Wednesday, December 8, 2010

FAHAMAI KONSEP KETUANAN MELAYU

Ketuanan Melayu legitimasi watan

Oleh Teo Kok Seong

2010/12/08

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KetuananMelayulegitimasiwatan/Article

Bukan Bumiputera tak dipinggir, diberi perlindungan

KOMEN mengenai Ketuanan Melayu sebagai satu konsep kontroversi disentuh lagi. Kali ini oleh orang Melayu sendiri dalam kongres tahunan sebuah parti politik pembangkang. Walaupun diingatkan berkali-kali oleh pelbagai pihak, termasuk golongan istana supaya tidak mempersoal, apatah lagi mempertikai Kedudukan Istimewa Orang Melayu pada Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan, masih ada pihak tidak mengendahkan nasihat diraja ini.

Satu dalil yang digunakan sesetengah pihak untuk menolak konsep Ketuanan Melayu ialah hubungan tidak bertamadun antara tuan dan hamba padanya. Dalam konteks ini, orang Melayu diibaratkan tuan, manakala orang bukan Melayu sebagai hamba. Dengan pemahaman yang sengaja diada-adakan ini, orang Melayu disifatkan sebagai tuan yang mempunyai kuasa, misalnya mengawal orang bukan Melayu yang merupakan hamba. Sebagai hamba, orang bukan Melayu bukan saja berada di bawah telunjuk orang Melayu tetapi perlu mengikuti perintahnya.

Selain ini, orang bukan Melayu sebagai hamba juga tidak dibenarkan membuat sebarang keputusan mengenai diri mereka dan hanya boleh melakukan sesuatu dengan kebenaran daripada tuannya iaitu orang Melayu. Dengan kata lain, sebagai hamba, orang bukan Melayu dikongkong dari segi perundangan oleh orang Melayu selaku tuan.

Satu lagi dalil untuk menghapuskan konsep ini seterusnya menyingkirkan peruntukan begini daripada Perlembagaan Persekutuan, ialah orang Melayu memiliki status lebih tinggi. Justeru, mempunyai lebih kuasa daripada orang bukan Melayu. Dengan ini, orang Melayu yang memiliki banyak kelebihan ini perlu berkuasa ke atas orang bukan Melayu.

Sehubungan dengan dalil sebegini, persoalannya ialah – adakah semua ini benar? Untuk dalil pertama, adakah orang bukan Melayu sebagai hamba dipasung dari segi perundangan sehingga mereka tidak boleh mencari nafkah, selain tidak dapat meneruskan cara hidup etnik, yang diwarisi dari tanah asal China dan India?

Sehubungan ini, putar belit pihak tertentu mengenai pengertian kedua-dua kata tuan dan hamba itu, memperlihat betapa ceteknya kecerdasan mereka dalam usaha mempolitikkan makna kata-kata itu. Kata tuan dalam bahasa Melayu tidak semestinya selalu bermakna orang/pihak tempat menghambakan diri, seperti orang kulit putih menjadi tuan kepada hamba daripada orang kulit hitam di Amerika Syarikat, satu masa dulu.

Tuan juga bererti pemilik, dan tuan dalam konteks Ketuanan Melayu, boleh dikaitkan dengan makna pemilikan Tanah Melayu oleh Orang Melayu sebagai penduduk asal dan/atau yang lebih awal daripada yang lain-lain. Untuk ini, buktinya banyak sekali dan pemilikan dalam erti permastautinan lama ini tidak dapat dinafikan mana-mana pihak.
Tuan juga adalah kata ganti yang sopan untuk lelaki dan perempuan, tanpa mengira darjat dalam sistem kesantunan bahasa Melayu, khususnya zaman lampau. Dialog kisah purba banyak mengandungi ungkapan seperti Tuan Puteri dan Tuan Hamba.

Sehubungan itu, hamba dalam bahasa Melayu tidak semestinya selalu bermakna abdi. Ia juga membawa maksud saya, untuk tujuan merendahkan diri sebagai menghormati orang yang dilawan bercakap sekali gus ini satu ciri budi bahasa Melayu yang mulia.

Pengertian tuan dan hamba yang hanya membawa maksud orang/pihak tempat menghambakan diri dan abdi, kalau datang daripada orang bukan Melayu, boleh difahami kerana mereka bukan penutur natif. Tetapi pemahaman sebegini daripada orang Melayu sendiri yang merupakan penutur jati kepada bahasa Melayu, sesungguhnya tidak berlaku walaupun dalam keadaan tidak siuman, kecuali betul-betul disengajakan untuk tujuan tertentu.

