Sunday, April 4, 2010

SELAMAT ULANG TAHUN PERTAMA YAB PM


Negara keluar dari 'tsunami politik'

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan AZRAN FITRI RAHIM
utusankelantan@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm


MACHANG 3 April - Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya mengemudikan negara ini keluar daripada 'tsunami politik' dan kegawatan ekonomi sehingga berada pada landasan yang meyakinkan serta melegakan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam tempoh setahun, Najib juga berjaya mengukuhkan lagi jentera pentadbiran kerajaan agar perancangan dalam menjayakan agenda besar untuk rakyat menjadi lebih berkesan.

Katanya, perkembangan itu kembali mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional dan kian menyerlah melalui gagasan 1Malaysia yang telah mempengaruhi dan memaut semua lapisan masyarakat untuk membangunkan negara.

"Apa yang berlaku dalam masa 365 hari itu adalah manifestasi kepada usaha Perdana Menteri yang telah mengubah wajah negara kita dari segi kerajaan dan rakyat merasa lebih selamat serta selesa.
''Ini kerana langkah yang diambil beliau untuk menangani kegawatan ekonomi telah mula menunjukkan hasil memberangsangkan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Juara Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah I di sini hari ini.

Hadir sama, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan ketiga-tiga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Muhyiddin mengulas mengenai pencapaian Najib selepas setahun menjadi Perdana Menteri dan menerajui pentadbiran negara.

Beliau yang turut mengucapkan tahniah di atas pencapaian Najib itu menambah, dalam tempoh yang singkat tersebut, kestabilan politik pembangkang pula semakin goyah dan segala kepincangan mula terdedah.
Katanya, disebabkan pencapaian yang memberangsangkan, pembangkang cuba mengambil kesempatan dengan menimbulkan isu untuk mengeruhkan hubungan mereka berdua.

"Ini adalah cubaan sia-sia untuk memecah belahkan hubungan di antara saya dengan Najib, saya tahu di mana kedudukan saya untuk membantu beliau menguruskan pentadbiran negara dan parti.

"Saya selaku timbalan sentiasa bekerja rapat, tidak ada apa-apa perselisihan dan masalah di antara kami, perjuangan saya bersama UMNO tetap utuh malah sentiasa bekerja rapat dalam meneruskan agenda kerajaan," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, kepimpinan Najib sebagai pemacu negara tetap diyakininya dan sebarang usaha untuk memecahkan hubungan mereka tidak akan memberikan kesan.
Katanya, keyakinan itu berasaskan tempoh genap setahun Najib mentadbir negara walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dari aspek politik dan ekonomi.

''Bermula 2008 kita tahu pelbagai krisis melanda negara menjadikan keadaan di dalam negara terumbang-ambing namun krisis itu kini berjaya diselesaikan.

''Beliau layak menerima penghargaan ini kerana tempoh setahun adalah masa yang singkat tetapi perubahan besar telah dilakukan untuk negara ini," katanya.

Tulisan yang berkaitan.....

Friday, March 26, 2010

UMNO : PERLU BERUBAH SEBELUM DIUBAH



Berubah Atau Diubah

Mar 25th, 2010 By administrator Category: Berita Lain

http://umno-online.com/?p=7273


Pada setiap pertemuan dengan pemimpin dan ahli-ahli akar umbi UMNO, dua perkataan paling kerap disebut Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak ialah BERUBAH atau bersedia untuk DIUBAH.

Presiden parti selalu mengingatkan, jangan biarkan mimpi ngeri 8 Mac 2008 berulang. UMNO mesti bingkas bangun. Lakukan pembetulan, perubahan, penambah baikkan dan transformasi supaya parti teras Barisan Nasional ini tetap dominan dan menjadi pilihan rakyat.

Kata Najib bagi mentransformasi dan membina negara bangsa, selain Gagasan 1Malaysia dengan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, tonggak-tonggak lain ialah Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru (MEB), Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Wawasan 2020.

“Gagasan 1Malaysia akan memacu bangsa Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020. Manakala MEB dan RMK-10 adalah merupakan komitmen dan landasan terakhir kita untuk dinakhodai 10 tahun akan datang sebelum menjelangnya tahun 2020,’’ ujar beliau

Najib telah membuktikan kesungguhan melakukan proses transformasi . Pada parti mesti ada imej baru dan berubah untuk menyenangkan hati rakyat. UMNO ubah perlembagaan dan buat kali pertama sejak 1987, jawatan Presiden tidak ada perlindungan undi bonus.

’’Kalau hendak buat perubahan dalam parti mesti bermula daripada jawatan Presiden.. Inilah yang dikata UMNO lebih terbuka, demokratik dan inklusif,’’ kata Najib pada satu pertemuan dengan pemimpin akar umbi.

Perubahan yang hendak dilakukan juga bukan sekadar retorik, tidak mampu memberikan kesan mendalam, sebaliknya ia harus meletakkan UMNO relevan dengan masa.
Pesan Najib:“ kalau ada program dengan rakyat, turunlah. Tunjukkan kita menjuarai penyelesai masalah rakyat. Turun ke bawah bersama mereka. Kembali kepada semangat tradisi membela rakyat,’’.

Dalam soal ini, komitmen pemimpin dan ahli UMNO amat penting kerana mereka tidak boleh menganggap seruan ke arah melakukan perubahan berkenaan sekadar satu seruan sahaja.
Ahli-ahli UMNO perlu sentiasa ingat pesan Najib bahawa urusan seperti biasa bukan lagi menjadi pilihan UMNO jika tidak mahu mengulangi mimpi ngeri Mac2008.

“Kita tidak ada pilihan, ubah sikap. Utamakan kepentingan parti atau bersedia untuk diubah oleh rakyat melalui penolakan dalam pilihan raya sehingga hilang tampuk kekuasaan politik.

“Contohi serta ambil teladan empat sifat Nabi Muhammad SAW iaitu sidiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana) kerana ia merupakan ciri-ciri penting untuk mencapai kecemerlangan..

‘’ Dalam sirah perjuangan Rasulullah, tiada kejayaan yang mudah diperolehi oleh Baginda dan para sahabat melainkan melalui perancangan, perundingan dan pelaksanaan yang penuh berstrategi dan konsisten,’’ kata Najib.

Pastinya Berubah atau DiUbah menyentak minda pemimpin dan ahli-ahli UMNO.
Mesej Najib mesti dihayati dan diterjemahkan menerusi gerak kerja bersepadu, keikhlasan dan keberanian bertindak menyusun strategi perjuangan bagi memastikan seluruh tenaga digembleng untuk kemenangan PRU13.

UMNO perlu sentiasa dekati dan berikan khidmat bakti menjaga kebajikan rakyat. Jika hari ini UMNO berbudi, satu hari nanti rakyat akan ingat dan menyokong kepimpinan parti itu.

Jika ahli UMNO benar-benar mahu memastikan kelangsungan perjuangan parti keramat ini sebagai tulang belakang kerajaan, maka berazamlah untuk melakukan transformasi dalam semua aspek seperti yang dikatakan sebelum ini.

Bersedialah mengambil langkah-langkah pembetulan dengan segera. Jangan sekali-kali dijangkiti sindrom penafian kerana ia satu penyakit besar yang hampir menumbangkan UMNO.

Memetik kata Najib;“ Kalau hendak menang mesti kerja dengan bersungguh-sungguh. Kena bangun daripada tidur dan mimpi ngeri 2008. Rakyat sentiasa memerhati kita. Kembali kepada semangat membela dan menjuarai rakyat.’’

Sunday, March 21, 2010

YAB DATO' SRI NAJIB DI RUMAH KELAHIRAN



Rumah kelahiran PM dijadikan muzium warisan sejarah





2010/03/21


KUALA LIPIS: Rumah kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Bukit Bius, di sini akan dijadikan Muzium Warisan Sejarah Kuala Lipis tidak lama lagi. Yang Dipertua Majlis Daerah Lipis (MDL), Datuk Abu Jamal Nordin, berkata hampir RM1 juta dibelanjakan untuk konservasi rumah berkenaan sejak 13 November 2007 dan siap pada 12 Mei 2008.

Bagaimanapun, katanya, kos tambahan sebanyak RM640,000 diperlukan untuk kerja akhir melengkapkan muzium itu. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat mengenai bekas rumah kediaman Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang kepada Perdana Menteri di sini, semalam.
Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah isteri dan ibu Najib, Datin Seri Rosmah Mansor serta Tun Rahah Mohd Noah. Pengisian muzium itu antara lain ialah sejarah daerah Lipis, sejarah bangunan, sejarah penjajahan British, sejarah Kesultanan Melayu Pahang, tokoh politik daerah, pejuang kemerdekaan daerah, makanan tradisional dan sejarah perlombongan emas Lipis. Rumah banglo dua tingkat yang dibina sekitar 1920-an itu adalah kediaman rasmi Almarhum Tun Abdul Razak Hussein ketika beliau menjawat jawatan SUK Pahang.

Sementara itu, empat generasi warga Kuala Lipis menyerahkan warkah penghargaan kepada Perdana Menteri, sebagai tanda menghargai sumbangan kerajaan terhadap penduduk luar bandar. Bekas guru, Abdul Hamid Abdul Rahman, 86, dari Kampung Paya Perah, Penjom dekat sini bersama anak, cucu dan cicitnya mewakili empat generasi penduduk luar bandar berbuat demikian sebagai tanda penghargaan kerana menikmati pelbagai pembangunan yang dilaksa-nakan kerajaan.

Wednesday, March 17, 2010

MAJLIS BERSAMA YAB PM

Majlis Bersama YAB Perdana Menteri Malaysia



Tarikh : 20 Mac 2010 (Sabtu) / 4 Rabiulakhir 1431

Masa : 2.30 petang

Tempat : Dewan Dato' Haji Omar Othman, Wisma UMNO Lipis


"Sireh pulang ke gagang"
"Ikan pulang ke lubuk"
"Belud pulang ke lumpur"

Keterangan lanjut.....
http://umno-online.com/?p=7062

Sunday, March 14, 2010

LAPAN TONGGAK PERDANA YAB PM



Transformasi perkhidmatan awam


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm

Teks Ucapan Penuh, sila rujuk...

http://www.pmo.gov.my/?menu=speech&news_id=207&page=1676&speech_cat=2


PUTRAJAYA 13 Mac - Perkhidmatan awam yang dianggotai kira-kira 1.2 juta kakitangan tidak terkecuali daripada perlu melakukan transformasi segera sejajar dengan tuntutan untuk menzahirkan aspirasi kerajaan.

Peranan penjawat awam amat signifikan dalam melaksanakan agenda negara dan mereka perlu melihat dengan sepasang mata yang baru melalui lensa yang segar bagi memastikan ia mampu menghadapi cabaran yang diletakkan di hadapan dengan penyelesaian yang tidak mempunyai cacat dan cela.

Usaha itu sangat perlu khususnya ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mula melaksanakan transformasi besar-besaran dengan memperkenalkan lapan tonggak perdana yang melibatkan empat tiang utama dan empat nilai asas pelengkap di dalam pentadbirannya.

Empat tiang utama itu ialah Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) manakala empat nilai asas pelengkap ialah Membudayakan Kreativiti dan Inovasi; Mementingkan Kepantasan Bertindak dan Membuat Keputusan; Nilai Untuk Wang dan Nilai Integriti.

Lapan tonggak itu yang diilhamkan oleh Perdana Menteri ialah sebagai panduan kepada penjawat awam menggalas amanah dan tanggungjawab bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi.
Lebih signifikan lagi, cetusan idea Perdana Menteri itu diperkenalkan kepada 4,000 penjawat awam ketika hampir setahun pentadbirannya, semasa Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 (MAPPA XI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Selasa lalu.

Beliau memilih persidangan itu sebagai platform menjelas dan menekankan peranan yang perlu dimainkan oleh sektor awam untuk melaksanakan gagasan dan hasrat kerajaan.
Gagasan 1Malaysia adalah satu falsafah induk yang bersifat merentas dasar serta pelaksanaan kerana matlamat itu adalah perpaduan nasional.

"Inilah matlamat yang menjadi cita-cita dan aspirasi semua warga Malaysia sejak dulu lagi. Sama ada suka atau tidak, sebagai sebuah negara majmuk tanpa dipacu perpaduan nasional, apa pun cita-cita kebangsaan yang lain seperti usaha mencapai taraf hidup yang lebih baik untuk setiap warga akan hanya tinggal angan-angan kosong.
"Terbukti tanpa perpaduan nasional, tidak mungkin wujud kestabilan politik yang menjadi teras kepada segala-galanya," kata Perdana Menteri.

Transformasi kerajaan pula bertujuan menjadikan kerajaan lebih responsif terhadap aspirasi dan lebih prihatin kepada denyut nadi rakyat, seperti yang sering disebut Perdana Menteri bahawa era kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir dan perlu bersifat sebagai pemudahcara.

Tiang utama ketiga dan keempat, iaitu MEB dan RMK-10, merupakan dua insiatif ekonomi bagi memeta hala tuju jangka panjang, sederhana dan jangka pendek. Empat tiang utama dan empat nilai asas pelengkap itu saling melengkapi antara satu sama lain dan bagi membudayakan kreativiti dan inovasi, penjawat awam mesti berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan mencari penyelesaian kreatif dan inovatif di luar kelaziman.

Peranan pantas bertindak dan membuat keputusan itu pula amat penting kerana tindakan sedemikian akan meningkatkan velocity of money atau halaju kitaran wang dalam sistem ekonomi negara.

Begitu juga dengan nilai untuk wang supaya mengelakkan pembaziran dalam usaha memastikan setiap ringgit dan sen yang dibelanjakan mendapat pulangan nilai paling maksimum kepada kerajaan dan rakyat.

Aspek integriti turut ditekankan oleh Najib kerana padanya, transformasi ke arah menjadi masyarakat maju bukan sahaja diasaskan kepada kemajuan ekonomi dan teknologi malah turut melibatkan kemajuan dalam pembangunan sosial, budaya, intelek dan rohani.

- BERNAMA.

Friday, March 12, 2010

MEMILIH PEMIMPIN


Berhati-hati Memilih Pemimpin

06.03.2008 by Dr. Danial Zainal Abidin Category Islam & Cemerlang

http://ondastreet.wordpress.com/2009/06/04/tazkirah-jumaat-antara-aku-dan-pemimpinku/

Dalam surah al-Hajj ayat 40-41, Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong Agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali segala urusan”. Dalam ayat ini Allah menceritakan tentang golongan yang mendapat pertolongan daripada Allah. Mereka ialah golongan yang ‘diteguhkan kedudukan mereka di muka bumi’ berdasarkan kalimat ‘makkannaahum fil ardh’ dalam surah al-Hajj ayat 41. Imam al-Hasan dan Abu al-‘Aliyah mentafsirkan golongan ini sebagai ‘golongan daripada umat ini yang diberikan kemenangan oleh Allah’. Imam Ibn Abu Najih mentafsirkannya sebagai ‘pemimpin-pemimpin’. Imam ad-Dahhak mentafsirkannya sebagai ‘mereka yang kurniakan kerajaan dan kekuasaan oleh Allah’. Kesemua pendapat ini dilaporkan dalam al-Jamik li Ahkamil Quran oleh Imam Qartubi.

Pemimpin yang bagaimanakah yang mendapat pertolongan dan diredai Allah? Secara dasarnya Allah tidak memberi cek kosong kepada para pemimpin, sebaliknya yang diberikan kepada mereka adalah amanah dan tanggungjawab. Antara tanggungjawab itu ialah “mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar”.

Pemimpin Dan Solat

Seseorang pemimpin Muslim memerlukan bantuan dan pertolongan untuk melaksanakan tugasnya dengan baik, dan penolong yang terbaik baginya ialah Allah. Justeru pemimpin Muslim perlu sentiasa mendekati Allah dengan beribadah kepadanya, dan ibadah yang paling penting ialah solat.

Seorang Muslim yang tidak melaksanakan solat tidak layak menjadi pemimpin. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim nabi bersabda, “Sebaik-baik pemimpinmu ialah mereka yang kamu kasihi dan mereka mengasihimu dan kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat pemimpinmu ialah mereka yang kamu benci dan mereka membencimu dan kamu mengutuk mereka dan mereka mengutukmu.’ Sahabat-sahabat pun berkata, ‘Bolehkah kami menentang mereka?’ Jawab Nabi, ‘Tidak, selama mana mereka tetap menegakkan solat’.” Hadis ini menunjukkan apabila seseorang pemimpin Muslim memperkecilkan solat, dia perlu turun dari jawatan kepimpinannya.

Pemimpin Dan Zakat

Hubungan yang baik dengan Allah perlu disusuli dengan hubungan yang baik sesama manusia. Dalam erti kata yang lain, seseorang pemimpin Muslim perlu berada di masjid untuk beribadah dan perlu juga berada di rumah rakyat untuk membantu mereka. Kebajikan rakyat tidak boleh diabaikan termasuk dalam aspek material dan kesenangan duniawi. Jika boleh kemiskinan dibasmi sepenuhnya dan semua rakyat hidup dalam keadaan senang lenang.

Antara contoh yang terbaik ialah pemerintahan khalifah Omar bin Abdul Aziz. Beliau terkenal sebagai seorang pemimpin yang bertakwa lagi adil. Pemerintahannya memakan masa 30 bulan. Dalam masa itu kemiskinan berjaya dibanteras dan rakyat ketika itu hidup dalam kemewahan. Berhubung dengan ini Yahya bin Said meriwayatkan, “Khalifah Omar Abdul Aziz mengutus aku untuk mengutip zakat di Afrika. Aku pun melaksanakan tugas ini dan kemudiannya aku pun mencari golongan fakir miskin untuk di berikan zakat namun golongan ini tidak aku temui. Sesungguhnya khalifah Omar Abdul Aziz telah menjadikan kami manusia yang kaya raya”.

Ibadah zakat yang disebutkan dalam surah al-Hajj ayat 41 menekankan tentang aspek ini. Kebajikan rakyat dalam aspek duniawi tidak boleh dipandang ringan.

Pemimpin Dan Amar Makruf Nahi Mungkar

Terdapat sebahagian pemimpin Muslim yang tidak melupakan solat dan zakat, tetapi mereka melupakan tanggungjawab untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkiran. Mereka juga tidak layak memimpin masyarakat. Berhubung dengan ini Imam Qartubi, dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, melaporkan perkataan Imam Sahl bin Abdullah yang bermaksud, “Mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran adalah wajib ke atas mereka yang berkuasa serta ulama”.

Tidak ada kemuliaan bagi mereka yang mengabaikan amar makruf dan nahi mungkar. “Makruf” bermaksud “sesuatu yang baik mengikut pandangan syarak dan akal,” dan “mungkar” pula bermaksud “sesuatu yang berlawanan dengan makruf sebagai contoh, meninggalkan perkara yang difardukan serta kewajipan, ataupun melakukan perbuatan yang haram sama ada berbentuk dosa kecil ataupun besar”. Tafsiran ini disebutkan oleh Muhammad ibn Illan Al-Makki dalam Dalilul Falihin (Maktabah Al-Halabi, Mesir; jilid 2)

Aspek ini amat dipentingkan oleh Islam sehinggakan, mengikut riwayat Muslim, Nabi mengizinkan penentangan dilakukan jika pemimpin melakukan ‘kufran bawaahan.’ Sahabat Abdullah bin Samit meriwayatkan, “Kami berbaiah (iaitu membuat perjanjian taat setia) agar tidak menentang kepimpinan melainkan jika berlaku ‘kufran bawaahan’ di mana di sisi Allah bukti-buktinya adalah amat jelas.” Imam Nawawi mentafsirkan ‘kufran bawaahan’ sebagai ‘maksiat yang dilakukan oleh seseorang pemimpin yang jelas bercanggah dengan kehendak agama Allah dan kaedah-kaedah Islam’. Hal ini dilaporkan dalam kitab Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah; juz. 12, 1924).

Justeru seseorang yang tidak menyeru kepada makruf dan pada ketika yang sama membiarkan serta menggalakkan perbuatan mungkar (dan yang lebih teruk lagi ialah dia sendiri terlibat melakukan kemungkaran itu), maka dia tidak layak menjadi pemimpin umat. Qadhi Iyad memfatwakan, “Apabila berlaku ke atas seseorang pemimpin tanda-tanda kekufuran, perbuatan mengubah syariat ataupun amalan bidaah, wajiblah dilucutkan kepimpinannya dan gugurlah ketaatan rakyat kepadanya. Ketika itu beliau hendaklah digantikan dengan seorang yang adil”. Fatwa ini dilaporkan dalam Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah; juz. 12, 1924).

Usaha untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa ilmu. Justeru seseorang pemimpin Muslim wajib menguasai ilmu apatah lagi ilmu agama. Rata-ratanya kita sudah mengetahui bahawa ilmu yang diperlukan bukanlah semata-mata ilmu tentang tajwid, rukun solat, mandi wajib, wuduk, tayamum dan yang seumpamanya. Ia lebih dari itu.

Di samping itu beliau juga merupakan peribadi yang bersedia untuk terus belajar dan mendengar serta menghormati pandangan golongan ilmuwan terutamanya dalam bidang agama.

Berhati-hati Memilih Pemimpin

Ketika dalam perjalanan kita disuruh berhati-hati di jalan raya. Hadis-hadis pula menyuruh umatnya berhati-hati ketika memilih pasangan hidup serta kawan. Maka dalam konteks memilih pemimpin ia sudah pasti lebih dituntut lagi kerana isunya adalah lebih besar dan kesannya lebih meluas.

Dalam surah Al-Baqarah ayat 124, Allah berfirman, “Berkata Allah (kepada Ibrahim), ‘Sesungguhnya Allah akan menjadikan kamu Imam (pemimpin) untuk manusia’. Berkata Ibrahim, ‘Dan juga dari keturunanku.’ (Berfirman Allah), ‘Janji-Ku tidak akan diberikan kepada mereka yang zalim’.” Ayat ini menunjukkan pemimpin tidak boleh dilantik secara sembarangan. Sehubungan dengan ini Imam Qartubi dalam Al-Jamik li Ahkamil Quran berkata, “Ayat ini (iaitu al-Baqarah ayat 124) merupakan dalil bagi satu jemaah ulama Islam bahawa pemimpin-pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia…..Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin”.


Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin Untuk mindasuper.com

Hasil Nukilan :

Dr. Danial Zainal Abidin
dzcsyifa@streamyx.com

http://danialzainalabidin.com/

Wednesday, March 3, 2010

PERSOALAN TAAT KEPADA PEMERINTAH



KEWAJIPAN UMAT TERHADAP PEMERINTAH

http://fantrealika.tripod.com/islam1.htm


Menurut Abu Yaala; "Apabila pemerintah telah melaksanakan tanggung jawabnya terhadap umat, maka wajiblah ke atas umat terhadap pemerintah dua perkara; taat dan menolong pemerintah dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Dalil-dalil dari Al-Quran dan Hadis yang menunjukkan wajib taat kepada pemerintah adalah seperti berikut:


Maksud Firman Allah dalam Surah An-Nisa ayat 59:

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu".


Maksud Hadis:

"Sesiapa yang taat kepada Ku, beerti ia taat kepada Allah, sesiapa yang derhaka kepadaKu bermakna dia derhaka kepada Allah; sesiapa yang taat kepada pemerintah bermakna ia taat kepadaKu, dan sesiapa yang derhaka kepada pemerintah bermakna ia derhaka kepadaKu." (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, An-Nasa'i dan Ibnu Majah).


Wajib ke atas setiap Muslim patuh dan taat kepada pemerintah samada ia suka atau tidak, selama mana ia tidak diperintah melakukan maksiat; sekiranya ia diperintah melakukan maksiat, maka janganlah patuh dan taat."


Maksud Hadis:

"Kamu akan diperintah olek pemerintah-pemerintah selepas aku; yang baik akan memerintah kamu dengan kebaiknannya dan yang tidak baik akan memerintah kamu dengan keburukannya, maka hendaklah kamu dengar dan taat kepada mereka pada setiap perintah yang sesuai dengan kebenaran; sekiranya mereka melakukan kebaikan, maka kebaikan itu bagi kamu dan bagi mereka; tetapi sekiranya mereka melakukan kejahatan, maka kamu akan beroleh kebaikan, tetapi mereka akan menerima akibat kejahatan yang mereka lakukan." (Hadis ini disebut oleh AI-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam al-Sultaniah dari riwayat Abu Hurairah).


Maksud Hadis:

"Sesiapa yang menarik kesetiaannya kepada pemerintah, ia menemui Allah tanpa sebarang hujah, sesiapa yang mati tanpa kesetiaan kepada pemerintah, mati ia seperti dalam jahiliah (maksiat)". (Riwayat Muslim)


Maksud Hadis:

"Taatilah kepada pemerintah kamu bagaimanapun keadaannya sekiranya mereka memerintahkan kamu dengan perintah yang sesuai dengan ajaranKu, maka mereka akan diberi pahala dan kamu juga akan diberi pahala kerana mentaati mereka; sekiranya mereka memerintah kamu dengan perintah yang tidak sesuai dengan ajaranKu, maka dosanya ditanggung oleh mereka dan kamu terselamat dari dosa." (Riwayat Al-Tabari)


Maksud Hadis:

"Sekiranya kamu berada di bawah pemerintah-pemerintah yang menyuruhkan kamu mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan berjihad, maka haramlah ke atas kamu mencaci mereka dan halallah bagi kami mengikut mereka". (Riwayat Al-Tabrani)


Inilah nas-nas Al-Quran dan Hadis yang mewajibkan umat yang mentaati pemerintah Islam (Waliyullah Amri). Abu Hurairah mentafsirkan perkataan ulil amri dalam ayat 59 Surah An-Nisa' di atas sebagai 'golongan pemerintah' (Tafsir Al-Tabari).


Prinsip ketaatan kepada pemerintahan ini sangat penting dalam Islam, kerana kehidupan umat serta peraturan-peraturan yang dibawa oleh Islam "tidak akan dapat ditegakkan tanpa wujudnya pemerintah yang ditaati" (Imam al-Ghazali, al-Iqtisad dan Fi al-I'tiqad). Kerana itu mentaati ketua negara adalah "sebahagian dari asas-asas utama bagi syariat Islam yang suci dan benar ini" (al-Absyihi al-Mustatraf).


Bertolak dari prinsip ini jugalah, maka perbuatan mencabar pemerintah yang sah sehingga membawa kepada perpecahan masyarakat yang boleh memecahkan perpaduan dan melemahkan umat, adalah merupakan kesalahan yang dipandang berat oleh agama, seperti yang tersebut dalam sebuah hadis:


Maksud Hadis:

"Sesiapa yang datang kepada kamu pada hal kamu semua bersatu di bawah seorang pemerintah, ia ingin penderhakaan dan memecah perpaduan kamu, maka hendaklah ia dibunuh." (Riwayat Abu Muslim, Abu Daud, dan An-Nasa'I)

Friday, February 26, 2010

SALAM MAULIDUR RASUL 1431

Maulidur Rasul mengukuhkan perpaduan

Oleh MOHD. SHAUKI ABD MAJID

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm

TERSENTAK hati dan rasa kesal kerana ada di kalangan umat Islam sendiri membuat kenyataan bahawa sambutan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai fadilat dan menyimpang. Setelah tradisi berjalan sekian lama, hanya sambutan kali ini menimbulkan kontroversi.

Lebih menyedihkan apabila mereka yang menggelarkan diri sebagai intelektual Islam pragmatik membenarkan diri menepis tradisi yang telah sekian lama berakar umbi itu.

Tidakkah mereka yang menentang sambutan ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW pada hari ini sedar, cara itu akan meningkatkan semangat setiap orang Islam untuk merujuk kepada wawasan Islam dan petunjuk yang ditinggalkan oleh baginda? Dengan mengingati kelahirannya, umat Islam akan kembali mengimbau bagaimana seorang anak yatim yang berhati mulia telah berjaya memimpin umat sehingga menjadikan Islam sebagai agama penuh rahmat?

Dengan mengingati ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, kita akan menilai kembali apakah selama ini kita telah berbuat sesuatu yang betul sebagaimana diteladani oleh baginda? Ini akan memberikan kita keinsafan, bahawa rentang sejarah yang bakal kita lalui nanti akan dipenuhi dengan langkah penuh keinsafan, berpedoman dan perasaan rendah diri atas teladan yang ditinggalkan.

Maulidur Rasul perlu disambut sebagai tanda orang Islam menyayangi baginda dan mengeratkan hubungan kerohanian antara baginda dengan umatnya. Allah sendiri memuliakan Nabi, maka adalah sunat bagi umat Islam meraikan hari kelahiran baginda. Kalau ada yang mengatakan bahawa perayaan Maulud Nabi merupakan satu perbuatan bid'ah maka bid'ah yang kita lakukan itu adalah untuk menunjukkan rasa cinta yang amat mendalam terhadap Rasulullah SAW. Biar orang tahu bahawa pelaku bid'ah itu mencintai Nabi. Di samping lambang penyatuan umat, ia adalah sesuatu yang memang dianjurkan oleh Islam.

Kenapa kita terlalu mencintai Rasulullah SAW? Apakah yang akan terjadi apabila hati sangat terpaut dengan seseorang yang kita cintai? Pertama, sudah tentu perilaku kita (fikiran, perasaan dan tindakan) akan sangat dipengaruhi oleh apa dan siapa yang kita cintai. Kedua, jika kita mencintai seseorang, sudah tentu kita akan berusaha untuk berperilaku seperti orang itu.
Mencintai Rasulullah SAW pasti akan menjadi paksi seluruh kehidupan kita. Di mana sahaja orang membicarakan tentang kemuliaan Nabi SAW, kita juga akan bersama menghayati sejarah hidupnya dan sunahnya. Kita akan menggabungkan diri dengan orang-orang yang mencintainya. Sudah tentu kita akan berasa bahagia ketika menyaksikan orang yang memuliakan baginda, sebaliknya menjadi amat kecewa apabila ada yang cuba mencaci dan memperlekehkan baginda.
Pada hakikatnya, meneladani perilaku Nabi Muhammad tidak dapat direalisasikan hanya dengan mempelajarinya. Kita harus memasukkan cinta kepada baginda terlebih dahulu ke lubuk hati dengan rasa insaf dan rendah diri. Setelah rasa cinta tertanam, maka dengan mudah ia akan membangkitkan nikmat dan rahmat dalam setiap tindakan kita dan dengan semangat itulah, ia akan membangkitkan gerakan kita untuk meneladani Rasulullah SAW.

Mencintai Rasulullah SAW menjadi satu keharusan dalam iman. Ia menjadi prinsip, bukan pilihan suka atau tidak suka. Seorang Muslim harus menyimpan rasa cinta kepada Nabi Muhammad. Idealnya, kita akan mencintai baginda lebih daripada segala sesuatu yang lain, bahkan diri sendiri. Justeru, hari kelahirannya dikira 'hari Allah' yang bersejarah dalam agama Allah dan diperintahkan untuk memperingatinya seperti mana Firman-Nya yang bermaksud: "...dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari Allah (peristiwa agama yang bersejarah bagi suatu ummah)." (maksud Surah Ibrahim: 5)

Bagi umat Islam hari ini, tiada suatu nikmat lain yang lebih besar daripada kelahiran dan kedatangan junjungan besar Rasulullah SAW ke alam maya ini.Baginda diutuskan sebagai rahmat untuk alam semesta.

Acara sambutan ini pernah diadakan oleh penduduk Madinah sewaktu menyambut ketibaan Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrahnya. Mereka beramai-ramai berarak mengalu-alukan kehadiran baginda.

Soalnya, apakah nikmat kedatangan utusan Allah SWT itu dinilai begitu remeh dan hina sekali? Menolak usaha memperingati kehadiran insan mulia ini sebenarnya adalah satu usaha memecahbelahkan perpaduan umat dan sesungguhnya ia adalah satu sikap politik yang terlalu sempit dan jumud.

Perlu difahami walau bagaimana tinggi sanjungan dan selawat yang dipersembahkan kita sebagai umatnya, selama-lamanya pun tidak dapat menandingi jasa dan kelebihan rahmat dan petunjuknya kepada kita. Sebab itulah, kita disuruh sentiasa berselawat dan mengucap selamat kepadanya untuk kebaikan kita sendiri

Penulis ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Tuesday, February 23, 2010

UCAPAN PERASMIAN PENUTUP KONVENSYEN

Kukuhkan UMNO


Tutup Buku Lama, Kukuhkan UMNO
Feb 22nd, 2010 By administrator Category: Berita Pilihan

http://umno-online.com/?p=6048

BANDAR JENGKA, 21 Feb – Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua pemimpin Umno, termasuk di peringkat bahagian, membuang segala sengketa dan kembali mengukuhkan perpaduan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata tempoh pilihan raya akan datang yang dijangka dua tahun lebih lagi bukanlah tempoh yang panjang untuk mengembalikan semula kekuatan Umno yang mengalami “tsunami politik” pada pilihan raya umum lepas.

“Kenapa tempat yang kita menang dulu tapi kalah pada pilihan raya umum 2008. Kita kalah sebab kita tidak ada perpaduan, kita berbalah, sengketa sesama kita. Kita kena balik semula, berjuang untuk pertahankan agama dan bangsa,” katanya ketika berucap menutup Konvensyen Umno Pahang di sini Ahad.

Muhyiddin berkata pemimpin dan anggota Umno juga perlu kembali menilai diri, kelemahan diri dan membuat perubahan bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada Umno.
“Selepas pilihan raya umum lepas, banyak ’suara-suara’ disampaikan kepada kita, (antaranya) parti kita sudah lama berkuasa; kita sudah lupa; kita sombong; tak selesaikan masalah rakyat.
“Ini adalah persepsi, (namun), dalam politik, persepsi itulah yang mempengaruhi mereka (rakyat) untuk mengundi kita atau sebaliknya,” kata Muhyiddin.

Beliau turut melahirkan rasa bimbang kerana terdapat peringkat Umno bahagian yang tidak lagi melakukan apa-apa program selepas pilihan raya umum lepas.
“Sebab itulah kita lancarkan program Juara Rakyat, kita mahu Umno kembali dekat di hati rakyat,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Muhyiddin berkata masalah dalaman Umno termasuk di peringkat bahagian bukanlah perkara luar biasa, namun apa yang penting semua pihak terbabit perlulah mencari jalan penyelesaian untuk mengukuhkan kembali parti.

Ditanya mengenai kemasukan pengundi baru pada pilihan raya umum akan datang dan kesannya kepada Umno, Muhyiddin berkata Umno perlu memahami aspirasi golongan muda dalam usaha menarik sokongan mereka.

“Kita perlu beri perhatian kepada mereka dan saya yakin mereka akan fahami prinsip perjuangan parti Umno,” katanya.

Mengulas mengenai konvensyen Umno Pahang, Muhyiddin berharap negeri-negeri lain turut mengadakan konvensyen yang sama bagi menilai semula keberkesanan gerak kerja parti. -UMNONews/ Bernama

UCAPAN PERASMIAN KONVENSYEN

UMNO Musahabah Diri


Najib Minta UMNO Muhasabah Diri
Feb 20th, 2010 By administrator Category: Berita Pilihan

http://umno-online.com/?p=5997

MARAN 19 Feb. – Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mahu pemimpin dan ahli parti sentiasa bermuhasabah diri sebelum mereka dinilai oleh rakyat pada pilihan raya akan datang.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, proses bermuhasabah itu bukan bertujuan mencari atau menuding jari mencari kesalahan pemimpin atau pihak lain sebaliknya mencari dan memperbaiki kelemahan diri sendiri.

“Menerusi proses muhasabah ini, kita perlu membuat kesimpulan apa bentuk kejayaan yang hendak diserlahkan oleh kita dan apa kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Konvensyen UMNO Pahang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka dekat sini hari ini.

Menurut beliau, pemimpin dan ahli UMNO perlu menilai diri sendiri daripada perspektif rakyat yang akan menentukan kerajaan pilihan mereka pada pilihan raya akan datang.
Beliau menegaskan, kegagalan Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum lalu dan kalah di lima negeri bukan kerana pembangkang kuat sebaliknya UMNO dan BN lemah.

Menurutnya, UMNO mampu mencapai kejayaan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum akan datang tetapi dengan syarat pemimpin UMNO melakukan muhasabah. Selain muhasabah kata beliau, UMNO perlu melakukan perubahan termasuk mengubah perlembagaan parti seperti yang telah dilakukan tahun lalu.

”Perubahan besar yang pernah dibuat ialah menghapuskan sistem kuota dan undi bonus.
”Kalau hendak (kekal) jadi Presiden, sepatutnya kena guna cara lama, tetapi ini bukan caranya untuk memberikan khidmat yang terbaik walaupun kuota dan bonus boleh saya gunakan jika ingin kekal menjadi Presiden,” jelasnya.

Najib menambah, perubahan tidak dapat dielakkan agar parti tidak dilihat lemah dan tidak bermaya.

Beliau mengambil contoh bagaimana kejayaan Parti Kongres di India yang sebelum itu ditolak rakyat negara itu tetapi berjaya kembali berkuasa setelah melakukan pembaharuan.
”Parti Kongres telah menampilkan muka-muka baru dalam kawasan yang kalah tetapi mengekalkan orang lama di kawasan yang menang.

”Parti itu juga mementingkan orang miskin dan akhirnya mereka berjaya membentuk kerajaan dalam pilihan raya berikutnya,” kata beliau.

Berdasarkan pengalaman Parti Kongres itu, Najib menambah, beliau memperkenalkan slogan ”Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan” supaya parti mengutamakan kebajikan rakyat.

Beliau yakin UMNO dan BN mampu menang dengan majoriti lebih dua pertiga pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan tiga faktor iaitu kepimpinan negara, parti dan calon. -UMNONews/Utusan

Wednesday, February 17, 2010

KONVENSYEN UMNO PAHANG

Konvensyen UMNO Pahang


" PEMBELA RAKYAT "


Ingin dapatkan keterangan lebih lanjut, sila gelintari....

Sunday, February 14, 2010

MANA LEBIH ISLAMIK : UMNO VS PAS



Pas Islamik Ke?

Ini adalah satu catatan daripada kiriman e-mail ...... teruskan membaca

Feb 8th, 2010 By administrator Category: Email Pembaca
http://umno-online.com/?p=5847

Assalamualaikum,

“UMNO tolak Islam…’’ Itulah fitnah berulang-ulang dan kata-kata meloyakan dan penuh bernanah yang keluar dari mulut pemimpin idola penyokong taksub Pas, Nik Aziz Nik Mat!
Anehnya, pembentukkan kerajaan dengan UMNO ditolak, kerjasama dengan DAP diterima.
Kalau kerajaan yang ada ditumbangkan, yang akan jadi pemimpin adalah DAP, bukan Pas, yang ibarat melukut di tepi gantang!


Pas ada berapa kerusi untuk mengetuai pakatan gerombolan pembangkang?
Soalnya betulkah dengan memfitnah UMNO tolak Islam tetapi menerima DAP, perjuangan Pas betul-betul selari dengan Islam.


Sekiranya ada ahli dan pemimpin Pas meninggal dunia, ahli-ahli UMNO yang sama juga seperti Pas, bersembahyang lima waktu menghadap kiblat yang sama, mengucap syahadah yang sama, akan menghadiahkan al fatihah dan mendoakan Allah merahmati roh mereka, bukan Kit Siang, Guan Eng, Sivarasa, Elizabeth Wong, Ronnie Lui dan Karpal yang tanpa berselindung menolak Islam!


FIRMAN ALLAH, mafhumnya; “Allah tidak menyukai ucapan-ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah adalah Maha Mendengar lagi maha Mengetahui” – An Nisaa’: 148.


Orang Pas kata kepada orang UMNO macam-macam. Menate, toghut, sama dengan komunis, sama dengan ajaran Sesat Ayah Pin.


Kalau saya terus sokong Pas yang kononnya Islamik, apakah wajar! Saya rasa amat bersalah dan berdosa.


Sedangkan Allah tidak menyukai ucapan-ucapan yang buruk. Kalau saya belum temui ayat berkenaan, tak apalah kalau saya terus cenderung pun. Tapi ini ayat Allah! Takkan saya nak tolak.


Sementara saya bertemu dengan ayat al-Quran lain serta hadis yang membuktikan Allah atau Rasul-Nya sukakan ucapan yang buruk, maka saya kena kekal menentang Pas.


“JIka kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa” – An Nisaa’:149.


Allah berfirman lagi : “Apakah yang menghalangmu untuk bersujud (kepada Adam) diwaktu aku menyuruhmu menjawab iblis: saya lebih baik daripadanya. Engkau ciptkan saya dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah” – Al-’Araaf:12.


Riak, sombong, angkuh, bongkak, takbur dengan menganggap kita lebih mulia dari orang lain, dimurkai Allah. Walaupun ayat berkenaan ditujukan kepada iblis tetapi ia terpakai untuk rujukan serta teladan dan sempadan kita kerana al-Quran relaven hingga kiamat.


“Janganlah orang-orang mu’min mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang mu’min. Barangsiapa berbuat demikian, niscaya lepaslah ia dari pertolongan Allah kecuali kerana (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa)-Nya. Dan hanya kepada Allah kembali (mu)” – Ali ‘Imran:28.


Saturday, February 13, 2010

Saturday, February 6, 2010

PERMAINAN POLITIK : PAS YANG TEWAS



Tolak Perpaduan Tapi Mahu Perbincangan?


  • Layakkah PAS bercakap sebagai memperjuangkan Islam?
Feb 5th, 2010 By administrator Category: Berita Eksklusif

http://umno-online.com/?p=5817

KOTA BHARU, 5 Feb. – Dolak-dalik berkaitan perpaduan antara UMNO dan PAS bukanlah satu perkara baru malahan ia pernah mendapat liputan meluas dan perhatian masyarakat yang mahukan perkara tersebut menjadi realiti, namun sikap PAS menghampakan.

Selepas menafikan apa yang pernah diluah berkaitan perbincangan kerajaan perpaduan lantas akhirnya UMNO dipersalahkan, terbaru difahamkan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu UMNO dan PAS duduk semeja untuk membincangkan isu-isu berkaitan agama Islam daripada berterusan menghabiskan masa bertelagah mengenai politik.

Dikatakan bahawa Menteri Besar Kelantan itu berkata pemimpin UMNO perlu memikirkan mengenai pentingnya kedua-dua parti itu membincangkan isu-isu yang menyentuh agama kerana tiada faedahnya sekiranya kedua-dua parti mengamalkan pendekatan permusuhan politik.

Apa yang pasti, kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Nik Aziz dalam satu seminar yang diadakan di Pusat Tarbiah Islam (Putik) di sini, menunjukkan ketidakseimbangan dalam pendirian dan prinsipnya yang sering berubah-ubah.

Ramai pihak yang bercakap tentang perpaduan dan impikan kesejahteraan berpanjangan dengan kerjasama pelbagai parti biarpun berbeza bangsa, agama dan kepercayaan selain fahaman idealogi yang tidak sehaluan.

Namun demikian, dengan tentangan pendapat yang tidak ada persefahaman dalam pakatan campuran apatah lagi apabila memperkatakan berkaitan cadangan idea kerajaan perpaduan oleh Presiden PAS, Hadi Awang menampakkan bahawa ada yang tidak kena.

Untuk menilainya, lihatlah sendiri kronologinya:

1. 5 Jun – Presiden PAS, Abdul Hadi dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas Ke-55 di Stadium Malawati, mempertahankan ideanya mengenai pembentukan kerajaan perpaduan melalui kerjasama dengan semua pihak termasuk UMNO bagi menyelesaikan masalah negara.

2. 5 Jun – Calon Timbalan Presiden, Husam Musa berpendirian cadangan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan tidak menguntungkan parti itu dan melihat ia tidak sesuai dilaksanakan.

3. 6 Jun – Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa sekali lagi menegaskan bahawa kesediaan untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk UMNO merupakan keputusan yang dibuat oleh parti dan bukannya beliau sebagai individu. Mengenai idea kerajaan perpaduan beliau menjelaskan, ia membabitkan soal perbincangan tentang isu yang boleh memberikan kebaikan kepada negara.

4. Abdul Hadi memaklumkan bahawa konsep kerajaan perpaduan diiktiraf dan diterima oleh DAP dan PKR. ‘Namun dalam reaksi segera mereka, DAP dan PKR menafikan perkara tersebut. Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali menyangkal dakwaan Pas bahawa PKR menyokong pembentukan kerajaan perpaduan. ”Pada masa yang sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut menyangkal dakwaan Abdul Hadi bahawa parti berkenaan positif mengenai kerajaan perpaduan.

5. 7 Jun – Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata, parti itu akan membincangkan cadangan kerajaan perpaduan dengan rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Presiden akan datang.

6. 7 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan keterbukaan UMNO terhadap konsep kerajaan perpaduan hasil idea Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin adalah bukti bahawa kerajaan tidak pernah menutup ruang untuk sebarang jalinan kerjasama dengan mana-mana pihak.

7. 8 Jun – Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang nyata tidak dapat menyembunyikan rasa tidak senang hati terhadap isu kerajaan perpaduan. Malah dilaporkan juga bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang itu secara terbuka telah menafikan kenyataan Presiden Pas yang mengatakan ada memberi penjelasan kepada pimpinan pakatan pembangkang mengenainya. Kemarahan Guan Eng terluah sendiri dengan anggapan ke atas Hadi sebagai orang kuat beragama bukan saja perlu menjawab pada DAP dan pakatan pembangkang tetapi juga pada Tuhan. Guan Eng berkata PAS tidak memberitahu apa-apa kepada mereka mengenai hal itu.

8. 9 Jun – Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat mengulangi pendirian peribadinya untuk terus menolak cadangan mengadakan sebarang rundingan atau menubuhkan kerajaan perpaduan bersama UMNO. Menurutnya, isu kerajaan perpaduan yang ditimbulkan sebelum ini bukan dasar Pas sebaliknya dikemukakan oleh ahli dan ia diperhalusi di peringkat jawatankuasa parti itu.

9. 9 Jun – Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Mustapha Ali telah meminta semua pimpinan PAS dan pakatan pembangkang berhenti bercakap mengenai hal kerajaan perpaduan. Katanya perbincangan untuk tujuan itu tidak relevan buat masa ini.

10. 10 Jun – Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh meminta Pas menilai semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang berikutan hasrat parti itu untuk mengadakan perbincangan perpaduan dengan UMNO. Menyatakan kesabaran parti itu ada hadnya, Karpal berkata, Pas tidak sepatutnya meneruskan agendanya itu yang akan menjejaskan lagi pakatan pembangkang. Katanya, Pas sepatutnya tidak bersikap keterlaluan dengan membuat kenyataan, terutamanya untuk mengadakan perbincangan perpaduan dengan UMNO.

11. 11 Jun – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas golongan dalam parti itu yang terus mempertahankan cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentuk kerajaan perpaduan sambil menyifatkan mereka sebagai ‘boneka UMNO’. Malah beliau yang sebelum ini lantang menolak idea kerajaan perpaduan sejak ia dicetuskan oleh Abdul Hadi menggambarkan cadangan itu sebagai ilham UMNO sendiri.

12. 11 Jun – Idea kerajaan campuran masih kabur, malah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri berdolak-dalik sewaktu mengulas mengenainya. Walaupun diasak, Abdul Hadi berkata, beliau akan membuat penjelasan sekiranya ditanya oleh ahli parti dan kepimpinan pakatan pembangkang.

13. 14 Jun – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan kenyataan kerasnya terhadap mereka yang menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya merupakan nasihat awal. Namun beliau mengingatkan bahawa nasihatnya itu mesti didengar kerana mempunyai hujah jelas untuk menangkis cadangan yang dianggapnya sebelum ini sebagai ‘ilham’ UMNO.

14. 12 Jun – Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini menyelar Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menyifatkan Presiden Pas itu sebagai memalukan pakatan pembangkang berikutan cadangan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bersama UMNO. Sehubungan itu, Karpal meminta Abdul Hadi memohon maaf kepada bukan sahaja DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai rakan dalam pakatan pembangkang tetapi juga kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Cadangan untuk berunding dengan UMNO adalah satu pelanggaran secara nyata terhadap kejujuran kerjasama dalam pakatan pembangkang.

15. 16 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam komen terbarunya menegaskan beliau melihat PAS ikhlas dengan cadangan itu perpaduan dan UMNO tidak menolak sebarang kerjasama yang boleh membawa kepada kebaikan negara.

16. 16 Jun – Timbalan Presiden PAS, Nashruddin Mat Isa pula ketika mengulas penegasan Najib tersebut menyifatkan ia kenyataan satu langkah ke hadapan.

17. 16 Jun – Anwar Ibrahim menegaskan bahawa PKR bersedia berbincang dengan Perdana Menteri dalam isu lain tetapi bukannya soal kerajaan perpaduan.

18. 17 Jun – Datuk Nik Aziz yang bantah habis bincang perpaduan dengan UMNO minta Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa keluar PAS dan masuk UMNO.

19. 17 Jun – Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar kata Presidennya ada kebijaksanaan selesaikan isu kerajaan perpaduan tetapi enggan ulas kenyataan Nik Aziz suruh Nasharudin keluar parti.

20. 17 Jun – Menteri Besar Kedah, Azizan Razak kata tidak wajar Nik Aziz buat kenyataan melulu minta Nasharudin letak jawatan.

21. 18 Jun – Seramai 10 orang Ahli Parlimen PAS Khamis telah menandatangani satu kenyataan menolak sebarang perbincangan dengan UMNO . Musyridul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri menegaskan pakatan pembangkang yang ada sekarang adalah kerajaan perpaduan dan tidak perlu cari yang lain.

22. 18 Jun – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bayangkan tidak akan campur rundingan perpaduan kerana anggap ia adalah inisiatif PAS dan bukannya pakatan pembangkang.

23. 20 Jun – Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali kata PAS tidak berminat untuk berbincang dengan UMNO berkaitan perpaduan buat masa ini.

24. 20 Jun – Kenyataan berbeza, Lim Kit Siang kata beliau tidak menentang UMNO-PAS berbincang tetapi persoalkan apa tujuan dua parti Melayu duduk semeja?

25. 21 Jun – Nik Aziz kata beliau sedia ampun UMNO jika UMNO meminta maaf kerana ‘tikam belakang’ PAS dulu (PAS terpecat dengan sendirinya daripada anggota BN kerana enggan menyokong BN di persidangan Dewan Rakyat).

26. 21 Jun – Nik Aziz ulang pendirian menentang kerajaan perpaduan kerana ia tidak dibawa menerusi saluran yang betul.

27. 22 Jun – Anwar Ibrahim maklumkan bahawa pakatan pembangkang yang selesai bermesyuarat memutuskan tolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO/BN. Anwar kata idea perpaduan tersebut adalah fitnah dan tohmahan jahat UMNO yang terdesak.

28. 22 Jun – Presiden PAS, Hadi Awang kata jika ada perbincangan dengan kerajaan iaitu BN/UMNO ia hanya akan membabitkan isu nasional dan PAS patut diberi hak berbincang. Hadi salahkan UMNO dengan mengatakan bahawa cara UMNO bicarakan soal perpaduan seolah-olah untuk gunakan PAS dan bawa PAS tinggalkan pakatan campuran.

29. 22 Jun – Kenyataan bersama, semua parti dalam pakatan campuran ulangi komitmen untuk terus bersama perkasakan pakatan campuran bagi bentuk Kerajaan Persekutuan yang akan datang.

30. 22 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terima keputusan pemimpin pembangkang tolak runding perpaduan dan katanya BN hanya sahut cadangan PAS sahaja.

31. 22 Jun – Nik Aziz tarik balik semua kenyataan terhadap Nasharudin selepas bersemuka dan ulangi keputusan pakatan campuran tolak kerajaan perpaduan.

Kesimpulan:

Pemimpin PAS yang berbalah, umumnya mereka memulakan dengan cadangan dan apabila UMNO menghulur tangan secara terbuka, pelbagai syarat dikenakan lantas apabila tidak dipenuhi maka UMNO dipersalahkan. Peliknya, UMNO/BN dituduh buat fitnah dan terdesak…!

Wednesday, February 3, 2010

MAJLIS TAHLIL ARWAH



Majlis Tahlil Allahyarham Tun Ghazali Shafie
(Mantan Ketua UMNO Bahagian Lipis)



Assalamualaikum wbt.
Salam 1Malaysia,


YB Dato' / YH Dato' / Tuan / Puan,
AJK Bahagian / Wanita / Pemuda / Puteri
Ketua Cawangan


Dijemput hadir ke Majlis tersebut pada ketetapan yang berikut:


Tarikh : 04 Februari 2010 (Khamis)

Masa : 7.00 Malam

Tempat : Masjid Batu 6, Penjom, Kuala Lipis.


Sekian, Wassalam dan terima kasih.

KUALA LIPIS BERSEJARAH