Model politik baru bermula
Oleh SAIFUDDIN ABDULLAH
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
Ucapan-ucapan dan tindakan-tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan komitmennya yang tinggi dalam melakukan pembaharuan politik.
Sebagai pelengkap kepada transformasi yang dicetuskannya dalam kerajaan dan ekonomi, serta pelancaran Model Baru Ekonomi (MBE), beliau membayangkan keperluan untuk mewujudkan model politik baru. Ia diungkapkan dalam pelbagai perkataan dan dilaksanakannya dalam pelbagai keadaan.
Sebagai Presiden UMNO, Datuk Seri Najib serius melakukan pemulihan parti. Dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 pada 21 Oktober lalu, beliau menyatakan bahawa pemulihan itu harus melalui tiga frasa, iaitu memperakui kelemahan dan masalah, bermuhasabah dan mencari penawar mustajab, serta memulakan gerak kerja.
Dalam ucapan penggulungannya pula, tujuh perkara telah digariskannya, iaitu meletakkan parti lebih tinggi daripada peribadi, memperkuatkan pasukan bukannya kumpulan, memenangi hati rakyat, menjuarai media baru, sasar pengundi muda, sifar masalah dan mendahulukan rakyat.
Di samping itu, beliau bersungguh-sungguh menjadikan UMNO lebih demokratik dan inklusif. Sebahagian daripadanya telah dilaksanakannya melalui pindaan Perlembagaan UMNO yang meningkatkan penyertaan pemimpin akar umbi, termasuk wanita dan orang muda, dari segi perwakilan dan pemilihan pucuk kepemimpinan parti pada masa depan. Beliau juga menekankan bahawa UMNO berlaku adil kepada semua rakyat.
Sebagai pemimpin bangsa Melayu, Datuk Seri Najib melihat agenda Melayu dari pendekatan yang lebih dinamik. Dalam ucapan dasar tersebut, beliau menyatakan, “amatlah mustahaknya Melayu alaf ke-3, Melayu abad ke-21 dipersediakan untuk eranya. Dari begitu obsesi terhadap haknya, sebaliknya Melayu abad ke-21 wajib mempersiapsiagakan dirinya untuk memanfaatkan hak yang ada...harus gigih membina keupayaan dan kemampuan...harus berdepan realiti untuk meraih kejayaan”.
Menurutnya, “kita harus menjadi Melayu yang glokal...Melayu seharusnya mampu bersaing dengan yang terbaik...mampu bertarung dengan yang paling kuat...menjadi yang terhebat di pentas antarabangsa”.
“Pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran. Siapa yang berilmu, siapa yang menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran. Oleh itu, janganlah kita mengambil jalan mudah dengan bersifat dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isinya,” ujarnya lagi.
Sebagai Pengerusi BN, Datuk Seri Najib mencadangkan diadakan Konvensyen BN tidak lama lagi. Antara lain, ia akan membincangkan persoalan mewujudkan Piagam BN dan membolehkan individu menjadi ahli BN secara terus, iaitu tanpa melalui parti komponen. Kedua-dua perubahan ini akan membawa corak, cara dan citra politik BN yang baru.
Sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib jelas mengamalkan satu bentuk politik yang baru, iaitu meningkatkan dan meluaskan penyertaan rakyat dalam proses membuat keputusan. Ini terbukti, terutamanya, dalam pendekatannya menggubal gagasan 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan, Pelan Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh.
Empat dasar utama kemajuan negara itu membentuk kerangka baru kerajaan (new government architecture) yang diketuainya. Dengan mengamalkan frasa yang sering diungkapkannya iaitu “hari-hari di mana kerajaan mengetahui dan melakukan segala-galanya telah berakhir”, beliau mengajak rakyat berpartisipasi membentuk dasar-dasar tersebut.
Beliau mengajak rakyat mengemukakan idea, pandangan dan maklum balas dengan pelbagai cara, seperti menulis kepadanya melalui media sosial, menghantar memorandum, menyertai diskusi dan makmal, serta menghadiri pameran yang berkaitan. Ini adalah amalan governans yang baru, iaitu rakan kongsi sinergi antara sektor kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil.
Di pentas dunia, Datuk Seri Najib dengan berani dan bernas mencadangkan satu kaedah baru untuk mencapai keamanan dunia yang berkekalan, khususnya dalam memerangi terorisme, iaitu yang berasaskan kesederhanaan. Ini dicetuskannya dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu baru-baru ini.
Menurut banyak sumber, termasuk Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Jose Fernandez (dalam pertemuan dengan saya di Universiti Tun Razak tidak lama selepas ucapan itu), cadangan tersebut mendapat reaksi positif daripada banyak pihak.
Ucapan tersebut menggunakan istilah “kesederhanaan”, iaitu satu konsep penting dalam Islam. Dalam saranannya ketika perjumpaan dengan para ulama tempatan pada Februari lalu, beliau menggunakan istilah “wasatiyah”, yang bermakna sederhana, pertengahan dan berimbang, dengan memetik firman Allah SWT: “Dan demikian pula kami jadikan kamu (umat Islam) umat pertengahan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu...” (al-Baqarah:143).
Sesungguhnya, Datuk Seri Najib telah memulakan transformasi ke arah mewujudkan satu model politik baru. Cabaran kini ialah bagaimana kita membantu beliau menjadikannya satu realiti.
Dalam konteks ini, ahli-ahli UMNO perlu menghayati kandungan ucapan dasar beliau yang terbaru itu. Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang, saya akan mencadangkan supaya ucapan itu dibincangkan di peringkat Bahagian. Ini bagi memastikan amanat itu benar-benar diamalkan di setiap peringkat hingga ke akar umbi.
Pokoknya, UMNO perlu benar-benar menghayati “politik integriti” yang berasaskan idealisme perjuangan dengan mengamalkan politik ilmu bukannya politik ampu, politik hikmah bukannya politik fitnah, dan politik bakti bukannya politik undi.
Para pemimpin dan pemikir Melayu tidak boleh lagi berada dalam paradigma “agenda Melayu untuk Melayu sahaja”. Sebaliknya, kita perlu memulakan paradigma baru “agenda Melayu untuk Malaysia”. Kita perlu kepada “pemikiran Melayu” yang kukuh untuk menjadi teras kepada dasar-dasar dan program-program rakyat Malaysia yang majmuk.
BN tidak boleh lagi sekadar membincangkan persoalan perkongsian kuasa sahaja. Sebaliknya, ia perlu menggunakan kuasa minda untuk melahirkan “pemikiran progresif” untuk membentuk dasar-dasar dan programprogram negara yang lebih baik.
Antara perkara yang perlu ditangani BN ialah: menurunkan umur layak mengundi ke 18 tahun; penghayatan budaya ilmu; meningkatkan semangat patriotisme; pembinaan peradaban; pembinaan masyarakat baik yang berasaskan keadilan sosial, partisipasi demokratik serta kelestarian ekonomi dan alam sekitar; langkah afirmatif mengatasi masalah kemiskinan melalui pendekatan keusahawanan sosial; dan keterangkuman tulen belia dan wanita dalam arus perdana negara.
Para pentadbir kerajaan tidak boleh lagi memainkan peranan sebagai “pemerintah”. Sebaliknya, kita perlu memainkan peranan sebagai “pemudahcara” dalam “kerangka governans baru” yang mengiktiraf peranan perniagaan dan masyarakat sivil sebagai rakan kongsi bersama-sama kerajaan/politik dalam struktur dan proses membuat keputusan bagi setiap bidang di setiap peringkat.
Di pentas dunia, Malaysia tidak boleh lagi sekadar menjadi “peserta” perkembangan kontemporari. Sebaliknya, kita perlu menjadi “pemain” yang menentukan hala tuju perkembangan masa depan.
Semua ini memerlukan kita untuk berganjak daripada sekadar mampu “berfikir” secara kreatif dan inovatif sahaja. Sebaliknya, kita perlu mempunyai “pemikiran” kita sendiri terhadap apa yang hendak difikirkan itu.
Kesimpulannya, model politik baru yang telah siap dan lengkap, iaitu yang dapat digambarkan pada mata kasar, mungkin belum dapat dinukilkan dengan jelas. Tetapi, model politik baru dari segi semangat dan matlamat, serta pendekatan dan tindakan, telah dengan jelasnya dimulakan oleh Datuk Seri Najib.
No comments:
Post a Comment