Friday, March 9, 2012

PRU 13 : MELAYU VS MELAYU..... AGENDA SIAPA?

Undi Melayu berpecah... siapa yang untung?

Rabu, 07 Mac 2012 11:19

MIOR KAMARUL SHAHID

http://www.agendadaily.com/Analisa/undi-melayu-berpecah-siapa-yang-untung.html


Dalam realiti kehidupan seharian, sememangnya tidak nampak tanda-tanda perpecahan di kalangan orang Melayu. Orang Melayu hidup sekampung, di satu taman perumahan, di rumah pangsa yang berselerakan, anak-anak bersekolah dan bermain bersama, sesama ibu bapa mereka bekerja di bawah satu bumbung, bersembahyang di masjid yang sama, berbual mesra di kedai kopi, malah saling bantu-membantu ketika ada kematian atau kenduri kendara dan majlis keraian, apatah lagi pada hari kebesaran.

Jika peniaga, orang Melayu akan membeli di kedai sebangsa dengan mereka dengan hasrat untuk membantu semoga perniagaan bertambah maju. Bila anak-anak bangsa mencapai kejayaan pelajaran yang cemerlang, bukan ibu bapa mereka saja gembira, malah bangsa mereka turut berasa megah.

Begitulah mesranya persefahaman di kalangan orang Melayu. Namun, kemesraan di kalangan orang Melayu ini menyebabkan sukar untuk membuktikan wujudnya perselisihan sesama mereka. Ia berbeza sewaktu perselisihan orang Melayu berikutan Amanat Haji Hadi Awang pada 1981 yang mencetuskan fenomena sembahyang dua imam, tidak sah makan sembelihan orang UMNO dan sebagainya.

Hari ini, sudah tidak kedengaran fenomena orang Melayu tidak bertegur sesama sendiri akibat selisih faham politik melainkan sekali-sekala sewaktu berlaku perhimpunan politik atau pilihan raya. Bagaimana pun, beberapa peristiwa yang berlaku setakat ini belum sampai ke tahap yang mencemaskan.

Sebenarnya, perpecahan orang Melayu yang nyata ialah daripada konteks undi dalam pilihan raya. Kesan perpecahan undi ini boleh menyebabkan mereka tersembam di bumi sendiri. Inilah kesan buruk yang sangat ditakuti oleh orang Melayu kerana sekali terlepas kuasa, amat sukar untuk mendapatkannya semula.

Orang Melayu boleh membakar kelambu kerana marahkan seekor nyamuk tetapi, jangan lupa mereka juga sebenarnya membakar sebuah mahligai bangsa yang selama ini memberi keselesaan hidup kepada orang Melayu.

Apabila undi Melayu pecah, siapakah yang akan untung? Tepuk dada, tanya selera, semua orang tahu jawapannya. Jangan nanti orang Melayu alpa kerana ketika mereka berpecah, orang lain membina kekuatan dan strategi. Orang Melayu tidak berfikiran strategik berbanding kaum lain yang menguasai kekayaan negara ini.

Sebenarnya, mereka yang berkepentingan mengharapkan perpecahan undi orang Melayu kerana itu adalah cara paling mudah untuk mereka mendapat kuasa. Disebabkan undi adalah penentu kepada kuasa dalam negara demokrasi, mereka mengharapkan orang Melayu terus bertelagah sehinggalah akhirnya mereka berjaya memegang tampuk kuasa.

Punca utama perpecahan undi di kalangan orang Melayu ialah perbezaan ideologi politik. Semua tahu, perpecahan undi Melayu mempunyai kaitan rapat antara orang UMNO dan PAS. Antara UMNO, parti tunjang Barisan Nasional (BN) dan PAS, amat sukar untuk duduk semeja dan mencari titik pertemuan.

Kedua-dua parti itu dengan pengikut masing-masing tidak bersetuju antara satu dengan lain dalam apa isu juga hanya disebabkan perbezaan pegangan hidup. Mereka bukan tidak sedar bahawa perpecahan undi boleh menyebabkan orang Melayu hilang kuasa. Walaupun ia menghantui pemikiran ramai orang Melayu, tidak ada usaha ke arah penyatuan dilakukan secara serius.

Ketika ada risik-risik bahawa ada pimpinan PAS cuba mengadakan hubungan awal dengan UMNO untuk merintis jalan mengadakan semula pemuafakatan, kumpulan ini awal-awal lagi ‘dipancung’ supaya tidak meneruskan pertemuan. Keadaan ini berlaku kerana kumpulan ini tidak mahukan orang Melayu bersatu.Tujuan pemimpin mereka berbuat demikian ialah untuk membiarkan perpecahan orang Melayu ini berterusan. Cara ini lebih mudah untuk mereka membuat tuntutan politik dan sebagainya.

-7/3/2012

1 comment:

  1. Syabas UMNO Lipis....Semarakkan Semangat Mat Kilau tu....kami di Johor rindukan kata-kata yang menyayat kalbu begitu... janganlah hanyut macam Selangor, Perak dan Kedah! Mengulingkan Kerajaan Islam itu hukumnya Haram dan berdosa. Siapakah yg Islam kini...ia adalah Yang Dulu...Kini dan Selamanya...

    ReplyDelete

KUALA LIPIS BERSEJARAH