Wednesday, December 1, 2010

ISLAM DAN PERLEMBAGAAN

Kuasa Persekutuan, Raja-Raja dan agama

Oleh Shamrahayu A Aziz

2010/11/30

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KuasaPersekutuan_Raja-Rajadanagama/Article

Kedudukan Islam dalam Perlembagaan tak boleh dipertikai

KEDUDUKAN Islam dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipertikaikan lagi. Islam adalah agama bagi Persekutuan dan juga agama bagi semua negeri (kecuali Sarawak). Islam adalah juga satu-satunya agama yang disebut dengan namanya sendiri dalam Perlembagaan – bukan saja Perlembagaan Persekutuan, malah perlembagaan negeri-negeri.

Atas alasan sejarah dan amalan yang menjadi tradisi dan warisan negara, Perlembagaan Persekutuan menyediakan kerangka tertentu mengenai pentadbiran Islam.

Islam adalah urusan negeri yang dinaungi Raja-Raja Melayu. Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing, manakala Yang di-Pertuan Agong pula adalah Ketua Agama negeri baginda dan negeri yang tidak mempunyai Raja.

Secara amalannya Majlis Raja-Raja (satu institusi yang ditubuhkan oleh Perlembagaan – lihat Perkara 38 dan Jadual Kelima Perlembagaan Persekutuan) adalah institusi yang sinonim dengan Islam. Banyak pihak sudah membuat pengaduan kepada Majlis Raja-Raja mengenai urusan Islam. Keadaan ini tidak dapat dielakkan kerana ketiadaan Ketua Agama Islam pada peringkat Persekutuan.

Selain alasan itu, ahli Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam. Oleh yang demikian, ia amat tidak munasabah untuk Raja-Raja mengabaikan Islam, walaupun secara harfiahnya Majlis Raja-Raja tidak diberikan kuasa berkaitan agama Islam oleh Perlembagaan Persekutuan.

Berkaitan peranan Majlis Raja-Raja mengenai Islam mungkin saya boleh katakan bahawa Islam adalah termasuk di bawah perkara yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja.

Hujah saya ialah, Islam (dan adat istiadat Melayu) adalah perkara yang secara nyata dan tidak pernah dipersoalkan, dikhaskan kepada Raja-Raja saja. Undang-undang dan amalan tidak pernah memisahkan Islam daripada Raja-Raja.

Selain Raja-Raja dan Majlis Raja-Raja, kita tidak mempunyai institusi lain yang ditubuhkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mengendali urusan Islam. Pembahagian kuasa dalam sistem federalisme yang kita amalkan, Islam adalah urusan negeri.

Perlembagaan Persekutuan seolah-olah memberikan kuasa berkaitan Islam kepada negeri secara eksklusif. Ini juga sudah dibuktikan dalam keputusan majoriti kes Mamat bin Daud yang dibuat oleh Mahkamah Agong pada 1988.

Dalam kata lain, Perlembagaan Persekutuan cuba menerapkan kuasa autonomi berkaitan Islam kepada negeri. Namun ini tidak sepenuhnya benar. Adakalanya Perlembagaan memberi kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang berkaitan Islam.

Sebagai contoh, Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang menentukan bidang kuasa berkaitan hukuman jenayah syariah.

Dalam aspek pentadbiran Islam di Malaysia, perkembangan semasa menyaksikan penubuhan beberapa institusi pentadbiran Islam pada peringkat Persekutuan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Penubuhan institusi ini bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri. Dalam konteks ini, walaupun agama Islam adalah urusan negeri (yang dikatakan sebagai kuasa eksklusif negeri-negeri). Perlembagaan Persekutuan mempunyai beberapa peruntukan yang memberi ruang kepada Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan urusan pentadbiran dan undang-undang bagi negeri berkaitan agama Islam – bukan saja bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Perkara 76(1)(b) yang menyebut mengenai kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang bagi negeri dalam hal-hal tertentu, termasuk undang-undang bagi maksud menggalakkan keseragaman undang-undang antara dua negeri atau lebih. Peruntukan ini boleh ditafsirkan sebagai termasuk juga undang-undang berkaitan Islam.

Hujah ini saya tegaskan dengan kehendak Perlembagaan bahawa, apa juga undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen hendaklah mendapat persetujuan negeri menerusi suatu undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri.

Ini menjadikan urusan berkaitan Islam kekal sebagai urusan negeri (lihat Perkara 76(3)), walaupun mungkin inisiatif asal penggubalan undang-undang itu adalah daripada Persekutuan.

Dalam menjalankan urusan pentadbiran, Perkara 133 Perlembagaan Persekutuan pula memberikan kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang yang membenarkan perkhidmatan bersama sama ada atas inisiatif Kerajaan Persekutuan atau atas permintaan negeri.

Maksud perkhidmatan bersama ini ialah penjawat awam yang dilantik untuk menggerakkan institusi ini boleh dilantik untuk memberi perkhidmatan secara bersama kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri atau kepada satu negeri dan negeri yang lain.

Sehubungan dengan peruntukan Perkara 133 ini Parlimen meluluskan Akta Perkhidmatan Bersama (Pegawai-Pegawai Hal-Ehwal Islam) 1997. Tujuan akta ini adalah untuk menubuhkan satu pentadbiran hal-ehwal Islam yang bersepadu antara negeri bagi memudahkan urusan pentadbiran agama Islam.

Di dalam bahagian pengenalannya Akta 1997 ini menyatakan bahawa penggubalan akta ini adalah berdasarkan kepada permintaan sesetengah negeri. Kesan daripada peruntukan akta ini, pihak Persekutuan dan negeri boleh mempunyai penjawat awam di dalam perkhidmatan bersama yang mentadbir urusan Islam di negeri-negeri.

Dalam konteks federalisme, keadaan ini mungkin boleh dikatakan sebagai sesuatu yang berat sebelah dan menyokong Kerajaan Persekutuan. Tetapi alasan saya mudah – ini dibenarkan oleh Perlembagaan dan ia adalah ciri sistem federalisme kita. Sama ada ia adalah peruntukan yang berat sebelah atau pun tidak, tidak harus menjadi persoalan.

Amat benar bagi kita untuk menyatakan bahawa urusan berkaitan Islam adalah urusan negeri di bawah naungan Raja-Raja, namun Perlembagaan tidak menafikan sepenuhnya kuasa Persekutuan berkaitan undang-undang dan pentadbiran Islam.

Namun, kuasa Persekutuan harus dijalankan atas permintaan atau kebenaran negeri. Ini menjadikan Raja-Raja sebagai berkuasa penuh mengenai urusan Islam dan seterusnya kuasa negeri tidak diketepikan begitu saja.


Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH