Antara MCA, DAP dan Lee Kuan Yew
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm
KEMPEN Pilihan Raya Kecil DUN Tenang sedang hangat berlangsung menjelang hari pengundian Ahad ini. Banyak pihak menyatakan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) atau Pas banyak bergantung kepada undi Cina yang mempunyai lebih 30 peratus di Tenang.
Bagaimanapun, Syed Azidi Aziz (kickdefella.wordpress.com) melihat DAP lebih dominan dalam kempennya di kalangan kaum Cina di Tenang berbanding dengan MCA dan keadaan itu amat membimbangkan.
"Setiap malam, saya pasti akan singgah di situ dan setiap malam saya boleh saksikan pertambahan bilangan orang yang datang untuk mendengar ceramah politik daripada DAP, PKR dan Pas.
"Setiap hari juga, saya lalu di hadapan ibu pejabat MCA Labis dan setiap hari juga saya tertanya-tanya, apakah MCA sedar ada pilihan raya kecil di Labis?" kata penulis ini.
Katanya, pembangkang bukan mengharapkan kemenangan di Tenang, sebaliknya jika mampu mengurangkan majoriti BN, ia adalah satu kejayaan.
"Lim Kit Siang meletakkan sasaran mengurangkan 500 undi majoriti BN dan itu adalah kejayaan bagi pakatan pembangkang. Melihat gerak kerja yang kelihatan tidak dilakukan oleh MCA di Labis, saya rasa tidak mustahil Pas akan mendapat pertambahan 500 undi daripada masyarakat Cina," katanya.
Dalam entri lain, Syed Azidi berkata:"Mampukah MCA membuat masyarakat Cina sayangkan calon UMNO sebagaimana DAP membuat penyokongnya menyayangi Cikgu Mala (Normala Sudirman, calon Pas)? Saya tidak nampak kesungguhan Chua Soi Lek ke arah itu."
Sementara itu A. Kadir Jasin (kadirjasin.blogspot.com) pula berkata, kemasukan Zairil Khir Johari, anak Allahyarham Tan Sri Khir Johari ke dalam DAP tidak sedikit pun memeranjatkan kerana ia umpama menunggu masa untuk berlaku.
Malah, kata beliau, adalah tidak memeranjatkan jika semakin ramai orang Melayu atau mereka berdarah campuran Melayu menyertai DAP kerana parti itu sedang giat mencari orang Melayu berwibawa untuk dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang.
"DAP Perak sudah sedar bahawa kalau ia bercita-cita berkuasa di negeri itu, ia perlu bertindak tegas dan pantas mewujudkan kaukus Melayunya sendiri. Ia tidak boleh bergantung bulat-bulat kepada Pas atau PKR untuk menawan semula negeri itu dan untuk 'membekalkan' calon MB," katanya.
Sejarah juga menunjukkan bahawa DAP pada awal penubuhannya disertai oleh pelbagai kaum. Malah parti itu pernah mempunyai wakil rakyat dari kalangan orang Melayu.
"Walaupun percubaan ini tidak menjanjikan kejayaan sekelip mata, namun ia adalah daya usaha yang positif dalam suasana perhubungan kaum yang cair sekarang," kata beliau.
Mengenai kenyataan Lee Kuan Yew dalam bukunya Hard Truth to Keep Singapore Going, Dr. Ismail Ibrahim (profismail.blogspot.com) berkata, bekas Perdana Menteri Singapura itu mempunyai persepsi yang salah tentang Islam sehinggakan beliau meminta umat Islam di negara beliau tidak terlalu berpegang kuat kepada Islam.
Katanya, persepsi Kuan Yew ialah Islam adalah agama yang ketat dan radikal, primitif, tidak mahu kemajuan, agama kolot yang tidak mahu kepada pembangunan dinamik, ilmu pengetahuan tinggi dan agama yang tidak membangunkan tamadun.
"Persepsi yang salah ini mendorong beliau mengeluarkan kenyataan tersebut kerana beliau benar-benar yakin dengan persepsi itu atau ada tujuan lain yang hanya beliau sahaja yang ketahui.
"Persepsi seperti inilah yang harus dihapuskan dari pemikiran umum supaya persepsi palsu dan bohong ini tidak menjadi tanggapan umum secara mutlak," katanya.
Bagi penulis blog Mummy Rokiah (mummyrokiah.blogspot.com) yang menyentuh tentang Melayu Singapura berkata, perbandingan hakiki rakyat Singapura dan Malaysia harus dilihat dari sudut isinya dan bukan kulitnya.
"Singapura mungkin hebat dari segi kulitnya tetapi isi-isi jiwa rakyatnya kosong dan lompong. Hidup mereka di dalam pulau yang sempit itu penuh dengan undang-undang, peraturan, denda dan saman.
"Kotak pemikiran kita dan mereka pun berbeza. Kotak pemikiran mereka memikirkan pelabuhan, pasir dan ruang udara, manakala kotak pemikiran kita memikirkan pembangunan yang seimbang, membina kekuatan keluarga dan moral, membangunkan kemudahan awam dan lain-lain," katanya.
Kata beliau, manusia yang hidup di kawasan pulau sentiasa takut dengan ancaman dari segenap sudut sekeliling laut dan udara sehinggakan kocak air dikatakan lanun, manakala burung yang terbang dikatakan serangan bom.
"Yang menjadi masalahnya kepada Lee Kuan Yew, beliau tidak mahu melihat Islam yang sebenar dan sering menutup sebelah mata serta Islam di Singapura ditindas dengan cara terhormat.
"Kuan Yew sampai bila pun akan dibuai mimpi ngeri kerana diapit oleh Indonesia dan Malaysia negara yang banyak penduduk Islam," katanya.
Kelolaan LUKMAN ISMAIL
lukman@utusan.com.my