Saturday, January 22, 2011

PRU 13 Serentak dengan Sarawak




Pilihan raya serentak

Oleh Misiah Taib dan Nazura Ngah
bhnews@bharian.com.my
2011/01/21

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pilihanrayaserentak/Article/

BN, pakatan pembangkang bersedia jika PM terima hasrat Ketua Menteri Sarawak


KUALA LUMPUR: Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan pembangkang menyatakan kesediaan parti masing-masing untuk menghadapi pilihan raya umum jika diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan pada bila-bila masa sehingga tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu berakhir pada 24 Julai depan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata walaupun secara peribadi beliau berpendapat BN memerlukan sedikit lagi masa untuk membuktikan kepada rakyat mengenai betapa kerajaan serius menunaikan janji Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Tranformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Politik (PTP), parti itu bersedia jika pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat.

“Kalau kita tiada pilihan, pilihan raya Sarawak perlu diadakan lebih dulu. Namun, saya yakin Perdana Menteri lebih mengetahui masa yang paling sesuai bila PRU-13 dan pilihan raya Sarawak perlu diadakan,” katanya ketika mengulas kemungkinan kedua-dua pilihan raya diadakan serentak.

Malam kelmarin, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, dalam rancangan Dialog Pembangunan Sosio-ekonomi dan Politik Sarawak yang disiarkan secara langsung menerusi TV1, berkata beliau akan berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai kemungkinan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan pilihan raya umum.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak bagaimanapun masih berahsia mengenai bila DUN negeri akan dibubarkan, kecuali mengulangi beliau sudah mendapat ilham mengenai tarikhnya.

Abdul Taib boleh membubarkan DUN pada bila-bila masa dan setakat ini ramai menjangka pilihan raya Sarawak akan diadakan sekitar Mac atau April ini walaupun tempohnya hanya berakhir 24 Julai ini. Mengikut peraturan, pilihan raya perlu diadakan dalam masa 60 hari selepas DUN dibubarkan atau selepas tempohnya berakhir.


Presiden MIC, Datuk G Palanivel, pula yakin semua parti komponen BN, termasuk MIC sudah memulakan persiapan menggerakkan parti menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa.

“Sering kali kita menjelaskan bahawa semua parti komponen BN sentiasa bersedia sebab kita memiliki jentera yang lengkap dan pada bila-bila masa boleh digerakkan,” katanya.

Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow, berkata jentera parti itu sudah mula disusun untuk berdepan kemungkinan pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

“Walaupun jentera belum bersedia 100 peratus, Gerakan tetap memastikan jentera kuat dalam apa juga keadaan. Sebaik Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen, kita akan menggerakkan jentera dan melaksanakan persiapan menerusi pelan strategik,” katanya.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berkata pakatan pembangkang khususnya PAS sudah membuat persiapan sejak awal tahun ini dan mengarahkan semua pihak bersedia menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa.

Namun, beliau berkata, parti itu mengandaikan pilihan raya umum akan diadakan seawal Mei atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Kita sedang memperkukuhkan jentera dan optimis meraih kejayaan lebih besar berbanding pilihan raya umum 2008 serta sedang menunggu isyarat untuk meneruskan agenda parti,” katanya sambil menegaskan bahawa negeri yang dikuasai pakatan pembangkang tidak terikat dengan tarikh pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail, berkata jentera parti sudah diletakkan pada tahap bersedia pada bila-bila masa tidak kira sama ada pilihan raya umum diadakan serentak dengan pilihan raya Sarawak atau sebaliknya.

“Persiapan sudah dibuat sejak berbulan dulu dan kita berkeyakinan mampu menunjukkan prestasi lebih baik berbanding pilihan raya umum 2008 berdasarkan sokongan yang diterima ketika ini,” katanya.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, berkata SPR bersedia dan memiliki pengalaman luas berdepan pilihan raya serentak sama ada untuk Sarawak, Sabah dan semenanjung.

“Malah, jika Sarawak mengadakan pilihan raya serentak, ia dapat mengurangkan perbelanjaan terutama pengurusan, termasuk kos logistik, pengangkutan dan elaun petugas. Parti politik juga boleh menjimatkan wang kerana tidak perlu berkempen dua kali,” katanya.


No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH