Wednesday, August 25, 2010

MERDEKA KE 53 TAHUN


Merdeka Tak Boleh Dijual Untuk Kepentingan Diri -Aziz


Oleh Ropikah Ahmad

http://umno-online.com/?p=19023


KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Tokoh veteran UMNO, Tan Sri Aziz Tapa menyatakan kebanggaan beliau terhadap kemajuan yang telah dicapai negara hasil daripada perjuangan UMNO sebagai sebuah parti keramat yang berjaya mengumpulkan semua pertubuhan Melayu bagi mengusir penjajah.

Menurut beliau, kejayaan yang dicapai negara hari ini adalah hasil kesungguhan yang tidak berbelah bahagi para pejuang UMNO yang enggan menggadaikan negara demi kepentingan peribadi.

“Saya gembira kerana masih berkesempatan melihat kejayaan negara dan mengecapi nikmat kemerdekaan seperti yang kita rasai hari ini, “ kata beliau kepada umno-online.com.

Abdul Aziz Tapa kini menjangkau 87 tahun tetapi usia beliau yang lanjut tidak sedikit pun menghakis semangat kebangsaan dalam jiwanya.

“Sebagai negara yang pernah dijajah, kita bertuah kerana nikmat yang kita kecapi hari ini sedangkan jika kita bandingkan suasana di sekeliling kita hari ini amat jauh berbeza dengan apa yang ada 53 tahun lalu,” katanya.

Ujar beliau, jika dahulu rumah-rumah yang ada robak-rabik tetapi sekarang sudah tersergam rumah batu dan bandarnya pula telah dihiasi dengan pelbagai bangunan tinggi menjulang.

“Penjajah berada di Tanah Melayu sejak 1800 lagi hinggalah merdeka tetapi tidak ada kemajuan yang diberikan selain hasil bumi kita dari perlombongan dan estet getah di bawa balik ke negara mereka, sedangkan baru sahaja lebih 50 tahun kita merdeka pelbagai pembangunan dan pemodenan dapat diwujudkan untuk semua masyarakat,” tegas beliau.

Beliau mula membabitkan diri dalam dunia politik dengan menyertai Pergerakan Melayu Semenanjung Johor (PMSJ) Cawangan Jasin pada 1945 yang pada masa itu dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar.

Penglibatan beliau bermula sebagai timbalan ketua barisan muda di Jasin dan apabila Datuk Onn mengasaskan UMNO, beliau turut menganggotainya.

Beliau turut menyumbang tenaga bersama-sama pemimpin UMNO yang lain untuk menggagalkan konsep pemerintahan Malayan Union yang diutarakan oleh penjajah Inggeris.

Tambah beliau, nilai kemajuan yang ada dapat dilihat jelas menerusi generasi pelapis dalam setiap bangsa yang membuktikan kesungguhan kerajaan menjana dan melakukan pembangunan berteraskan keadilan.

“Kalau dulu golongan Sikh dikenali jaga lembu, India kerja di estet-estet, Melayu jadi petani di kampung-kampung dan orang Cina ada di lombong-lombong, tapi hari ini ramai yang sudah menjadi golongan profesional malah menjadi antara jutawan terkaya di Malaysia dan Asia juga,” ujarnya.

Namun demikian, beliau melahirkan rasa terkilan terhadap kegagalan segelintir generasi muda yang gagal menyerap arus pembangunan hinggakan tergelincir ke kancah kehidupan sosial negatif.

“Anak muda hari ini terlibat dengan dadah, mat rempit, kes buang bayi dan macam-macam lagi sedangkan dari aspek fizikalnya kemudahan persekolahan dari sekolah kebangsaan dan agama dititikberatkan dan jika dibandingkan dengan zaman sebelum merdeka amat jauh bezanya.”

Justeru, beliau menyeru semua lapisan masyarakat khususnya golongan belia agar menghargai kesejahteraan dan keamanan yang dikecapi dengan menganggap negara ini sebagai tempat untuk kehidupan berterusan, dari kecil hingga dewasa dan juga pewaris akan datang.

“Kerana itulah, kita kena ikut dan patuhi setiap peraturan dan juga undang-undang berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.

Sebagai pesanan kepada generasi muda, beliau memberikan serangkap pantun yang berbunyi:

Dari Melaka pergi ke Deli;
Di pasar seberang ayam berlaga,
Merdeka tak boleh dijual beli;
Bukan barang untuk niaga.

-MediaUMNO

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH