di negara masing-masing.
  4. Sememangnya, mana-mana kerajaan yang menggubal atau menjanjikan dasar-dasar sekadar bersifat popular tetapi tidak bertanggungjawab ini mungkin akan mendapat pengiktirafan atau sanjungan jangka pendek namun untuk tempoh masa panjang, rakyatlah sebenarnya yang akan menderita serta menjadi galang gantinya.
  5. Mengambil iktibar daripada kekhilafan-kekhilafan sekeliling, sepanjang tahun 2010 kita telah memancang asas-asas yang kukuh bagi menentukan keseluruhan potensi dan sumber negara mampu dirangsang serta diaturgerakkan ke arah tercapainya wawasan kebangsaan. Segala yang telah dipersembah, merupakan peta laluan komprehensif lagi bersepadu demi kepentingan nasional yakni mengangkat taraf dan mutu hidup lebih tinggi kepada seluruh rakyat Malaysia.
  6. Perjalanan kita dilengkapi dengan wahana-wahana panduan pentadbiran bermula dengan pelancaran Program Transformasi Kerajaan atau GTP bersama 6 NKRA-nya pada awal tahun 2010. Ia diikuti pelancaran Program Transformasi Ekonomi atau ETP dan 12 NKEA-nya, sebagai teras kepada Model Baru Ekonomi dan diikuti oleh pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 dan kemudiannya Bajet Tahun 2011 yang menjadi bajet pertama bagi Rancangan Malaysia Ke-10. Ini menandakan kedua-dua fasa perancangan dan pelaksanaan telah pun mengambil tempat dan bermula.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

  1. Sejak sekian lama, kerajaan yang diberi mandat telah mentadbir dan berusaha dengan ikhlas untuk memberikan yang terbaik kepada keperluan rakyat serta kemajuan negara. Sayangnya, terdapat pihak-pihak yang menangguk di air keruh dengan berwenang-wenang menuduh bahawa kerajaan hanya berminat terhadap projek-projek tertentu terutamanya yang berbentuk mega. Sesungguhnya lemparan kata-kata ini tidak benar sama sekali.
  2. Saya mengajak kita mengkaji hal ini dengan memeriksanya secara profesional dan objektif. Apa yang jelas, bukankah dahulunya pihak yang sama mengkritik antara lainnya pembinaan Lebuhraya Utara Selatan atau PLUS, Menara Berkembar Petronas dan Jambatan Pulau Pinang, kini tersipu-sipu dan terkesima tanpa keberanian moral mahupun keikhlasan intelektual untuk mengakui bahawa mereka telah silap dan sepatutnya menelan kata-kata liar yang diluahkan.
  3. Pokoknya, masa yang berlalu telah menjadi penentu sebuah kebenaran. Ternyata, projek-projek yang dirancang dan dilaksana oleh kerajaan selama ini telah membawa manfaat kepada rakyat terbanyak. Di persimpangan ini, saya berharap agar rakyat mampu melihat dan menilai yang mana kaca dan yang mana intan. Persoalannya, jika pendapat mereka terbukti salah dalam perkara yang sebegitu besar, bagaimanakah mungkin rakyat boleh mempercayai lagi sebarang janji mereka? Apatah lagi baru-baru ini, janji 100 hari mereka yang hanya akan menambahkan lagi perbelanjaan tanpa mengambil kira realiti pendapatan serta punca kewangan negara.
  4. Pucuk pangkalnya, kerajaan yang ada sejak dahulu, telah memberi perhatian kepada matlamat untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan kerana lonjakan kekayaan negara akan membolehkan peningkatan untuk perbelanjaan dan terlaksananya keadilan sosial. Ia berkadar terus, ertinya, semakin meningkat pendapatan kerajaan, maka semakin meningkat perbelanjaan untuk kesejahteraan rakyat.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

  1. Jika dikaji, matlamat membasmi kemiskinan telah dilakukan secara lebih sistematik apabila Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada awal tahun 70an. Sepanjang tempoh pelaksanaan ini dan dasar-dasar yang berikutnya, kayu ukur lebih definitif dan saintifik diutarakan untuk mengukur paras kemiskinan.
  2. Sejak itu, tanpa jemu kita telah berusaha kuat memerangi kemiskinan yang melibatkan separuh daripada rakyat Malaysia dan mengurangkan kadarnya kepada 3.8 peratus dalam tempoh hayat satu generasi sehingga berjaya melahirkan generasi peribumi kelas menengah serta profesional yang besar.
  3. Selanjutnya, kerajaan kini terus komited bagi membasmi kemiskinan dan menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi di dalam Negara. Oleh yang demikian, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara bagi Isi Rumah Berpendapatan Rendah, Kerajaan mensasar untuk menyifarkan sebanyak 44,643 isi rumah miskin tegar yang telah didaftarkan di dalam Sistem eKasih mencecah penghujung 2009.
  4. Sehingga 20 Disember baru-baru ini pula, sebanyak 40,713 isi rumah telah berjaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan tegar dan baki 3,930 isi rumah lagi sedang ditangani melalui pelbagai program seperti 1Azam.
  5. Sungguhpun pencapaian tersebut telah mencapai paras objektif yang ditetapkan, ini tidak bermakna bahawa kemiskinan tegar telah dibasmi sepenuhnya kerana insiden kemiskinan adalah bersifat relatif dan sentiasa berubah. Kerajaan juga tidak menafikan masih wujud tompokan kecil kemiskinan di kawasan-kawasan seperti pedalaman Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
  6. Sehubungan dengan itu, penekanan terhadap usaha-usaha pembasmian kemiskinan termasuk di kalangan minoriti Bumiputera Sabah dan Sarawak, kawasan setinggan, kawasan perladangan, kawasan pekebun kecil, penempatan Orang Asli dan sebagainya akan terus dipertingkatkan di bawah pelaksanaan RMK-10.
  7. Sudah pasti, proses ini merupakan satu perjalanan yang tidak ada noktahnya bagi kerajaan. Kita akan sentiasa bersifat awas terhadap insiden baru kemiskinan tegar. Golongan yang telah berjaya keluar dari kemiskinan tegar akan dibimbing pula untuk meninggalkan belenggu kemiskinan relatif dan seterusnya daripada golongan 40 peratus pendapatan yang terkebawah. Ini memerlukan pendekatan yang sentiasa inovatif, kreatif dan dinamik.
  8. Untuk itu, kerajaan menyeru kepada semua pihak yang bertanggungjawab di semua peringkat, kampung, mukim, daerah, residensi dan negeri untuk memastikan jika ada kes-kes yang baru, ia dibawa kepada perhatian pihak yang berwajib agar mereka dapat dimasukkan ke dalam senarai e-kasih dan tindakan susulan dapat diambil.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

  1. Segala yang kita rancang dan mahu laksanakan tidak akan menemui kejayaan tanpa sokongan dan kerjasama rakyat. Oleh kerana itu, kita telah merundingi setiap segmen masyarakat sebelum menggubal program transformasi yang telah kita lancarkan bagi memastikan ianya mencerminkan hasrat rakyat. Saya menyeru kepada semua agar marilah berganding dengan saya dan rakan-rakan di dalam kerajaan untuk meletakkan negara di tempat yang sepatutnya.
  2. Janganlah kita hanya berpuas hati dan hanya berpeluk tubuh menjadi pengkritik di tepian. Marilah kita corakkan masa depan generasi hari muka kepada yang lebih baik daripada hari ini. Kuasa membentuk adalah di tangan rakyat. Tunaikanlah tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya.
  3. Jelas, tawarikh dunia telah menunjukkan bahawa sekali tersilap melangkah, maka kita akan menderita sepanjang zaman. Janganlah nasib hari mendatang anak cucu kita didagang dan dipertaruhkan. Ini bukanlah masa untuk bereksperimen tetapi waktu untuk memperbaharui kepercayaan dan mengukuh keyakinan kepada apa yang telah terbukti berkesan.
  4. Merenung detik-detik lampau, banyak sudah yang telah kita lakukan, di mana, pihak asing meramal tidak mungkin berjaya. Banyak sudah yang kita berjaya lunaskan, demi Malaysia yang tercinta sekalipun cuba dinafikan suara-suara sumbang oleh pihak-pihak tertentu.
  5. Beringatlah bahawa di waktu kita mencapai kemerdekaan dahulupun, kita tidak terfikir akan maju ke tahap ini. Demikian juga apa yang kita pernah kurang yakin untuk dicapai hari ini, akan pastinya jua mampu kita perolehi pada masa hadapan, jika kita tetap berusaha bersungguh-sungguh, jika kita yakin pada kebolehan diri sendiri dan jika kita terus bersama memelihara perpaduan, kestabilan dan keamanan negara.
  6. Akhir kata, seiring dengan hembusan hawa dan semangat tahun baru yang mendatang, kepada golongan belia, veteran, pertubuhan bukan kerajaan, penjawat awam, pihak swasta, pendek kata rakyat keseluruhannya, tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang, marilah kita bersama-sama menyambut semboyan pertiwi menuju puncak kemajuan. Moga-moga kita berjaya. Insya-Allah. Selamat menyambut Tahun Baru 2011.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Dato’ Sri Mohd Najib

Perdana Menteri

31 Disember 2010

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH