Sunday, December 5, 2010

MELAYU : LEBIHKAN KERJA KURANGKAN POLITIKING

Tangguh pemilihan elak politiking

Oleh Kadir Dikoh

2010/12/05

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tangguhpemilihanelakpolitiking/Article


Ruang lebih selesa Presiden UMNO buat persediaan hadapi Pilihan Raya Umum Ke-13

MANDAT pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang ditadbir Barisan Nasional (BN) sekarang hanya akan berakhir pada Mac 2013. Ini bermakna, hayat kerajaan yang ada masih berbaki lebih dua tahun. Selasa lalu, Majlis Tertinggi (MT) UMNO pula membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan di semua peringkat parti selama 18 bulan mulai Oktober 2011 sehingga April 2013.

Penangguhan itu bermakna, memberi ruang lebih selesa kepada UMNO untuk mengadakan pemilihan selepas Pilihan raya Umum Ke-13. Ia juga memberi ruang kepada Datuk Seri Najib Razak sendiri kerana Perdana Menteri kini mempunyai opsyen lebih terbuka bila mahu mengadakan pilihan raya umum, tanpa lagi terlalu terikat dengan pemilihan parti terutama berkaitan jentera UMNO dan BN.

Ini bukan kali pertama UMNO menangguhkan pemilihan kerana pernah beberapa kali ditangguhkan ketika zaman parti itu dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi – semuanya lebih menjurus kepada persiapan menjelang pilihan raya umum bagi mengelak UMNO berpecah sebelum pilihan raya terutama apabila berlaku saingan sengit bagi merebut jawatan tertinggi dalam parti.

Kali terakhir UMNO menangguhkan pemilihan ialah menjelang Pilihan raya Umum Ke-12 pada 2008. Ketika itu, pemilihan dalam parti sepatutnya diadakan pada 2007 tetapi ditangguhkan 18 bulan sehingga Ogos 2008.

Ini membuatkan ramai berteka-teki bila pilihan raya diadakan apabila keputusan menangguhkan pemilihan itu dibuat pada Ogos 2006 meskipun mandat kerajaan ketika itu hanya akan berakhir pada 16 Mei 2009.

Abdullah yang menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO ketika itu, akhirnya mengumumkan pembubaran Parlimen pada 13 Februari 2008 dan pilihan raya kemudian ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 8 Mac 2008 iaitu 15 bulan lebih awal.
Pada zaman Dr Mahathir, pemilihan UMNO pernah ditangguhkan bagi tempoh 18 bulan juga (seperti dibenar/diperuntukkan dalam perlembagaan parti) pada 1999 hingga tahun 2000. Keputusan itu dibuat MT pada 5 Februari 1999 dan sembilan bulan kemudian, pilihan raya umum ke-10 diadakan (November 1999), sedangkan tempoh kerajaan ketika itu hanya akan berakhir pada Jun 2000 iaitu tujuh bulan lebih awal.

Sebelum itu, pada November 2002, MT UMNO turut menangguhkan pemilihan yang sepatutnya diadakan pada Jun 2003 dan kemudian pilihan raya umum ke-11 diadakan pada Mac 2004, 10 bulan lebih awal.

Cuba perhatikan jarak penangguhan pemilihan dalam UMNO dan pilihan raya umum iaitu antara tujuh bulan hingga 15 bulan, sejak zaman Dr Mahathir. Antara sekarang hingga Mac 2013, cuma berbaki 27 bulan.

Lazimnya, apabila berlaku penangguhan pemilihan dalam UMNO, pilihan raya umum diadakan di antara waktu pengumuman itu dibuat dan sebelum tarikh akhir penangguhan 18 bulan penangguhan. Ini bermakna, Pilihan Raya Umum Ke-13 mungkin diadakan tujuh bulan atau setahun lebih awal.

Jika setahun lebih awal, bermakna ia akan diadakan pada sekitar Mac 2012, satu tarikh yang logik jika didasarkan kepada sejarah pilihan raya lalu dan dikaitkan pula dengan penangguhan pemilihan dalam UMNO.

Malah, Najib juga boleh mengadakan pilihan raya itu serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak sebelum Julai tahun depan. Jika Mac 2011 menjadi pilihan popular seperti diramalkan di Sarawak, bermakna pilihan raya umum diadakan dua tahun lebih awal.

“Itu cuma andaian kita (andaian pilihan raya semakin dekat) dan kita tidak tahu apa sebenarnya tujuan penangguhan pemilihan dalam UMNO. Pada zaman Tunku
Abdul Rahman, Tun Razak (Hussein) dan Tun Hussein (Onn), seingat saya tiada penangguhan pemilihan.

“Penangguhan seperti itu hanya bermula pada zaman Tun Mahathir. Apa pun penangguhan itu dibuat pucuk pimpinan dengan niat baik. Dulu tiap tahun ada pemilihan dan kemudian dua tahun sekali dan kini sudah jadi tiga tahun sekali,” kata Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamed Aziz.

Beliau yang juga bekas wakil peribadi Tun Hussein ketika menjadi Perdana Menteri bagi kawasan Parlimen Sri Gading, berkata pada zaman dulu keghairahan untuk menjadi calon pilihan raya tidak begitu ketara dalam UMNO yang mungkin menyebabkan tidak timbul isu penangguhan pemilihan dalam parti.

Apa pun, Pilihan Raya Umum Ke-13 itu penting bagi Najib yang buat kali pertama menghadapinya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri. Berikutan itu juga, tercetus kemungkinan Kabinet dirombak sebelum pilihan raya bagi memberi nafas baru kepada kerajaan dalam menghadapi rakyat yang semakin kritikal dan analitikal.

Jika diteliti kenyataan Najib apabila ditanya media mengenai rombakan Kabinet, beliau cuma menyifatkannya sebagai khabar angin... ‘tak lebih, tak kurang’. Laporan media sebelum ini ada menyebut kemungkinan tiga menteri digugurkan bagi memberi laluan kepada pemimpin muda, selain kenaikan pangkat empat timbalan menteri ke jawatan menteri penuh.

Hari ini, BN akan mengadakan konvensyen, yang tema utamanya berkisar kepada konsep mendahulukan kepentingan rakyat dan pasti, isu pilihan raya umum akan datang menjadi tumpuan perbincangan secara tertutup itu.

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH