Sunday, December 12, 2010

PENGKHIANAT KEPADA RAKYAT AKA SIKITOL MODEN



Apabila Melayu khianati Melayu

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Dalam keadaan siuman, belum ada pemimpin Melayu yang mendesak dimansuhkan hak dan keistimewaan kepada orang Melayu. Sebagai penutur natif bahasa Melayu, dalam keadaan yang siuman juga tidak mungkin ada pemimpin Melayu tidak faham maksud "ketuanan Melayu" yang difahami oleh sesetengah bukan Melayu sebagai wujudnya "tuan" dan "hamba".

Persepsinya apabila wujud tuan dan hamba, di tengah-tengah adalah penindasan. Tetapi belum ada orang Melayu yang siuman memahami sedemikian.

Tetapi semasa konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, dua orang Melayu; Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Ismail dan Timbalan Presiden, Azmin Ali bertekad untuk menentang ketuanan Melayu habis-habisan. Mereka menggambarkan ketuanan Melayu sangat menjijikkan dan mendakwa itu agenda segelintir elit Melayu untuk terus berkuasa. Dalam kata lain ketuanan Melayu satu bentuk penindasan kepada Melayu kelas bawahan dan juga bukan Melayu. Kata-kata ini jelas senada dengan beberapa pemimpin bukan Melayu dalam pembangkang dan juga kerajaan. Adakah kedua-dua pemimpin Melayu ini dalam keadaan siuman semasa mengeluarkan kenyataan tersebut?

Tidak lama selepas Wan Azizah dan Azmin Ali berikrar menentang ketuanan Melayu, Penasihat PKR, Anwar Ibrahim pula mengumumkan akan melantik Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun tidak semua bukan Melayu akan terpengaruh dengan retorik politik seperti ini. Mereka tidak percaya akan ditindas dengan adanya ketuanan Melayu. Buktinya bukan Melayu yang menguasai ekonomi. Kalau ketuanan Melayu dibaca sebagai penindasan, sudah tentu peluang mereka dalam ekonomi, politik dan pendidikan akan disekat. Apabila Melayu hanya menguasai tidak sampai 30 peratus ekuiti, tentulah tidak benar sama sekali Melayu difahami sebagai tuan yang menindas pihak yang satu lagi sebagai hamba.

Sebelum ini atau lebih tepat selepas era Tun Dr. Mahathir, yang membangkitkan isu ketuanan Melayu adalah bukan Melayu. Malah bukan rahsia lagi beberapa pemimpin MCA, MIC dan Gerakan secara terang-terang mempersoalkan ketuanan Melayu. Pemimpin-pemimpin DAP sejak lama dulu mempertikaikan ketuanan Melayu dan sebagai gantinya mereka membentuk gagasan Malaysian Malaysia. Bukan Melayu yang mempersoalkan ketuanan Melayu bukanlah bimbang akan ditindas, sebaliknya untuk meraih sokongan atas semangat rasisme. Ini disebabkan oleh parti politik yang berteraskan kaum cenderung menonjolkan diri sebagai wira kaumnya.

Tetapi kini pemimpin Melayu sendiri yang menentang ketuanan Melayu. Sudah tentu ini bukan untuk meraih sokongan orang Melayu. Sebaliknya meraih sokongan bukan Melayu apabila membentuk persepsi buruk tentang ketuanan Melayu. Kerana itu atas tuntutan politik dan kuasa, ada Melayu moden yang hilang siuman. Mereka bukan saja sanggup derhaka kepada raja malah tergamak "memijak" bangsa sendiri yang masih ketinggalan di segenap perkara.

Siuman

Orang-orang Melayu bimbang dengan perkembangan terbaru politik begini. Kebimbangan ini juga dizahirkan oleh Raja-Raja Melayu apabila disentuh hak-hak orang Melayu. Ini kerana semuanya termaktub kemas dalam Perlembagaan. Tanpa dipengaruhi oleh mana-mana fahaman politik, Raja-Raja Melayu bertitah dan mengingatkan tentang bahaya "mengusik" atau "mencuit" hak-hak Melayu.

Sama ada Anwar, Wan Azizah atau pun Azmin sebenarnya mereka sedar ketidakupayaan untuk "menulis semula" Perlembagaan dan memadamkan Perkara 153. Tetapi demi memburu kuasa, mereka memadamkan siuman dan memetik isu ketuanan Melayu untuk didagangkan di pasaran politik.

