Pas Kena Sedar Diri, Balik Ke Pangkal Jalan – Ramlah Adam
Oleh : Ropikah Ahmad
http://umno-online.com/?p=36756
KUALA LUMPUR, 4 Mei – Penganalisis politik tempatan, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam meminta Pas agar sedar diri dan kembali kepada ideologi perjuangan asal sebagaimana penubuhan asalnya demi agama Islam khususnya semasa zaman kepimpinan Dr. Burhanuddin Helmi Al-Helmi.
“Pas perlu tahu dan sedar bahawa hanya orang Melayu sahaja yang akan perjuangkan bangsanya dan agama Islam tetapi jika mereka sendiri tidak bangga berbangsa Melayu bagaimana mungkin mereka mahu mendaulatkan Islam?
Jelasnya apa yang berlaku sejak kebelakangan ini, Pas menjadikan Islam sebagai bahan politik semata-mata dan kemudiannya apabila menjalinkan kerjasama dengan pakatan pembangkang iaitu PKR dan Dap agenda utama dalam perjuangan mereka terus diketepikan.
“Pas perlu kembali ke jalan asal dan idealogi perjuangan untuk agama Islam melalui bangsa Melayu kerana agama tidak akan berdiri kukuh tanpa perjuangan bangsa. Bangsa adalah teras kenegaraan dan semangat perjuangan kebangsaan.
“Bagaimana Pas boleh menjalinkan kerjasama dengan Dap sedangkan secara jelas Dap yang ditubuhkan pada tahun 1964 adalah serpihan dari idealogi yang dibawa oleh PAP apabila Singapura terpisah dengan Malaysia iaitu masih lagi teguh kepada pendirian Malaysian Malaysia,” jelasnya kepada UMNO-Online.
Ujar beliau lagi, saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta Pas meninggalkan pakatan pembangkang khususnya Dap adalah amat wajar sekiranya benar mereka memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam.
“Saya menyokong apa yang disuarakan oleh Perdana Menteri kerana jika benar Pas pentingkan agama Islam maka kenapa mereka tidak peduli apabila perkataan Allah boleh digunakan oleh agama lain?
“Kita melihat Pas yang ada hari ini sudah tidak lagi mempedulikan hal-hal berkaitan etika pemimpin, moral dan integriti dalam kepimpinan itu sendiri sebaliknya mereka hanya mahukan kuasa politik yang bersifat materialisme semata-mata,” terangnya.
Tambah beliau yang juga Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajaran Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), jika dilihat dari sudut sejarah pun, Dap tidak pernah menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti politik malahan berdepan dengan pilihan raya umum secara bersendirian.
“Dalam jalinan kerjasama yang berlaku pada PRU lalu, kita melihat Dap mempergunakan PKR dan Pas untuk kepentingan politik dan idealogi mereka sendiri sehinggakan hari ini Dap dilihat lebih dominan dan terus menjalankan usaha untuk takluk pemikiran anak-anak muda.
“Dap bukan hanya berjaya mempengaruhi oarang-orang Cina yang melihat MCA dan Gerakan bukan parti mereka untuk bergantung malahan Dap juga telah mempengaruhi golongan muda Melayu yang sudah tidak peduli soal pembelaan, hal-hal berkaitan keistimewaan orang Melayu dan sebagainya,” katanya.
Jelas beliau, generasi muda hari ini enggan lagi melihat perjuangan masa lalu sebagai agenda masa hadapan tetapi pemikiran mereka telah diubah oleh Dap dengan hal-hal berkaitan liberalisasi, hak asasi manusia dan hal-hal material.
- MediaUMNO
No comments:
Post a Comment