Thursday, July 29, 2010

PENYATUAN UMMAH


Gelombang penafian politik


Oleh Aziz Jamaludin Mhd Tahir

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

USAHA untuk menyatukan bangsa Melayu dan umat Islam oleh ahli-ahli politik dalam negara ini merupakan satu kegiatan yang baik dan perlu dialu-alukan. Perpecahan umat Islam akibat perbezaan dan ideologi politik merupakan salah satu faktor yang boleh melemahkan kekuatan Islam dalam negara ini.

Kemenangan dan kejayaan itu hanya akan datang apabila terciptanya perpaduan di antara yang memimpin dengan yang dipimpin. Kerana itulah, Rasulullah SAW menegaskan, “bahawa orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.”

Peri pentingnya kesatuan ummah itu dapat diselaraskan dengan firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 103 mengenai berpegang teguh kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai.

Namun amat dikesalkan atas kejujuran orang lain untuk melihat dua kuasa politik sebangsa dan seagama kembali berkerjasama, cadangan yang membawa kepada penyatuan itu akhirnya dipersoalkan sebagai sesuatu yang bohong.

Mempersoalkan kejujuran dan keikhlasan orang lain dengan menggunakan kayu pengukur pengekalan kuasa politik adalah satu bentuk sindrom resah dan kekacauan moral yang tidak selaras antara apa yang diucapkan dengan apa yang dilakukan.

Begitulah realiti umat Islam dewasa ini. Sepatut kita sama-sama mencari jalan penyelesaian sehingga al-Quran dapat berfungsi kembali sebagai petunjuk tertinggi dalam memecahkan masalah ummah yang tak pernah selesai. Kita harus bersikap jujur dalam memahami al-Quran, membuang jauh-jauh kepentingan peribadi.

Al-Quran sebenarnya juga berfungsi sebagai al-Furqan tetapi mengapa kita masih saja terpasung dalam polarisasi yang meruncing sesama umat Islam? Sebagai petunjuk, al-Quran menerangkan secara jelas hakikat antara yang benar dan salah. Kemudian diserahkan kepada manusia dengan kemahuan bebasnya untuk memilih yang benar atau yang salah, tidak terkecuali dalam kaitannya dengan moral dan kekuasaan.

Banyak peristiwa sejarah yang berlaku di Malaysia boleh kita renungi betapa kerana takut kehilangan kuasa, mereka yang berada di tampok kekuasaan tidak lagi menghiraukan moral rakyat kebanyakan. Pada ketika itu, rakyat hanyalah sekelompok penyokong yang perlu mengiyakan apa yang diputuskan oleh pemimpin walaupun sedar ada sesuatu yang perlu diperbetulkan. Pemimpin terus menganggap dirinya yang betul, maka rakyat perlu patuh kepada apa yang dinyatakan.

Permulaan berkuasa penuh dengan kesederhanaan dan rendah diri. Setelah lama berkuasa, kesederhanaan sifat dan tindakan sudah berubah, sehingga pendapat orang lain tidak lagi perlu walaupun orang itu mendapat sokongan padu daripada ahli yang membentuk dan mengemaskan perjalanan organisasi.

Proses penyatuan tidak perlu dirintis secara lebih bermaruah kerana ia akan menggadaikan seluruh perjuangan yang ditegakkan selama ini, akan membongkar kesilapan lalu yang terlalu lama digula-gulakan kepada rakyat.

Itulah realiti politik yang sedang berlaku dalam gelombang pengekalan kuasa menuju sebuah arah yang gagal. Kegagalan bukan kerana tidak memahami keperluan, tetapi atas sikap yang semakin ego dan autokratik. Bila ada pihak yang cuba menghantar isyarat bagi memperbetulkan arah, maka pemimpin itu akhirnya diberikan petunjuk baru agar segera menghentikannya. Maka terjadilah suasana bisu dan beku, yang hanya boleh memberikan pandangan adalah pemimpin itu seorang.

Maka belum pun perbincangan selanjutnya dirintis, petanda awal itu bertukar menjadi geruh politik yang membingungkan orang ramai. Dolak-dalik pun bermula sebagai petanda baru pemuafakatan yang disarankan semakin tidak dipersetujui kerana takutkan pusingan kuasa beralih dan bertukar tampok. Legasi untuk kekal sepanjang hayat tidak akan menjadi kenyataan, walaupun kepimpinannya semakin terumbang-ambing bagaikan “orang mabuk kuasa.”

Kuasa mutlak milik Allah SWT. Pemimpin tidak berhak mempersoalkan kuasa yang mutlak kerana mempersoalkannya bererti cuba mengambil hak Allah SWT. Apabila pemimpin menyoalkan dan menilai seseorang itu masuk syurga misalnya, ia sudah bermakna sebagai satu percubaan mengambil kuasa yang hanya milik Allah SWT. Mempersoalkan hakikat keimanan seseorang atas kelainan fahaman politik juga merupakan percubaan mempertikai kuasa Allah SWT sedangkan antaranya masih mengucap dua kalimah syahadah, beribadat dan beriman dengan al-Quran, keyakinan kepada Tuhan yang sama.

Putaran turun naik dan jatuh bangun sesebuah kekuasaan bukanlah suatu peristiwa yang tidak bermakna, dalam setiap penggiliran kuasa itulah sebenarnya Allah SWT ingin memperlihatkan bentuk pengajaran yang terbaik untuk manusia. Teladan itu akan membentuk satu falsafah moral yang bakal menjadikan panduan buat manusia bagi meneruskan kelangsungan kuasa dan membentuk sebuah peradaban yang kuat.

Beruntunglah bagi manusia yang dapat memahami dan mengambil pengajaran dari setiap peristiwa yang pernah dialami dan menjadikannya sebagai nilai baru sepanjang menguruskan kuasa, tetapi bukan menjadikan kuasa itu sebagai milik mutlak manusia. Kemutlakan tetap milik Allah SWT. Amanah tersebut perlu dilaksanakan secara bermoral dan bertanggungjawab.
Penghayatan dan kupasan sejarahwan dan pemikir Islam, Ibnu Khaldun mengenai hal ini bersandarkan sepotong ayat yang telah digambarkan dalam al-Quran. Bangun dan jatuhnya sesuatu bangsa itu adalah kerana sikap kelompok elit yang tidak mempedulikan hak rakyat yang perlu diberikan perhatian dan akhirnya keegoan kelompok elit dengan pendapatnya sahajalah yang betul, maka rakyat menjadi muak dan benci. Ketika itulah suatu kuasa lain akan muncul mengambil peranan menjatuhkan kelompok elit yang lupakan tanggungjawab dan tidak melaksanakan amanah. (al-Quran Surah al-Isra ayat 16).

Kelompok elit terdahulu bukan sahaja jatuh, malah menerima jalan akhir penuh kejelikan. Kita mungkin tidak dapat melupakan bagaimana kekuatan Dinasti Pahlawi dan akhirnya terpaksa berkelana sehingga mati dalam buangan apabila rakyat Iran mula mempersoalkan bagaimana kuasa yang ada telah disalahgunakan. Kita juga memahami bagaimana suatu masa kemunculan Marcos penuh dengan sanjungan dan harapan, tetapi akhirnya dijatuhkan secara tragis sehingga menyebabkan kepulangan mayatnya menjadi konflik dan ketegangan.

Seorang penguasa wajib menjaga kehormatan agama Islam. Dia harus tetap membangun dan memperkuatkan pertahanan dan berusaha menjunjung tinggi kebenaran dan menjaga kemurnian umat agar langkah perjalanannya terpuji di sisi Allah SWT. Pemimpin juga perlu memperlihatkan sikap dan wibawa yang terpuji, bukan hanya untuk mendapatkan sanjungan manusia, tetapi mencari keredhaan Allah SWT.
Jangan-jangan kita semua sudah tidak peduli lagi dengan perintah Tuhan. Kita semua sudah menjadi hamba dalam dunia bayangan yang kita ciptakan sendiri. Semasa di masjid, kita membesarkan dan memuji kekuasaan Allah SWT; di luar masjid kita menggunakannya untuk bermaksiat kepada-Nya. Tangan-tangan yang kita angkat sepanjang amalan doa itulah juga kita celupkannya dengan dosa.

Lidah-lidah yang kita gegarkan bersama alunan suara nyaring menyebut Asma-Nya, lidah itulah juga akhirnya kita lontarkan kata-kata kesat, umpatan dan fitnah. Lidah itulah juga akhirnya memenjarakan diri kita dalam gelombang pembohongan dan penafian yang tidak berkesudahan.
Lidah itulah juga menyekat kita dari melakukan bahasa yang indah dan penuh makna kepada sebuah kebaikan. Kitalah sebenarnya telah memenjarakan tirai kuasa dalam politik belantara yang kotor dan keji.

Jangan kerana ingin terus berselindung di sebalik tirai kuasa, kita menjerat diri dalam tabir politik dolak-dalik dan prejudis. Itulah sebenarnya telah membunuh nilai diri dan keinsanan kita, sebagaimana dianjurkan oleh Islam. Tidak perlu kita mengamalkan apa yang pernah disyorkan oleh Machiavelli, matlamat menghalalkan cara, kuasa menghalalkan tindakan dan mengetepikan prinsip moral.


PENULIS ialah Yang Dipertua
Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim)

Tuesday, July 27, 2010

UMNO MASIH DAN INSYAALAH TETAP RELAVEN


UMNO kekal wadah perjuangan orang Melayu


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm


PARTI UMNO yang sudah menjangkau usia lebih 64 tahun masih merupakan parti terbesar orang Melayu di negara ini. Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri memaklumkan statistik terkini ahli UMNO selepas pemutihan berjumlah 3,186,850. Beliau mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) seperti mana yang dilaporkan oleh akhbar baru-baru ini.

UMNO kini dilihat amat matang dalam arena politik tanah air, mengharungi onak berliku, penuh ranjau dan krisis tetapi dalam masa yang sama berupaya menerajui dan menjadikan negara ini ke tahap yang kita kecapi pada hari ini. Lebih penting, perjuangan UMNO tidak menafikan hak kaum lain. Walaupun UMNO merupakan parti yang dianggotai oleh majoriti orang Melayu, tetapi ini bukan bermakna hak lain-lain kaum diketepikan.

Prinsip perkongsian kuasa di dalam kerajaan BN menunjukkan UMNO bukan sahaja wadah perjuangan orang Melayu tetapi pada masa yang sama meletakkan kepentingan rakyat yang merangkumi semua bangsa di negara ini di dalam melaksanakan agenda-agenda yang dirancang bagi menjamin kesejahteraan, keharmonian kaum, kestabilan negara dan kemakmuran negara dikongsi bersama.

Tidak dapat dinafikan, UMNO yang merupakan tunjang kekuatan kerajaan BN telah berjaya meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat dalam semua bidang merangkumi ekonomi, sistem pendidikan, kemudahan kesihatan dan infrastruktur, mencipta peluang-peluang perniagaan, pelaburan, pekerjaan dan berupaya mengekalkan keharmonian negara yang terdiri daripada penduduk berbilang bangsa dan berlainan agama.

Sungguhpun begitu, sebagai sebuah parti politik, UMNO juga terpaksa mengharung episod hitam atau 'tsunami politik' yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Mungkin apa yang berlaku itu ada rahmat dan hikmahnya. Suasana politik negara sentiasa hangat apabila satu persatu Pilihan Raya Kecil (PRK) berlaku sejak April 2008.

Kesempatan semasa tempoh berkempen itu telah digunakan oleh pembangkang melemparkan tohmahan-tohmahan yang ada kalanya dilihat tidak berasas kepada pemimpin-pemimpin kerajaan khasnya pemimpin UMNO hanya semata-mata ingin menagih sokongan rakyat.

Hakikatnya sebenarnya, tsunami politik itu telah berjaya menginsafi UMNO untuk melaksanakan transformasi agar kekal relevan. Justeru itu, selepas Najib mengambilalih pucuk pimpinan parti sebagai Presiden UMNO, perubahan demi perubahan telah dilakukan oleh beliau sama ada perubahan yang berkisar kepada parti UMNO mahupun perubahan terhadap negara.

Sebagai Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Najib telah merancang dan memperkenalkan program-program untuk memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Antaranya, beliau telah memperkenalkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA); mengadakan program Juara Rakyat di mana pemimpin-pemimpin akan 'turun padang' untuk bertemu rakyat, mengadakan dan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk barisan Kabinetnya dan yang paling penting beliau sendiri turun padang untuk meninjau permasalahan rakyat.

Dalam Konvensyen BN Selangor yang lalu bertemakan BN Mampu Berubah, Sayangi Selangor, Yakin BN, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed selaku pengerusi konvensyen telah menyatakan punca sebenar BN gagal menjadi kerajaan di Selangor, antaranya konflik muafakat, menjaga kepentingan diri, pergolakan dalaman lebih daripada membina kekuatan, berkhidmat secara inklusif kepada eksklusif, ketinggalan dalam perubahan teknologi serta kurang menyelami dan memahami aspirasi pengundi muda.

Mungkin faktor yang sama turut menyebabkan BN gagal buat kali pertama untuk menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen selepas PRU 2008 itu. Kenyataan Najib semasa merasmikan Konvensyen UMNO Pahang pula mencerminkan ketegasan dan kejujuran beliau untuk memastikan UMNO akan terus kekal relevan dan berjaya menawan kembali hati rakyat. Beliau menyeru semua pemimpin dan ahli parti bermuhasabah diri sebelum mereka dinilai oleh rakyat dalam pilihan raya akan datang.

UMNO kini dalam proses pemulihan dan bermuhasabah diri untuk kembali mendapat kepercayaan khasnya orang Melayu dan rakyat secara amnya akan kekal relevan untuk satu tempoh yang panjang sekiranya masih kekal dengan semangat perjuangan UMNO yang sejati berasaskan kepada 'aaa', 'baa' dan 'taa' iaitu untuk agama, bangsa dan negara.

Transformasi parti menjamin keutuhan dan kekuatan parti. UMNO perlu menjadi sebuah parti yang kuat untuk terus kekal menjadi tonggak kepada kerajaan BN kerana bak kata pepatah 'Ibarat tiang seri pada sebuah rumah. Jika goyah tiang serinya, maka robohlah rumah itu.'

Tidak dapat dinafikan, kekuatan dan muafakat ahli UMNO dapat mengukuhkan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini, seterusnya dapat menjamin hak-hak orang Melayu yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Negara.


Hasil nukilan

Nadzir Awang Ahmad

Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan

Universiti Teknologi Mara Perlis

Wednesday, July 21, 2010

PEMIMPIN UMNO MESTI TERBAIK


Mana lebih penting, perpaduan atau kepimpinan yang baik?

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

SEJAK kebelakangan ini, isu perpaduan orang Melayu, khasnya penyatuan UMNO dan Pas mendapat perhatian ramai. Penekanan isu ini adalah untuk mengelak malapetaka orang Melayu kehilangan kuasa.

Tidak dinafikan tentang perpecahan orang Melayu, malah semua kaum, di negara kita, kerana perbezaan ideologi. Ini perkara lumrah yang berlaku di mana-mana.

Namun demikian, kita patut membezakan antara kewujudan banyak parti politik dengan pertelagahan di antara mereka. Parti-parti boleh bekerjasama seperti dalam gabungan Barisan Nasional (BN), dan sekarang dalam pakatan pembangkang atau parti-parti boleh bertelagah dan tidak boleh bekerjasama.

Nampaknya, mereka yang menganjurkan perpaduan UMNO-Pas menonjolkan isu orang Melayu hilang kuasa dalam pilihan raya akan datang. Mereka bimbang kehilangan kuasa ini akan membawa kepada pindaan Perlembagaan negara dan perubahan dasar-dasar yang penting tentang kedudukan bahasa Melayu, agama Islam dan hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera lain, dan juga kedudukan Raja-Raja Melayu.

Apa yang kita sebut dalam ayat akhir perenggan di atas memang perlu dielak. Kalau berlaku, satu lagi peristiwa berdarah 13 Mei tidak dapat dielak.

Siapa yang salah kalau ini berlaku? Tokoh-tokoh tertentu dalam pakatan pembangkang bukan manusia yang sempurna. Demikian juga dalam pakatan kerajaan.

Tidak ada manusia yang sempurna. Yang sempurna hanya Tuhan pencipta sekelian alam. Namun demikian, ada pihak yang perlu kita pertanggungjawabkan. Jika tidak ada pihak yang telah melakukan kesalahan-kesalahan besar, perkara ini tidak akan timbul.

Kemenangan besar yang diperoleh oleh pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 tidak boleh dipersalahkan kepada rakyat, atau kepada dakyah pembangkang semata-mata. UMNO dan BN sendiri perlu mengambil tanggungjawab utama. UMNO dan BN sendiri perlu membaiki dirinya.

Saya percaya, kalau UMNO dan BN boleh memberi kepimpinan yang baik, dilema ini tidak akan timbul.

Sekarang UMNO sedang mengadakan mesyuarat-mensyuarat Bahagian. Kita boleh membaca dalam akhbar-akhbar yang melaporkan ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin tinggi UMNO yang merasmikan mesyuarat-mesyuarat ini, termasuk Presiden UMNO, serta mendapat maklumat yang berguna tentang beberapa masalah dalaman UMNO.

Pemimpin-pemimpin ini menyeru supaya ahli-ahli UMNO jangan berbalah sesama sendiri, jangan berpuak-puak, mesti memperjuangkan kehendak dan hasrat rakyat dan mesti kembali kepada perjuangan asal UMNO.

Perkara-perkara ini sudah kita dengar lama dulu. Ringkasnya, kita boleh membuat kesimpulan bahawa UMNO telah gagal menampilkan kepimpinan yang baik.

Jika UMNO ada kepimpinan yang baik, perkara-perkara ini tidak akan disebutkan dalam ucapan-ucapan perasmian itu.

Inilah masalahnya. Bukan penyatuan UMNO-Pas yang diperlukan, tetapi kepimpinan orang Melayu yang baik. Bukanlah UMNO tidak pernah ada kepimpinan yang baik. Tetapi sejak satu dua dekad yang lalu, sejak timbul apa yang dikatakan ‘politik wang’, kepimpinan itu merosot teruk.

Pas pula dengan slogan-slogan Islamnya yang kosong. Siapa tidak tahu tentang kegagalan kepimpinan Pas mengembangkan ekonomi Kelantan? Pas sekarang, di bawah kepimpinan ulama, langsung tidak mempunyai konsep pembangunan ekonomi.

Mereka tidak belajar atau mengkaji secara serius subjek ini. Mereka mengutamakan konsep ‘pembangunan kehidupan akhirat’. Tahukah mereka apa ‘pembanganun akhirat’ itu sebenarnya? Jadi, kalau Pas memimpin negara, ekonomi negara akan merosot.

Banyak rencana telah disiarkan dalam akhbar-akhbar tentang pelbagai macam penyelewengan dalam UMNO dan kerajaan: rasuah, keborosan, kronisme, perpecahan kepada puak dan kehilangan semangat perjuangan atau idealisme.

Kepimpinan Najib sekarang mestilah menyelesaikan masalah-masalah ini. Kerja besar dan berat inilah yang harus difikirkan dan ditangani, bukan saja oleh kepimpinan UMNO, tetapi juga oleh kepimpinan Pas dan kepimpinan seluruh bangsa Melayu, termasuk kepimpinan pakatan pembangkang lain.

Contohnya, kalau kita ada sebuah dusun, pokok-pokok seperti durian, rambutan, manggis, mempelam, langsat dan sebagainya hendaklah subur dan berbuah selalu atau dalam musim-musimnya. Buah-buahnya pula mestilah sedap. Begitulah yang kita mahu dilakukan oleh kepimpinan, baik dalam kerajaan mahupun pembangkang.

Kita bukan meminta langit. Kita harus realistik. Semua manusia, termasuk pemimpin-pemimpin ada kelemahan. Tetapi kita berhak meminta komitmen yang ikhlas dan tinggi daripada pemimpin-pemimpin kita.

Kepimpinan UMNO dan BN mestilah memperbaharui dan memperkuat semangat perjuangan mereka serta melaksanakan transformasi (meminjam istilah Najib) UMNO dan kerajaan dalam masa sesingkat mungkin.

Kalau mereka boleh melakukan ini, saya percaya kita tidak perlu bimbang tentang orang Melayu kehilangan kuasa. Tetapi kalau mereka gagal, malapetaka besar padahnya.

Kassim Ahmad Kulim, Kedah

Tuesday, July 20, 2010

1MALAYSIA : 1MELAYU : 1ISLAM


Bersatu secara ikhlas

ARKIB : 18/07/2010

Oleh: HARUSSANI ZAKARIA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm


Firman Allah SWT dalam surah al-Fathir : 31-32 : "(31) Dan al-Quran Yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hamba-Nya, lagi maha melihat dan memerhatikan. (32) Kemudian kami jadikan al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dari kalangan hamba-hamba kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (daripada Allah semata-mata)."

Di dalam ayat di atas Allah SWT memuliakan sebahagian daripada kalangan manusia yang telah mewarisi al-Quran. Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan, ibn Abbas dan sebahagian ahli tafsir menyatakan bahawa makna " orang-orang yang Kami pilih daripada kalangan hamba-hamba kami" ialah umat Nabi Muhammad. Dr. Hamka dalam tafsirnya pula menyatakan apa yang diwarisi itu ialah pemahaman, isi kandungan, ilmu-ilmunya, hukum-hukumnya, dan pokok ajaran akidah dari al-Quran.

Umat Nabi Muhammad SAW ini, bukan saja mewarisi al-Quran, malah Allah telah menjadikan umat ini sebaik-baik umat. Ini kerana tugas mereka untuk menyampaikan al-Quran dengan menyeru kepada yang makruf, menegah dari mungkar dan benar-benar beriman dengan Allah SWT. Itulah Allah SWT telah firmankan dalam surah al-Imran:110: "Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)."

Namun, Allah SWT telah mengingatkan kita bahawa umat Muhammad ini terbahagi kepada tiga golongan iaitu dzolimu linafsih, muqtasid & sabiqul khairat. Al-Marhum Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi dalam tafsirnya al-Tafsir al-Wasith telah menyatakan dzolimu linafsih ialah mereka yang banyak amal keburukan dari kebaikan. Muqtasid pula mereka yang sama banyak amal baik dan buruknya. Manakala sabiqul khairat ialah mereka yang lebih banyak amal kebajikan dari keburukan.

Umat Melayu Tunjang Islam di Malaysia

Dalam konteks Islam di Malaysia, umat Melayu merupakan tunjang kepada Islam. Umat Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan ditakrifkan sebagai orang Islam. Dalam erti kata lain dalam konteks Malaysia, bangsa Melayu dan agama Islam adalah seiring dan tidak boleh dipisahkan. Saya tertarik dengan ulasan Datuk Dr. Siddiq Fadzil tentang perkara ini apabila beliau menyebutkan: "Meskipun Perlembagaan menyebut tiga ciri yang mendefinisikan keMelayuan, tetapi yang menjadi teras sebenarnya adalah agama Islam. Dua ciri lainnya itu adalah bahagian daripada kebudayaan Melayu yang pada asasnya telah mengalami proses pengislaman." (Melayu: Jati Diri Keagamaan Dan Kebudayaannya di dalam Muzakarah Ulama 2009). Inilah unik dan istimewanya umat Melayu di Malaysia.

Terlebih istimewa, apabila surah al-Fathir di atas dapat diterjemahkan dalam kedudukan umat Melayu di Malaysia. Bangsa Melayulah yang bertanggungjawab melaksanakan, mendakwahkan dan mempertahankan kedudukan Islam di Malaysia. Bukan maksud saya di sini untuk mengetepikan bangsa-bangsa lain yang beragama Islam di Malaysia. Namun secara dasarnya umat Melayu dilihat sebagai orang Islam, sehingga wujud istilah "masuk Melayu". Ini menggambarkan jatuh bangun umat Melayu akan dilihat jatuh bangun Islam di Malaysia.

Perpaduan Melayu

Akhir-akhir ini, kedengaran kembali seruan supaya umat Melayu bersatu. Kenyataan ini mula kedengaran kembali apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen serta kesediaan UMNO untuk bertemu dan menjalinkan kerjasama dengan Pas dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan umat Melayu di negara ini. (Utusan Malaysia, 14 Julai 2010 ). Saya berpendapat seruan perpaduan ini merupakan satu seruan penting yang mesti disambut serius oleh semua orang. Ini kerana perpaduan umat Melayu bermakna perpaduan umat Islam di Malaysia.

Jika hari ini orang bertanya, adakah saya yakin umat Melayu akan bersatu? Saya pasti akan menjawab, ya! Oleh kerana itu, impian untuk melihat dan berusaha dalam menyatukan umat Melayu, ini tidak pernah terpadam dalam hati saya.

Siasah atau mudah kita sebut politik adalah sebahagian daripada Islam. Parti pula wujud hasil dari pemikiran dan pendekatan yang berbeza dalam siasah atau politik. Contohnya Pas dan UMNO hari ini dilihat dua parti besar yang mewakili umat Melayu di Malaysia. Kedua-duanya menyatakan memperjuang Islam dan Melayu dengan hujah dan dalil tersendiri. Maka kerana itulah saya berpendapat selagi parti itu mewakili gaya pendekatan dan pemikiran yang tidak bertentangan prinsip syariat, maka tiada siapa yang berhak mendakwa ia memiliki kebenaran mutlak. Mereka mungkin benar dan mungkin salah.

Maka jika ini dapat difahami, saya yakin perpaduan Melayu dapat direalisasikan. Perpaduan bukan bermakna membubarkan parti dengan memasuki parti yang satu lagi. Seperti yang sebutkan tadi parti hanya mewakili gaya pendekatan dan pemikiran. Sedangkan kepelbagaian ini merupakan satu fitrah yang merupakan cabangan. Parti hanya wujud ketika mana berlakunya pilihan raya. Ketika wujudnya kerajaan yang dipilih, maka parti itu menjadi kerajaan yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga kebajikan semua rakyat tanpa mengira parti apa sekalipun. Seperti kata orang hari ini, 'biar pun banyak persatuan namun satu kesatuan.'

Namun, di manakah perpaduan ini perlu bertemu? Firman Allah SWT di dalam surah al-Imran : 103 : 'Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai;' Seperti cabang yang asalnya akar, maka begitulah juga parti yang asalnya Islam. Islam perlu dijadikan matlamat bukannya alat dalam hal ini. Islam perlu dijadikan kata pemutus bukan mangsa rakus. Parti perlu berkorban untuk Islam bukan Islam yang dikorbankan untuk parti. Inilah yang saya lihat roh dan panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam surah di atas. Islam adalah kata putus dari Allah yang jauh dari kelemahan dan kepentingan peribadi atau kumpulan. Inilah yang dibuktikan oleh baginda SAW bila menyatukan Aus dan Khazraj mahupun bangsa Quraisy.

Bangsa Melayu sepatutnya berpadu dan bersatu atas akar Islam. Maksud saya jika Pas dan UMNO telah menyatakan komitmen mereka dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara, maka biarlah Islam yang menjadi kata putus. Inilah maksud dari 'berpegang dengan tali Allah' di atas.

Tidak mengapalah jika hasrat penyatuan kedua-dua parti ini hanya tinggal harapan. Namun untuk melihat bangsa Melayu bersatu atas kepentingan Islam sangat penting dan tidak mungkin boleh diketepikan.

Ikhlas : Syarat Perpaduan

Namun syarat utama perpaduan ini, semua pihak perlulah ikhlas. Amat buruk lagi keji jika seruan perpaduan bersulamkan niat meretakkan. Jangan tangan kanan menghulur madu, tangan kiri menghulur racun. Keikhlasan seperti yang ditakrifkan Allah dalam surah al-Ikhlas yang menyatakan semuanya kerana Allah SWT. Keikhlasan yang berpaksi pada iman kepada Allah Yang Esa, tempat segala pergantungan dan menjauhkan syirik darpadai Allah SWT.

Perpaduan inilah nanti yang akan melahirkan kasih sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain. Perpaduan atas dasar selain ini hanyalah bersifat kosmetik dan sementara. Hati yang penuh iman itulah nanti, akan dihimpunkan Allah dalam satu sibghah (acuan) seperti firman Allah SWT dalam surah al-Anfal :63 "Dan (Dia lah) Yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). kalaulah Engkau belanjakan Segala (harta benda) Yang ada di bumi, nescaya Engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Tuesday, July 13, 2010

AGAMA DIJUNJUNG, BANGSA DIKENDONG DAN NEGARA DIDUKUNG


Golongan agama komited satukan UMNO-Pas


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm


KUALA LUMPUR 12 Julai - Golongan agama hari ini melahirkan komitmen tidak berbelah bahagi untuk terus berusaha menyatukan UMNO dan Pas demi kepentingan Islam dan umatnya walaupun terpaksa berdepan cemuhan daripada penyokong kedua-dua parti.

Penyatuan dua parti orang Melayu itu jika benar-benar berlaku dianggap kemenangan paling besar bagi umat Islam negara ini.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sebagai golongan agama, segala cabaran harus dihadapi dengan tenang kerana tanggungjawab menyatukan umat Islam termasuk membabitkan parti-parti politik orang Melayu merupakan tuntutan agama.

"Tidak boleh tidak, kita terpaksa mengakui masa depan Islam di negara ini terletak di tangan orang Melayu. Atas sebab itu saya dalam usia lebih 70 tahun ini tidak pernah berhenti berusaha selain berdoa untuk melihat orang Melayu benar-benar bersatu.

"Perpecahan antara kedua-dua parti ini sebenarnya cukup memberi kesan kepada kedudukan Islam sekali gus kedudukan orang Melayu di negara kita. Malaysia adalah negara kita dan sekiranya berlaku sesuatu yang buruk ke mana harus kita pergi?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya Pas dan UMNO bersatu dan bekerjasama.

Lokman berkata, jika UMNO dan Pas bekerjasama banyak perkara boleh dilaksanakan termasuk hukum hudud berbanding tindakan bekerjasama dengan DAP dan PKR yang ternyata mempunyai dasar dan matlamat perjuangan yang berbeza.

Harussani menambah, dalam keadaan umat Islam masih berpecah, pemimpin UMNO dan Pas sepatutnya mengetepikan fahaman politik masing-masing dengan menjadikan Islam sebagai asas penyatuan.

"Ini bukan soal perkauman tetapi ini menyentuh mengenai masa depan Islam. Apabila kita menyentuh tentang Islam ia bersangkut paut dengan orang Melayu kerana Islam di Malaysia didukung oleh orang Melayu.

"Sebab itu saya mahu UMNO dan Pas kembali bersatu. Mereka boleh duduk dan berbincang atas konsep syura demi Islam dan demi orang Melayu. Bukankah syura merupakan amalan Rasulullah?" katanya lagi.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr. Mahmood Zuhdi berkata, penyatuan UMNO dan Pas akan membolehkan Islam dan kedudukan umat Islam bertambah kuat.

"Saya tidak akan berhenti melakukan kerja ini. Kerja ini tiada noktahnya kerana ia membabitkan kedudukan Islam serta umat Islam pada masa akan datang.

"Saya tidak rela melihat Islam dipermain-mainkan mana-mana pihak. Saya juga tidak mahu melihat kedudukan umat Islam terus menerus berada pada persimpangan jalan yang amat kritikal ekoran wujudnya perpecahan," katanya.

Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya semua pemimpin UMNO dan Pas menginsafi nasib menimpa Islam dan umat Islam ekoran ketiadaan perpaduan yang jitu di kalangan umatnya.

Dalam pada itu beliau berkata, dalam konteks politik semasa, Pas harus bekerjasama dengan UMNO dan bukannya parti lain seperti DAP sekiranya parti itu mahu meletakkan Islam pada kedudukan yang tinggi.

"Butalah mata mana-mana pemimpin (Pas) sekiranya ada antara mereka mahu bekerjasama dengan DAP kerana terlalu mementingkan politik," katanya lagi.

Mengulas isu sama, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Profesor Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hussein berkata, penyatuan UMNO dan Pas bukan sahaja menjadi hasrat kepada golongan agama malah bagi semua umat Islam.

Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan percaya jauh di sudut hati umat Islam ingin melihat kedua-dua parti itu bersatu dan bekerjasama khususnya berkaitan dengan Islam dan kepentingan Melayu.

"Saya sendiri sentiasa berdoa agar apa yang dihasratkan ini dimakbulkan oleh Allah," katanya lagi.

KUALA LIPIS BERSEJARAH