Friday, February 18, 2011

ISA & OPS LALANG

ISA: Pengakuan bekas Ketua Polis Negara

Oleh: NOOR HASILAH ISMAIL

http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_346e3c61-7f000010-2cbbb200-db33d36c

Mantan Ketua Polis Negara (KPN), Tun Hanif Omar mengakui beliau yang mendesak mantan Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohammad supaya menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang 1987.

Hanif juga berkata, Mahathir dan timbalannya ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyuarakan cadangan untuk menghapuskan ISA, tetapi beliau yang menghalang mereka.

“Saya yang menghalang mereka (Mahathir dan Anwar) daripada menghapuskan ISA,” kata Tun Hanif ketika bercakap sebagai salah seorang ahli panel forum Cabaran Semasa sistem Demokrasi dan Perlembagaan Negara Malaysia ke Arah Pencapaian Wawasan 2020 di bangunan parlimen, Khamis.

Menurut Hanif, cadangan memansuhkan ISA itu dikemukakan oleh Anwar dalam mesyuarat keselamatan sebelum beliau bersara sebagai Ketua Polis Negara.

“Anwar kata kita patut mansuhkan ISA dan Tun Mahathir kata okay. Tetapi saya menasihatkan kedua-duanya supaya menimbang semula keputusan itu demi keselamatan negara.

“Tun Mahathir sejak awal sentiasa konsisten membantah ISA. Sebaik Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, saya diingatkan oleh Tun Musa Hitam (yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri) supaya jangan bangkitkan isu ISA kerana Dr Mahathir tak suka,” kata Hanif.

Baru-baru ini pembangkang mempersalahkan Mahathir dalam Operasi Lalang 1987 di mana 104 orang, termasuk Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng ditahan di bawah ISA.

Hanif menjelaskan peristiwa berdarah yang berlaku apabila prebet Adam Jaafar mengamuk pada 1987, mendorong beliau mempertahankan Akta ISA kerana situasi ketika itu di luar kawalan.

“Dr Mahathir pada mulanya membantah. Tetapi dia mengalah apabila saya menegaskan, sekiranya kita tidak bertindak tegas, peristiwa lebih serius daripada 13 Mei 1969 boleh berlaku.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai Ketua Polis Negara ketika itu untuk menjamin keselamatan negara. Sebagai Ketua Polis saya patut menurut arahan Perdana Menteri, tetapi kesetiaan saya bukan kepada Perdana Menteri tetapi kepada undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Mahathir yang juga salah seorang panel forum berkenaan, berkata, beliau memang pernah menyokong supaya ISA dihapuskan, tetapi setelah mendapat nasihat daripada KPN dia yakin akta itu perlu demi keselamatan negara. Bagaimanapun dia bersetuju supaya beberapa perubahan dibuat.

“ISA perlu dalam keadaan tertentu, tapi jangan disalahguna dan jangan tangkap orang tanpa sebab,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mahathir berkata, perlembagaan negara adalah adil dan tidak memihak kepada sesiapa tetapi ada kalanya perlu dipinda untuk permudah perlaksanaan majukan negara.

“Tapi ada perlembagaan yang tak boleh dipinda, terutama hak rakyat. Oleh itu kita kena bijak elak halangan-halangan yang ada dalam perlembagaan untuk menjayakan Wawasan 2020,” katanya.

Tun menganggap tuduhan bahawa Malaysia tidak mengamalkan demokrasi, sebagai tidak berasas. Katanya perubahan lanskap politik membuktikan sistem demokrasi di negara ini adil.

“Apakah sepanjang 53 tahun kerajaan kita tak demokratik? Pada pilihanraya umum PRU 2004 kita menang lebih 90% dan pada 2008 rakyat berpendapat mempunyai parti lawan itu penting maka pada ada 2008 kita tak dapat satu pertiga kerusi Dewan Rakyat.

“Ini menunjukkan rakyat mempunyai pilihan. Sistem demokrasi kita tepat, iaitu kuasa diberi kepada rakyat memilih siapa mereka nak. Tetapi demokrasi bukan sistem yang sempurna kerana kita memberi rakyat hak memilih.

“Tetapi kadangkala rakyat tidak cekap memilih atau dipengaruhi sentimen dan putar-belit,” katanya.

Tun berkata, salah satu kecacatan sistem demokrasi ialah disebabkan rakyat merasakan mereka berhak memilih, mereka juga rasa berhak membuat demonstrasi dan menjejaskan ekonomi.

Menjawab cadangan Ahli Parlimen Pasir Pas, Datuk Ibrahim Ali, ketika sesi soal balas, Mahathir berkata dia bersetuju supaya tempoh perkhidmatan seseorang Perdana Menteri dihadkan kepada antara lapan hingga 10 tahun.

“Tahun pertama baru nak belajar. Pemimpin baru nak mula mempelajari selok belok pemerintahan. Tahun kedua pula dia merangka dan menyusun program manakala tahun ketiga untuk melaksanakan apa yang dirancang.

“Manakala tahun keempat sudah nak kena bersedia untuk pillihanraya akan datang pula. Jadi mana nak sempat nak lakukan apa yang dirancang.

“Mungkin halangan kita untuk majukan negara ialah kerana kita terlalu tumpukan perhatian kepada politik untuk mengekalkan kepimpinan,” katanya dalam nada berseloroh.

Katanya cadangan mengehadkan perkhidmatan Perdana Menteri itu boleh dipertimbangkan kerana jika tempoh kuasa Perdana Menteri dihadkan, contohnya cuma untuk satu penggal, ia tidak membolehkan seseorang pemimpin itu melakukan tugas dengan efisyen dan gagal melaksanakan apa yang dirancang,” katanya.

– 17/02/11.

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH