13 Mei Hari Muhibbah, DAP Penakut!
http://umno-online.com/?p=25529
IPOH 14 Nov. – Gagasan Melayu Perak (GMP) menyifatkan DAP ‘penakut’ kerana menentang cadangan untuk menjadikan 13 Mei sebagai tarikh memperingati salah satu daripada peristiwa bersejarah di negara ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, DAP tidak perlu memberi pelbagai alasan untuk menggagalkan hasrat tersebut jika mereka berani berhadapan dengan kebenaran.
”Saya tidak melihat mengapa DAP dan beberapa pemimpin parti politik lain menentang pelajaran Sejarah diwajibkan atau memperingati hari sedemikian (13 Mei) selain mereka takut jika fakta sejarah ini diketahui oleh rakyat,” katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebelum ini menuduh cadangan kolumnis Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan menerusi ruangan Cuit supaya tarikh berdarah itu disambut sebagai ‘Hari Muhibah’ setiap tahun kononnya bertujuan menghasut dan berbaur perkauman.
Khamis lalu, Kit Siang semasa sidang Dewan Rakyat dipetik sebagai berkata: ”Bukankah ini satu hasutan dan sangat berbahaya? Adakah ia satu tajuk berita yang perlu dikaji oleh Jawatankuasa Sensitiviti? Bolehkah ada satu sikap yang serius untuk mengutuk laporan seperti ini.”
Semalam, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dalam blognya berkata, tindakan DAP itu mudah difahami kerana parti tersebut tahu siapa yang sebenarnya memulakan provokasi melampau terhadap orang Melayu sehingga mencetuskan pergaduhan berdarah 13 Mei.
Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli mencadangkan supaya 13 Mei dijadikan ‘Hari Mahabbah’ (Hari Kasih Sayang) bagi mendidik generasi sekarang dan seterusnya agar sentiasa mengingati tarikh tersebut demi mengelakkan kejadian sama berulang.
Katanya, Singapura meraikan 21 Julai sebagai ‘Hari Harmoni Kaum’ dalam usaha republik itu memperingati peristiwa berdarah rusuhan kaum dan agama pada 21 Julai 1964 ketika orang Melayu sedang menyambut Maulidur Rasul.
Hal yang sama turut dilakukan Jepun yang meraikan 6 dan 9 Ogos sebagai ‘Hari Keamanan’ bagi memperingati peristiwa pembunuhan pada 1945 apabila Amerika Syarikat meletupkan dua bom atom di bandar Hiroshima dan Nagasaki.
Mengulas lanjut, kata Mohd. Hilmi, pemimpin DAP cuba menyembunyikan sejarah sebenar kerana mungkin mereka takut dibayangi kesilapan lalu.
”Jika sejarah hitam 13 Mei ini terbongkar bahawa siapa yang bertanggungjawab, mungkin ada pihak-pihak tertentu tidak senang,” katanya.
Mohd. Hilmi berharap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara tersebut dengan sebaik mungkin kerana beliau yakin, majoriti rakyat akan menyokong segala usaha yang membawa kebaikan kepada negara.
”Kita tak boleh sembunyikan sejarah hitam. Apabila diketahui, diinsafi sudah tentu kita tidak mahu mengulangi sebaliknya akan menjadikan ia pengajaran dan akan terus mengambil ingatan.
”Ini sudah tentu dapat memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment