Friday, April 15, 2011

PEMIMPIN IBARAT CERMIN???




Moral seorang pemimpin

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

pengarang@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

''Saya juga akan memperbaiki diri dengan membaca al-Quran, mendapatkan nasihat guru agama, menderma kepada golongan miskin dan berbuat perkara baik bagi mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat.'' Itulah kata-kata yang dilafazkan oleh Ahli Parlimen Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Arifinto ketika mengumumkan peletakan jawatannya selepas didapati menonton video lucah semasa persidangan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Indonesia, Jumaat lalu.

Mungkin Arifinto telah melakukan kesilapan, namun dengan keinsafan yang beliau tunjukkan seharusnya menjadi pengajaran kepada semua individu yang bergelar pemimpin. Tetapi malangnya tidak semua pemimpin mahu mencontohi Arifinto atau mana-mana pemimpin di dunia terutamanya di Jepun dan Korea yang bersedia meletakkan jawatan apabila dikaitkan dengan satu skandal atau dakwaan. Ada di kalangan pemimpin yang lebih bersedia berkonfrantasi dan bermati-matian mempertahankan dirinya.

Dia menjelajah ke seluruh negara mendakwa dirinya dianiaya, menjadi mangsa fitnah dan kezaliman politik pihak tertentu. Namun apa yang menjadi persoalan segala pintu yang dibuka bagi membolehkan dia membersihkan namanya ditolak mentah-mentah.

Sebaliknya, dia lebih cenderung hendak menyeret rakyat untuk bersama-sama menyokongnya atas alasan dia dizalimi, kesudahannya negara boleh menjadi kucar-kacir dan tidak tenteram.

Rasulullah SAW bersabda: ''Tidaklah seorang pemimpin mempunyai perkara kecuali ia akan datang dengannya pada hari kiamat dengan keadaan terikat, entah ia akan diselamatkan oleh keadilan, atau akan dijerumuskan oleh kezalimannya." (Riwayat Baihaqi dari Abu Hurairah dalam kitab Al-Kabir).

Mungkin bagi pemimpin yang berkenaan, dia berasa berhak untuk mempertahankan diri tetapi dalam masa yang sama dia juga perlu faham bahawa rakyat juga berhak mempunyai penilaian yang betul sama ada seseorang itu layak atau tidak menjadi pemimpin. Dalam soal ini, kita perlu memahami bahawa moral memainkan peranan yang cukup penting sebelum seseorang itu disanjung sebagai pemimpin.

Sebab itulah rakyat tidak harus terpedaya dengan 'lakonan' oleh mana-mana juga individu bergelar pemimpin yang dilihat sering sahaja berdolak-dalik dalam menjawab sesuatu dakwaan melibatkan dirinya. Jika rakyat merasakan apa yang mereka ketahui itu satu kebenaran maka mereka perlu mengakuinya dengan membuang segala sifat taksub apatah lagi simpati.

Ia bersesuaian dengan pesanan Rasulullah SAW melalui sabda baginda yang bermaksud ''Rasa takut (segan) terhadap manusia jangan sampai menghalangi kamu untuk menyatakan apa yang sebenarnya jika memang benar kamu melihatnya, menyaksikannya atau mendengarnya."

Kita juga perlu berfikir dengan bijak apabila ada pihak berhujah bahawa Islam melarang membuka aib sesama Islam. Sudah tentulah sebagai orang Islam kita mengakuinya kerana perkara itu sudah dinyatakan di dalam al-Quran dan juga hadis Rasulullah SAW. Tetapi dalam Islam juga membenarkan kemungkaran yang dilaksanakan oleh seseorang pemimpin itu didedahkan.

Ini bagi mengelakkan mereka terpedaya dengan sandiwara mana-mana pemimpin yang zahirnya dilihat begitu baik dan bersih berikutan kebijaksanaannya berkata-kata dan memutar belit fakta. Penyelewengan oleh seseorang pemimpin dalam apa juga perkara termasuk moral perlu didedahkan kepada masyarakat. Langkah itu akan membolehkan orang ramai menghindari pemimpin tersebut daripada dipilih dan digantikan dengan pemimpin lain yang amanah terhadap Islam dan rakyat.

Ini bermakna tindakan mendedahkan kesalahan pemimpin itu adalah kerana ingin mengelakkan masyarakat daripada ditimpa kejahatan akibat perbuatan pemimpin berkenaan. Renungkanlah sejarah Islam dahulu bagaimana ketika zaman Khalifah Islamiah, seseorang boleh mendedahkan kepada khalifah keburukan para menteri yang berada di bawah pimpinannya.

Melalui cara sedemikian menteri atau pemimpin yang terlibat boleh ditegur atau digantikan dengan orang lebih baik. Begitulah juga kedudukan kita sekarang, moral perlu menjadi perhitungan paling penting dalam kita menentukan siapa yang harus kita ikuti sebagai pemimpin. Jangan sampai kerana ketaksuban kepada seseorang pemimpin itu, kita menolak segala fakta yang menjurus kepada kebenaran dan menegakkan keadilan.

Pada masa ini, kita sudah lihat ada sekelompok manusia yang begitu taksub. Mereka membutakan mata dan menutup telinga bagi mendengar kebenaran. Mereka membuat andaian segala yang berlaku adalah satu konspirasi dan bermotifkan politik tetapi dalam masa yang sama enggan memberi ruang kepada usaha mencari kebenaran itu.

Jika benar mereka mahukan pemimpin yang mereka sayangi itu diangkat sebagai pemimpin tertinggi dan percaya bahawa dia tidak melakukan perbuatan keji, maka sokonglah usaha bagi membersihkan namanya. Kita harus ingat dalam Islam amanah memilih pemimpin bukanlah satu perkara yang ringan. Jika kita tersilap memilih pemimpin, kita boleh dikategorikan melakukan khianat kepada Allah, Rasul-Nya dan kaum mukminin.

Sebab itulah, Rasulullah SAW memberikan peringatan melalui sabda baginda bermaksud: "Barangsiapa memilih seseorang menjadi pemimpin untuk suatu kelompok, yang di kelompok itu ada orang yang lebih diredai Allah daripada orang tersebut, maka ia telah berkhianat kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman."

Atas sebab itulah, apabila pemimpin yang kita sanjung berhadapan dengan sesuatu dakwaan, kita janganlah mudah melatah sehingga menutup pintu kebenaran dengan ketaksuban.

Berpeganglah kepada peringatan Rasulullah SAW bahawa kebenaran pasti mengalahkan kebatilan. Mereka juga tidak harus lupa bahawa Allah SWT mengingatkan kita bahawa manusia hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan segalanya.

Justeru sejauh mana pun manusia merancang menjatuhkan seseorang pemimpin tetapi selagi pemimpin itu berada di jalan yang benar, dia tidak akan takut kepada usaha berkenaan kerana sesungguhnya orang yang benar itu sentiasa diberkati dan dilindungi Allah SWT. Tetapi apa yang kita saksikan sekarang ada pemimpin yang terus bersandiwara di pentas alam fana ini dan mungkin mereka mampu memperdayakan manusia tetapi hanya Allah SWT yang maha mengetahui apa yang terjadi di langit dan di bumi.


No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH