Sunday, April 24, 2011

ANTARA QARINAH, EMPAT SAKSI DAN PENGAKUAN

Hukum rakaman video sebagai bukti sabit zina

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm

Hukum-hakam agama di Malaysia selalu berhadapan dengan masalah kerana banyak sebab, salah satu yang paling ketara ialah kerap dicemari dengan manipulasi politik pelbagai pihak. Ramai orang Muslim di Malaysia pula menjadi keliru kerana isu agama atau berkaitan agama yang dibangkitkan telah dimanipulasi dan dipolitikkan secara halus atas nama hukum-hakam agama.

Maklumlah bila orang yang main peranan dalam mengeluarkan hukum agama secara manipulasi politik bukan calang-calang orang. Tetapi mereka adalah orang yang berpendidikan agama tinggi yang bergelar ustaz dan ulama. Justeru ramai kalangan orang awam terpedaya dan percaya tanpa menyedari mereka itu bermain politik dan melaksanakan manipulasi politik ketika mengeluarkan hukum agama.

Dalam perkembangan terbaru adalah contoh manipulasi politik dalam hukum agama yang dikeluarkan oleh pihak yang membela seorang pemimpin kanan pembangkang yang didakwa pelaku aksi seks dalam rakaman video.

Golongan agama itu menerusi hukum agama yang bersifat selektif dan tidak lengkap mendakwa bahawa pertuduhan zina hanya wajib dibuktikan dengan empat saksi sahaja. Perkara ini tidak tepat kerana ada pandangan kedua daripada ulama-ulama lain mengatakan pertuduhan zina boleh dibuktikan melalui qarinah, iaitu bukti bandingan yang kuat boleh digunakan bila tidak mempunyai empat saksi.

Malah jika ditolak qarinah sebagai bukti sekali pun seseorang pelaku seks jika disabit kesalahannya tidak akan terlepas daripada hukuman kerana mesti dilaksanakan ke atasnya juga hukuman takzir yang terserah kepada pertimbangan hakim atau mahkamah.

Selain itu tidak tepat juga golongan agama tersebut menggambarkan ajaran Islam menuntut orang Muslim supaya menutup aib orang Muslim yang lain tanpa pengecualian. Mereka membuat gambaran begitu kerana membawa sebahagian sahaja ajaran Islam dengan menyembunyikan sebahagian yang lain bagi membela pemimpin pembangkang berkenaan.

ajaran

Memang benar ajaran Islam menuntut orang Muslim menutup aib orang Muslim yang lain. Tetapi tidak secara mutlak. Kerana penutupan aib orang Muslim itu adalah bersyarat seperti dijelaskan dalam kitab-kitab fiqah, iaitu mesti orang Muslim yang wajib ditutup aibnya itu bukan yang terkenal sebagai zalim, jahat, rosak, fasik, rasuah, tidak bermaruah, tidak bermoral dan sebagainya.

Sedangkan jika orang Muslim terkenal sebagai zalim, jahat, rosak, fasik, rasuah, tidak bermaruah, tidak bermoral dan sebagainya, maka wajib atau harus didedahkan kejahatan serta hukuman pula perlu dilaksanakan ke atasnya.

Jika begitulah ajaran Islam memperlakukan ke atas orang Muslim di kalangan orang awam yang terlibat dalam kejahatan dan jenayah, maka sudah tentu lebih serius lagi tuntutan pendedahan dan hukuman yang perlu diperlakukan kepada para pemimpin yang terlibat dan kejahatan dan jenayah yang sama.

Begitu juga tidak tepat menganggap orang yang mendedahkan kejahatan dan jenayah orang lain tanpa saksi yang memadai seperti empat saksi dalam kes zina wajib dikenakan hukuman qazaf secara mutlak, iaitu hukuman 80 sebatan. Ini kerana hakikatnya hukuman qazaf dikenakan hanya ke atas pendedah atau penuduh yang tidak mengemukakan sebarang bukti.

Sebaliknya jika pendedah atau penuduh itu mengemukakan bukti yang kukuh walaupun tanpa empat saksi, iaitu bukti berupa qarinah, dia tidak dikenakan hukuman qazaf. Sebaliknya orang yang didedah dan dituduh pula yang dikenakan hukuman menurut prosedur takzir.

Hakikatnya isu video seks yang didakwa melibatkan pemimpin kanan pembangkang itu bukan sahaja mendapat perhatian di Malaysia, tetapi turut mendapat perhatian juga di tempat saya di selatan Thailand dan seluruh negara Islam. Ini kerana pemimpin kanan pembangkang itu terkenal di seluruh negara Islam sebagai pemimpin pergerakan Islam berwibawa sebelum beliau didakwa terlibat dalam liwat kali pertama dan kedua.

Ramai di kalangan orang Muslim di Thailand dan seluruh dunia melihat pemimpin kanan pembangkang berkenaan sebagai mangsa politik dalam kes liwatnya. Bagaimana pun pandangan masyarakat Muslim sedikit berubah kebelakangan ini dengan pendedahan media berbanding masa lalu terutama selepas muncul pendedahan Wikileaks. Mungkin lebih ramai masyarakat Muslim akan berubah pandangan pula selepas video seks yang didakwa melibatkan pemimpin kanan pembangkang berkenaan dimuat naik ke Youtube.

Berdasarkan perbincangan dengan beberapa orang guru agama di selatan Thailand yang menonton mukadimah zina dalam video seks itu, saya mendapati ada di kalangan mereka berkata, ini tidak perlu lagi kepada empat saksi.

Malah ada juga yang berkata, ini lebih kuat daripada empat saksi, bukan dalam konteks hukum hudud yang tidak pernah dilaksana pada zaman awal Islam kecuali melalui pengakuan itu, tetapi dalam konteks hukum sains dan teknologi yang meyakinkan.

pemimpin

Sesetengah guru agama berhujah, sukar untuk percaya jika ada lebih empat orang hamba Allah mendedah tentang skandal seks seorang pemimpin termasuk mereka yang menjadi objek pemimpin berkenaan, sama ada wanita mahupun lelaki (yang kena liwat). Tetapi sebaliknya bila menonton rakaman video yang mengandungi adegan-adegan seks perzinaan sesuatu pasangan kerana meyakinkan.

Pandangan beberapa guru agama selatan Thailand ini tepat dan sejajar dengan beberapa pandangan ulama yang menganggap qarinah boleh meyakinkan dan boleh mensabitkan hukuman sekurang-kurangnya hukuman takzir. Rakaman video, rakaman audia, rakaman gambar, asid deoksiribonukleik (DNA) dan sebagainya adalah qarinah belaka.

Dalam pada itu meneliti reaksi para pembaca di pelbagai laman web dan blog Arab yang turut menyiarkan videoa mukadimah zina pemimpin kanan pembangang itu tidak berbeza dengan pandangan para ustaz di selatan Thailand itu. Kerana ramai yang percaya. Ini amat berbeza sekali dengan pendedahan dibuat dalam kes liwat pertama dan kedua kerana ramai yang menganggap itu konspirasi politik. Belum pasti apa pandangan terbaru Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr. Jabilr al-Ulwani dan lain-lain ulama Arab yang sebelum ini pernah mengeluarkan fatwa menyokong pemimpin kanan pembangkang berkenaan dalam kes liwat pertama dan kedua. Mungkin mereka atau pembantu-pembantu mereka sudah menonton video berkenaan di Youtube, tetapi terpaksa diam dan membisu. Mungkin juga mereka belum lagi menonton.

Paling malang ada cerdik pandai agama dan ulama golongan lain turut terikut-ikut dan terperangkap dengan manipulasi politik pihak itu. Dengan itu mereka turut membuat kenyataan bahawa rakaman video tidak boleh dijadikan bahan pembuktian dalam kes zina.

Ingin dijelaskan di sini sebagai sambungan kepada penjelasan bahawa zina dan lain-lain jenayah hudud boleh disabitkan dengan qarinah, bagi sesetengah ulama seperti dalam kes wanita hamil dan kes wanita kena rogol. Dalam kes wanita hamil kerana perzinaan, lelaki dan wanita yang melakukan perbuatan keji itu boleh dikena hukuman jika tidak segera berkahwin untuk mengesah kedudukan mereka dan menutup aid mereka. Dalam kes rogol atau hamil kerana rogol pula, pesalah lelaki boleh disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman, manakala mangsa wanita terlepas dan wajib disembunyi identitinya.

Sebenarnya qarinah merupakan bukti terkuat selepas empat saksi dan pengakuan dalam kes zina; dan dua saksi dalam kes-kes bukan zina. Bagaimanapun, qarinah hanya bukti adalah ijtihad. Dengan itu ulama berbeza pandangan mengenainya.


Saturday, April 23, 2011

MELAYU TERLUPA ATAU BUAT-BUAT LUPA


Keganasan Komunis tidak dapat dilupakan oleh orang Melayu

Saturday, April 23rd, 2011 | Posted by admin

http://www.isuhot.com/?p=3455



Masih terbayang selama 14 hari pada tahun 1945, Tanah Melayu pernah diperintah oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Keanggotaan PKM lebih ramai dari orang Cina kerana perasaan benci terhadap Jepun yang telah menakluki negara China pada ketika itu.

Perjuangan awal PKM di Tanah Melayu lebih kepada perjuangan untuk membebaskan Tanah Melayu dari jajahan Jepun. Malah PKM turut mendapat bantuan serta kerjasama daripada British. Hubungan kerjasama ini dapat dibuktikan apabila British membebaskan tahanan politik yang berhaluan kiri dan pembukaan Sekolah Latihan Khas 101 di Singapura. Walau bagaimanapun, setelah berjaya mengalahkan serta mengusir Jepun dari Tanah Melayu wujud konflik di antara dua pihak apabila polisi sebenar tentera British ialah anti-komunis.

Menyingkap semula sejarah wujudnya ideologi komunisme adalah berpandukan kepada pemikiran Marxisme, Leninisme dan cetusan fikiran Mao Tse Tung. Semua pengikut fahaman ini perlu bersumpah setia kepada ideologi komunisme buat selama-lamanya dan kepercayaan tunggal adalah kepada ideologi komunis. Dengan perkataan mudah kita fahaman apa-apa pun kehidupan pengikut fahaman ini akan menjurus kepada ideologi komunis.

3 konsep yang dipegang oleh pengikut ideologi komunis iaitu (1) penyembahan Tuhan, (2)memfitnah semua Tuhan; dan (3) memfokuskan diri sebagai Tuhan. Kesimpulannya idelogi ini tidak percaya dan mengakui bahawa wujudnya Tuhan. Tapi bila mana kita teliti sikap pengikut komunis mereka tetap akan mengatakan bahawa mereka ada Tuhan tapi siapakah pula Tuhan yang mereka maksudkan? Kebanyakan pemimpin-pemimpin besar komunis pernah dituhankan oleh pengikutnya seperti Stalin di Uni Soviet (Rusia), Mao Ze Dong (Mao Tse Tung) di RRC, Kim II Sung di Korea Utara.

Penubuhan PKM di Tanah Melayu secara rasmi adalah pada tahun 1930. Penubuhan parti ini banyak melibatkan sejarah China dan ekoran daripada permusuhan antara China-Jepun. Mou Tse Tung adalah tokoh yang membawa hubungan kerjasama antara parti Komunis China dengan Parti Komunis Malaya. Walau bagaimanapun, gerakan PKM di Tanah Melayu dan Singapura amat dipengaruhi oleh Komunis Antarabangsa yang diselenggarakan oleh komunis Rusia. Inilah susur galur penubuhan PKM yang pastinya ideologi komunis yang tersusun untuk menakluki dunia.

Kembali semula ke Tanah Melayu, 14 hari Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) @ Bintang Tiga merupakan pertubuhan PKM telah memerintah Tanah Melayu; ramai orang Melayu dibunuh. Ini disebabkan pada waktu pemerintahan Jepun, majoriti yang menganggotai Pasukan Polis Jepun yang dikenali sebagai‘Jookidam’ adalah orang Melayu . Dendam ahli Bintang Tiga kepada Jepun adalah lanjutan daripada pembunuhan orang Cina di Nanjing. Untuk melepaskan amarah yang terbuku dihati setiap pengikut Bintang Tiga maka dilempiaskan kepada bekas anggota Jookidam di Tanah Melayu.

Modus operandi Bintang Tiga kepada anggota Jookidam ialah dengan mengumpulkan mereka ditepi hutan dan diarah mengali lubang. Kemudian mereka dipukul dengan kayu, besi atau belakang cangkul dan ditanam ke dalam lubang yang telah siap digali. Ada juga yang ditembak ditepi lubang dalam keadaan berlutut. Ape pun seksaan yang dilakukan oleh Bintang Tiga kepada Jookidam lebih kepada dendam ke atas Jepun. Namun seksaan amat dirasai oleh penduduk asal Tanah Melayu.

Kemuncak keganasan Bintang Tiga berlaku dengan pembunuhan tiga pengurus ladang berbangsa Inggeris di Sungai Siput pada tahun 1948. Ekoran tragedi tersebut, kerajaan istihar DARURAT di seluruh Tanah Melayu dan selang sebulan kemudian PKM telah diharamkan. Pengharaman ini dibuat oleh British kerana menganggap PKM adalah parti politik yang radikal. Maka tercetuslah ketidakpuasan hati ahli PKM dan rasa British telah melupakan jasa mereka semasa menentang dan mengusir Jepun dari Tanah Melayu.

Keganasan yang dilakukan oleh Bintang Tiga tidak berakhir begitu sahaja walaupun wujud sekatan daripada British. Buktinya satu lagi keganasan yang cukup menyentuh hati rakyat Tanah Melayu iaitu serangan Komunis di Bukit Kepong pada tahun 1950. Serangan ini telah mengorbankan 17 orang anggota polis yang berusaha mempertahankan balai polis Bukit Kepong. 200 orang anggota komunis telah mengepong balai polis tersebut. Serangan ini diketuai oleh Muhammad Indera, Komunis Melayu yang pada awalnya hanya mendapat arahan bahawa serangan ini hanya sebagai amaran, namun ia bertukar menjadi tragedi buruk bila arahan dimanipulasikan oleh komunis Cina.

Kematian 17 anggota polis Bukit Kepong turut diikuti dengan kematian ahli keluarga mereka iaitu 3 orang isteri kepada konstabel dan seorang anak lelaki konstabel. Selama 5 jam pertempuran berlaku di Bukit Kepong. Pada detik akhir pertempuran, komunis telah membakar berek penginapan dan balai polis. Anggota polis yang terkorban dan yang cedera telah pula dicampak ke dalam api dan seorang anak lelaki Konstebal Abu Bakar dicampak hidu-hidup ke dalam api sebelum mereka mengundurkan diri ke dalam hutan.

Maka sejarah Tanah Melayu satu persatu diukir daripada wujud Undang-undang DARURAT, penubuhan pasukan Kawalan Tempatan (Home Guard), pengenalan kawasan HITAM dan PUTIH, ISA, Kad Pengenalan wajib dibuat bagi yang berumur 12 tahun, Rancangan Briggs dan lahirlah konsep Kampung Baru. Semua ini dikaitkan dengan gerakan PKM.

DAP adalah satu pertubuhan politik yang ada kaitannya dengan komunis apabila beberapa pemimpinnya mempunyai talian persaudaraan dengan ChinPeng. DAP pernah menganugerahkan tanah hingga 999 tahun kepada penghuni kampung baru di negeri Perak.


pengundisetiasungairapat.blogspot.com


baca juga:Tragedi: Bukit Kepong 23 Februari 1950


Friday, April 22, 2011

MELAYU PENCACAI TAK ADA SENTIMEN???

Sentimen pengundi Cina dan propaganda DAP

Kelolaan LUKMAN ISMAIL
lukman@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

BIARPUN keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 sudah diketahui hampir seminggu lalu, namun sehingga kini cakap-cakap mengenainya masih lagi kedengaran di mana-mana terutama perihal sokongan pengundi kaum Cina terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) amnya dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) khususnya.

Pada pilihan raya negeri itu, sokongan pengundi Cina terhadap pembangkang (DAP) telah meningkat sekali ganda sekali gus menyaksikan sokongan terhadap calon SUPP merosot teruk apabila hanya memenangi dua daripada 19 kerusi yang ditandingi.

Ruhanie Ahmad (kuda-kepang.blogspot.com) berkata, tindakan pengundi Cina memilih pembangkang perlu disambut dengan ketegasan BN negeri dan Pusat dalam memberikan layanan mereka kepada masyarakat Cina Sarawak berasaskan status quo keputusan pilihan raya tersebut.

"Layanan mesra kepada masyarakat Cina Sarawak dalam semua bidang perniagaan yang membabitkan kerajaan negeri perlu dikaji semula. Kemesraan pula perlu diberikan kepada masyarakat pribumi (bumiputera) Sarawak yang selama ini mendakwa mereka jadi masyarakat kelas kedua.

"Kewujudan parasit dan oportunis dalam semua bentuk yang sebelum ini didakwa oleh segolongan rakyat Sarawak sebagai keterlaluan dan berlebih-lebihan juga perlu segera dihapuskan supaya kredibiliti kerajaan Sarawak meningkat, (dan) pribumi Sarawak benar-benar rasa terbela," katanya.

Kata beliau, dengan cara tersebut kerajaan negeri dan kaum pribumi Sarawak akan berjaya mewujudkan sinergi dan kerjasama bagi mengukuhkan lagi kuasa BN Sarawak untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ibrahim Yahaya (duniatiger.blogspot.com) pula berkata, kaum Cina di Sarawak nyata telah mengabaikan ingatan Perdana Menteri bahawa setiap kaum itu tidak mungkin akan dapat memerintah secara bersendirian tanpa sokongan kaum lain dan perlunya perkongsian kuasa seperti mana yang diamalkan oleh BN.

"Jika Melayu dan bumiputera boleh berfikir rasional dan tidak berdasarkan semangat perkauman untuk memberi peluang kepada calon BN yang baik dan hebat, tidak ada sebab kaum Cina membuat sebaliknya.

"Penolakan calon Cina dari BN memperlihatkan bahawa strategi kempen agresif pembangkang membuahkan hasil, di samping kegagalan parti orang Cina di Sarawak untuk memahami denyut nadi mereka," kata beliau.

Justeru katanya, SUPP, MCA dan Gerakan perlu bekerja keras lagi bagi memastikan mereka layak mewakili kaum Cina dan bukannya DAP, parti cauvinis yang sentiasa memainkan sentimen perkauman sejak dahulu lagi.

Sementara itu blog UMNO Reform II (umno-reform2.com) berkata, walaupun politik di negara ini sedang merangka pembaharuan atau transformasi tetapi kematangan politik masih pada tahap yang rendah dan dengan jelas masih lagi berada dalam kerangka politik perkauman.

Katanya, melihat perkembangan DAP mengatur sokongan kaum Cina, jelas mereka masih berpaksikan kepada politik perkauman yang dimanipulasikan sebagai demokrasi total sedangkan BN atau UMNO masih terikat kepada perjuangan realiti untuk mengubah negara dengan kemajuan yang lebih pesat.

"Sehingga hari ini, dominan Cina dalam politik semakin terserlah. Kehadiran mereka sudah diterima dan mereka telah dikatakan sebagai pejuang kaum yang lebih signifikan daripada MCA. BN/UMNO perlu melihat serius perkara ini tetapi tidak mengambil langkah merasuah mereka untuk sokongan politik.

"Banyak petunjuk telah ada. Memberi mereka apa yang mereka mahu tidak menjamin sokongan. Toleransi Melayu masih di tahap tertinggi dan sanggup sekali lagi akur kepada kehendak," kata blog ini.

Katanya, dengan DAP yang semakin jelas membawa sentimen perkauman dan mendapat sokongan kaum Cina, maka BN perlu segera mencari formula bagi mengaut kembali sokongan khususnya orang Melayu bagi mengimbangi sokongan menyeluruh kaum Cina terhadap DAP.

Blog Malaysia Heaven (malaysiaheaven.blogspot.com) pula menyentuh pandangan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia Ahad lalu dan menyokong kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan menyatakan bahawa kaum Cinalah yang paling kuat sentimen perkauman.

Katanya, akhbar-akhbar mereka sentiasa memainkan isu-isu perkauman tanpa mempedulikan sentimen kaum dengan alasan itu adalah kebebasan bersuara tetapi apabila akhbar Melayu mengkritik kaum mereka, mereka akan melenting dan menuduh orang Melayu mengamalkan sikap perkauman.

"Aku syorkan semua artikel yang disiarkan dalam akhbar Cina diterjemahkan di dalam bahasa Melayu dan disiarkan di semua akhbar Melayu setiap hari. Biar semua orang Melayu baca apa yang disiarkan oleh akhbar Cina.

"Selama mereka sangka orang Melayu tak tahu bahasa Cina, maka mereka boleh siarkan apa saja artikel yang menghina orang Melayu," katanya.


Wednesday, April 20, 2011

RENUNGAN BUAT SEMUA MELAYU

Iktibar sikap pengundi Melayu Singapura

PENULIS ialah GeoStrategis Institut Teknologi dan Sains GeoSpatial (INSTEG), Universiti Teknologi Malaysia.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

ISYARAT paling penting dan begitu jelas mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak adalah pengundi bumiputera yang terdiri daripada masyarakat Melayu/Melanau, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu telah memberi sokongan tanpa belah bahagi kepada Barisan Nasional (BN) sehingga mengekalkan majoriti dua pertiga.

Manakala pengundi masyarakat Cina pula terutama sekali di Miri, Bintulu dan Sibu telah mempamerkan kecenderungan yang bertentangan dengan memberi sokongan kepada parti pembangkang DAP.

Ramai yang beranggapan bahawa kecenderungan pengundi Sarawak adalah manifestasi kepada pola pengundi Malaysia secara umumnya dan bakal mempengaruhi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membuat keputusan mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13.

Tetapi sebenarnya jiran Malaysia iaitu Singapura memerhatikan dengan teliti apa yang berlaku di Sarawak kerana Perdana Menteri Lee Hsien Loong perlu mengadakan pilihan raya selewat-lewatnya Februari 2012. Besar kemungkinan pilihan raya Singapura akan dilaksanakan terlebih dahulu berbanding Malaysia dan ramai menjangkakan sama ada suku ketiga atau keempat 2011.

Singapura amat berminat dengan apa yang telah berlaku di Sarawak kerana pengundi masyarakat Melayu Singapura juga mampu memilih pendekatan seperti yang telah dipamerkan oleh pengundi Cina Sarawak. Walaupun parti Hsien Loong iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) begitu dominan menguasai senario politik Singapura tetapi kerunsingan mengenai pengundi Melayu tidak pernah luntur.

Pilihan raya umum 2001 umpamanya telah menyaksikan PAP menerima sokongan undi Melayu paling sedikit kerana kegusaran masyarakat tersebut terhadap tindakan memerangi keganasan kerajaan PAP yang dinilai selari dengan sikap anti umat Islam. Tetapi pengundi Melayu Singapura cepat belajar daripada kesilapan 2001 kerana pada pilihan raya 2006, sokongan begitu tinggi telah diberikan kepada PAP.

Pada pilihan raya tersebut dianggarkan 80 peratus pengundi Melayu telah memberi undi mereka kepada PAP. Tidak keterlaluan jika dibuat penilaian bahawa pengundi Melayu sebenarnya telah banyak membantu Hsien Loong meraih 67 peratus undi popular.

Sokongan padu yang diberikan oleh pengundi Melayu kepada PAP pada tahun 2006 adalah kerana kepentingan jangka masa panjang masyarakat minoriti tersebut. Pengundi Melayu Singapura sebenarnya lebih menaruh harapan kepada PAP berbanding dengan parti pembangkang untuk menjamin masa depan yang lebih baik.

Walaupun pengundi Melayu hanya merangkumi 20 peratus daripada keseluruhan pengundi Singapura, tetapi sikap yang telah dipamerkan oleh mereka semasa pilihan raya begitu menarik perhatian berbanding dengan pengundi Cina Sarawak.

Melayu Singapura cuba menyampaikan isyarat kepada PAP bahawa kesetiaan mereka kepada Singapura tidak perlu dipersoal lagi. Terdapat tuduhan bahawa jika mereka menyokong pembangkang, PAP akan menuduh masyarakat Melayu sebagai tidak setia kepada negara. Ini adalah kerana wujud persepsi bahawa PAP itu adalah Singapura dan begitu juga sebaliknya yang sudah lama tertanam dalam jiwa rakyat mereka.

Pengundi Melayu Singapura juga dianggap begitu bersikap pragmatik kerana menggunakan kuasa politik untuk kepentingan masa hadapan mereka. Ini adalah kerana kerajaan PAP tanpa segan silu akan menghukum kawasan pengundi yang lebih cenderung kepada pembangkang.

Ketika melancarkan manifesto pilihan raya PAP beberapa hari lepas, Hsien Loong dengan terus terang menyatakan walaupun pembangunan akan dinikmati oleh semua rakyat Singapura, tetapi keutamaan hanya akan diberikan kepada pengundi yang menyokong PAP.

"Apabila saya perlu membuat keputusan siapa yang perlu didahulukan, maka faktor sama ada anda telah memberi sokongan kepada kerajaan atau tidak sudah pasti memainkan peranan," tegas beliau ketika menekankan kepentingan pengundi menyokong PAP.

Ada juga yang berpendapat bahawa pengundi masyarakat Cina Sarawak mahukan tadbir urus yang lebih baik sehinggakan mereka memilih DAP. Tetapi agak janggal analisis tersebut kerana selama tiga dekad BN telah membuktikan mereka mampu mentadbir Sarawak dengan baik dengan membawa pembangunan walaupun menghadapi cabaran fizikal yang begitu ketara.

DAP pula tidak mempunyai sejarah lampau yang mempamerkan mereka mampu mentadbir sebuah negeri dengan baik dan telus.

Dalam hal ini elok diperhatikan sikap pengundi Melayu Singapura apabila berhadapan dengan isu tadbir urus sebuah kerajaan. Sukar untuk menafikan bahawa ahli parlimen PAP adalah terdiri daripada kalangan yang terbaik kerana parti tersebut menggunakan segala ruang untuk mencari calon yang mampu memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Pemilihan calon PAP untuk bertanding dalam pilihan raya adalah begitu panjang dan kadang kala memenatkan.

Malah sebelum Parlimen dibubarkan, Hsien Loong beberapa hari lepas telah memperkenalkan 24 muka baru yang akan menjadi calon PAP. Bukan sahaja setakat memperkenalkan muka baru, tetapi Hsien Loong dengan yakin menyatakan lima daripada mereka berkemungkinan besar akan dilantik sebagai menteri. Beliau dengan bangga juga memberi jaminan kesemua calon tersebut adalah yang terbaik dipilih dari golongan korporat, penjawat awam, akademik dan tentera.

Sebab itu pengundi Melayu Singapura tanpa berbelah bahagi memilih calon PAP, kerana kewibawaan tadbir urus adalah begitu terjamin sekali kerana bagi pengundi tersebut, kesinambungan pembangunan adalah begitu penting sekali.

Menarik juga jika diteliti pemerhatian Hsien Loong mengenai pengundi yang tidak menyokong PAP. Menurut beliau pengundi seperti ini sebenarnya juga memerlukan pembangunan dan yakin proses tersebut akan diteruskan oleh PAP.

"Mereka ini sebenarnya mengharapkan orang lain mengundi PAP supaya mereka boleh mengundi parti pembangkang. Singapura akan hancur jika semua pengundi mempunyai pendirian sedemikian rupa," sindir Hsien Loong.

Mungkin juga pengundi Cina Sarawak mempunyai pendirian di atas kerana mereka akur bahawa pembangunan tetap akan diteruskan oleh kerajaan BN walaupun mereka mengundi sebaliknya. Sebenarnya banyak iktibar yang boleh dipelajari daripada sikap pengundi Melayu Singapura.

KUALA LIPIS BERSEJARAH