Realiti politik perkauman DAP
Ahmad Atory Hussain
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm
SEJARAH perjuangan parti ini bermula apabila Singapura menyertai Malaysia pada 1963 dengan Lee Kuan Yew memimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) di negara itu yang berideologi sosialis.
Semasa Malaya mencapai kemerdekaan tidak ada parti perkauman seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang ada parti sosialis yang ditolak sebahagian besar rakyat. Apabila Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, DAP menggantikan PAP di negara ini dan sejak itu DAP bertanding dalam setiap pilihan raya umum (PRU) dengan fahaman yang menolak sistem politik berasaskan pelbagai kaum.
DAP dilihat sebagai parti yang hanya memperjuangkan kaum Cina, walaupun dianggap sebagai partai sosialis. Prestasi DAP mula meningkat pada PRU 1969, dengan memperoleh 13 kerusi Parlimen. Prestasi paling tinggi adalah dalam PRU 1986 (24 kerusi Parlimen) dan kemuncaknya dalam PRU 2008 (28 kerusi).
Dalam PRU selainnya, adalah sekitar 10 atau 11 kerusi sahaja yang diperoleh parti itu dan DAP menjadikan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) MCA dan Gerakan sebagai menguji kekuatan pengaruhnya.
DAP yang merupakan parti pembangkang kaum Cina terbesar bergerak mara hingga membentuk kerjasama longgar dengan Pas pada 1999 dan kemuncaknya pada PRU 2008 dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang turut serta mewujudkan pakatan pembangkang tunggal yang mencabar Barisan Nasional (BN).
Walaupun DAP di dalam pakatan pembangkang, ideologi mereka masih tidak sama dengan ideologi Pas. Sementara itu, MCA atau Gerakan dilihat bersifat sederhana.
Secara umumnya, MCA mengakui semua bentuk institusi politik negara yang berasaskan Perlembagaan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan agama Islam agama rasmi serta mengakui hak istimewa orang Melayu, walaupun di dalam hati mereka tidak bersetuju, tetapi mereka tidak menunjukkan dalam tindakan dan prinsip parti mereka.
Berbeza dengan DAP, ia terang-terangan menolak yang boleh dikatakan semua yang berasaskan kemelayuan dan keislaman di negara ini. Tentunya slogan Malaysian Malaysia itu masih menjadi ideologi DAP yang didorongi oleh sistem politik Singapura yang berbentuk republik.
Keinginan DAP mewujudkan semacam ‘ala republik’ di Malaysia tentunya menolak sama sekali akan realiti masyarakat dan sejarah negara ini yang berpaksikan kemajmukan!
Pendek kata MCA dan Gerakan lebih praktikal dan tahu akan sejarah pembentukan negara ini dan menyedari bahawa tanpa kerjasama dengan UMNO yang ketika merdeka dahulu mewakili sebahagian besar orang Melayu, keadaan nasib kaum Cina dan India tidak terjamin.
Disemarakkan lagi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin PKR dan pakatan pembangkang, maka DAP berserta dengan Pas berjaya mempengaruhi sebahagian daripada pengundi Cina untuk menyokong perjuangan PKR yang dikatakan mirip ideologi DAP.
Sementara Pas dilihat dengan sebelah mata atas dasar ingin mengambil kesempatan daripada pengaruh parti itu dan mengaut keuntungan politik, tetapi Pas kurang sedar akan taktik DAP itu!
Kemenangan cemerlang pakatan pembangkang dalam PRU-12 menyemarakkan lagi semangat DAP untuk menjadi jaguh kaum Cina dan semakin berlagak menjadi jaguh pakatan pembangkang. Apalagi dengan Anwar berdepan dengan masalah peribadinya manakala MCA atau Gerakan semakin ketinggalan kereta api.
Pakatan pembangkang yang meniupkan anti UMNO dan BN serta bercita-cita hendak menukar sistem politik Malaysia kepada republik dan menentang sebahagian daripada Perlembagaan negara jelas berjaya mempengaruhi sebahagian pengundi Cina dan Melayu yang tidak begitu faham sejarah dan selok-belok politik negara ini. (Besar kemungkinan faktor sejarah kenegaraan kurang dititikberatkan di kalangan generasi muda!)
Dipendekkan cerita, DAP berjaya mewujudkan suatu persepsi politik bahawa kebangkitan kaum Bumiputera/Melayu dalam pembangunan ekonomi melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) boleh mengancam survival orang Cina, yang mana pada realitinya tidak begitu.
Sebagai pribumi, mereka pun ingin maju seperti bukan Melayu dan ingin duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dalam pembahagian ekonomi negara dengan kaum Cina. Salahkah? Ini tidak dimengertikan oleh DAP. Parti itu menganggap rendah kebolehan orang Melayu, kerana dimomokkan oleh pemimpin seperti Lee Kuan Yew.
Sedangkan orang Melayu dan rakyat seluruhnya sudah pun terbuka minda mereka dan menginginkan kemajuan, dan tidak selamanya orang Melayu itu bodoh, malas dan tidak kebolehan.
Mereka dikaburkan dengan persepsi bahawa orang Cina didiskriminasi dalam semua bidang, pada hal hakikatnya yang lebih banyak menikmati ekonomi negara adalah bukan Melayu tetapi ini tidak pernah disebut, yang dibangkitkan ialah orang Melayu yang menguasai politik dan pentadbiran akan menindas kaum lain!
DAP juga menerima nasihat-nasihat daripada ahli akademik mereka yang kebanyakannya anti establishment. Semua yang Melayu (terutama pemerintah) buat, ada sahaja yang tidak kena kepada golongan ini!
Politik perkauman anti establishment ini jelas dihamburkan dengan membangkitkan sentimen anti Perlembagaan Malaysia, menganggap Perlembagaan ini akan memusnahkan masa depan mereka.
Pada hal dengan Perlembagaan, selama ini rakyat dapat menikmati erti kehidupan yang lebih baik dari negara tempat asal mereka. Ini semua dianggap sebagai hujah lapuk dan ketinggalan.
Sehingga seorang ahli akademik dari luar negara yang membuat kajian mengenai: Problems Among Minority Groups in Malaysia” mendapati di Malaysia golongan minoriti tidak ada masalah! Sedangkan di negara-negara lain di dunia, semua minoriti ada masalah!
Hebatnya Malaysia dipandang dari luar, tetapi dipandang oleh segolongan rakyatnya sendiri sebagai “hampas”. Ideologi DAP tidak mengakui hakikat masyarakat berbilang kaum dan tidak mengakui politik berasaskan kerjasama antara kaum.
DAP masih mengharapkan kerjasama daripada Pas dan PKR tetapi kedua-dua parti itu juga tidak dapat dibuktikan boleh memberi jaminan kepada semua kaum di negara ini. Peningkatan pengaruh DAP tentunya disebabkan kelemahan MCA dan Gerakan sendiri. Kedua-dua parti itu gagal meyakinkan orang Cina bahawa mereka akan terus terjamin dalam BN.
Sementara itu, UMNO pula mengalami krisis demi krisis, jadi nampak seperti mereka sudah lemah semangat dan akan keluar dari BN jika kalah dalam PRU akan datang.
Soalnya sampai bila majoriti pengundi Cina hendak berteduh di bawah DAP? Jika MCA kecundang dalam PRU-13, tidak mustahil wakil Cina tidak ada di dalam kerajaan.
Sejarah 13 Mei 1969 membuktikan jika pola seperti sekarang ini berlaku, konflik kaum akan berlaku. Ini tidak sihat bagi negara berbilang kaum seperti Malaysia. Untuk itu saya berpendapat, mahu tidak mahu, masyarakat Cina akan kembali kepada status quo di mana akan berlaku semula keseimbangan politik.
Pada hemat saya, ini merupakan satu ujian besar bagi parti-parti politik di negara ini yang mana parti yang terlalu kuat sifat perkauman tidak akan ke mana. Ini berdasarkan kepada teori politik di Malaysia, bahawa politik pelbagai kaum adalah paling sesuai, dan yang berasaskan perkauman sempit tidak dapat diterima untuk jangka panjang.
Selain itu kerjasama antara parti politik pembangkang terlalu bersifat politik dan penuh muslihat juga dilihat tidak kekal lama. Pas semakin hipokrit. PKR, dianggap retorik dan huru-hara kini. Sebab itu kerjasama antara parti politik dalam BN kelihatan lebih ikhlas walaupun dipandang oleh pembangkang sebagai parti yang usang.
Tetapi itulah realiti politik Malaysia, yang majmuk sifatnya, yang perlu bertoleransi, tidak semudah itu bermain politik perkauman! Politik geram dan sentimen kaum tak ke mana. Percayalah.
PROFESOR DR. AHMAD ATORY HUSSAIN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia
ape pendapat blogger??? Setujukah jika UMNO semarakkan slogan 1 Melayu 1 Bumi???
ReplyDelete