Untuk dalil kedua, betulkah orang Melayu berstatus tinggi mempunyai banyak kelebihan sehingga boleh menentukan nasib orang bukan Melayu. Semua pihak yang mempunyai nawaitu yang betul mengetahui yang keadaannya tidak begitu.

Malah keadaan adalah sebaliknya iaitu orang Melayu yang dikatakan tuan dan yang dianggap berstatus lalu mempunyai banyak kuasa itu, sebetulnya adalah kelompok yang jauh ketinggalan dari banyak segi, pendidikan dan ekonomi misalnya, apabila dibandingkan dengan orang bukan Melayu. Dari segi ekonomi, orang Melayu masih tidak berupaya mencapai ekuiti 30 peratus daripada pemilikan kekayaan negara, yang selebihnya dikuasai orang bukan Melayu.

Ketuanan Melayu sebagai istilah dan konsep yang dianggap jelik oleh sesetengah pihak itu, sebenarnya adalah legitimasi watan, yakni hak orang Melayu/Bumiputera yang sah, terhadap wilayah yang bernama Tanah Melayu sebagai penduduk asalnya.

Legitimasi watan ini boleh wujud dalam beberapa bentuk. Antaranya adalah Kedaulatan Raja-Raja Melayu, yakni penghormatan kepada etnik Melayu sebagai anak watan negara ini yang dimanifestasikan dalam bentuk Raja Melayu selaku pemerintah dan orang Melayu sebagai rakyat. Dalam konteks ini, kata tuan merujuk kepada gelaran Raja/Sultan Melayu yang memerintah, dan Ketuanan Melayu pula adalah pemerintahan oleh Raja/Sultan Melayu.

Dalam sistem Raja Melayu dan orang Melayu ini, yang diperkemas dalam Perlembagaan Persekutuan pada 1957, legitimasi watan ini mencakupi tujuh perkara. Pertama bumi yang dihuni ini dipanggil Persekutuan Tanah Melayu sebagai nama Melayunya. Perkara kedua, sebahagian bumi ini disimpan khas untuk orang Melayu dan dikenali sebagai Tanah Simpanan Melayu. Perkara ketiga, keselamatan bumi ini sebahagiannya diamanahkan kepada pasukan tentera yang digelar Regimen Askar Melayu.

Keempat, sistem pemerintah beraja yang dipanggil Raja-Raja Melayu. Perkara kelima ialah Islam dijadikan Agama Persekutuan. Perkara keenam ialah Bahasa Melayu menjadi bahasa negara ini. Yang ketujuh ialah perlindungan terhadap orang Melayu selaku anak watan dalam bentuk Kedudukan Istimewa Orang Melayu.

Dengan ada semua ini, legitimasi watan tetap memberi perlindungan kepada orang bukan Melayu yang merupakan penduduk bukan asal. Mereka diterima menjadi warga negara, layak memiliki tanah, diterima menganggotai pasukan tentera, ikut dilindungi sebagai rakyat Raja-Raja Melayu, dibenarkan terus menganuti agama lain selain Islam, boleh mengajar dan mempelajari bahasa etnik masing-masing, dan dijamin kepentingan absah mereka yang tidak boleh sekali-kali dicabuli.

Adakah semua ini, menunjukkan Ketuanan Melayu itu bersifat diskriminasi terhadap orang bukan Melayu, sehingga perlu disingkirkan daripada Perlembagaan Persekutuan, seperti dikehendaki sesetengah pihak?

Ketuanan Melayu, walaupun dipanggil dengan apa jua nama lain, misalnya legitimasi watan, tetap adalah kelayakan penduduk asal negara ini yang halal terhadap tanah tumpah darah mereka. Meskipun demikian, orang Melayu bersedia berkongsi kelayakan ini dengan orang bukan Melayu, dalam semangat permuafakatan etnik, yang dikenali sebagai kontrak sosial yang kini dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.


Penulis ialah Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM

2 comments:

  1. Salam, mohon di link kan blog saya.
    http://helangbuana.blogspot.com/
    t. kasih

    ReplyDelete
  2. W Salam. Cg Pian...Silakan dan boleh saja.

    ReplyDelete

KUALA LIPIS BERSEJARAH