Saturday, December 19, 2009

CELIK SEJARAH : KETUANAN MELAYU

Celik sejarah elak fahaman sempit Ketuanan Melayu

Oleh Jamhariah Jaafarbhnews@bharian.com.my

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Rencana/20091219002321/Article/index_html


SEKEJAP timbul, sekejap tenggelam. Demikian lumrahnya isu Ketuanan Melayu di kalangan rakyat negara ini. Selepas lama tenggelam, perkataan ini bergema kembali dan seperti biasa ia mencetus perdebatan amat panas terutama apabila diapi-apikan dengan sentimen negatif. Oleh itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pernah mengingatkan parti pembangkang tidak terus memainkan sentimen yang mencabar kedaulatan Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Sejak gagasan 1Malaysia diperkenalkan, banyak pihak mengambil kesempatan untuk mengelirukan slogan yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak, sebagai usaha ke arah hak persamaan, sedangkan Perdana Menteri dengan tegas sering menyatakan konsep itu bersandar kepada perlembagaan.


Amat mengecewakan selepas 52 tahun Malaysia merdeka, negara yang terkenal dengan keunikan kerana memiliki rakyat pelbagai bangsa, agama dan budaya masih tidak dapat memahami serta menghormati hak yang diberi serta dinikmati selama ini. Lebih mengecewakan apabila ada pihak menggunakan ensiklopedia bebas seperti Wikipedia untuk menyebarkan tafsiran sempit dengan menulis 'Ketuanan Melayu ialah konsep perkauman yang mendakwa bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia'. Padahal, 'Ketuanan Melayu' hanya perkataan yang digunakan sebagai lambang bahawa bangsa Melayu rakyat peribumi negara ini dan amat bertolak ansur dalam berkongsi kekayaan bumi bertuah ini dengan bangsa lain.


Setiap rakyat perlu menerima hakikat dalam memastikan keunikan Malaysia sebagai negara yang memiliki pelbagai bangsa, kaum, agama, budaya dan etnik – isu perkauman akan menjadi antara perkara yang tidak akan dapat dihapuskan. Persoalannya ialah apa masalahnya jika bersikap perkauman kerana asas nilai diri seseorang individu berdasarkan bangsa.


Malaysia tidak lagi terikat dengan definisi kamus Oxford yang mentakrif perkauman sebagai kepercayaan atau ideologi yang dimiliki semua individu dalam setiap satu bangsa atau kemampuan khusus untuk kaum terbabit, terutama untuk mengenal pasti sama ia adalah tinggi atau rendah kepada kumpulan bangsa lain.


Kamus Merriam-Webster turut menjadikan Amerika Syarikat rujukan apabila memberi definisi perkauman adalah kepercayaan bahawa bangsa sebagai faktor penentu nilai diri manusia, manakala kemampuan serta perbezaan kaum menghasilkan kedudukan tinggi atau rendah sesuatu kumpulan kaum itu dan mencetus prejudis berasaskan kedudukan berkenaan.


Seorang lagi pakar sosiologi Amerika Syarikat, Joe Feagin mengatakan negaranya boleh dianggap sebagai 'masyarakat yang benar-benar rasis kerana perkauman digunakan untuk menguruskan setiap institusi sosial'. Dalam menerima pakai definisi Barat itu, bangsa Melayu yang berselimutkan konsep Ketuanan Melayu tidak berpaksi kepada kedudukan 'lebih tinggi' berbanding bangsa lain kerana walaupun dianggap 'tuan kepada bumi ini', hakikatnya kuasa ekonomi dimiliki bangsa lain.


Tafsiran Ketuanan Melayu seperti ditulis di Wikipedia boleh mencetus pelbagai polemik dan menaikkan kemarahan bangsa Melayu apabila dikatakan: "Konsep Ketuanan Melayu sering dijadikan retorik ahli politik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) yang berpengaruh sejak 50 tahun Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) mencapai kemerdekaannya daripada Britain sebagai usaha meraih sokongan orang Melayu walaupun pada hakikatnya tidak ramai orang Melayu yang arif mengenai konsep atau fahaman ini."


Tafsiran sempit ini boleh mengelirukan sesiapa yang mencari tafsiran 'Ketuanan Melayu' di laman web kerana Wikipedia akan dijadikan pedoman terutama bagi mereka yang tidak mengetahui sejarah mendalam Tanah Melayu, sebelum menjadi Malaysia. Tindakan penulis menulis 'hanya orang Melayu boleh dianggap penduduk asal Malaysia' boleh mencetus perdebatan hangat kerana hakikat bahawa orang Melayu adalah bangsa peribumi negara ini secara tidak langsung dicabar melalui ensiklopedia bebas ini.


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam mencadangkan perkataan 'Ketuanan Melayu' diganti dengan 'Keterasan Melayu', tetapi tidak payahlah bangsa lain mempertikai perkataan yang digunakan kerana ia hanya dua patah perkataan yang amat jarang diguna, kecuali diprovokasi bertali arus. Krisis 13 Mei 1969 bukan saja mencipta sejarah hitam dalam hubungan antara kaum, malah mewujudkan semula perpaduan antara rakyat pelbagai kaum yang meletakkan Malaysia sebagai negara amat unik di dunia.


Rakyat Malaysia yang melalui pengalaman 13 Mei, tidak lagi mahu melalui krisis perkauman yang mencetuskan kebimbangan, ketakutan, perasaan saling tidak mempercayai dan penuh syak wasangka, sebaliknya bekerja keras untuk tidak menyentuh sensitiviti kaum. Selagi wujud perkataan bangsa dan agama, maka adalah mustahil untuk menghapuskan sikap perkauman.


Di Malaysia semua bangsa pelbagai negara tidak dapat lari daripada perasaan ini. Kebanyakan generasi Malaysia hari ini sependapat bahawa isu bangsa dan etnik hanya hadir dalam bahasa dan fikiran. Ia tidak perlu menggugat keharmonian serta semangat setia kawan yang wujud di kalangan rakyat hari ini.

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH