Saturday, May 8, 2010

ULANG TAHUN UMNO KE 64

UMNO TERUS KEKAL DOMINAN

Thursday, May 6, 2010

http://sdrkz.blogspot.com/2010/05/umno-terus-kekal-dominan.html

Tanggal 11 Mei 2010, genap 64 tahun parti keramat UMNO dilahirkan. Parti yang telah banyak menabur jasa. Melahirkan pejuang-pejuang tulen yang berkorban jiwa dan raga, keringat dan air mata demi mempertahankan maruah dan martabat agama bangsa dan tanahair

Semangat perjuangan memartabatkan maruah orang Melayu bersemarak apabila British mengisytiharkan kertas putih mengenai rancangan Malayan Union pada 22 Januari 1946. Tindakan biadap dan tidak menghormati perasaan orang Melayu oleh British mencetuskan segala-galanya.

Gagasan Malayan Union harus ditentang habis-habisan. Orang Melayu tidak rela melihat Tanah Melayu menjadi tanah jajahan takluk British.

Kesabaran orang Melayu jangan diambil mudah. Jangan dijolok sarang tebuan!

Ledakan daripada semangat itu, satu kongres tergempar diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 untuk mengumpulkan kekuatan Melayu mencabar British yang begitu tidak sensitif mengemukakan Gagasan Malayan Union. British harus diajar. Mereka perlu tahu orang Melayu, pantang dicabar. Jangan diusik!

Kongres itu dihadiri wakil dari 41 pertubuhan Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan dalam kongres itu juga dicadangkan satu pertubuhan Melayu dengan tujuan menyatupadukan orang Melayu.

Susulan itu, dalam bulan yang sama, dua lagi kongres diadakan iaitu pada 30 dan 31 Mac 1946 di Pejabat Akhbar Majlis di Kuala Lumpur dan di Rumah Persatuan Penang Peranakan Batu Road Kuala Lumpur.

Tiga bulan selepas kongres pertama di Kelab Sultan Sulaiman, orang-orang Melayu membuktikan komitmen untuk bersatu padu menentang Malayan Union.

Kuasa raja-raja Melayu perlu dipertahan. Malayan Union mahu menghapuskan kuasa raja-raja Melayu. Malayan Union mahu memberi rakyat asing hak sama rata dengan rakyat tempatan. Kemarahan orang-orang Melayu memuncak dan membara.

Sejarah tercatat. 64 tahun yang lalu, di Istana Besar Johor, di Johor Bahru pada 11 dan 12 Mei 1946, parti keramat UMNO secara rasmi ditubuhkan. UMNO menyatupadukan orang Melayu yang bertekad untuk menentang Malayan Union.


Pada mulanya UMNO dicadangkan oleh Dato’ Onn Jaafar dengan nama “ Pertubuhan Melayu Bersatu” atau “ United Malays Organisation’. Bagaimanapun Tuan Za’aba mencadangkan ditambah perkataan “kebangsaan’ atau “national’ selepas perkataan “Pertubuhan’. Akhirnya kongres bersetuju untuk menamakan “ Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu’ ( PEKEMBAR) atau “United Malays National Organisation’ (UMNO).

Setelah penubuhan UMNO, orang Melayu menunjukkan semangat perpaduan yang amat memberangsangkan. Mereka bergerak dalam satu nada melawan Malayan Union.Perjuangan menentang Malayan Union mendapatkan sokongan paling padu.

Dalam tempoh dua tahun Malayan Union dapat dihapuskan, kemudian digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan secara rasmi pada 1 Februari 1948.

Perjuangan UMNO tidak terhenti di situ. Sandiwara British perlu ditamatkan. Walaupun Persekutuan Tanah Melayu di Raja-raja Melayu dikembalikan kuasa di negeri masing-masing, tetapi British masih menjajah.

Mereka masih berkuasa dalam pentadbiran dan mengaut segala hasil kekayaan sumber asli. Orang-orang Melayu diketepikan tanpa mendapat apa-apa pembelaan. UMNO tidak rela melihat martabat bangsanya diperkotakl-katikkan. Perjuangan membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah British harus digerakkan seperti mana menentang Malayan Union.

UMNO harus mempelopori pula perjuangan memerdekakan tanah Melayu. Orang Melayu tidak mahu lagi dijajah. Cukuplah penderitaan dan penghinaan yang diterima sejak mula dijajah seawal 1511.

Pada 24 dan 25 Mac 1951, Majlis Mesyuarat Agung Setengah Tahun UMNO di Hotel Majestic, Kuala Lumpur meluluskan usul yang dikemukakan oleh wakil Pemuda supaya slogan “Hidup Melayu’ diganti dengan “ Merdeka’.

Tunku Abdul Rahman Putra selaku Yang DiPertua UMNO sebelum meluluskan cadangan tersebut dengan tegas menyatakan:

Lima tahun dahulu kita sama-sama meruntuhkan”Malayan Union’, maka sekarang ini kita akan robohkan pula “Persekutuan Tanah Melayu’ ini yang tidak berguna langsung dan kita akan dirikan kemerdekaan bagi bangsa kita.”

Kerajaan British, apabila menyedari UMNO sudah mula bergerak dan bersatu ke arah memperjuangkan agenda menuntut kemerdekaan, mensyaratkan kemerdekaan tidak akan diberi sekiranya negara ini masih dalam keadaan darurat dan tidak ada kerjasama dan persefahaman antara kaum .

UMNO bijak mengatur strategi. UMNO bersungguh-sungguh mahukan negara ini bebas merdeka. Apa sahaja halangan akan dirempuh. Bumi tercinta ini perlu Merdeka!

Dengan kerjasama MCA, serta kejayaan bedar UMNO/Perikatan dalam pilihanraya 1955, British akhirnya terpaksa akur di atas tuntutan UMNO.

Akhirnya tarikh keramat kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu dipersetujui pada 31 Ogos 1957.

Perjuangan dan jasa UMNO tidak terhenti setakat menentang Malayan Union dan memerdekakan Tanah Melayu. Selepas menikmati kemerdekaan, UMNO sebagai tonggak parti perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional menumpukan perjuangan untuk mengisi kemerdekaan dan mempertahankan serta meninggikan martabat bangsa, agama dan tanah air.


Ladang-ladang getah dan kelapa sawit dibuka untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat. Pelbagai program pembangunan dalam ekonomi, pendidikan, agama, dan sebagainya dirancang secara sistematik dan strategik.

Institusi yang berkait rapat dengan pembangunan rakyat seperti RISDA, FELDA, FELCRA, MARA dan sebagainya diwujudkan.

Mengimbau penubuhan UMNO 64 tahun yang lalu, pastinya tidak ada sesiapa yang dapat menolak hahikat betapa besar jasa dan pengorbanan yang parti itu telah lakukan untuk menjadikan Malaysia negara yang bermaruah dan rakyatnya memiliki jati diri unggul.

Ahli-ahli UMNO kini melebihi tiga juta. Sebuah parti politk tertua dan terunggul di dunia, tidak ada sebuah parti politik di dunia yang dapat menandingi rekod pencapaian UMNO. Mendapat kepercayaan rakyat untuk terus menerus memerintah dalam kesemua 12 pilihan raya umum.

UMNO harus terus dipertahankan. UMNO tetap terus relevan. UMNO mesti terus menjadi parti dominan.

Semoga Allah sentiasa memberi laluan yang mudah, mengurniakan rahmat, memberkati dan memelihara serta memberi kekuatan kepada UMNO, parti yang begitu banyak berjasa memartabatkan maruah bangsa agama dan tanahair.


Hidup UMNO, Hidup Melayu, AllahuAkbar



No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH