1Malaysia paksi patriotisme
Oleh Dr. Siva
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm
1Malaysia diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengambil alih pentadbiran negara pada 3 April 2009. Konsep tersebut muncul ketika keadaan politik tidak menentu, pertumbuhan ekonomi global berada dalam krisis dan lebih daripada itu, perpaduan dalam negara dianggap rapuh. Konsep, gagasan, slogan, agenda ataupun dasar 1Malaysia, namakan apa sahaja tetapi ia mempunyai hubungan utuh sebagai jambatan kesinambungan kepimpinan lalu ke arah satu transformasi holistik.
Ia hanya akan berjaya jika anggota masyarakat memiliki iltizam yang kuat untuk memahami dan mahu memahami bagi merealisasikan matlamat asasnya. Dalam ucapan beliau sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-52 pada 2009, Najib menyatakan bahawa cabaran besar rakyat Malaysia adalah membaik pulih jambatan yang sedia ada, di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah antara sesama anggota masyarakat. Apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik, malah boleh musnah jika tidak berhati-hati dengannya.
Tanpa keutuhan perpaduan dalam kalangan ahli masyarakat, Malaysia akan gagal meningkatkan kedudukan populasi negara. Dalam perutusan Hari Kebangsaan ke-53 pada tahun ini pula, Perdana Menteri menyatakan bahawa teras perpaduan kita haruslah bersifat mapan. Untuk itu, asas integrasi rakyat Malaysia perlu bersandarkan nilai-nilai yang dikongsi dan dipersetujui bersama oleh semua kaum seperti mana terkandung dalam ideologi kebangsaan yakni rukun negara dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial nasional.
Ketika sambutan Tahun Baru Cina di Rumah Terbuka Akhbar Sin Chew Daily pada Februari 2010, Najib menyatakan ‘to celebrate diversity - that is our final destination, the final apex. If we celebrate our diversity, then it means we have reached our final destination of ‘Bangsa Malaysia’ and 1 Malaysia. This means that we think as one people, one nation, one dream’.
Ia jelas menunjukkan bahawa 1Malaysia bertujuan membina nilai kesepaduan, keharmonian, integrasi dan perpaduan yang berakarkan kepada prinsip ‘Satu Negara, Satu Matlamat’, selain menjunjung tiga teras iaitu prinsip penerimaan; kenegaraan dan keadilan sosial sebagai pelengkap kepada Wawasan 2020 dan gagasan lain yang pernah dikemukakan oleh Perdana Menteri sebelum ini. Selain itu, ia adalah ‘penjana’ untuk memastikan kestabilan tidak terganggu akibat kesempitan politik yang diwarnai dengan manipulasi, emosi, helah, pembohongan, provokasi dan spekulasi.
Apabila ada pihak mahu ‘gam’ di negeri pentadbiran mereka penggunaan simbol ini, maka ia dilihat politiking keterlaluan kerana mencari isu remeh untuk terus bersaing dalam fahaman politik masing-masing. Dengan menghukum penggunaan simbolnya, ia dianggap sebagai ‘dasar isolasi kuasa’ yang boleh memberi kesan ke atas keharmonian. Adakah sudah ketandusan isu sehingga 1Malaysia dijadikan sebagai satu ‘bahan politik’ tanpa menyedari bagaimana ia boleh menjerat mereka kerana seolah-olah menunjukkan ketidakupayaan mentadbir apatah lagi mengikut analisis dan kajian persepsi yang dilakukan. Salah satu elemen yang menyumbang kepada lonjakan keyakinan ke atas populariti Najib adalah gagasan 1Malaysia yang memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada nilai kemasyarakatan demografi dan geografi tanah air.
Ia mahu memperkukuhkan kemuafakatan yang memerlukan rasa tanggungjawab dan kejujuran dalam menyuburkan nilai menerima, hormat menghormati dan saling faham-memahami, menanam nilai kemanusiaan untuk bersama, serta nilai ‘kepunyaan’. Adakah pemahaman yang sudah jauh meningkat menyebabkan ada pihak gusar ia akan memberi kesan dalam memobilisasi sokongan bersifat populis mereka? Ini kerana 1Malaysia percaya kepada tanggungjawab setiap individu yang bernama warga Malaysia. Untuk mempertahankan kedaulatan negara ini berpaksikan kepada nilai patriotisme dan nasionalisme serta memagari diri setiap individu daripada sifat syak wasangka serta mencurigai antara satu sama lain agar dapat mengurangkan darjah sikap berpura-pura dalam kalangan masyarakat jika ia dianggap penting untuk meningkatkan nilai kemasyarakatan.
Ia muncul ketika terhakis perasaan kekitaan ke atas tanah air dan praktis 1Malaysia bertujuan membina kekuatan bersama dalam berhadapan dengan apa sahaja krisis kenegaraan walaupun berbeza agama, keturunan, kepercayaan, gender dan ideologi politik sekalipun.
Yang membezakan 1Malaysia dengan apa sahaja agenda politik parti pemerintah adalah ia menanam perasaan ‘keyakinan’, ‘kepercayaan’ dan ‘kejujuran’ bahawa setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab ke atas negara kerana mereka bergelar warga Malaysia. Jelmaan nilai ‘keselamatan menyeluruh’ dengan memartabatkan 1 Malaysia sebagai wadah jati diri, masing-masing menunjukkan rasa bangga kepada negara yang dihuni dan pasti akan berjuang mempertahankan kedaulatan negara.
Barangkali, ada pihak khuatir dengan pengukuhan penerimaan dan penerapan nilai 1Malaysia kerana ia akan mempercepatkan proses memperkasakan perubahan. Ini kerana dalam Majlis Muhibah Perdana Menteri bersama Pemimpin Agama pada September 2010, Najib ada menyatakan bahawa tidak akan berlaku sebarang transformasi tanpa ada perpaduan dan keharmonian nasional. Kerajaan telah merangka beberapa pelan transformasi antaranya Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).
Yang penting bukan untuk melihat perbezaan tetapi merungkai perinciannya sebagai kekuatan dan tidak sebagai penghalang untuk menjana rasa tanggungjawab bersama kerana kejayaan membina negara-bangsa pelbagai etnik negara ini masih berkiblatkan kepada persamaan nilai kemanusiaan dan meraikan kepelbagaian tersebut. Hubungan emosi antara kesemua warga Malaysia wajar disuntik ke arah mencari titik keseimbangan kepada ‘masa depan yang sama’ kerana kejayaan 1Malaysia bergantung kepada kekuatan setiap individu dalam negara ini yang mahu melihat negara ini terus makmur, maju dan rukun termasuk pemimpin dari mana-mana kelompok menggembleng keazaman bersama melahirkan generasi yang mahu mencerna prinsip keamanan, kesejahteraan dan muhibah.
PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia
No comments:
Post a Comment