Bahayanya apabila mereka memberi gambaran seolah-olah berkuasa mengubah Perlembagaan. Ini boleh mencetuskan ketegangan antara kaum. Sultan Selangor, Sultan Johor dan Sultan Perak memberikan peringatan yang sama; jangan mengusik hak-hak orang Melayu. Belum ada lagi Raja-Raja Melayu bertitah meluahkan kebimbangan tentang masa depan orang Melayu kecuali kali ini.

Kehalobaan untuk berada di puncak kuasa telah mencairkan prinsip dan kemuliaan diri seorang Melayu hingga sanggup memijak bangsa sendiri. Orang Melayu wajar mempertahankan ketuanan Melayu apabila bukan Melayu menguasai lebih ekuiti 70 peratus kekayaan negara. Malah pemimpin Melayu yang mempertahankan ketuanan Melayu ketika bangsanya sedang dihimpit bukanlah menindas namanya.

Maka tindakan pemimpin-pemimpin Melayu yang tiada harga diri dan sesat di landasan perjuangan adalah pengkhianatan kepada bangsa. Apakah istilah lain kalau bukan pengkhianatan apabila membuka satu perlumbaan sedangkan kaum lain sudah jauh meninggalkan garis mula? Tetapi inilah yang cuba dilakukan di mana bangsanya yang cedera dipaksa berlumba tanpa diberikan sedikit keistimewaan. Tidakkah ini satu penindasan?

Menentang ketuanan Melayu adalah menentang Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Memang benar ketuanan Melayu tidak termaktub dalam Perlembagaan. Ini kerana ketuanan Melayu adalah satu konsep yang lahir daripada huraian terhadap hak-hak keistimewaan orang Melayu yang dilindungi oleh Perlembagaan. Kalau bukan Melayu mempertikaikan kedudukan orang Melayu, kita boleh faham kenapa itu berlaku. Tetapi apabila orang Melayu mempertikaikan hak-haknya sendiri, tentu saja ada agenda di sebaliknya. Inilah ciri-ciri oportunis yang sanggup menggunakan apa saja peluang untuk survival politiknya.

Trend politik begini sangat membimbangkan. Melayu yang memimpin PKR telah membentuk prasangka buruk bukan Melayu kepada Melayu. Mereka memusingkan maksud ketuanan Melayu sebagai agenda Melayu menindas bukan Melayu. Sedangkan ketuanan Melayu itu dilihat sebagai konsep rumah, tuan rumah dan tetamu. Orang Melayu akan melayan tetamu lebih daripada anak sendiri. Tetapi dalam masa yang sama tetamu ada batas-batas tertentu dalam rumah itu tanpa merendahkan tarafnya sebagai tetamu.

Kita tentu tahu kenapa Wan Azizah dan Azmin malah Anwar sendiri tidak memahamkan kepada bukan Melayu tentang konsep ini. Maka kalau selepas ini ada bukan Melayu yang prasangka buruk terhadap ketuanan Melayu, mereka perlulah meletakkan diri sebagai tuan rumah. Adakah mereka akan membuka segenap bilik rumah kepada tetamu? Kalau tidak ada batas-batasnya, apalah ertinya nilainya "rumah" yang jauh berbeza dengan pondok tidak bertuan di tepi jalan. Negara ini adalah rumah yang bertuan.

Kalangan bukan Melayu yang siuman mesti mempunyai pemikiran yang analitikal terhadap beberapa kerat pemimpin politik Melayu oportunis seperti di atas. Tentu ada agenda tertentu yang membuatkan sesetengah pemimpin Melayu menjadi tidak siuman.

Sebenarnya pemimpin begini tidak layak pun berjuang untuk kaum lain. Ini kerana suatu waktu dulu mereka juga mendapat banyak keistimewaan dan kekayaan kerana memperalatkan taraf Melayunya. Malah ketika mempunyai kuasa suatu ketika dulu, tidak sepatah pun menganjurkan gagasan menentang ketuanan Melayu. Kenapa apabila tidak ada kuasa tiba-tiba mahu menjadi wira semua kaum dengan memijak bangsanya sendiri? Kita pasti ada jawapannya.


1 comment:

  1. salam. tahu ke pengkhianat aka sikitol moden itu siapa? dia boleh jadi siapa2 saja. sekadar meminjam nama kitol. dari teknik copy paste posting di atas, hanya menampakkan sikitol dibahagian luar parti. adakah ahli parti sedar bahawa ada sikitol pengkianat berada dalam parti anda sendiri? akar umbi ramai dah menyedari, namun dek kerana sedikit keuntungan peribadi, pencacai-pencacai sikitol ini buat pekak telinga, buat rabun mata, buat kelabukan hati..

    ReplyDelete

KUALA LIPIS BERSEJARAH