Perpaduan Tercalar, Perlembagaan Tercabar
Jan 4th, 2010 By administrator Category: Berita Eksklusif
Dipetik daripada laman UMNO Malaysia.
http://umno-online.com/?p=5392
Natijah atas apa yang dilakukan oleh masyarakat Islam dan bangsa Melayu telah pun terungkai apabila perpaduan sesama bangsa dan agama diketepikan malah menjadi satu permainan kepada segelintir pihak dalam merencana agenda politik seterusnya pada masa hadapan.
Lihat sahaja bagaimana kehadiran tahun baru mencetuskan suasana bimbang di kalangan masrayakat Islam apabila Gereja Katolik dibenarkan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald – The Catholic Weekly setelah Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa setiap individu mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan Allah.
Sesungguhnya inilah harga dan nilai apabila kelihatan lemah atau kekuatan dalam perpaduan itu mahu diuji dengan menterjemahkannya dalam bahasa perundangan.
Sedangkan telah jelas bahawa dalam Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan di samping Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan sendiri menyebut bahawa menjadi satu kesalahan bagi seseorang bukan Islam untuk menggunakan perkataan Allah kepada umat Islam untuk menyebarkan agamanya.
Dalam hal ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO sendiri pernah dipersalahkan oleh sesetengah pihak khususnya pembangkang yang menggunakan Islam sebagai proksinya hanya kerana keterbukaan beliau menyambut salam untuk menjalinkan perpaduan atas nama agama dan bangsa demi kesejahteraan semua.
Bukan itu sahaja, Perdana Menteri pula dituduh kononnya menggunakan agenda perpaduan tersebut sebagai fitnah dan tohmahan jahat UMNO yang terdesak sedangkan cadangan asalnya terbit dari Presiden dalam sekutu pembangkang sendiri.
Lantas keterbukaan UMNO untuk bersatu dan berpadu dengan bangsa sendiri dan atas nama agama Islam tidak menjadi realiti ekoran pandangan negatif pihak terbabit yang sentiasa berprasangka buruk sedangkan hakikatnya parti yang didukung mereka diperkudakan oleh pihak lain atas kepentingan pangkat, kuasa dan kedudukan.
Lebih malang lagi apabila dikatakan ada pemimpin pembangkang yang beragama Islam sendiri mula bermain dengan sandiwara apabila menyokong gerakan yang mahukan penggunaan Allah digunapakai oleh agama lain selain Islam dengan tujuan untuk dilihat terbuka dan sesuai dengan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.
Dalam memasuki usia 53 tahun kemerdekaan, kesejahteraan dan kerukunan dalam kepelbagaian ini perlulah dihargai berlandaskan kepada prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan yang jelas perlu terus difahami.
Justeru, bagi memastikan negara kekal aman, setiap individu di negara ini waima yang bukan bukan beragama Islam perlu saling mengambil kira soal sensitiviti agama dan kaum lain.
Malah telah jelas dikatakan dan digunapakai selama ini bahawa perkataan Allah adalah spesifik bagi umat Islam sahaja manakala perkataan tuhan atau god dalam bahasa Inggeris adalah untuk penganut agama lain.
No comments:
Post a Comment