Refleksi di penghujung tahun 2010
Oleh Dr. Firdaus Abdullah
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1231&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm
Setelah melalui tahun 2010 selama 365 hari, tentu masing-masing kita mempunyai pengalaman-pengalaman khusus yang masih melekat pada ingatan. Pengalaman-pengalaman itu mungkin dapat dibahagikan menurut pelbagai peringkat iaitu peribadi, keluarga, masyarakat dan dunia sejagat. Pengalaman itu juga dapat dibahagi-bahagikan menurut jenis seperti menggembirakan atau menyedihkan, membahagiakan atau menjengkelkan.
Pada peringkat peribadi atau keluarga, bagi saya pengalaman yang paling mendukacitakan sepanjang tahun 2010 ialah kepulangan ibunda saya, Hajah Zubaidah Syarif ke Rahmatullah. Yang menggembirakan pula, selain daripada kesihatan baik yang dikurniakan Tuhan, antara yang sangat saya syukuri ialah anak lelaki saya, Falahi Sarisatriya mendapat pekerjaan yang diingininya di sebuah institusi penting dalam sektor kerajaan.
Lebih daripada itu, pengalaman yang membahagiakan barangkali tidak ada yang istimewa. Meminjam ungkapan orang seberang, 'biasa-biasa sahaja'. Tetapi pengalaman yang paling 'menjengkelkan' sehingga saat ini masih melekat kuat (dengan rasa meluat!) pada ingatan saya adalah pemandangan di Dewan Rakyat pada petang Khamis, 16 Disember 2010.
Selama hampir 50 tahun saya mengenali Parlimen Malaysia (mulai sebagai wartawan muda pada tahun 1963-1966 dan sejak dua tahun lalu, sebagai Senator) tidak pernah saya melihat ruangan Dewan Rakyat yang mulia itu dicemari dan dinodai oleh perangai buruk seperti yang saya saksikan pada petang Khamis 16 Disember 2010 itu.
Untuk selama lebih kurang satu jam, saya melihat dengan mata kepala sendiri perangai yang paling tidak terhormat (perbuatan keji) dilakukan oleh sekumpulan manusia yang kerana kedudukannya sebagai Ahli Parlimen (Dewan Rakyat) dipanggil dengan sapaan 'Yang Berhormat'. Dalam hati saya bertanya, adakah mereka (beberapa orang yang terlibat) masih siuman. Atau adakah mereka telah dirasuk syaitan. Ruang mesyuarat Dewan Rakyat itu telah bertukar menjadi satu gelanggang 'pertandingan menjerit', satu sarkas atau satu pasar lelong yang tiada peraturan.
"Undur diri...undur diri...," seorang lelaki setengah umur menjerit-jerit seperti samseng jalanan sambil mengacu-acukan tangannya ke arah Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Namanya Gobind Singh Deo dari kawasan Puchong. Dia adalah anak lelaki kepada Karpal Sing, ahli Dewan Rakyat kawasan Bukit Gelugor yang juga menjadi Pengerusi DAP.
Jeritan Gobind Singh yang bertalu-talu menyergah dan mengherdik Pandikar Amin itu ditingkah oleh 'leteran' (verbal diarrhea) enam tujuh orang rakannya dari DAP, PKR dan Pas yang bercakap serentak dan berebut-rebut (tidak mengikut giliran) dengan jeritan tak tentu hala dan buah butir percakapan berkecai-kecai. Dua tiga ahli Dewan Rakyat dari barisan kerajaan turut sama dalam 'pertandingan menjerit' antara Ahli-Ahli Yang Berhormat itu.
Pandikar Amin sebagai Speaker cuba menenangkan mereka. Tetapi percubaan itu ternyata sia-sia sahaja. Malah sebaliknya, selain Gobind Singh, ayahnya Karpal Singh dan Azmin Ali (PKR Gombak) turut menuntut supaya Pandikar Amin meletak jawatan.
Suasana semakin heboh dan kecoh dan pemandangan dalam ruang mesyuarat Dewan Rakyat semakin menjadi hodoh dan mengaibkan apabila beberapa Ahli Parlimen dari DAP, PKR dan Pas itu membawa masuk dan mencacak poster serta sepanduk di atas meja mereka, mengangkat tinggi poster dan sepanduk itu dengan perkataan-perkataan seperti 'Tragedi Hitam Parlimen', 'Rule of Kangaroo', 'Demokrasi Malaysia Nazak' dan 'Ikut Telunjuk APCO'.
Tujuan mereka melakukan semua itu adalah untuk menghalang Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz daripada mengemukakan usul menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan melemparkan tuduhan tidak benar mengenai gagasan 1Malaysia.
Mereka cuba membangkitkan pelbagai peraturan mesyuarat tetapi apabila Speaker mengeluarkan arahan, mereka ingkar dan cuba mempertikaikan (membantah) kebijaksanaan Pandikar Amin dengan melakukan pelbagai bentuk provokasi, daripada yang sehalus-halusnya sehinggalah ke tahap yang boleh dianggap biadab.
Adat resam Parlimen yang mengutamakan 'otak' dan pertukaran fikiran waras dan bertamadun telah cuba hendak digantikan dengan mengutamakan 'otot' atau kekerasan yang melanggar sopan santun. Saya teringat 'fatwa' yang sering saya berikan kepada mahasiswa saya di Universiti Malaya sepanjang dekad 1970-an, 80-an dan 90-an dahulu iaitu "Jika kita bermesyuarat, hati boleh panas tetapi kepala mesti tetap dingin."
Tetapi yang berlaku di Dewan Rakyat itu, pada hemat saya adalah satu 'politik provokasi' yang diatur rapi dengan harapan supaya penyakit 'hati panas pihak pembangkang yang menyebabkan kepala mereka pun menjadi panas' menular kepada pihak kerajaan.
Ditinjau lebih jauh, sebagai satu refleksi hujung tahun dan dalam usaha menilai dan mentafsir taktik serta strategi pembangkang, peristiwa yang berlaku di Dewan Rakyat itu adalah sebahagian daripada 'politik provokasi' mereka.
Termasuk dalam agenda politik provokasi itu ialah 'polemik mubazir tentang ketuanan Melayu' (pseudo debate on Malay supremacy). Begitu juga tuduhan bertubi-tubi kononnya sesiapa saja yang memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu (termasuk Utusan Malaysia) dianggap sebagai rasis.
Dan sejak sebulan dua yang lalu, mereka mendapat ilham untuk menggunakan singkatan (acronym) 3R yang bermaksud race, religion dan raja (sultan). Ini adalah satu helah halus (atau mungkin helah kasar) untuk menjadikan bangsa Melayu rasa bersalah (atau mereka sengaja hendak menyalahkan bangsa Melayu) apabila mempertahankan bangsanya (race) atau mempertahankan agamanya (religion) atau mempertahankan Sultan mereka (raja). Secara halus sekarang, politik provokasi mereka telah menjadikan Sultan atau Raja-raja Melayu sebagai salah satu sasaran mereka.
Akhirulakalam, dalam melakukan refleksi hujung tahun ini, marilah kita bermuhasabah dan berhubayah-hubayah terhadap politik provokasi petualang-petualang politik yang desperado.
Senator Datuk Dr. Firdaus Haji Abdullah ialah Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
No comments:
Post a Comment