Wednesday, May 26, 2010

UMNO KUDA-KUDA : PAS DIPERKUDA



Pas tidak konsisten

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm


TINDAKAN Pas mempergunakan habishabisan isu pemberian lesen judi untuk bola sepak Piala Dunia sudah dijangka.

Pas sememangnya ingin ke hadapan kononnya bagi menunjukkan kepada umat Islam bahawa mereka amat menentang kemungkaran apatah lagi dalam soal judi dan arak.

Dari satu segi, Pas berhak melakukan penentangan tetapi dalam masa yang sama, mereka juga perlu memberi peluang kepada kerajaan untuk membuat keputusan muktamad.

Ini kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin sudah memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa mengambil kira pandangan semua pihak termasuk daripada kalangan Islam dan bukan Islam dalam isu berkenaan.

Kalaulah benar Pas ingin menentang kemungkaran judi dan arak, lakukanlah dahulu di negeri-negeri yang terletak di bawah penguasaan pakatan pembangkang.

Setakat ini, sama ada di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor, kegiatan judi dan arak berterusan. Di Kelantan pula, arak dibenarkan untuk golongan bukan Islam.

Malahan paling ketara di Kedah, kenapakah Pas yang memerintah kerajaan negeri tidak melaksanakan pengharaman ke atas judi dan arak?

Pas mempunyai kerusi majoriti di Kedah. Kalau kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abd.Razak hendak mengharamkan kedua-dua kegiatan itu, ia tidak jadi masalah. Rakan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidak boleh kata apa-apa.

Tetapi Pas tidak lakukannya? Di manakah istiqomah pemimpin, ahli dan penyokong Pas yang begitu beria-ia hendak menunjukkan mereka menentang kemungkaran dengan berdemonstrasi selepas solat Jumaat lalu tetapi membiarkan sahaja ia terjadi di negeri yang mereka ada kuasa sepenuhnya?

Begitu juga di Selangor yang Pas ‘bersekongkol’ bersama-sama PKR dan DAP bagi memerintah negeri itu, kenapakah Pas tidak mendesak habis-habisan perkara yang sama.
Bagaimana pula di Kelantan, yang mana Pas membenarkan penjualan arak kepada bukan Islam dan memungut hasil daripada permit yang dikeluarkan.

Bukankah di dalam Islam, arak tetap haram dan boleh menjadi punca kepada segala kemungkaran. Lupakah pemimpin Pas mengenai kisah di zaman nabi mengenai seorang lelaki soleh yang akhirnya terjebak dalam perzinaan dengan seorang wanita dan membunuh seorang bayi selepas termakan hasutan syaitan untuk meminum arak?

Oleh itu, jelaslah dalam isu judi bola sepak ini, sikap tidak konsisten Pas semakin ketara. Sebelum ini, sudah banyak contoh yang menunjukkan Pas demi kepentingan politik bersama-sama DAP dan PKR sanggup ‘menggadaikan’ segala-galanya.

Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang lalu, jika sebelum ini mereka ‘menghentam’ calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim yang dikatakan menentang hukum hudud tetapi secara tiba-tiba pemimpin Pas begitu terbuka memaafkan beliau.

Malahan Pas melalui jentera pilihan raya turun bermati-matian membantu Zaid untuk mencapai kemenangan.

Begitu juga dalam isu kalimah Allah, sebelum ini kepimpinan Pas sudah membuat ketetapan bahawa isu tersebut tidak boleh diperalatkan demi kepentingan politik tetapi lihat sahaja apa yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil Sibu.

Demi untuk meraih undi, ada di kalangan pemimpin Pas yang sanggup berkempen untuk calon DAP dengan memperalatkan isu tersebut. Kenapakah kepimpinan tertinggi Pas atau mana-mana ahli Pas terutama sayapnya tidak menyatakan bantahan?

Malahan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara terbuka menyatakan DAP boleh menggunakan isu kalimah Allah sedangkan Timbalannya, Datuk Dr.Haron Din pula kata tidak boleh.

Ini belum lagi termasuk pendirian celaru Pas dalam soal kerjasama dengan DAP yang sebelum ini secara jelas menentang penubuhan negara Islam.

Pas bertukar fikiran 360 darjah, apabila menganggap kerjasama dengan DAP tidak salah dan parti cauvinis berkenaan semakin menerima Islam.

Tetapi soalnya, Pas masih belum menguji DAP sepenuhnya. Kalau benar DAP sudah menerima Islam, cubalah Pas ketengahkan kembali idea negara Islam. Ketika itu, barulah Pas akan tahu sejauh manakah kejujuran DAP berkawan dengan mereka.

Lihatlah juga pendirian Pas dalam isu melompat parti. Apabila ada wakil rakyat daripada pembangkang keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas, Pas mengecam habis-habisan.
Pelbagai ‘fatwa’ dikeluarkan dan ia termasuklah desakan supaya wakil rakyat terlibat meletakkan jawatan. Tetapi apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan ‘impian 16 September’, Pas menyokongnya.

Ketika itu tidak timbul pula soal ‘halal haram’ atau khianat tidak khianat amanah rakyat. Bagi Pas, kalau sesuatu tindakan itu menguntungkan pembangkang, ia boleh ‘dihalalkan’ tetapi kalau menguntungkan Barisan Nasional (BN), ia ‘diharamkan’.

Apakah ini ciri-ciri sebuah parti Islam yang pemimpinnya sentiasa sahaja menggunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasullullah SAW untuk berhujah?

Seperkara lagi, Pas juga hanya mendiamkan diri apabila banyak janji-janji yang dilontarkan bersama-sama pembangkang ketika pilihan raya umum lalu masih banyak tidak ditunaikan sama ada di Selangor, Kedah mahupun Pulau Pinang.

Tidak pula kedengaran Dewan Pemuda Pas pusat atau Dewan Muslimatnya bersuara lantang untuk mengingatkan Pas supaya memastikan segala janji itu dilaksanakan. Ini kerana di dalam Islam perbuatan memungkiri janji hanya dilakukan oleh orang munafik.

Justeru adalah perlu menjelang muktamar parti itu yang akan berlangsung mulai 9 Jun ini, pemimpin dan ahli-ahli Pas bermuhasabah dan memikirkan apakah selama ini tindakan mereka bersesuaian dengan perjuangan sebuah parti Islam atau tidak.

Kalau benar Pas ingin menjadi sebuah parti Islam yang menentang segala kemungkaran dan menegakkan syiar Islam, maka bersikaplah seperti itu.

Janganlah memilih-milih isu, kalau isu itu menguntungkan pakatan pembangkang maka ia akan disokong atau digembar-gemburkan tetapi kalau ia merugikan pembangkang maka ia akan disenyapkan begitu sahaja.

Pas perlu faham sikap tidak konsisten mereka dalam pelbagai isu yang berlaku boleh mengelirukan bukan sahaja ahli-ahli parti tersebut tetapi juga umat Islam secara keseluruhannya.

Sebagai sebuah parti yang menjadi Islam sebagai asas perjuangan, Pas tidak boleh berdolak-dalik dalam sesuatu isu atau mengubah pendirian hanya semata-mata kerana kepentingan politik.

Dalam Islam- yang benar tetap benar, yang batil tetap batil. Pas tidak boleh menjadi ibarat sesumpah yang mampu bertukar wajah bila-bila masa demi menyelamatkan kepentingan politiknya.

Lebih penting daripada itu, Pas harus diperingatkan bahawa sikap tidak konsisten mereka lambat-laun tidak akan mendatangkan apa-apa faedah kepada mereka, sebaliknya dilihat akan menguntungkan sekutunya iaitu DAP dan PKR. Buktinya sudah ada!

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH