Friday, December 4, 2009

DOA : POLITIK ATAU IBADAH?


Doa adalah ibadat dilakukan untuk kebaikan

Oleh Abdullah Md Zain

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Agama/20091204002321/Article/index_html

MASYARAKAT Islam di negara kita sekali lagi dikejutkan oleh kenyataan melampau dan sangat keterlaluan Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat ketika berkhutbah pada Hari Raya Korban di Kota Bharu, 27 November lalu. Kenyataannya mendoakan agar Allah SWT memusnahkan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Umno jika Kerajaan Pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan. Begitu juga dilaporkan bahawa sebelum ini beliau pernah membuat doa yang sama dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir dan Bagan Pinang iaitu dengan menyebut ‘pergi jahanamlah Umno’.

Kenyataan Nik Aziz menimbulkan sanggahan dan kritikan daripada tokoh politik, ulama dan intelek serta pemimpin pertubuhan dan masyarakat dalam negara. Namun, Perdana Menteri menegaskan beliau tidak akan meminta Menteri Besar Kelantan itu menarik balik kenyataannya atau memohon maaf selepas berdoa supaya Allah SWT memusnahkan masa depannya jika tidak memberi royalti minyak kepada negeri itu. Perdana Menteri berharap Mursyidul Am Pas itu sedar sendiri dengan tindakannya itu kerana ramai umat Islam merasakan kenyataan terbabit adalah keterlaluan dan tidak melambangkan semangat keIslaman yang dituntut agama. Sikap Nik Aziz ini dengan jelas bertentangan dengan kedudukannya sebagai seorang ulama? yang tentunya amat memahami bahawa Islam sama sekali melarang umatnya berdoa dengan tujuan memusnahkan sesama Islam.
Doa menurut Islam ialah ‘pengharapan seseorang untuk mendapat kebaikan daripada Allah SWT dengan memohon secara langsung kepadanya’. Setiap individu mempunyai keperluan dan keinginan masing-masing sama ada secara positif atau negatif, kerana mereka terpaksa menghadapi pelbagai ragam hidup yang berupa cabaran, halangan, dugaan dan lain-lain. Justeru mereka berdoa kepada Allah SWT memohon limpah perkenan dan rahmatnya supaya hajat mereka termakbul. Kita disyariatkan berdoa untuk kebaikan diri, keluarga, sahabat, sesama Islam hatta kepada bukan Islam sekali pun supaya mereka diberi taufik dan hidayah oleh Allah SWT.

Allah SWT menyuruh kita berdoa dan memohon restu daripadaNya. Allah SWT berjanji memperkenankan permohonan yang diminta oleh mereka sebagaimana firmanNya dalam surah al-Mu’min ayat 60 yang bermaksud: “Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan perkenankan doa permohonan mu”. Imam Ahmad meriwayatkan daripada al Nu’man ibn Basyir bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya doa itu adalah ibadat”, manakala al-Tirmizi pula meriwayatkan daripada Salman al-Farisi bahawa Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud: “Qada’ Allah tidak dapat dihapuskan melainkan dengan doa dan umur seseorang itu tidak akan bertambah melainkan dengan melakukan kebaikan”.

Begitu juga al-Bazzar, al-Tabrani dan al-Hakim ada meriwayatkan daripada Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Persediaan dan berhati-hati tidak mampu untuk mengatasi takdir Allah, manakala doa berguna untuk mengatasi apa yang ditakdir dan apa yang dilaksanakan, sesungguhnya ujian Allah akan diturunkan dan akan berjumpa dengan doa yang diminta, lalu kedua-dua saling bertarung sehingga hari kiamat”. Daripada hadis-hadis di atas, jelas menerangkan peranan doa dalam Islam adalah sebagai ibadat yang perlu dilakukan untuk kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan ummah seluruhnya. Umat Islam tidaklah disyariatkan, malah dilarang keras mendoakan kemusnahan dan kehancuran sesama Islam, kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya (seagama) sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri”. Begitu juga Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu dapati orang mukmin itu dalam berkasih sayang, tolong menolong dan silaturahim, bandingannya seperti satu tubuh, apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan maka seluruh anggota tubuh yang lain akan turut juga berjaga malam dan demam.” Daripada hadis di atas, jelas menggambarkan keunggulan masyarakat Islam yang dikehendaki oleh Rasulullah SAW. Mereka saling berkasih sayang, bantu membantu serta bekerjasama antara satu sama lain. Oleh itu, Islam melarang keras berdoa untuk keburukan sesama umat Islam. Malah bukan cara Islam juga untuk mendoakan keburukan terhadap orang bukan Islam. Ini kerana Rasulullah SAW apabila dakwahnya ditolak keras oleh penduduk Taif, baginda diberi pilihan oleh malaikat yang menjaga urusan bukit-bukau supaya baginda perintahkan saja kepadanya untuk membinasakan kaum yang degil itu dengan mencampakkan bukit-bukau ke atas mereka.
Tetapi tawaran itu ditolak oleh Rasulullah SAW kerana baginda masih mengharapkan kebaikan daripada keturunan mereka yang degil tadi, mungkin suatu hari nanti keturunan mereka ada yang beriman. Lalu Rasulullah SAW berdoa yang bermaksud: “Wahai Tuhanku, berilah hidayah dan petunjukMu kepada kaumku, kerana mereka tidak mengetahui”. Sebagai kesimpulannya, doa menurut Islam, ia sebagai suatu alat untuk digunakan oleh orang Islam bagi mendapat pertolongan daripada Allah SWT. Namun begitu, ia hendaklah digunakan untuk tujuan baik dan konstruktif, bukan untuk menakut-nakutkan orang ramai. Umat Islam hendaklah berdoa setelah didahului dengan usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh dan doa digunakan untuk kebaikan dan kemaslahatan ummah seluruhnya.

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH