Monday, August 2, 2010

GURU OH GURU


Guru aktif politik mampu lahir pemimpin berilmu

Oleh Datuk Manja Ismail
manja@bharian.com.my
2010/08/02

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Guruaktifpolitikmampulahirpemimpinberilmu/Article


LANGKAH kerajaan meminda Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik, berkuat kuasa semalam, adalah permulaan positif ke arah mewujudkan kematangan berpolitik dan ruang penyertaan lebih luas daripada pelbagai kerjaya dalam bidang itu di negara ini.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) menetapkan hanya pegawai dalam kumpulan sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik menyandang apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan. Bagaimanapun, di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dulu.

Kita melihat pindaan peraturan itu adalah langkah mengembalikan semula hak guru, yang memberi sumbangan besar dalam perjuangan merebut kemerdekaan dan kemudian membina negara, untuk terbabit secara cergas dalam politik. Ramai pejuang kemerdekaan dan penentang Malayan Union, yang kemudian menjadi pemimpin parti politik Melayu selepas merdeka adalah terdiri di kalangan guru, khususnya lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, yang kini menjadi universiti. Kaum gurulah, selaku golongan berilmu dan pemimpin masyarakat, menyedarkan orang Melayu di luar bandar mengenai pentingnya mereka bersatu untuk mencapai kemerdekaan dan selepas itu, membantu kerajaan baru merdeka, mengisi kemerdekaan. Malah, ramai pemimpin kanan kerajaan dan parti politik Melayu pada awal kemerdekaan daripada kalangan guru termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba.


Hakikatnya, guru sudah lama berpolitik. Sebelum peraturan itu dipinda pun, sebahagian besar mereka terbabit dalam parti politik di kawasan masing-masing, sama ada secara terbuka menyokong parti pemerintah atau secara rahsia bekerja untuk pembangkang. Mereka hanya tidak boleh memegang jawatan dalam parti dan larangan itu dianggap menafikan hak mereka untuk sama-sama menyuburkan proses demokrasi.

Dakwaan pembangkang kononnya langkah membenarkan guru berpolitik ini sebagai strategi kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, itu hanyalah mainan politik mereka, yang terpaksa sentiasa mengambil pendirian sedemikian, walaupun peraturan baru ini turut menguntungkan pembangkang. Jika semua guru menyokong parti pemerintah, tidak mungkin lima negeri jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.


Lebih penting lagi, peraturan baru ini dilihat dapat menangani masalah ketandusan pemimpin politik berilmu dan berhemah pada peringkat akar umbi. Sejak sekian lama, akibat peraturan pentadbiran, pimpinan politik pada peringkat cawangan dan bahagian hanya diisi oleh kalangan usahawan dan kontraktor. Lebih malang lagi, sebahagian usahawan dan kontraktor ini muncul sebagai pemimpin bukan kerana ilmu dan kepakaran, tetapi kerana penyertaan mereka dalam politik, khususnya parti yang memerintah sesebuah negeri, tidak kira parti mana pun. Sebahagian besar masalah politik wang, membeli undi, suka berpuak dan mengaut semua projek kecil luar bandar, yang memualkan rakyat sekarang, adalah kesan daripada ketandusan pemimpin berilmu dan berhemah ini.

Golongan ini pun tidak boleh disalahkan kerana kebanyakan lepasan universiti, jika tidak meninggalkan kampung kerana mengejar kerjaya di kota, menjadi guru di tempat asal, tetapi dilarang memegang jawatan dalam parti. Kerana itu, langkah membenarkan semula guru lepasan ijazah memegang jawatan dalam parti dijangka mampu melahirkan generasi pemimpin akar umbi yang lebih dekat dengan rakyat. Guru, sebagai golongan pendidik yang dibekalkan dengan disiplin moral yang tinggi, diharap dapat meningkatkan semula mutu berpolitik rakyat negara ini, yang semakin merosot sekarang. Kerana profesion perguruan juga tertakluk kepada peraturan yang melarang mereka daripada menjalankan perniagaan, guru yang menduduki jawatan dalam parti nanti, tentu sukar untuk menggunakan kedudukannya bagi kepentingan diri.


Kita cuma berharap satu garis panduan yang jelas dikeluarkan berhubung langkah terbaru ini supaya ia dilihat memberi keadilan kepada semua pihak – guru, rakyat dan semua parti politik. Pada masa sama, peraturan itu juga harus memastikan penyertaan mereka dalam politik, jangan sekali-kali menjejaskan tugas utama mereka sebagai guru iaitu mendidik anak bangsa menjadi manusia yang sempurna.


3 comments:

  1. Ramai lagi ke guru yang berminat dalam politik?

    ReplyDelete
  2. Tak Patut lah di bebani dengan masaalah politik pula.guru banyak kerja.Nanti anak kita bermasaalah siapa nak di persalahkan.cikgu juga kena.Gaji tak lah sebesar menteri.

    ReplyDelete
  3. oiiit Hang kedee..

    Janganlah perbodohkan Guru2. Hanya guru yg Pro Parti Kerajaan dan Pro Pembangkang 2-3 orang ajer yg berpolitik. Guru2 jenis ni dah lama aktif politik.

    Yang lain2 tak kisah pun fasal politik, sebab diorang sibuk mendidik anak2 bangsa supaya berjaya dan menggengam sekurang2nya ijazah.

    ReplyDelete

KUALA LIPIS BERSEJARAH