Jumaat, 28 Disember 2012 17:34
Administrator
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin menggariskan beberapa faktor dan kelebihan yang menunjukkan Barisan
Nasional (BN) kini berada dalam kedudukan yang memihak parti itu bagi
menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang dijangka amat mencabar.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN
berkata kelebihan yang dilihat menyebelahi BN, berbanding 2008 itu, adalah
apabila rakyat terus menerus memberi sokongan kepada BN selepas kerajaan
memperkenalkan pelbagai program transformasi menyeluruh yang memberi faedah
kepada seluruh lapisan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Bernama melaporkan beliau berkata inisiatif
dan pendekatan kepimpinan negara yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak yang memfokuskan usaha membela nasib rakyat amat serasi
diterima dan diterjemahkan dalam bentuk dasar-dasar baru dalam Program
Transformasi Kerajaan (GTP), transformasi politik serta tranformasi luar
bandar.
"...pelbagai bentuk program yang
menjurus kepada masyarakat dengan 111 inisiatif dalam perbentangan Belanjawan
2013 yang menyenaraikan semua lapisan masyarakat mendapat semua faedah,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Parti
Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) ke-15 di Dewan Masyarakat Keningau, di Keningau,
Sabtu.
Beliau berkata usaha itu turut disokong menerusi
soal perpaduan kaum yang menjadi teras pembangunan nasional negara yang
sentiasa diperkukuhkan malahan tiada perpecahan berlaku walau pun terdapat
usaha pihak tertentu merosakkan semangat perpaduan kaum.
Beliau berkata situasi turut jelas positif
di mana tiada masalah dalaman antara parti komponen BN yang tidak dapat diatasi
dan diselesaikan secara baik.
Antara faktor selebihnya, Muhyiddin berkata
pencapaian luar biasa kedudukan ekonomi negara yang berkembang sebanyak lima
peratus menerusi program GTP dan peningkatan hasil pelaburan domestik dan
antarabangsa.
Katanya, jumlah pelaburan dalam negara
lebih besar dan kukuh berdasarkan perkembangan pelaburan domestik dan
antarabangsa selain pendapatan perkapita negara meningkat kepada US$9,700
berbanding USS$7,500 pada dua tahun lepas.
"Kalau kita senaraikan, inilah perkara
asas yang menunjukkan parti kita bertambah kukuh dan penerimaan rakyat terhadap
Perdana Menteri agak jelas dan mendapat respons positif. Bagi saya suasananya
amat baik (berbanding 2008)," katanya.
Terdahulu, ketika berucap, beliau berkata
kedudukan BN yang kuat itu harus didorong oleh semangat yang kental bagi
kesemua 13 parti komponen BN termasuk parti 'kerdil' seperti PBRS yang harus
memainkan peranan besar seumpama parti besar lain.
"Kita harus bertekad BN tidak boleh
boleh kalah, sebab itu kita harus bangun dari tidur selepas leka dengan
kejayaan-kejayaan dan mungkin sebab kita kerajaan, kita tidak beri perhatian
hal-hal rakyat, tetapi kini kita telah turun padang dan membantu masyarakat.
"Tuhan beri kita isyarat dan kita
sedar, isyaratnya kalau tidak berusaha, mungkin juga boleh kalah, jadi Umno
bangkit dan semua komponen-komponen parti sedar, jumpa, berbincang soal
perkukuh parti dan usaha kembalikan keyakinan rakyat," katanya sambil menambah
kerajaan berada pada 'lokomatif' betul yang dipandu Najib ke arah mencapai
negara maju menjelang 2020.
Muhyiddin turut mengingatkan anggota parti
komponen BN agar jangan 'berperang' sesama sendiri, sebaliknya membantu menjaga
hati pengundi, tidak melakukan sesuatu yang menyentuh kehendak mereka, sentiasa
mendengar dan menyelesaikan setiap permasalahan pengundi kawasan mereka.
Sambil mengakui beliau di samping Najib dan
pemimpin negara lain yang mengamalkan sikap turun padang berjumpa rakyat atas
faktor kepastian " kita kekal (sebagai kerajaan) adalah kerana rakyat
jelata".
"...sebab itu apa saja kita dengar
(peringkat akar umbi) kita beri perhatian. Najib sendiri selepas balik dari
lawatan kerja ke negeri-negeri dari Johor mahupun Sabah atau Kedah, beliau akan
membuat keputusan dengan cepat," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri
Pelajaran meluluskan pembinaan sekolah baru, Sekolah Menengah Dalit selain
bersetuju membina sebuah gereja di daerah itu.
Beliau yang diiringi Ketua Menteri Sabah
Datuk Seri Musa Aman dan presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup turut menghadiri
jamuan perayaan Krismas dan Tahun Baru di dewan itu.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut
menyampaikan anugerah murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
bagi daerah ini.-29/12/2012
Pembangkang tak penting...yang penting apa
kata rakyat - kata TPM
Kalau dah namanya pembangkang, apa sahaja yang kerajaan buat, walau sebaik manapun, termasuk yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, mereka tetap tidak mengakuinya. Ada masanya, tak cukup dengan menghentam kerajaan, mereka memperkecilkan pula sumbangan penjawat awam dalam kejayaan yang dikecapi negara.
Kalau dah namanya pembangkang, apa sahaja yang kerajaan buat, walau sebaik manapun, termasuk yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, mereka tetap tidak mengakuinya. Ada masanya, tak cukup dengan menghentam kerajaan, mereka memperkecilkan pula sumbangan penjawat awam dalam kejayaan yang dikecapi negara.
"Saya tahu mereka (pembangkang)
memperkecilkan kerana mereka tidak menghargai sumbangan penjawat awam kepada
kejayaan Kerajaan Barisan Nasional hari ini. Sebagai pembangkang, pastinya
mereka tak mahu iktiraf. Ini kerana kalau berbuat demikian, bermakna mereka
mengakui kejayaan kita.
"Strategi pembangkang biasanya ialah
menidakkan kejayaan kita," kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Mohd Yassin apabila diminta mengulas sikap pembangkang ini
kebelakangan ini yang tak henti-henti menidakkan kejayaan negara.
Beliau berkata demikian pada sidang media
selepas menghadiri majlis interaksi bersama Pegawai Tadbir dan Diplomatik Muda
di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Jumaat.
Muhyiddin berkata, walaupun segala kejayaan
negara dicapai kerana dasar yang diamalkan oleh kerajaan, pemangkin utamanya
ialah gandingan kerjasama dengan penjawat awam serta hasil maklumat dan maklum
balas yang dikumpul daripada semua sektor maysarakat di negara ini.
"Kita tak buat di atas awang-awangan.
Kita berdasarkan kepada asas-asas yang kukuh. Sebab itu, bagi saya, tak penting
apa yang pembangkang kata. Yang penting, apa rakyat kata terhadap usaha yang
kerajaan buat.
"Saya percaya pada hari ini rakyat
rasa lebih selesa dan merasakan Kerajaan Barisan Nasional lebih fokus
menyelesaikan masalah dan membantu mereka. Banyak touch-point yang kita sudah
gerakkan mendapat respon yang amat baik. Jadi, kesan-kesan baik ini bagi
pembangkang tak menguntungkan mereka. Sebab itu mereka tak mahu nak iktiraf
kejayaan kita.
"Kalau dia (pembangkang)
bertanggungjawab dan rasional, mana yang baik dia kata baik dan mana berjaya,
dia kata berjaya. Kalau tidak baik, dia tegur. Tetapi pembangkang di Malaysia
tidak bersikap begitu," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin
berkata, ketika krisis kewangan dan kegawatan ekonomi pada tahun 80an dan 90an,
kerajaan tidak menjual harta-benda rakyat sebagai jalan penyelesaian.
Diminta membezakan ucapannya dengan janji
Pakatan Pembangkang yang mahu melelong Putrajaya kononnya untuk membantu
menyelesaikan masalah rakyat, Muhyiddin berkata, dia tidak fikir pembangkang
mempunyai niat berbuat demikian malah menganggapnya sebagai gimik sahaja.
"Pembangkang tak akan lelong Putrajaya
pasal dia nak duduk di sini. Rasanya itu cuma gimik mereka sahaja. Tapi apapun
kita buat segala-galanya kerana kita tahu inilah yang terbaik berdasarkan
kepada keperluan dan masa depan rakyat belaka.
"Bagi saya, yang penting apa yang kita
lakukan. Kita tahu bila dah dekat dengan pilihanraya macam-macam kita difitnah.
Memang sejarah telah terbukti dan diakui di peringkat antarabangsa,bahawa
inisiatif kita untuk mengatasi krisis kewangan dan kegawatan ekonomi menjadi
contoh kepada banyak negara," katanya.
Menjawab soalan lain, Muhyiddin menolak
anggapan sesetengah pihak bahawa dalam soal membuat dasar kebanyakan keputusan
berdasarkan pandangan ahli politik, tanpa mengambilkira pendapat penjawat awam.
"Itu mungkin persepsi. Apapun segala
proses keputusan baik berkenaan dasar dan program transformasi memang ada
rundingan yang agak rapi dan kerap dibuat di semua peringkat, dari peringkat
kementerian sehingga kepada pegawai PTD dan banyak pihak."
"Ini dilakukan sejak dulu dan hasilnya
kita meraih pencapaian yang membanggakan. Ia tidak akan berlaku hanya kerana
seorang menteri membuat keputusan. Contohnya di Kementerian Pelajaran apabila
saya diberi tanggungjawab melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013-2025.
"Kita ambilkira pandangan pakar dan
banyak proses perbincangan dibuat dengan Ketua Setiausaha (KSU), Timbalan KSU,
Ketua Pengarah (KP), Timbalan KP dan bahagian-bahagian pakar dan mahir dalam
bidang pendidikan, baharulah kita sediakan platform yang terakhir, iaitu
pendapat rakyat.
"Ia bukan hasil keputusan seorang ahli
politik, tetapi hasil gandingan tenaga dan idea yang kita kumpul dari semua
peringkat. Yang penting, kita nilai hasil yang lebih mantap dan banyak kecemerlangan
telah dicapai," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran.
Muhyiddin selanjutnya mengumumkan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan dibentang kepada Kabinet Januari
ini.
Muhyiddin berkata pelan yang lengkap
kemudiannya akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat restu
peringkat tertinggi itu, bagi pelaksanaannya tahun depan.
"Pelan itu yang kini berada di
peringkat akhir setelah menerima laporan dan pandangan daripada pelbagai pihak.
Kita sudah banyak membuat perbincangan. Saya fikir tidak ada satu pihak yang
terkecuali. Jadi langkah ini agak komprehensif dan lengkap dan sudah
disediakan. Malahan kita tambah baik lagi kalau ada kekurangan kita lihat dalam
tempoh dua tiga bulan lepas."
Mengenai bantahan pihak tertentu termasuk
Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong
Zong), Muhyiddin berkata kementerian tidak mampu memuaskan hati semua pihak.
"Tetapi kita sudah ambil kira semua.
Malah pandangan Dong Zong pun sebahagiannya sudah diambil kira tentang status
sekolah Cina, bantuan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Bukan
tujuan kita menyediakan blue-print untuk puaskan Dong Zong, tetapi yang penting
memuaskan rakyat," katanya.
- 28/12/12.
- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL
No comments:
Post a Comment