Tuesday, July 20, 2010

1MALAYSIA : 1MELAYU : 1ISLAM


Bersatu secara ikhlas

ARKIB : 18/07/2010

Oleh: HARUSSANI ZAKARIA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm


Firman Allah SWT dalam surah al-Fathir : 31-32 : "(31) Dan al-Quran Yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hamba-Nya, lagi maha melihat dan memerhatikan. (32) Kemudian kami jadikan al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dari kalangan hamba-hamba kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (daripada Allah semata-mata)."

Di dalam ayat di atas Allah SWT memuliakan sebahagian daripada kalangan manusia yang telah mewarisi al-Quran. Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan, ibn Abbas dan sebahagian ahli tafsir menyatakan bahawa makna " orang-orang yang Kami pilih daripada kalangan hamba-hamba kami" ialah umat Nabi Muhammad. Dr. Hamka dalam tafsirnya pula menyatakan apa yang diwarisi itu ialah pemahaman, isi kandungan, ilmu-ilmunya, hukum-hukumnya, dan pokok ajaran akidah dari al-Quran.

Umat Nabi Muhammad SAW ini, bukan saja mewarisi al-Quran, malah Allah telah menjadikan umat ini sebaik-baik umat. Ini kerana tugas mereka untuk menyampaikan al-Quran dengan menyeru kepada yang makruf, menegah dari mungkar dan benar-benar beriman dengan Allah SWT. Itulah Allah SWT telah firmankan dalam surah al-Imran:110: "Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)."

Namun, Allah SWT telah mengingatkan kita bahawa umat Muhammad ini terbahagi kepada tiga golongan iaitu dzolimu linafsih, muqtasid & sabiqul khairat. Al-Marhum Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi dalam tafsirnya al-Tafsir al-Wasith telah menyatakan dzolimu linafsih ialah mereka yang banyak amal keburukan dari kebaikan. Muqtasid pula mereka yang sama banyak amal baik dan buruknya. Manakala sabiqul khairat ialah mereka yang lebih banyak amal kebajikan dari keburukan.

Umat Melayu Tunjang Islam di Malaysia

Dalam konteks Islam di Malaysia, umat Melayu merupakan tunjang kepada Islam. Umat Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan ditakrifkan sebagai orang Islam. Dalam erti kata lain dalam konteks Malaysia, bangsa Melayu dan agama Islam adalah seiring dan tidak boleh dipisahkan. Saya tertarik dengan ulasan Datuk Dr. Siddiq Fadzil tentang perkara ini apabila beliau menyebutkan: "Meskipun Perlembagaan menyebut tiga ciri yang mendefinisikan keMelayuan, tetapi yang menjadi teras sebenarnya adalah agama Islam. Dua ciri lainnya itu adalah bahagian daripada kebudayaan Melayu yang pada asasnya telah mengalami proses pengislaman." (Melayu: Jati Diri Keagamaan Dan Kebudayaannya di dalam Muzakarah Ulama 2009). Inilah unik dan istimewanya umat Melayu di Malaysia.

Terlebih istimewa, apabila surah al-Fathir di atas dapat diterjemahkan dalam kedudukan umat Melayu di Malaysia. Bangsa Melayulah yang bertanggungjawab melaksanakan, mendakwahkan dan mempertahankan kedudukan Islam di Malaysia. Bukan maksud saya di sini untuk mengetepikan bangsa-bangsa lain yang beragama Islam di Malaysia. Namun secara dasarnya umat Melayu dilihat sebagai orang Islam, sehingga wujud istilah "masuk Melayu". Ini menggambarkan jatuh bangun umat Melayu akan dilihat jatuh bangun Islam di Malaysia.

Perpaduan Melayu

Akhir-akhir ini, kedengaran kembali seruan supaya umat Melayu bersatu. Kenyataan ini mula kedengaran kembali apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen serta kesediaan UMNO untuk bertemu dan menjalinkan kerjasama dengan Pas dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan umat Melayu di negara ini. (Utusan Malaysia, 14 Julai 2010 ). Saya berpendapat seruan perpaduan ini merupakan satu seruan penting yang mesti disambut serius oleh semua orang. Ini kerana perpaduan umat Melayu bermakna perpaduan umat Islam di Malaysia.

Jika hari ini orang bertanya, adakah saya yakin umat Melayu akan bersatu? Saya pasti akan menjawab, ya! Oleh kerana itu, impian untuk melihat dan berusaha dalam menyatukan umat Melayu, ini tidak pernah terpadam dalam hati saya.

Siasah atau mudah kita sebut politik adalah sebahagian daripada Islam. Parti pula wujud hasil dari pemikiran dan pendekatan yang berbeza dalam siasah atau politik. Contohnya Pas dan UMNO hari ini dilihat dua parti besar yang mewakili umat Melayu di Malaysia. Kedua-duanya menyatakan memperjuang Islam dan Melayu dengan hujah dan dalil tersendiri. Maka kerana itulah saya berpendapat selagi parti itu mewakili gaya pendekatan dan pemikiran yang tidak bertentangan prinsip syariat, maka tiada siapa yang berhak mendakwa ia memiliki kebenaran mutlak. Mereka mungkin benar dan mungkin salah.

Maka jika ini dapat difahami, saya yakin perpaduan Melayu dapat direalisasikan. Perpaduan bukan bermakna membubarkan parti dengan memasuki parti yang satu lagi. Seperti yang sebutkan tadi parti hanya mewakili gaya pendekatan dan pemikiran. Sedangkan kepelbagaian ini merupakan satu fitrah yang merupakan cabangan. Parti hanya wujud ketika mana berlakunya pilihan raya. Ketika wujudnya kerajaan yang dipilih, maka parti itu menjadi kerajaan yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga kebajikan semua rakyat tanpa mengira parti apa sekalipun. Seperti kata orang hari ini, 'biar pun banyak persatuan namun satu kesatuan.'

Namun, di manakah perpaduan ini perlu bertemu? Firman Allah SWT di dalam surah al-Imran : 103 : 'Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai;' Seperti cabang yang asalnya akar, maka begitulah juga parti yang asalnya Islam. Islam perlu dijadikan matlamat bukannya alat dalam hal ini. Islam perlu dijadikan kata pemutus bukan mangsa rakus. Parti perlu berkorban untuk Islam bukan Islam yang dikorbankan untuk parti. Inilah yang saya lihat roh dan panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam surah di atas. Islam adalah kata putus dari Allah yang jauh dari kelemahan dan kepentingan peribadi atau kumpulan. Inilah yang dibuktikan oleh baginda SAW bila menyatukan Aus dan Khazraj mahupun bangsa Quraisy.

Bangsa Melayu sepatutnya berpadu dan bersatu atas akar Islam. Maksud saya jika Pas dan UMNO telah menyatakan komitmen mereka dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara, maka biarlah Islam yang menjadi kata putus. Inilah maksud dari 'berpegang dengan tali Allah' di atas.

Tidak mengapalah jika hasrat penyatuan kedua-dua parti ini hanya tinggal harapan. Namun untuk melihat bangsa Melayu bersatu atas kepentingan Islam sangat penting dan tidak mungkin boleh diketepikan.

Ikhlas : Syarat Perpaduan

Namun syarat utama perpaduan ini, semua pihak perlulah ikhlas. Amat buruk lagi keji jika seruan perpaduan bersulamkan niat meretakkan. Jangan tangan kanan menghulur madu, tangan kiri menghulur racun. Keikhlasan seperti yang ditakrifkan Allah dalam surah al-Ikhlas yang menyatakan semuanya kerana Allah SWT. Keikhlasan yang berpaksi pada iman kepada Allah Yang Esa, tempat segala pergantungan dan menjauhkan syirik darpadai Allah SWT.

Perpaduan inilah nanti yang akan melahirkan kasih sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain. Perpaduan atas dasar selain ini hanyalah bersifat kosmetik dan sementara. Hati yang penuh iman itulah nanti, akan dihimpunkan Allah dalam satu sibghah (acuan) seperti firman Allah SWT dalam surah al-Anfal :63 "Dan (Dia lah) Yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). kalaulah Engkau belanjakan Segala (harta benda) Yang ada di bumi, nescaya Engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

1 comment:

  1. Salam

    Lipis adalah sebuah daerah yang luas namun penduduk amat kurang. Kekayaan penduduk telah diambil orang luar daerah.Biarlah 1Malaysia dirancang, laksana dan pantau oleh penduduk Pantai Barat. Penduduk Pantai Barat yang telah menikmati kekayaan bumi Lipis.... Kalau masih tidak faham harap tanya Mustapha Long......sebab itu saya masih menekankan isu tanah.

    ReplyDelete

KUALA LIPIS BERSEJARAH