Thursday, February 10, 2011

DEMI MASA DEPAN AGAMA, BANGSA DAN TANAH AIR

Pentingnya kuasa politik melayu…

Monday, February 7th, 2011 | Posted by Spy_Leman

http://www.mykmu.net/?p=6703

Satu perkara yang perlu kita sedari, sejak dari zaman selepas kemerdekaan sehingga kini, parti berhaluan kiri DAP langsung tak pernah bermimpi untuk berkuasa di Tanah Melayu ini. Apatah lagi impian untuk menjadi Ketua Menteri mahupun Menteri Besar didalam sesebuah negeri didalam Malaysia.

DAP sedar bahawa mereka mewakili hanya sebahagian daripada minoriti cina dan sebahagian kecil bukan cina. Itupun selepas kaum cina terbahagi kepada beberapa parti seperti GERAKAN dan juga MCA. DAP sedar akan kekurangan yang dihadapi oleh mereka ini dan sebab itulah mereka hanya bertindak sebagai pembangkang yang agak agresif didalam negara.

Semua ini bertujuan menjaga kebajikan ahli-ahlinya dan juga nasib sebilangan masyarakat yang percaya kepada kemampuan parti itu menyuarakan permasalahan mereka di peringkat tertinggi. Ini diakui sendiri oleh beberapa pemimpin tertinggi DAP di P.Pinang sebelum berlangsungnya PRU12 lalu.

Tetapi semua ini berubah hampir 100 peratus setelah berakhirnya pilihanraya umum negara yang menyaksikan Barisan Nasional tewas di 5 buah negeri di Semenanjung. Bagaikan mimpi yang jadi nyata, DAP beroleh kuasa penuh di P.Pinang dan juga mempunyai kuasa membuat keputusan di Selangor dan juga Perak.

Kemenangan DAP yang mengejutkan banyak pihak ini bukannya menunjukkan DAP itu sebuah parti yang kuat, tetapi ia lebih signifikan kepada perpecahan serius dikalangan bumiputera dan juga kemerosotan pengundi cina kepada GERAKAN dan juga MCA. Puncanya ialah sikap tak prihatin pemimpin terdahulu terhadap sensitiviti rakyat bawahan.

Selepas itu, deretan pilihanraya kecil menyusul yang menyaksikan juga penolakan jelas dari kaum cina kepada kerajaan yang memerintah. Boleh dikatakan hampir setiap peti undi kaum cina dimenangi oleh Pakatan yang tentunya diwakili oleh DAP. Ini seharusnya menjadi signal yang jelas kepada pencatur-pencatur politik negara.

Sesuatu harus dilakukan bagi mengembalikan kuasa politik melayu yang kini semakin runtuh akibat perbalahan sesama sendiri. Sudah sampai saatnya bumiputera kembali kepada perpaduan yang selama ini membawa Malaysia kepada sebuah negara maju. Perpaduan 53 tahun dahulu harus dihidupkan semula untuk mengimbangi serta mengekalkan kuasa ketuanan bangsa.

Jika kuasa yang menjadi halangan perpaduan, apa salahnya jika kuasa dikongsi bersama asalkan hak dan maruah bumiputera tak tergadai kepada kaum lain. Konsep berkongsi kuasa sesama kaum tak akan berjaya jika melayu bumiputera lemah dari segi penguasaan politik. Oleh itu matlamat utama perpaduan bangsa ialah menguatkan status bangsa itu sendiri didalam semua peringkat.

Memang sekarang ini timbul perbalahan mengenai masalah akidah dan juga pentadbiran yang dikatakan kurang memuaskan. Tapi bukankah ini semua masih boleh diperbetulkan. Bersama-sama berusaha memakmurkan negara adalah lebih daripada meruntuhkan apa yang sedia ada dan mengharapkan keajaiban pada perkara yang masih belum pasti.

Sebenarnya bukan susah untuk berbincang mengenai perpaduan, cuma ego dan sifat takabbur sahaja yang menjadi penghalang kepada seruan ukhwah ini. Bangsa melayu bumiputera adalah serumpun. Kita bersama menjadi tuan didalam satu negara, menggunakan satu bahasa serta satu agama.

Kita di didik supaya berpegang teguh kepada adat dan juga ajaran agama. Jadi apa gunanya semua itu jika kita masih sibuk berbalah sedangkan kaum lain mengambil kesempatan diatas kealpaan kita? Baik didalam UMNO ataupun PAS.., PBS atau LDP.., bahkan PKR sendiri…, majoritinya berkongsi status bumiputera Malaysia.

Cuma sejak kebelakangan ini sahaja semua budaya baik yang kita warisi dari datuk nenek kita terhakis disebabkan permainan politik yang menghalalkan cara demi satu matlamat untuk berkuasa.

Jadi, masih belum terlambat sebenarnya untuk membaik pulih apa yang semakin hilang demi masa depan agama, bangsa dan juga kemakmuran tanah melayu ini. Fikirkan sejenak tentang nasib generasi masa depan yang bakal menerima warisan negara dari kita.

Mahukah kita melihat mereka sengsara hanya kerana ego dan juga sifat riak kita berebutkan kuasa?

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH