Tuesday, July 27, 2010

UMNO MASIH DAN INSYAALAH TETAP RELAVEN


UMNO kekal wadah perjuangan orang Melayu


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm


PARTI UMNO yang sudah menjangkau usia lebih 64 tahun masih merupakan parti terbesar orang Melayu di negara ini. Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri memaklumkan statistik terkini ahli UMNO selepas pemutihan berjumlah 3,186,850. Beliau mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) seperti mana yang dilaporkan oleh akhbar baru-baru ini.

UMNO kini dilihat amat matang dalam arena politik tanah air, mengharungi onak berliku, penuh ranjau dan krisis tetapi dalam masa yang sama berupaya menerajui dan menjadikan negara ini ke tahap yang kita kecapi pada hari ini. Lebih penting, perjuangan UMNO tidak menafikan hak kaum lain. Walaupun UMNO merupakan parti yang dianggotai oleh majoriti orang Melayu, tetapi ini bukan bermakna hak lain-lain kaum diketepikan.

Prinsip perkongsian kuasa di dalam kerajaan BN menunjukkan UMNO bukan sahaja wadah perjuangan orang Melayu tetapi pada masa yang sama meletakkan kepentingan rakyat yang merangkumi semua bangsa di negara ini di dalam melaksanakan agenda-agenda yang dirancang bagi menjamin kesejahteraan, keharmonian kaum, kestabilan negara dan kemakmuran negara dikongsi bersama.

Tidak dapat dinafikan, UMNO yang merupakan tunjang kekuatan kerajaan BN telah berjaya meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat dalam semua bidang merangkumi ekonomi, sistem pendidikan, kemudahan kesihatan dan infrastruktur, mencipta peluang-peluang perniagaan, pelaburan, pekerjaan dan berupaya mengekalkan keharmonian negara yang terdiri daripada penduduk berbilang bangsa dan berlainan agama.

Sungguhpun begitu, sebagai sebuah parti politik, UMNO juga terpaksa mengharung episod hitam atau 'tsunami politik' yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Mungkin apa yang berlaku itu ada rahmat dan hikmahnya. Suasana politik negara sentiasa hangat apabila satu persatu Pilihan Raya Kecil (PRK) berlaku sejak April 2008.

Kesempatan semasa tempoh berkempen itu telah digunakan oleh pembangkang melemparkan tohmahan-tohmahan yang ada kalanya dilihat tidak berasas kepada pemimpin-pemimpin kerajaan khasnya pemimpin UMNO hanya semata-mata ingin menagih sokongan rakyat.

Hakikatnya sebenarnya, tsunami politik itu telah berjaya menginsafi UMNO untuk melaksanakan transformasi agar kekal relevan. Justeru itu, selepas Najib mengambilalih pucuk pimpinan parti sebagai Presiden UMNO, perubahan demi perubahan telah dilakukan oleh beliau sama ada perubahan yang berkisar kepada parti UMNO mahupun perubahan terhadap negara.

Sebagai Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Najib telah merancang dan memperkenalkan program-program untuk memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Antaranya, beliau telah memperkenalkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA); mengadakan program Juara Rakyat di mana pemimpin-pemimpin akan 'turun padang' untuk bertemu rakyat, mengadakan dan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk barisan Kabinetnya dan yang paling penting beliau sendiri turun padang untuk meninjau permasalahan rakyat.

Dalam Konvensyen BN Selangor yang lalu bertemakan BN Mampu Berubah, Sayangi Selangor, Yakin BN, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed selaku pengerusi konvensyen telah menyatakan punca sebenar BN gagal menjadi kerajaan di Selangor, antaranya konflik muafakat, menjaga kepentingan diri, pergolakan dalaman lebih daripada membina kekuatan, berkhidmat secara inklusif kepada eksklusif, ketinggalan dalam perubahan teknologi serta kurang menyelami dan memahami aspirasi pengundi muda.

Mungkin faktor yang sama turut menyebabkan BN gagal buat kali pertama untuk menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen selepas PRU 2008 itu. Kenyataan Najib semasa merasmikan Konvensyen UMNO Pahang pula mencerminkan ketegasan dan kejujuran beliau untuk memastikan UMNO akan terus kekal relevan dan berjaya menawan kembali hati rakyat. Beliau menyeru semua pemimpin dan ahli parti bermuhasabah diri sebelum mereka dinilai oleh rakyat dalam pilihan raya akan datang.

UMNO kini dalam proses pemulihan dan bermuhasabah diri untuk kembali mendapat kepercayaan khasnya orang Melayu dan rakyat secara amnya akan kekal relevan untuk satu tempoh yang panjang sekiranya masih kekal dengan semangat perjuangan UMNO yang sejati berasaskan kepada 'aaa', 'baa' dan 'taa' iaitu untuk agama, bangsa dan negara.

Transformasi parti menjamin keutuhan dan kekuatan parti. UMNO perlu menjadi sebuah parti yang kuat untuk terus kekal menjadi tonggak kepada kerajaan BN kerana bak kata pepatah 'Ibarat tiang seri pada sebuah rumah. Jika goyah tiang serinya, maka robohlah rumah itu.'

Tidak dapat dinafikan, kekuatan dan muafakat ahli UMNO dapat mengukuhkan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini, seterusnya dapat menjamin hak-hak orang Melayu yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Negara.


Hasil nukilan

Nadzir Awang Ahmad

Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan

Universiti Teknologi Mara Perlis

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH