Sunday, November 7, 2010

BUAT IKTIBAR KEPADA MELAYU

Runtuhnya Melayu Singapura

Oleh Zainuddin Maidin

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_11.htm

DALAM memoirnya, The Singapore Story, Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew menceritakan ketika serangan Jepun ke atas Singapura dalam tahun 1941, beliau yang sedang berjalan kaki dari Teluk Kurau ke Norfolk Road telah melihat orang-orang Melayu mencuri kerusi dan meja dari rumah rumah besar. Tetapi orang-orang Cina mencuri barang-barang keperluan dan barang kecil yang ringan dan lebih berharga.

Sebuah buku lagi mengenai Kuan Yew, The Man and His Ideas telah memetik tulisan seorang sosiologis Barat, Judiht Jumour, isteri kepada seorang profesor antropologi University of London mengenai Malay kinship and Marriage in Singapore akhir 1940 dan awal tahun 1950 yang diterbitkan oleh London School Of Economic.

Jumour mengemukakan perbezaan nilai Melayu dan Cina Singapura. Orang Cina Singapura pada keseluruhannya menganggap pencarian kekayaan suatu matlamat hidup yang sangat penting dan mereka adalah pekerja yang rajin dan peniaga yang berminat. Sebaliknya Melayu Singapura mengutamakan kehidupan yang mudah dan santai.

Sebagai contoh beliau memberikan anekdot tentang seorang jiran Melayunya yang mempunyai suami yang berkerja sebagai pemandu lori berpendapatan $120 sebulan. Suatu hari dia memberitahu bahawa dia sangat gembira kerana suaminya telah mendapat kerja baru menjadi pemandu sebuah van kecil dengan gaji $80 sebulan.

Bagi wanita Melayu ini, keadaan ini adalah lebih baik kerana masa kerja yang lebih pendek dari memandu lori dan kurang memenatkan, suaminya boleh pulang ke rumah lebih awal di sebelah petang dan mempunyai banyak masa untuk bersenang senang, lebih baik dari kerja sehingga pukul 9 atau 10 malam dan mendapat $120 sebulan. Apa gunanya mempunyai gaji besar jika tidak mempunyai masa untuk berehat. Lagipun membawa lori mengotorkan baju, tetapi dengan kerja baru ini, isterinya tidak perlu lagi melakukan banyak kerja membasuh.

Banyak lagi anekdot yang dikemukakan oleh Kuan Yew dalam buku ini yang memberikan persepsinya terhadap nilai dan sikap orang Melayu. Berasaskan kepada perjuangan politiknya sesudah menyertai Malaysia dan setelah keluar dari Malaysia maka jelas bahawa beliau mempunyai pandangan yang sama terhadap orang Melayu hingga hari ini.

Penilaian ini tidak semestinya benar sepenuhnya kerana ketika Kuan Yew melihat orang Melayu tidak tahu menilai mana lebih penting antara perabot atau makanan dalam keadaan peperangan, beberapa orang wartawan Melayu yang diketuai oleh seorang bernama Yusof Ishak berasal dari Perak dengan beberapa orang lagi wartawan dan pekerja bahagian cetakan sedang berkerja di sebuah bangunan di Queen Street Singapura, bagi memastikan akhbar Utusan Melayu dapat berada dipasaran pada esoknya. Mereka tidak mempedulikan bom sedang digugurkan.

Yusof menjalankan amanah Kesatuan Melayu Singapura bagi menerbitkan harian Utusan Melayu memandangkan beliau seorang yang berpengalaman dalam pengurusan akhbar, rajin, komited , dedikasi, jujur dan mendukung semangat kebangsaan yang tinggi. Sebelum itu beliau telah pun berkerja dengan Warta Malaya, akhbar yang dimodali sepenuhnya oleh orang Arab.

Ini adalah kualiti yang jarang ada pada orang Melayu pada masa itu. Beliau merupakan kesinambungan golongan terpelajar Melayu yang telah bangkit dan gigih berusaha meneroka berbagai bidang di Singapura sejak awal tahun 20-an.

Atas kualiti dan nilai-nilai inilah Kuan Yew yang mengenali Yusof lebih 20 tahun sejak beliau menjadi peguam pertama Utusan Melayu, telah melantik Yusof Ishak menjadi Yang Dipertuan Singapura dan seterusnya menjadi Presiden Singapura yang pertama selepas merdeka.

Yusof adalah antara orang Melayu keturunan Minangkabau yang berhijrah dari Semenanjung Tanah Melayu ke Singapura, mendapat didikan Inggeris di Singapura dan memahami sifat dan kualiti yang diperlukan oleh orang Melayu untuk hidup di kota kosmopolitan.

Seorang lagi anak Melayu yang juga dari keturunan Minangkabau yang membuktikan semangat keusahawanan yang tinggi bernama Mohd Eunos Abdullah yang mendapat pendidikan di Raffles Institution Singapura. Setelah tamat pelajarannya pada tahun 1894 beliau menjadi Ketua Pengawas Pelabuhan Singapura dan Ketua Pelabuhan Kecil Muar tetapi menempa nama besar apabila pada tahun 1907 dalam usia 31 tahun telah ditawarkan oleh William Makepeace, tuan punya sebuah akhbar Inggeris yang paling tua di Singapura, Free Press untuk menjadi pengarang edisi Melayu akhbar itu yang dinamakan Utusan Melayu.

Tetapi Utusan Melayu ini bukanlah Utusan Melayu yang dimodali sepenuhnya oleh orang Melayu yang diterbitkan atas tajaan Kesatuan Melayu Singapura dengan Yusuf Ishak sebagai salah seorang penajanya dan menjadi pengarahnya yang pertama yang diterbitkan pada tahun 1939.

Utusan Melayu pimpinan Mohd Eunos telah menunjukkan kebijaksanaan dan kehalusan orang Melayu dalam berinteraksi dengan pemerintah kolonial bagi memperjuang kepentingan masyarakat Melayu.

Umpamanya dalam meminta pemerintah Singapura mendirikan sebuah sekolah pertanian di Singapura, Mohd Eunos menyatakan keyakinan bahawa pemerintah yang senantiasa menggalakkan usaha yang dijalankan oleh orang orang Melayu tentu tidak akan membiarkan rayuan itu berlalu begitu sahaja. (muka 171 Nasionalisme Melayu oleh William Roff terjemahan Ahmad Boestamam. Naskhah asalnya The Origin of Malay Nationalism).

“Sikap tidak memihak yang diperhitungkan dan teguran yang saksama ini memberikan Utusan Melayu ciri-ciri utamanya sebagai sebuah lidah Melayu yang bertanggungjawab yang dapat diterima oleh pihak Inggeris, tetapi tidak pula gentar membela kepentingan Melayu yang ganjil apabila keadaan memerlukan (Lihat The Origin of Malay Nationalism oleh William R.Roff terbitan Universiti Malaya).

Mohd Eunos telah membina kepercayaan masyarakat dan penjajah Inggeris terhadap dirinya sehingga dilantik sebagai seorang Jaksa Pendamai dan sebagai anggota Melayu yang pertama dalam Majlis Undangan Negeri Negeri Selat.

Kegiatannya dalam gerakan sosial dan kebajikan orang Melayu dan Islam menyebabkan beliau kemudiannya telah diberikan kepercayaan untuk menjadi pengasas dan yang Dipertua pertama Kesatuan Melayu Singapura yang merupakan sebuah pertubuhan politik Melayu yang pertama di Singapura dan Semenanjung yang ditubuhkan pada awal tahun 20-an.

Keturunan

Dicatatkan oleh Roff, Mohd Eunos, sebagai seorang rakyat biasa dan bukan keturunan raja lebih mudah mencapai kedudukan ini di Negeri- Negeri Selat daripada di negeri- negeri Semenanjung.

Pemusatan intelek Melayu dari Semenanjung di Singapura adalah oleh kerana suasana yang lebih kondusif, dan bebas untuk perkembangan idea dan juga bagi menjalankan aktiviti yang bersifat kerakyatan.

Ini dibuktikan daripada 13 suratkhabar dan majalah Melayu yang diterbitkan antara tahun 1904 hingga 1918, lapan daripadanya diterbitkan di Singapura.

Buku The Origin of Malays Nationalism juga perihal sebilangan kecil pemuda Melayu yang terpelajar dan berjaya di Singapura dan komited untuk membantu rakan-rakan sebangsa yang berhijrah ke Singapura untuk memajukan diri dalam bidang pelajaran dan mencari peluang pekerjaan dalam kehidupan di Singapura yang amat mencabar.

Dalam tahun 1921, Mohd Eunos bersama -sama dengan Dr. Abdul Samad, doktor Melayu yang pertama dan Tengku Abdul Kadir dari keturunan Istana Kampung Gelam telah menubuhkan Muslim Institute untuk menyediakan tempat tinggal dan memberikan lain-lain bantuan yang diperlukan oleh penghijrah penghijrah sebangsa ini.

Ini adalah berbeza dengan keadaan sekarang, anak-anak Melayu yang berjaya sebagai orang profesional, sebagai usahawan dan sebagainya dengan bantuan biasiswa dan pinjaman, tidak ramai yang menunjukkan kesedaran seperti mereka yang telah berdiri atas kaki sendiri pada awal kebangkitan Melayu di Singapura.

Lebih buruk lagi apabila mereka yang diharapkan oleh pemimpin negara untuk melahirkan lebih ramai lagi orang Melayu yang berjaya atau membiakkan jutawan Melayu setelah mereka berjaya, hanya lebih berjaya melahirkan jutawan yang terdiri dari isteri-isteri yang mereka ceraikan.

Kebanyakan isteri yang diceraikan membuat tuntutan nafkah berpuluh juta malah sampai kepada peringkat beratus juta. Ini adalah antara episod yang telah menutup kejayaan Melayu menerusi Dasar Ekonomi Baru.

Kesatuan Melayu Singapura ditubuhkan oleh orang-orang Melayu yang sedar di Singapura dan melihat kewartawanan sebagai senjata paling berkesan untuk meluaskan lagi kebangkitan dan kesedaran Melayu.

Kebangkitan nasionalisme Melayu di Singapura sebelum serangan Jepun bukannya kerana menentang penjajahan tetapi kerana menentang eksploitasi orang Arab dan juga Jawi Peranakan terhadap orang Melayu. Intelek Melayu hanya menjadi pekerja kepada penerbit akhbar dan majalah yang dimodali dan dipunyai sepenuhnya oleh orang Arab.

Dengan tingkah lalu mereka, keturunan Arab telah meletakan diri mereka lebih mulia daripada orang Melayu, mendakwa diri sebagai keturunan Rasullullah, mahu tangan mereka dicium dan tidak membenarkan anak mereka, Syed atau Syarifah berkahwin dengan orang Melayu.

Penentangan terhadap orang Arab dan Jawi Peranakan ini dijuarai oleh Utusan Melayu sehingga Dato’ Onn mencairkannya demi untuk mengwujudkan perpaduan yang lebih besar di kalangan orang Melayu bagi menentang Malayan Union. Takrif Melayu diperluaskan oleh Dato’ Onn dengan Melayu mencakupi mereka yang beragama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Selepas Perang Dunia Kedua apabila revolusi Indonesia membahang ke Singapura, penulis dan wartawan-wartawan Melayu serta intelek Melayu telah terdedah dan terpengaruh dengan perjuangan politik nusantara yang dijuarai oleh Sukarno dan politik antarabangsa yang condong kepada gerakan komunis antarabangsa.

Beberapa orang intelek Melayu dari Semenanjung dan juga Singapura berada di hadapan dalam gerakan kiri di Singapura malah seorang wartawan Utusan Melayu Samad Ismail mempunyai pengaruh yang sangat kuat di kalangan kaum pekerja Cina dan kesatuan-kesatuan sekerja di Singapura yang didokong oleh orang-orang komunis seperti Lim Chin Siong, Fong Swee Suan, James Puthucheary , Devan Nair dan lain lain. Maka itu Kuan Yew memerlukan Samad untuk menubuhkan PAP bersama dengannya.

Di tahun- tahun kebangkitan anti kolonialisme di Singapura, nama -nama seperti Kassim Ahmad, Ahmad Mustaffa, Dr. Ungku Omar dan Abdullah Majid merupakan nama-nama besar dalam gerakan nasionalis dan sosialis di kalangan mahasiswa Universiti Singapura. Walaupun jumlah mereka kecil tetapi mereka berjaya meyakinkan bukan Melayu untuk menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam Malaya Merdeka.

Pada masa kebangkitan kaum pekerja di Singapura awal tahun 1950- an, Utusan Melayu tidak dilihat sebagai akhbar orang Melayu tetapi akhbar yang mewakili suara paling berani rakyat semua kaum terutama kaum pekerja bagi menentang penjajahan, suara kesatuan kesatuan sekerja menentang majikan dan kapitalisme.

Operasi

Pejabat Utusan Melayu di 185, Cecil Street, semasa revolusi Indonesia menjadi pusat operasi pejuang-pejuang kemerdekaan Indonesia telah bertukar menjadi pusat pertemuan dan permesyuaratan pemimpin kiri untuk merancang tindakan kebangkitan rakyat memperjuangkan kemerdekaan. Antaranya yang sering datang ke Utusan Melayu masa itu ialah ialah Kuan Yew , Devan Nair (bekas Presiden Singapura , Lim Chin Siong Pemimpin Barisan Sosialis Singapura dan lain-lain nama besar yang menempa sejarah.

Kekalutan dan kehangatan politik Singapura masa itu diceriakan oleh kegiatan sastera, kebudayaan, kesenian dan perfileman Melayu yang menampilkan P. Ramlee, Kasma Booty, S. Romainoor, Umi Kalsum, Osman Gumanti, Nordin Ahmad yang penerbitnya adalah terdiri taikun Cina ,Run Run Shaw dari Hong Kong dan pengarah- pengarah dari orang India.

Di samping itu berkembang dengan hebatnya drama-drama Melayu menampilkan dramatis dan penulis-penulis skrip seperti Kalam Hamidi, Osman Zailani, Fatimah Yassin, Noraini Hashim, Malik Selamat , Rahman B, Aimi Jarr dan Shukor Harun sebagai pengarah.

Juga muncul berbagai majalah hiburan dan pengetahuan seperti Hiburan, Belia, Utusan Filem dan Sport, Mutiara, Gelanggang Filem, Qalam dan banyak lagi. Radio Singapura popular dengan Bangsawan Di Udara.

Bidang kesusasteraan menampilkan nama nama besar seperti Keris Mas, Tongkat Warrant atau Usman Awang , Hamzah, Masuri S.N, M. Amin, Awamil Sarkam, Asni, Adibah Amin dan lain lain.

Kebangkitan intelek Melayu ini senantiasa diikuti oleh anak-anak muda di Semenanjung dan telah memberikan penghayatan dan ikutan kepada mereka untuk bangun dan menjalankan kegiatan yang sama.

Pemindahan Utusan Melayu ke Kuala Lumpur yang kemudiannya diikuti oleh P. Ramlee dan sebahagian besar artis--artis besar Melayu, dramatis dan penulis ternama telah menyepikan Singapura dari kegiatan kesusasteraan dan kebudayaan seolah-olah telah hilang roh dan suara Melayu di pulau itu.

Demikian suatu zaman besar orang Melayu yang telah berlalu di Singapura , zaman kebangkitan perjuangan dan kegiatan orang Melayu yang bersandarkan kepada intelektualisme dan kegiatan yang sihat dan berbudaya dan menunjukkan keupayaan dan keyakinan diri orang Melayu untuk menyesuaikan diri dalam sebuah dunia kosmopolitan yang terbuka sifatnya dengan nasionalisme yang progresif dan dinamik tetapi akhirnya tenggelam dalam arus negara maju Singapura.

Apabila Utusan Melayu meninggalkan Singapura pada Februari 1958 ia seperti membawa bersamanya roh orang Melayu Singapura , berlaku perpisahan persahabatan selama lebih 20 tahun antara penaja Utusan Melayu Yusuf Ishak dengan Samad Ismail dan Samad Ismail dengan Kuan Yew yang menjadi peguam pertama Utusan Melayu.

Perkembangan-perkembangan politik di Singapura yang mengalahkan komunisme, penyertaan dan penyingkirannya dari Malaysia yang memarakkan politik perkauman di Singapura adalah antara faktor besar yang menyebabkan kemunduran semula politik Melayu di Singapura.

Singapura membuat kesilapan politik dengan menyertai pilihan raya Malaysia pada tahun 1964 dan menjual “Malaysian Malaysia” yang menolak kuasa dominan Melayu dan persamaan hak antara semua kaum dan selepas pilihan raya itu pula UMNO mahu mengembalikan dan memacu aliran politik Melayu di Singapura yang kosmopolitan global sifatnya.

UMNO mengambil alih cawangannya di Singapura dan menghantar wakilnya untuk membangunkan semula sentimen dan semangat Melayu di Singapura.

Dalam buku Men in White disebutkan Utusan Melayu yang menyokong PAP di tahun-tahun pembentukannya telah mengangkat pemidang “Agama, bangsa dan tanah pusaka” bersama UMNO, menjadi juara kepada perjuangan nasib Melayu dan menuduh kerajaan PAP menindas orang Melayu. Suara lantang dan paling berani dalam memarakkan api kemarahan orang Melayu Singapura pada masa itu ialah Setiuasaha Agung UMNO Datuk Syed Jaafar Albar.

Orang Melayu Singapura yang dari sejak tahun 1907 telah membangunkan diri mereka untuk menjadi kaum dinamik dalam masyarakat kosmopolitan Singapura dan telah pun keluar dari politik cauvinis dan terlibat dalam politik kosmoplitan dan universal. Singapura mahu di bawa kembali kepada politik dunia Melayu.

Beberapa orang Melayu yang progresif terutama dari Utusan Melayu sendiri telah menjadi anggota Parlimen dan Menteri dalam Kabinet kerajaan PAP Singapura seperti Rahim Ishak, Osman Wok, Baharuddin Ariff, Ahmad Ibrahim dan Ghazali Ismail. Yusuf Ishak, penaja Utusan Melayu akhirnya menjadi Presiden Singapura yang pertama setelah disingkirkan dari Utusan Melayu.

Rusuhan perkauman di Singapura pada 21 Julai 1964 bersempena dengan perarakan Maulud Nabi, maka senario politik Singapura telah mengubah pendirian politik Kuan Yew. Beliau tidak lagi menganggap orang Melayu sebagai rakan politiknya yang utama. Orang dalam politik Singapura dan juga pembangunan Singapura yang moden dan global identitinya memerlukan rakyat yang sanggup bersaing, dinamik, progresif dan tidak bersifat etnoentrik.

Dalam senario sejarah yang saya kemukakan secara ringkas ini, kita harus menilai diri kita untuk mengenali apakah yang diperlukan dalam perjuangan untuk survival orang Melayu dalam Malaysia yang juga akan menghadapi cabaran yang sama.

Moga-moga kita tidak lagi mewarisi kualiti manusia yang nampak perabut ketika beras diperlukan.

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH