Saturday, January 16, 2010

KITA JUARA RAKYAT : DULU, KINI DAN SELAMANYA

Terus Juarai Pendidikan Rakyat

Jan 14th, 2010 By administrator Category: Berita Utama

Disalin daripada Laman Sesawang UMNO-ONLINE

http://umno-online.com/?p=5532

KUALA LUMPUR, 14 Jan. – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan mengajak segenap lapisan masyarakat untuk meneruskan aktiviti Juara Rakyat yang berteraskan ‘pendidikan’ sepanjang Januari ini.


Antara program yang akan dilaksanakan sepanjang bulan ini ialah khidmat masyarakat bersama institusi pengajian tinggi, bantuan kepada pelajar-pelajar miskin dan yang memerlukan serta program kepimpinan pelajar.


Dalam hal ini katanya, semua peringkat dalam masyarakat khususnya para pemimpin termasuklah di peringkat akar umbi perlu memahami hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terutamanya untuk melihat parti ini lebih berjiwa rakyat dan terus berada di landasan perjuangannya.


“Dalam meneruskan Juara Rakyat tersebut, semua 191 UMNO peringkat bahagian akan menjalankan program masing-masing berlandaskan kepada tema yang ditentukan untuk menjadi aspirasi sepanjang tempoh pelaksanaannya,” katanya.


Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas majlis merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua urus setia yang telah menjayakan Program Juara Rakyat, 8 hingga 10 Januari lalu.


“Kejayaan Program Juara Rakyat minggu lalu yang telah menghimpunkan lebih daripada 50,000 pengunjung adalah satu pencapaian membanggakan yang tentunya tidak akan dapat dicapai tanpa kerjasama semua pihak dalam melaksanakan tugas,” ujar beliau lagi.


Selaras dengan itu, beliau menyatakan bahawa pelaksanaan Juara Rakyat tersebut bukanlah semata-mata untuk menghadapi pilihan raya tetapi ia satu program berterusan ke arah menjalankan tanggungjawab, amanah dan keikhlasan dalam kepimpinan berkerajaan.


“Hasrat ingin menjadi juara adalah keutamaan sebagaimana gagasannya dalam persaingan memenangi hati rakyat malah jika berlaku malapetaka maka kitalah yang pertama akan datang membantu dan konsep ‘juara’ itu sendiri akan meletakkan pemimpin bekerja dengan lebih keras kerana dalam peperangan politik tidak ada naib juara.”


Justeru, terang beliau lagi bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan teratur sejajar dengan manifestasi yang digariskan, semua Naib Presiden dalam UMNO telah dipertanggungjawabkan dengan pembahagian di peringkat bahagian masing-masing selain ahli Majlis Tertinggi dipertanggungjawabkan dengan bahagian angkat.


“Penekanan yang penting ialah untuk menanamkan sikap kesukarelawan dan turun padang bukan sahaja dikalangan pemimpin atasan tetapi juga peringkat bahagian dan cawangan.”
Katanya lagi, sokongan dan bantuan segera yang disalurkan adalah bukti bahawa rakyat di peringkat akar umbi tanpa mengira fahaman politik tidak pernah diketepikan.


Mengulas mengenainya, beliau menyebut kejayaan dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat adalah bukti keprihatinan kerajaan yang ditunjangi UMNO/BN termasuklah bantuan segera bernilai 15.6 juta kepada penduduk 5,000 unit pangsapuri di sekitar Bandar Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung yang telah terbengkalai selama lapan tahun oleh Perdana Menteri.


Selain itu, melalui program tersebut juga yang dilaksanakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin telah berjaya menyelesaikan isu berkaitan tapak sekolah Cina di Bukit Tagar, Bukit Beruntung yang juga telah memakan masa selama 10 tahun.


Dalam perancangan yang digariskan, semua pemimpin akan turun padang dan bekerja bagi menjayakan Program Juara Rakyat.


“Sebenarnya program yang dirancang tersebut bukanlah sesuatu yang asing tetapi ia diperincikan dengan lebih teratur dan mantap melalui pelbagai aktiviti akan dijalankan antaranya pendidikan, keagamaan, kerohanian, keusahawanan, perekonomian, sosial dan NGO serta pelbagai lagi jenis program yang telah ditentukan.”


Apa yang pasti, katanya lagi, program tersebut tidak mengkhusus kepada UMNO semata-mata tetapi ia adalah gerakan bersepadu merangkumi penglibatan langsung rakan-rakan kompenan dalam BN dengan usaha untuk terus bersama-sama menggembling tenaga memastikan kerukunan dan keharmonian terpelihara.


“Melalui program-program tersebut, kita akan memastikan bahawa tidak akan ada rakyat yang terpinggir atau merasa tersisih kerana mereka akan terlibat secara langsung dalam menjayakan setiap perancangan sama ada di peringkat pusat, bahagian atau cawangan sekalipun,” jelas beliau lagi.


Selaras dengan itu, beliau turut menggesa semua lapisan masyarakat bergerak aktif dan tidak leka dengan matlamat perjuangan untuk terus memperkasa bangsa Malaysia dan memastikan kekukuhan kerajaan berterusan dan terus terpelihara.


“Pelbagai program yang ada pastinya akan dapat membuka minda dan berkongsi matlamat kerajaan dalam manifestasi melihat rakyat dan pemimpin seiring iaitu rakyat memahami aspirasi pemimpin dan pemimpin sendiri menyelami kehendak masyarakat,” katanya.


Tegas beliau juga, program tersebut adalah peluang terbaik kepada rakyat untuk mengenali pemimpin negara yang akan berada bersama-sama sepanjang tiga hari tersebut.


“Dengan kata lain, menerusi program ini akan meletakkan kita berada nombor satu di hati rakyat dengan rakyat juga sentiasa berada di tempat utama dalam perjuangan.”


Program UMNO Juara Rakyat ini telah dibincangkan secara terperinci dan mendapat kelulusan oleh ahli Majlis Tertinggi menerusi mesyuaratnya yang bersidang pada 4 Disember lalu dengan kesinambungan secara langsung yang akan diteruskan oleh semua peringkat Bahagian melalui skala yang lebih kecil.


Sesungguhnya program ini merujuk kepada hasrat untuk menjuarai kehidupan rakyat, menjuarai pembelaan rakyat, menjadi johan dalam membangun rakyat dan sentiasa berada di barisan hadapan untuk rakyat.


Berikut adalah tema Program Juara Rakyat setiap bulan:

1. Januari – Pendidikan
2. Februari – Kebajikan
3. Mac – Agensi Kerajaan
4. April – NGO & Swasta
5. Mei – Wanita dan keluarga
6. Jun – Belia dan Sukan
7. Julai – Ekonomi dan Keusahawanan
8. Ogos – Ibadah dan kerohanian
9. September – 1Malaysia – Perpaduan dan Kebudayaan
10. Oktober – Petani, Penternak dan Nelayan
11. November – Kesihatan dan Keselamatan
12. Disember – Kerjaya dan kemahiran

### BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT###

*** HIDUP UMNO, HIDUP MELAYU ***

1 comment:

  1. Tuan dijemput menghadiri Dialog Bersama Pemimpin, sila berikan nama penuh, no ic, nama blog dan no telefon dan emailkan kepada saya di darulehsantoday.blog@gmail.com, dengan kadar segera untuk booking tempat duduk. tarikh, tempat dan masa akan diberitahu melalui email. terima kasih

    ReplyDelete

KUALA LIPIS BERSEJARAH