Friday, April 29, 2011

PM DS NAJIB : WALK ABOUT

Tinjauan mesra dekati rakyat

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

SETIAP kali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan tinjauan mesra, ia pasti menghimbau kembali kenangan ketika ayahanda beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, menyusuri jalan-jalan kampung, sawah dan tanah-tanah rancangan untuk menemui rakyat, 40 tahun lalu.

Selain mencontohi apa yang telah dibuat ayahandanya, budaya turun padang yang dimulakan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April 2009, adalah bagi merealisasikan prinsip yang sentiasa dipegangnya iaitu untuk menjadi 'Perdana Menteri Rakyat'.

Tinjauan mesra pertama diadakan pada 4 April 2009, iaitu tidak sampai 24 jam selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Pada hari tersebut, Najib yang memakai baju khaki lengan pendek berwarna hijau cair dan seluar khaki berwarna coklat cair meluangkan masa kira-kira dua jam di tiga kawasan di sekitar Kuala Lumpur yang setiap penempatan itu mempunyai penduduk majoriti kaum Cina, Melayu dan India.

Ia melibatkan kawasan perniagaan di Petaling Street, perumahan kos rendah dan sederhana Vista Angkasa di Bukit Kerinchi, Bangsar serta deretan kedai di Jalan Tun Sambanthan, Brickfield.

Reaksi yang diberikan oleh rakyat pada hari tersebut memang cukup positif. Ada yang bertepuk tangan, ada yang melambai tangan, ada yang mengambil gambar dan ada juga yang menceritakan terus kepada Najib mengenai masalah mereka.

''Saya lakukan lawatan tidak rasmi dan mengejut untuk berjumpa dengan rakyat biasa bagi mengetahui masalah mereka," katanya ketika mengadakan pertemuan dengan penduduk Vista Angkasa.

Pemerhati politik tempatan, Che Hamdan Che Mohd. Razali yang diminta mengulas pendekatan yang digunakan Najib itu mengakui ia adalah sama seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri kedua.

''Walaupun Tun Abdul Razak menjawat jawatan itu dalam tempoh singkat dari 22 September 1970 hingga 1976, beliau amat dikenali sebagai Perdana Menteri yang paling banyak berjalan untuk bertemu rakyat.

''Pendekatan seperti ini memang wajar diteruskan kerana ia boleh mewujudkan persepsi positif di kalangan rakyat bahawa Perdana Menteri mengambil berat tentang masalah mereka," ujarnya yang juga pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu.

Beliau menjelaskan, pada zaman pentadbiran Najib, boleh dikatakan semua bentuk pembangunan yang dikehendaki rakyat telah tersedia, jadi tumpuan utama kerajaan adalah untuk memastikan segala kemudahan itu dinikmati rakyat di peringkat bawahan.

Menurutnya lagi, Perdana Menteri terdahulu seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mengambil pendekatan seperti Najib kerana tumpuan mereka adalah untuk membangunkan negara dan meningkatkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, setelah lebih dua tahun dilantik sebagai Perdana Menteri, Najib tidak pernah jemu untuk turun padang dalam keadaan cuaca panas terik dan kadangkala basah ditimpa hujan semata-mata untuk bertemu dengan rakyat.

Apa yang dibuat itu adalah selaras dengan pendiriannya bahawa melihat keadaan sebenar adalah lebih baik berbanding sekadar mendengar laporan pegawai yang dibentang dalam keselesaan bilik pejabat berhawa dingin yang terpisah jauh daripada realiti kehidupan.

''Saya bukan sahaja dapat tengok dengan mata saya sendiri keadaan di situ, tetapi juga dapat menghidu udara dan bau di situ.

''Banyak bezanya, macam bumi dan langit dengan taklimat yang diberikan oleh Datuk Bandar," kata Perdana Menteri ketika melakukan tinjauan mesra ke Stesen Bas Puduraya sebelum ini.

"Anda boleh meyakini," tambahnya, "sebaik sahaja saya balik ke pejabat, semua masalah ini akan mendapat perhatian, malahan saya sering mengumumkan beberapa kelulusan penting berdasarkan tinjauan mesra yang saya buat."

Sementara itu, tinjauan mesra terbaru Najib adalah di Pekan Song di pedalaman Sarawak pada 15 April lalu. Najib menjadi Perdana Menteri pertama yang mengunjungi pekan kecil itu.

Mengulas sikap Najib yang gemar turun padang, penganalisis politik terkenal di negeri itu, Dr. Jeniri Amir berkata, pemimpin politik Barisan Nasional (BN) lain dan kakitangan kerajaan perlu mencontohi gaya kepimpinan beliau.

''Sarawak adalah negeri pertama yang beliau lawati selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan tindakan beliau mengulangi kunjungan ke kawasan pedalaman negeri ini jarang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin tertinggi negara sebelum beliau.

''Keikhlasan Najib dalam menangani isu serta menyelesaikan masalah orang ramai amat disanjung tinggi oleh rakyat dan kaji selidik yang dibuat menunjukkan populariti beliau di kalangan penduduk Sarawak mencapai 80 peratus," katanya yang juga Pensyarah Kanan Kajian Komunikasi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Ujar beliau, hakikat itu amat digeruni oleh pihak pembangkang sendiri, sebab itulah, dalam kempen mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-10, mereka hanya mengkritik dasar Najib, tapi tidak berani memperkecilkan kepimpinan beliau.

Apa yang disyor oleh Jeniri itu selaras dengan nasihat yang sering diulangi Najib yang mahukan anggota pentadbirannya memahami denyut nadi rakyat agar mereka berupaya menyelami keluh-kesah dan gundah-gulana sebenar kehidupan seharian masyarakat.

Jika nasihat ini diikuti tanpa menyerah segala-galanya untuk dibuat oleh Perdana Menteri, impian untuk melihat rakyat kembali menyokong BN sudah tentu bukan lagi mimpi di siang hari.

3 comments:

  1. Ahli parlimen Lipis rajin ker turun padang??? lama dah x nampak muka??? kalo kalah kerusi bahagian pun x kan la x nak jengok kami ni....

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Anon... rajin atau tidak MP Lipis turun padang, UMNO Bahagian Lipis tidak dapatlah untuk pastikannya.

    Nanti dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian bolehlan anon bangkitkan di depan MP itu sendiri.

    ReplyDelete
  3. kome pengikut jer... jauh sgt nok dapat jadi wakil ke situ.. orang x kenei.... x pe la.. puok2 deme la rajin turun padang ... ganti dia... moga beroleh kepercayaan rakyat....

    ReplyDelete

KUALA LIPIS BERSEJARAH