PENJAJAHAN MELALUI PERANG PSIKOLOGI
Berdasarkn ceramah & nota Tan Sri Nordin Kardi pd 02/10/10 di Akademi Kenegaraan
http://www.facebook.com/?ref=home#!/note.php?note_id=160255437337690&id=1804977203
by Noriza Hussain on Monday, October 11, 2010 at 1:12pm
Dalam sejarah pengambilalihan sesebuah negara, terdapat langkah-langkah yang beransur-ansur digunakan oleh penjajah iaitu melalui operasi perang psikologi atau ‘psyops’. Begitulah sejak zaman berzaman operasi ini dijalankan, samada kita sedar atau tidak. Bagaimana pula dengan negara tercinta kita Malaysia. Adakah ancaman penjajahan masih berlaku, atau kita hanya ingin menakut-nakutkan orang lain dengan sesuatu yang tidak benar. Mari kita lihat proses-proses atau tanda-tanda dalam langkah penjajahan melalui perang psikologi:-
1- Mencipta rasa tidak selamat, bimbang, risau, resah di kalangan rakyat
Rakyat dipengaruhi bahawa hidup mereka sudah lagi tidak selamat, jenayah berlaku dimana-mana, rasuah, penyelewangan, keganasan berleluasa. Rakyat merasa hidup mereka tidak aman dan tenteram, sentiasa tertekan dengan pelbagai kes-kes kejam dan menakutkan yang berlaku setiap hari dikeliling mereka. Hari demi hari, rasa tidak selamat ini akan dimomok-momokkan oleh sang perancang.
Matlamat serta merta perancang ialah supaya pemerintah dilihat tidak berupaya menyusun, mengatur masyarakat dan mengurus khazanahnya serta menyediakan keadaan yang selamat kepada penduduknya.
2. Alih tumpuan autoriti kepada melawan kerisauan, keresahan rakyat dan bukan melaksanakan tanggungjawab hakiki
Pelancar perang psikologi akan menambahkan tekanan kepada pemerintah dengan menenggelami dan menidakkan kebaikan pemerintah. Sebaliknya pemerintah diburuk-burukkan dengan masalah-masalah penyalahgunaan kuasa, rasuah, penipuan, tidak menunai janji atau apa-apa sahaja yang boleh menghilangkan kepercayaan kepada pemerintah yang dipilih.
Matlamatnya adalah supaya pemerintah sibuk menguruskan persepsi rakyat, isu-isu semasa berjangka pendek hinggakan mengalihkan tumpuan, kebijaksanaan dan sumber dana pemerintah daripada membuat program memajukan rakyat dalam jangka masa panjang. Pemerintah hanya berfikir untuk menyelesaikan masalah yang berlaku pada waktu itu sahaja tanpa membuat perancangan untuk masa depan.
3. Hilangkan kepercayaan kepada peraturan dan autoriti
Setelah rakyat rasa tidak selamat, pemerintah dilihat yang buruk sahaja, maka perancang akan mencabar status quo institusi yang mengatur rakyat dan pemerintah seperti badan kehakiman, PDRM, tentera, SPR, SPRM, Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Negeri. Institusi ini akan diusahakan agar nampak tiada upaya dan tiada kredibiliti untuk menjamin negara dalam keadaan teratur.
Matlamatnya supaya pemerintah dan jenteranya dilihat lemah dan tidak ada kredibiliti. Kesannya, anggota jentera pemerintah mengambil pendekatan populis iaitu menjadi sangat takut dilihat menyokong pemerintah walau sudah jelas institusi itu ditubuhkan oleh pemerintah untuk melaksana dasar pemerintah.
4. Tanamkan rasa takut bertindak autoriti supaya sentiasa teragak-agak
Perancang perang psikologi akan menyemai takut bertindak kepada anggota keselamatan. Polis akan takut bertindak kepada penjenayah, manakala tentera akan takut mati di medan perang.
Matlamatnya agar apabila berlaku pemberontakan dalam negara, rusuhan atau pertempuran, polis tidak dapat mengawalnya manakala jika serangan datang dari luar negara, tentera pula tidak akan melawan.
5. Lambat-lambatkan autoriti dari bertindak dengan menimbunkan masalah tertangguh dan bila autoriti bertindak, tindakan itu kelihatan keras dan dibenci rakyat
Pemerintah akan ditambahkan dengan masalah yang bertimbun-timbun, iaitu masalah yang dulu-dulu sehinggalah masalah kini yang kadang-kala remeh temeh untuk menghilangkan tumpuan pemerintah. Seterusnya perancang akan membuat provokasi terhadap pemerintah supaya pemerintah bertindak balas dengan keras.
Matlamatnya supaya bila saja pemerintah mengambil tindakan keras, pasukan keselamatan tidak mahu mempertahannya, jentera dan institusi pemerintah tidak lagi memihak kepada pemerintah. Ketika itulah, propaganda besar-besaran akan dilancarkan supaya kuasa alternatif dicari dan diberi kuasa.
RINGKASAN DAN CONTOH
Mungkin penerangan yang diberikan terlalu panjang, jadi disini diringkaskan proses penjajahan melalui perang psikologi beserta contoh isu semasa:-
1. Cipta rasa tidak selamat
Rakyat ditakutkan dan dibimbangkan dengan berita-berita menakutkan seperti jenayah ragut, cabul, buang bayi,bunuh, bakar, konspirasi terutama yang berkaitan pihak autoriti supaya minda rakyat tidak berfikir dengan rasional, hanya ketakutan dan kebimbangan dalam fikiran mereka. Lama-kelamaan rakyat akan berasa amat tertekan dan mula menyoal salah siapa, lalu tuding menuding pun berlaku.
2. Alih tumpuan autoriti
Pemerintah mempunyai tanggungjawab membuat perancangan untuk kebaikan masa hadapan rakyat, bukan hanya masa kini. Sebaliknya pemerintah terpaksa menjelaskan apa yang ia lakukan disebabkan sesuatu isu lama atau semasa timbul akibat dikorek korek segala kelemahan dan keburukan autoriti. Masa yang ada terpaksa dihabiskan dengan memberi penerangan kepada rakyat. Contohnya kematian Teoh Beng Hock di bangunan SPRM dan Kugan dalam tahanan polis. Suruhanjaya terpaksa ditubuhkan semata-mata untuk mengurus persepsi serong rakyat.
3. Hilangkan kepercayaan rakyat terhadap autoriti
Bila sebut sahaja autoriti atau yang berkaitan dengan pemerintah, rakyat akan hanya nampak kelemahan dan keburukan sahaja. Contohnya polis dengan masalah korupsi dan rasuah, tentera dengan masalah kapal selam yang tidak boleh selam serta enjit jet kononnya bernilai beratus juta dicuri, SPRM yang tidak telus, hanya menangkap ikan bilis bukannya jerung, badan kehakiman yang dikatakan membuat keputusan berat sebelah iaitu hanya memenangkan pihak kerajaan, BTN dikatakan rasis dan lain-lain lagi.
4. Pihak autoriti ditanamkan rasa takut bertindak
Kini penjenayah pula yang dibela, sebaliknya anggota keselamatan dipandang seperti penjenayah. Contohnya kes kematian Kugan dalam tahanan, semua memandang seolah pihak polis selalu terlibat dengan penyalahgunaan kuasa. Begitu juga kes kematian seorang pelajar yang memandu kereta tanpa lesen tetapi mati ditembak anggota polis. Baru-baru ini pulak, En Hamim iaitu pegawai di BTN dituduh rasis kerana menyebut ’si sepet’ dan ’botol’. Semua keadaan ini mengakibatkan agensi-agensi pemerintah tidak mahu dikaitkan atau menyokong legitimasi pemerintah. Mereka menjadi takut kepada ’the unseen’, benda yang tidak nampak.Lama kelamaan pasukan keselamatan seperti polis dan tentera sudah tidak lagi bersama dengan pemerintah. Apabila berlaku pemberontakan, pasukan menjaga keamanan tidak akan melawan.
5. Provokasi terhadap pemerintah supaya pemerintah bertindak balas dengan keras
Bila saja pemerintah bertindak dengan keras, institusi pemerintah terutama polis dan tentera tidak pula mahu mempertahankannya. Maka propaganda terhebat dilancarkan supaya kuasa yang ada dilucutkan, kuasa yang baru dinaikkan.
Apakah tanda-tanda penjajahan negara telah bermula? Jika telah bermula di peringkat manakah kita? Setiap rakyat Malaysia sewajarnya mempunyai panduan bagaimana mempertahankan negara dari diragut kedaulatannya. Maka perlulah kita berada dalam satu jemaah. Ingatlah bahawa sayangkan watan merupakan sebahagian daripada iman.
Ulasan berdasarkan pemahaman penulis menerusi syarahan dan nota Tan Sri Nordin Kardi. (10/10/10).
No comments:
Post a Comment